Diriwayatkan
oleh Ibnu Abi Hatim dalam kitab Tafsir: “Bercerita kepadaku ayahku, yang
didengarnya dari Abdul Aziz Al-Ausiy, dari Ali bin Abu Ali, dari Jakfar bin
Muhammad bin Ali bin Husain, dari ayahnya, katanya Ali bin Abi Talib berkata: “Ketika
wafat Rasulullah SAW, datanglah ucapan takziah. Datang kepada mereka (keluarga
Nabi SAW) orang yang memberi takziah. Mereka mendengar orang memberi takziah
tetapi tidak melihat orangnya.
Bunyi suara itu begini:
‘Assalamu Alaikum Ahlal Bait Warahmatullahi Wabarakatuh.
Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Hanyasanya disempurnakan pahala kamu
pada hari kiamat. Sesungguhnya dalam agama Allah ada pemberi takziah bagi
setiap musibah, bagi Allah ada pengganti setiap ada yang binasa, begitu juga
menemukan bagi setiap yang hilang. Kepada Allah-lah kamu berpegang dan
kepada-Nya mengharap. Sesungguhnya orang yang diberi musibah adalah yang diberi
ganjaran pahala.”
Berkata Jakfar: “Bercerita kepadaku ayahku bahawa Ali bin
Abi Talib ada berkata: “Tahukah kamu siapa ini? Ini adalah suara Nabi
Khidir.” Berkata Muhammad bin Jakfar: “Adalah ayahku, iaitu Jakfar bin
Muhammad, menyebutkan tentang riwayat dari ayahnya, dari datuknya, dari Ali bin
Abi Talib bahawa datang ke rumahnya satu rombongan kaum Quraisy kemudian dia
berkata kepada mereka: “Mahukah kamu aku ceritakan kepada kamu tentang Abul
Qasim (Muhammad SAW)?”
Kaum Quraisy itu menjawab: “Tentu sahaja mahu.”
Ali bin Abi Talib berkata: “Jibril
Alaihis salam pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Selamat sejahtera ke atas
kamu wahai Ahmad. Inilah akhir watanku (negeriku) di bumi. Sesungguhnya hanya
engkaulah hajatku di dunia.” Maka tatkala Rasulullah SAW wafat, datanglah orang
yang memberi takziah, mereka mendengarnya tetapi tidak melihat orangnya. Orang
yang memberi takziah itu berkata: “Selamat sejahtera ke atas kamu wahai ahli
bait. Sesungguhnya pada agama Allah ada pemberi takziah setiap terjadi musibah,
dan bagi Allah ada yang menggantikan setiap ada yang binasa. Maka kepada
Allah-lah kamu berpegang dan kepada-Nya mengharap. Sesungguhnya orang yang
diberi musibah adalah yang diberi ganjaran pahala.” Mendengar yang demikian Ali
bin Abi Talib berkata: “Tahukah kamu siapa yang datang itu? Itu adalah Khidir.”
Berkata Saif bin Amr At-Tamimi dalam kitabnya
Ar-Riddah, yang diterimanya dari Sa’id bin Abdullah, dari Ibnu Umar mengatakan:
“Ketika wafat Rasulullah SAW, datanglah Abu Bakar
ke rumah Rasulullah. Ketika beliau melihat jenazah Rasulullah SAW, beliau
berkata: “Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun.” Kemudian beliau bersama
sahabat-sahabat yang lain menyembahyangkan jenazah Rasulullah SAW. Pada waktu
mereka menyembahyangkan jenazah Rasulullah SAW, mereka mendengar suara ajaib.
Selesai solat dan mereka pun semuanya sudah diam, mereka mendengar suara orang
di pintu mengatakan: “Selamat sejahtera ke atas kamu wahai Ahli Bait. Setiap
yang bernyawa akan merasakan kematian. Hanyasanya disempurnakan pahala kamu
pada hari kiamat. Sesungguhnya pada agama Allah ada pengganti setiap ada yang
binasa dan ada kelepasan dari segala yang menakutkan. Kepada Allah-lah kamu
mengharap dan dengan-Nya berpegang. Orang yang diberi musibah akan diberi
ganjaran. Dengarlah itu dan hentikan kamu menangis itu."
Mereka melihat ke arah suara itu tetapi tidak
melihat orangnya. Kerana sedihnya mereka menangis lagi. Tiba-tiba terdengar
lagi suara yang lain mengatakan: “Wahai Ahli Bait, ingatlah kepada Allah dan pujilah Dia
dalam segala hal, maka jadilah kamu golongan orang mukhlisin. Sesungguhnya
dalam agama Allah ada pemberi takziah setiap terjadi musibah, dan ada pengganti
setiap ada yang binasa. Maka kepada Allah-lah kamu berpegang dan kepada-Nya
taat. Sesungguhnya orang yang diberi musibah adalah orang yang diberi pahala.”
Mendengar yang demikian itu berkata Abu Bakar: “Ini adalah Khidir dan Ilyas.
Mereka datang atas kematian Rasulullah SAW.”
Berkata Ibnu Abu Dunia, yang didengarnya dari
Kamil bin Talhah, dari Ubad bin Abdul Samad, dari Anas bin Malik, mengatakan: “Sewaktu Rasulullah SAW meninggal dunia, berkumpullah
sahabat-sahabat beliau di sekeliling jenazahnya menangisi kematian beliau.
Tiba-tiba datang kepada mereka seorang lelaki yang bertubuh tinggi memakai kain
panjang. Dia datang dari pintu dalam keadaan menangis. Lelaki itu menghadap
kepada sahabat-sahabat dan berkata: “Sesungguhnya dalam agama Allah ada pemberi
takziah setiap terjadi musibah, ada pengganti setiap ada yang hilang.
Bersabarlah kamu kerana sesungguhnya orang yang diberi musibah itu akan diberi
ganjaran.”
Kemudian lelaki itu pun menghilang daripada
pandangan para sahabat. Abu Bakar berkata: “Datang ke sini lelaki yang memberi
takziah.” Mereka memandang ke kiri dan kanan tetapi lelaki itu tidak nampak
lagi. Abu Bakar berkata: “Barangkali yang datang itu adalah Khidir, saudara
nabi kita. Beliau datang memberi takziah atas kematian Rasulullah SAW.”
Dari tadi sudah banyak kita lihat ucapan-ucapan
takziah yang hampir sama kata-katanya. Ada yang mengatakan hadis ini daif. Ubad
yang meriwayatkan hadis ini tidak diiktiraf oleh Imam Bukhari.
Berkata Ibnu Syahin dalam kitabnya Al-Jana’iz: “Bercerita kepada kami Ibnu Abu Daud, dari Ahmad
bin Amr, dari Ibnu Wahab, dari Muhammad bin Ajlan, dari Muhammad bin Mukandar,
berkata: “Pernah pada suatu hari Umar bin Khattab menyembahyangkan jenazah,
tiba-tiba beliau mendengar suara di belakangnya: “Ala, janganlah duluan dari
kami mengerjakan solat jenazah ini. Tunggulah sudah sempurna dan cukup orang di
belakang baru memulakan takbir.” Kemudian lelaki itu berkata lagi: “Kalau
engkau seksa dia ya Allah, maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada-Mu.
Tetapi kalau Engkau mahu mengampuni dia, maka dia betul-betul mengharap
keampunan daripada-Mu.” Umar bersama sahabat-sahabat yang lain sempat juga
melihat lelaki itu. Tatkala mayat itu sudah dikuburkan, lelaki itu masih
meratakan tanah itu sambil berkata: “Beruntunglah engkau wahai orang yang
dikuburkan di sini.”
Umar bin Khattab berkata: “Tolong bawa ke sini lelaki yang bercakap
itu supaya kita tanya tentang solatnya dan maksud kata-katanya itu.” Tiba-tiba
lelaki itu pun sudah menghilang dari pandangan mereka. Mereka mencari ke arah
suaranya tadi tiba-tiba mereka melihat bekas telapak kakinya yang cukup besar.
Umar bin Khattab berkata: “Barangkali yang datang itu adalah Khidir yang pernah
diceritakan oleh Nabi kita Muhammad SAW.”
Ada juga yang mengatakan hadis ini tidak sahih. Kata Ibnu al-Jauzi hadis ini majhul (tidak dikenal) dan dalam sanadnya ada yang terputus di antara Ibnul Mukandar dengan Umar.
Ada juga yang mengatakan hadis ini tidak sahih. Kata Ibnu al-Jauzi hadis ini majhul (tidak dikenal) dan dalam sanadnya ada yang terputus di antara Ibnul Mukandar dengan Umar.