Catatan Popular

Selasa, 28 Mac 2017

KITAB UYUB AL NAFSI WA DAWAA'UHA : Penyakit Ketigabelas Hiasi diri dengan lahiriah



 (KITAB PENYAKIT NAFSU DAN PENAWARNYA)

Oleh Imam Abu Abdul Rahman Al-Sulamiy (325H-412H)

Penyakit Ketigabelas: Hiasi diri dengan lahiriah

Sibuk menghiaskan diri dengan perhiasan lahiriah, dan berpura-pura khusyuk serta beribadah tanpa menghadhirkan hati.

Rawatannya: Ialah sentiasa memelihara rahsia-rahsia ketuhanan supaya cahaya bathinnya dapat menghias perbuatana lahiriyyah. Oleh itu ia kelihatan berhias tetapi bukannya perhiasan yang bersifat lahiriyyah. Ia kelihatan hebat tetapi bukannya melalui kesan-kesan yang zahir, ia kelihatan bangga dan mulia tetapi bukan kerana ramainya anak-pinak. Oleh itu Nabi Muhammad
صلى الله عليه وسلم bersabda:

Yang bermaksud: Sesiapa yang memelihara dan memperelokkan rahsia-rahsianya maka Allah akan memelihara dan memperelokkan segala lahiriyyahnya. [Menurut pentahqiq kitab ini, Dr Muhammad al-Sayyid al-Julainid: Makna hadith ini sahih tetapi saya (pentahqiq) tidak temui di dalam kitab hadith. Dan menurut tahqiq Abu Maryam Majdi Fathi al-Sayyid, beliau membawa sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ad-Dailami didalam kitabnya al-Firdaus tetapi dengan lafadz yang agak berbeza.adapun maknanya sama]

KITAB UYUB AL NAFSI WA DAWAA'UHA : Penyakit Keduabelas Sayang diri dari beramal



(KITAB PENYAKIT NAFSU DAN PENAWARNYA)

Oleh Imam Abu Abdul Rahman Al-Sulamiy (325H-412H)
Penyakit Keduabelas : Sayang diri dari beramal
Sayang dan kasihan terhadap diri serta tidak mahu membebankannya untuk ber’amal.

Rawatannya : Ialah sentiasa melihat dan merasakan bahawa kurniaan Allah ke atas dirinya terlalu banyak dalam pelbagai suasana. Perasaan ini melenyapkan keinginan untuk merasa sayang dan kasihan kepada diri daripada digunakan untuk bertungkus-lumus ber’amal. Kata al-Wasiti(1) “Perkara yang paling hampir untuk mendapat kemurkaan Allah ialah kecenderungan menurut kemahuan hawa hafsu dan segala perbuatan yang lahir daripadanya.”

KITAB UYUB AL NAFSI WA DAWAA'UHA : Penyakit Kesebelas Lalai, angan angan dan takut kematian



(KITAB PENYAKIT NAFSU DAN PENAWARNYA)

Oleh Imam Abu Abdul Rahman Al-Sulamiy (325H-412H)

Penyakit Kesebelas : Lalai, angan angan dan takut kematian
Lalai dan leka, teragak-agak, ketegar, meminta-minta, panjang angan-angan serta takut menghadapi kematian.

Rawatannya : Ialah sepertimana al-Junaid al-Baghdadi
رحمه الله تعالى ditanya, “Bagaimanakah caranya memusatkan tumpuan di dalam peribadatan kepada Allah? Katanya: “Hendaklah bertaubat kepada Allah, taubat itu akan mencairkan sifat ketegar pada diri, membina sifat khauf yang akan menghapuskan sifat bertangguh-tangguh. Kemudian sifat roja’ pula akan merangsang dan membangkitkan keinginan dan semangat untuk membina amal kebaikan, bahkan juga akan mengingatkan empunya diri terhadap waktu-waktu yang telah berlalu yang ditinggalkan kosong begitu sahaja tanpa amal. Disamping itu sifat roja’ juga akan melahirkan perasaan menganggap hina jiwa yang lupa akan hakikat bahawa maut semakin hampir dan diri pula semakin hanyut dengan angan-angan kosong.”

KITAB UYUB AL NAFSI WA DAWAA'UHA : Penyakit Kesepuluh: Melihat aib orang lain



(KITAB PENYAKIT NAFSU DAN PENAWARNYA)

Oleh Imam Abu Abdul Rahman Al-Sulamiy (325H-412H)

Penyakit Kesepuluh: Melihat aib orang lain
Sibuk melihat kelemahan orang lain sedangkan dia melupai sifat-sifat yang tercela pada diri sendiri.
Rawatannya: Ialah meluaskan perjalanan dengan bermusafir, menumpukan sepenuh hati di dalam ibadah, mengasihi ulama yang soleh dengan patuh pada pimpinan mereka. Sekurang-kurangnya apabila seseorang itu tidak berusaha untuk mengubati kelemahan dan aib dirinya maka hendaklah ia mendiamkan diri apabila melihat aib orang lain serta berusaha menutup keaiban tersebut dengan harapan Allah akan memperbaiki keaiban dirinya. Sabda Nabi صلي الله عليه وسلم:

Yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup aib saudaranya yang muslim, Allah akan menutup auratnya. Sesiapa yang mengintai-intai aurat saudaranya maka Allah akan memerhatikan auratnya dan mendedahkan sehingga melibatkan rahsia-rahsia di dalam rumahnya”.

Zaid al-Madaini berkata: “ Aku melihat berbagai golongan di kalangan manusia yang mempunyai keaiban tetapi mereka tidak pula membicarakan aib orang lain sehingga Allah menutup keaiban mereka sedangkan keaiban itu masih kekal bersama mereka. Disudut yang lain pula, aku melihat golongan manusia yang tidak memiliki sifat-sifat cela yang mengaibkan tetapi mereka sibuk membicarakan aib orang lain, akhirnya Allah menimpakan keaiban itu kepada mereka.

KITAB UYUB AL NAFSI WA DAWAA'UHA : Penyakit Kesembilan Nafsu dan lintasan



(KITAB PENYAKIT NAFSU DAN PENAWARNYA)

Oleh Imam Abu Abdul Rahman Al-Sulamiy (325H-412H)

Penyakit Kesembilan : Nafsu dan lintasan
Nafsu itu akan mencetuskan lintasan atau bisikan yang jahat supaya dapat mempengaruhi jiwa untuk melakukan dosa.


Rawatannya : Ialah menolak bisikan itu daripada permulaan lagi supaya ia tidak dapat menguasai jiwa dengan cara senriasa berzikir, mengekalkan sifat khauf dalam diri berdasarkan kepada ilmu bahawa Allah mengetahui rahsiamu sepertimana manusia mengetahui segala yang nyata ada pada dirimu.

Oleh itu kamu merasa malu kepada Allah sekiranya keutamaan lebih kamu berikan untuk mendapat perhatian makhluk daripada perhatian dan tilikan Allah. Hal ini dinyatakan oleh hadits:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk tubuh kamu dan tidak juga amalan kamu tetapi Dia melihat hati-hati kamu.”(1)


Ibrahim al-Khawwas(2)
رحمه الله تعالى berkata: “Dosa yang pertama ialah lintasan hati, sekiranya empunya diri tidak menolakkannya, ia akan menjadi was-was, apabila ia tidak disingkirkan dengan mujahadah nescaya syahwat dan hawa nafsu akan mengkucar-kacirkan jiwa lalu syahwat dan hawa nafsu akan menguasai dan menutupi pandangan akal, ilmu dan keterangan.