Catatan Popular

Jumaat, 21 Ogos 2015

SYARAH KITAB AL- HIKAM ATHAILLAH KE 30 SYARAH SYEIKH ABDULLAH ASY- SYARQAWI AL KHALWATI : SERUAN MEMBERI NAFKAH ORANG YANG SELAYAKNYA



Menurut Kalam Hikmah ke 30 Imam Ibnu Athaillah Askandary:  

 
“Hendaklah orang yang diberi keluasan rezeki (yaitu orang yang telah sampai kepada Allah) memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya (yaitu orang yang tengah menuju Allah) hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya”

            Hendaklah orang yang diberi keluasan rezeki memberi nafkah menurut kemampuannya. Ini adalah gambaran tentang kondisi orang-orang yang telah sampai kepada Allah. Yakni orang-orang yang telah terbebas dari penjara pandangan keduniaan, dan telah sampai kepada alam tauhid dan kesempurnaan mata batin. Karena itulah, mereka dianugerahi rezeki berupa berbagai ilmu dan rahasia Ilahi serta pandangan yang luas dan jauh kedepan. Sehingga, merekapun dibebaskan untuk membantu orang lain, dengan mengajarkan ilmu dan pemahaman mereka, sekehendak hati mereka.

            Sementara itu, orang yang disempitkan rezekinya adalah orang-orang yang sedang menuju kepada-Nya. Mereka tidak diberi keluasan rezeki berupa ilmu dan pemahaman. Mereka masih terkungkung dalam ruang sempit khayalan dan imajinasi. Sekalipun demikian, mereka masih diperbolehkan menafkahkan karunia Allah berupa ilmu dan pemahaman yang sedikit itu kepada orang lain. Namun dengan catatan: sebatas apa yang Allah ajarkan kepada mereka.

SYARAH KITAB AL- HIKAM ATHAILLAH PROF. DR. MUHIBUDDIN WALY KE 30 : PEMURAH ADALAH CIRI KHAS HAMBA-HAMBA YANG SOLEH



SYARAH PROF DR MUHIBUDDIN WALY

Menurut Kalam Hikmah ke 30 Imam Ibnu Athaillah Askandary:  

“Orang-orang yang pemurah ini diredhai oleh Allah dalam setiap aktivitinya. Jika orang itu berilmu, ilmu yang diamal dan disampaikan diredhai oleh Allah. Jika orang itu berharta, harta yang diperolehi dan dibelanjakan diredhai oleh Allah”.

Harta dibelanjakan mengikut landasan syariat, untuk agama , untuk kemashlahatan ummah. Allah sentiasa beri peluang orang-orang dimurahkan rezeki ini untuk membelanjakan harta/wang yang diperolehi dijalan Allah, dan mereka inilah hamba Allah yang diredhai. Kita lihat dari zaman sahabat, bagaimana mereka membelanjakan harta yang mereka miliki untuk jalan agama. Mereka bekerja, berniaga untuk jadi kaya dengan niat untuk membantu agama Allah. Mereka kaya tetapi zuhud. Kaya itu tidak membuat hati mereka terpesona dengan dunia.

Bagaimana Syaidina Abu Bakar, Abdul Rahman bin Auf yang sangat kaya membelanjakan harta untuk jalan agama sehingga saat kematian mereka tidak ada apa yang ditinggalkan.

Begitu juga orang yang diberi peluang mempunyai ilmu, dengan ilmu ini mereka menyampaikan kepada orang ramai. Orang ini menjadi pemurah apabila ilmu itu disampaikan dengan harapan ramai orang jahil menjadi berilmu. Berilmu untuk berbakti kepada Allah.

Rasullulah pernah bersabda yang maksudnya, "Orang yang pemurah adalah hampir kepada Allah,hampir kepada manusia, hampir kepada Syurga, (tetapi) jauh dari Neraka. Orang bakhil jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari Syurga dan dekat pula dari Neraka. Orang jahil yang pemurah adalah lebih dicintai Allah dari orang yang banyak ibadah tetapi bakhil."

Hadis inilah yang mendorong hamba-hamba Allah yang soleh pada membelanjakan ilmunya dan hartanya ke jalan keredhaan Allah dan kesanggupan mereka.

Apa saja yang kita ada digunaka untuk berbakti kepada Allah. Umur yang panjang untuk berbakti kepada Allah dengan memanafaatkan umur itu dijalan yang Allah redhai. Tidak membiarkan umur itu dihabiskan hanya melakukan perkara yang sia-sia.

Ada orang yang pemurah dengan jiwa raga, bersedia mempergunakan jiwa raga untuk berbakti kepada Allah. (Jiwaraga =nyawa).

Jika Allah berikan kesehatan, maka gunaka kesehatan itu dijalan agama. Berbakti kepada Allah melalui kesehatannya. Jika ada kemahiran memasak, gunakan kemahiran memasakmitu untuk berbakti kepada Allah. Maka dengan kemahiran itu Allah beri peluang untuk berbakti kepadaNya.

Jika ada zuriat, dengan zuriat itu digunakan untuk berbakti kepada Allah. Memastikan zuriat yang dikurniakan ini akan dapat dipergunakan di jalan agama, tidak diabaikan amanah dengan membiarkan mereka terjebak melakukan kemungkaran dan menderhakai Allah.

Sungguh orang yang diberikan kemurahan rezeki ini pun diuji, ada masa rezeki banyak telah menyebabkan ia kedekut, lupa untuk mengeluarkan zakat, enggan bersedekah dan tidak mempergunakan rezeki yang dimiliki untuk berbakti kepada Allah.

Bagaimana untuk menjadi hamba yang berbakti kepada Allah? Dengan mujahadah. Dengan kesabaran, dengan berilmu. Tetap istiqomah dan tidak terpengaruh dengan nafsu syahwat yang cinta dunia.

Firman Allah, dalam surah At-Talaq ayat 7, "Hendaklah membelanjakan orang-orang yang mempunyai kekayaan dari kekayaannya, barangsiapa yang disempitkan rezekinya, hendaklah membelanjakan ia menurut apa yang diberikan Allah padanya. Allah tiada memberati diri seseorang, melainkan menurut yang dianugerahkan Allah kepadanya. Nanti Allah bakal mengadakan kemudahan sesudah kesukaran."

Kelapangan masa itu merupakan rezeki. Peluang menziarahi orang sakit itu rezeki. Membantu mereka yang uzur dan tidak berdaya juga rezeki yang Allah kurniakan kepada sesiapa yang terpilih. Peluang mengerjakan amal soleh juga rezeki.

Inilah yang dikatakan Maha Penyayangnya Allah dan memberikan peluang hambaNya menjadikan seseorang yang pemurah.

Allah berfirman, surah Al-Hadid, ayat 11, " Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) dia akan beroleh pahala yang besar!"

Dan mereka yang diberikan rezeki untuk mengerjakan amal soleh, Allah berjanji, dihari kiamat nanti bahawa orang beriman dan beramal soleh akan bergerak cepat dihadapan dan disebelah kanan dengan penuh cahaya.

Mahu?

"Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari kiamat): Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan, serta dikatakan kepada mereka): Berita yang menggembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar. ( al-Hadid, ayat 12)

SYARAH KITAB AL-HIKAM ATHAILLAH TO’ FAKIR AN- NASIRIN KE 30 : SEBARKAN KEBAIKAN MENGIKUT KEMAMPUAN



SYARAH TO’ FAKIR AN NASIRIN

Menurut Kalam Hikmah ke 30 Imam Ibnu Athaillah Askandary:  

“ HENDAKLAH BERBELANJA AKAN KEKAYAANNYA BAGI MEREKA YANG TELAH SAMPAI KEPADA ALLAH S.W.T DAN MENURUT KADAR KEMAMPUANNYA BAGI YANG SEDANG BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T”

Hikmat 30 di atas mengemukakan ujian kepada hati sejauh mana kekuatannya beriman, berserah diri dan yakin dengan janji Allah s.w.t. Ia juga menjadi pengukur pada tahap mana seseorang yang berjalan pada jalan kerohanian itu berada. Hikmat di atas menjurus khusus kepada harta kekayaan. Harta merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan harta untuk menanggung keperluan hidupnya, bahkan ibadat-ibadat seperti haji dan zakat perlu dilakukan dengan menggunakan harta. Sedekah juga memerlukan harta. Membuat kebajikan seperti mendirikan masjid, hospital, sekolah dan lain-lain juga memerlukan harta. Oleh kerana besarnya peranan harta kepada kehidupan manusia, maka kebanyakan daripada aktiviti manusia berkisar pada soal harta atau ekonomi. Pendidikan dan kemahiran disalurkan ke arah ekonomi. Kejayaan atau kegagalan dinilai melalui faktor ekonomi. Perhatian manusia sentiasa tertuju kepada soal ekonomi atau harta dalam membuat sesuatu keputusan.

 Apabila harta sudah bertapak dalam jiwa seseorang manusia akan menjual maruah dirinya kerana harta. Orang miskin sanggup diperkudakan oleh orang kaya kerana harta. Orang kaya sanggup melakukan rasuah dan penganiayaan kerana harta. Harta menjadi raja menguasai jiwa raga manusia. Segala sesuatu dinilai dengan harta. Persahabatan harus dibeli dengan harta. Kesetiaan juga perlu dibayar dengan harta.

Hikmat di atas menarik perhatian orang yang sedang berjalan pada jalan kerohanian agar memerhatikan hatinya, bagaimanakah hubungan hatinya dengan harta. Ia menyatakan bahawa orang yang telah sampai kepada Allah s.w.t dan memperolehi makrifat-Nya tidak seharusnya menyimpan harta, hendaklah dia membelanjakan ke jalan Allah s.w.t dan yakin dengan janji Allah s.w.t tentang rezekinya. Orang yang masih dalam perjalanan pula hendaklah membelanjakan ke jalan Allah s.w.t menurut kesanggupannya. Sejarah banyak menceritakan tentang sikap hamba-hamba pilihan Allah s.w.t terhadap harta.

 Saidina Abu Bakar as-Siddik r.a menyumbangkan kesemua hartanya untuk jihad fi-sabilillah, tidak ada satu dirham pun disimpannya. Bila Rasulullah s.a.w bertanyakan kepadanya mengapakah tidak ditinggalkan sedikit buat menguruskan keperluannya, beliau r.a menjawab, “Cukuplah Allah dan Rasulullah bagiku”.

 Abdul Rahman bin Auf yang terkenal dengan kekayaannya, mencari harta bukan untuk kepentingan dirinya tetapi untuk kegunaan menyebarkan agama Allah s.w.t. Salman al-Farisi ketika memegang jawatan amir, tidak mengambil gajinya, sebaliknya beliau menganyam daun kurma untuk dijadikan bakul dan tikar. Hasil anyamannya dijualnya dan apa yang diperolehinya dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu bahagian sebagai modal pusingan, satu bahagian buat belanja ahli rumahnya dan satu bahagian lagi disedekahkan kepada golongan miskin.

 Imam as-Syafi’e r.a sekembalinya ke Makkah dari Yaman telah dihadiahkan puluhan ribu wang emas. Sebelum memasuki kota Makkah beliau telah mendirikan sebuah khemah di luar kota. Dikumpulkan golongan fakir dan miskin dan disedekahkan kesemua wang yang diterimanya sebagai hadiah itu. Setelah kesemua wang itu habis disedekahkan baharulah beliau masuk ke kota Makkah.

Rabiatul Adawiah hanya menyimpan sehelai tikar yang usang sebagai sejadah dan sebiji kendi buat mengisi air untuk wuduknya. Beliau tidak menyimpan makanan untuk petangnya. Banyak lagi kisah aulia Allah s.w.t yang menggambarkan bahawa tidak sebesar zarah pun hati mereka terikat dengan harta. Mereka melihat pengidupan dunia ini hanyalah persinggahan sebentar, tidak perlu mengambil bekalan.

Bagi orang yang masih dalam perjuangan dan belum lagi sampai kepada Allah s.w.t, mereka tidak sanggup berbuat sebagaimana yang dilakukan oleh aulia Allah s.w.t. Sungguhpun begitu jika dibiarkan harta melekat pada hati akan membahayakan hati itu sendiri. Oleh itu biasakanlah berpisah daripada harta yang disayangi agar rohani akan menjadi lebih kuat dalam perjalanan menuju Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman:
Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. ( Ayat 7 : Surah at-Talaaq )

Oleh kerana bidang ekonomi merupakan salah satu fardu kifayah yang perlu diuruskan demi kesejahteraan dan kekuatan kaum muslimin, maka Allah s.w.t memilih dari kalangan kaum muslimin orang-orang tertentu yang dipermudahkan bagi mereka mengembangkan ekonomi mereka. Allah s.w.t bukakan bagi mereka pintu-pintu rezeki. Allah s.w.t kurniakan kepada mereka rezeki yang melimpah-ruah. Mereka seolah-olah berada dalam keadaan menadah bekas dan rezeki dicurahkan ke dalam bekas mereka.

 Orang yang menyedari harta kekayaannya adalah kurniaan Allah s.w.t, maka harta kekayaan itu menjadi ujian baginya. Orang yang tidak menyedarinya pula, maka harta kekayaan itu menjadi alat istidraj yang akan menghempapnya kelak. Baik ujian mahu pun istidraj, orang yang memikul harta sebenarnya memikul beban yang sangat berat. Golongan yang menghadapi hisab yang paling halus di akhirat kelak adalah mereka yang di dunia memikul harta.

 Walaupun memikul harta merupakan beban yang berat tetapi sebahagian kaum muslimin perlu mengambil tugas tersebut sebagaimana sebahagian kaum muslimin yang mengambil bidang jihad fi-sabilillah dan mati syahid di medan perang. Dari kalangan nabi-nabi juga ada yang memikul tugas yang berhubung dengan harta, misalnya Nabi Yusuf a.s, Nabi Sulaiman a.s dan Nabi Daud a.s. Al-Quran menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s:
Dia (Yusuf) berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); kerana sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”. ( Ayat 55 : Surah Yusuf )

Nabi Yusuf a.s mengetahui sifat dirinya dan kebolehan yang ada dengannya. Beliau a.s telah menjalani kehidupan yang membuatkan harta tidak sedikit pun menguasai hatinya. Beliau a.s juga mengetahui kebolehan menguruskan harta yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya. Demi kebaikan orang ramai Nabi Yusuf a.s menawarkan dirinya kepada raja untuk memegang jawatan pengurus harta kekayaan kerajaan Mesir. Raja bersetuju dengan permintaan Nabi Yusuf a.s itu dan beliau a.s membuktikan kewibawaan dan kebijaksanaan beliau a.s dalam bidang tersebut.

 Nabi Sulaiman a.s juga menguruskan kekayaan dan kekuasaan. Beliau a.s mempunyai sifat-sifat yang terpuji. Allah s.w.t memanggil hamba-Nya, Sulaiman a.s, sebagai sebaik-baik hamba. Nabi Yusuf a.s dan Nabi Sulaiman a.s menguruskan kekayaan dan kekuasaan atas dasar kehambaan kepada Allah s.w.t.
Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman; ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat). ( Ayat 30 : Surah Saad )

Nabi Sulaiman a.s  bermohon kepada Allah s.w.t agar dikurniakan kepada beliau a.s kerajaan yang besar. Kedua-dua mereka, Nabi Yusuf a.s dan Nabi Sulaiman a.s, meminta untuk menguruskan bidang berkenaan. Ternyata bahawa orang yang boleh menguruskan dengan adil bidang berkenaan adalah orang yang benar-benar mengenali dirinya, mempunyai keyakinan yang teguh, hati yang bulat dan sifat kehambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah s.w.t.
Dia (Sulaiman) berkata: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah Kurnia-Nya”. ( Ayat 35 : Surah Saad )

 Sesiapa yang ditakdirkan menguruskan bidang kekayaan dan kekuasaan perlulah menjalankan amanah Allah s.w.t itu atas dasar kehambaan kepada-Nya dengan sebaik mungkin.

SYARAH KITAB AL- HIKAM ATHAILLAH USTAZ BARI KE 30 : KELEBIHAN ORANG SAMPAI KEPADA ALLAH....



SYARAH USTAZ BARI

Menurut Kalam Hikmah ke 30 Imam Ibnu Athaillah Askandary:  

" HENDAKLAH ORANG YANG MEMILIKI KELUASAN MENDERMAKAN SEBAHAGIAN DARI KEKAYAANNYA - IAITU ORANG YANG SAMPAI KEPADA ALLAH, DAN ORANG YANG TERBATAS REZEKINYA - IAITU ORANG YANG SEDANG BERJALAN MENUJU ALLAH "

Pelajaran yang boleh diambil dari hikmah ini .
Orang yang telah dekat dengan Allah swt yang mengenal Allah tanpa perlu bukti dari makhluk-makhluk Nya berkewajipan untuk melaksanakan hak-hak Allah swt dengan sempurna , dia juga berkewajipan mengajak orang lain untuk bersama-sama menanam dan memupuk kecintaan kepada Allah swt , ia berkewajipan menginfakkan ilmu dan hikmah yang telah Allah kurniakan kepadanya.

Orang yang sedang berjalan menuju Allah , yang sentiasa berusaha untuk menghilangkan debu-debu hawa nafsu yang mengotori hati dan perbuatannya , debu-debu yang sering menjauhkan mereka dari jalan Allah swt, orang yang terkadang diselimuti oleh keraguan namun terus berjuang , terus belajar , mencuba mencari bukti kebenaran ayat-ayat Allah , berusaha untuk tetap berjalan di jalan Allah.

Orang yang sedang berjalan menuju Allah juga berkewajipan mendermakan ilmu dan hikmah yang mereka dapatkan kepada orang lain , walaupun sedikit yang mereka mileki , kerana jalan menuju Allah bukanlah jalan yang boleh dilalui dengan persendirian , jalan menuju Allah adalah :
   
" Jalan orang-orang yang telah Engkau kurniai nikmat "

Jalan menuju Allah adalah jalan para nabi , para siddiqin , para syuhada , dan jalan orang-orang yang soleh , jalan menuju Allah adalah jalan kita bersama.