Catatan Popular

Sabtu, 27 Januari 2018

KU HIDUPKAN KITAB KASHF AL MAHJUB (AL HUJWIRI) : BAB 12 SUFI-SUFI TERKEMUKA - 1] ANEKDOT HABIB AL-`AJAMI

OLEH IMAM Al-HUJWIRI

BAB 12 SUFI-SUFI TERKEMUKA

1 ANEKDOT HABIB AL-`AJAMI

Telah kita sebut berulang kali bahawa tasawuf mempunyai hubungan yang rapat dengan seni. Pegalaman tasawuf antaranya melalui jalur seni. Seni  juga digunakan bagi menyampaikan mesej tasawuf. Ini ialah kerana pengalaman dan jiwa seni sedikit sebanyak ada dalam jiwa seseorang.  Lantaran itu penggunaan medium seni menjadi salah satu cara berkesan bagi penyampaian aspek-aspek kesufian yang dapat diterima. Elimen seni ini  sama ada menggunakan puisi dan kehalusan bahasa yang lain.
Dalam menceritakan tentang tokoh-tokoh, Al-Hujwiri tidak seperti Al-Qushairy  menampilkan tokoh dan persoalan dengan ayat Al-Qur`an, Al-Hadith dan pendapat-pendapat tokoh-tokoh sufi mengenai sesuatu topik, tapi Al-Hujwiri selain menggunakan info biasa, dia menggunakan kaedah cerita, iaitu cerita ringkas yang dikenali dengan anekdot.
Bagi menggunakan kaedah anekdot ada beberapa keperluan. Antaranya:
1)      Ada cerita.
2)      Ada tema
3)      Ada watak
4)      Ada  konflik
5)      Ada peleraian
6)      Ada perutusan
7)      Ada pengajaran

Sebagai contoh tokoh pertama bagi `Imam Selepas Generasi Tabi`in, iaitu: Habib al-`Ajam.
Cerita Habib al-`Ajam (al-`ajam orang bukan `Arab)  ialah seorang jahat yang melakukan berbagai kejahatan dan juga seorang pemakan riba. Dengan kejahatannya meyebabkannya dipenjara. Insaf di atas kesalahannya dia bertaubat dan melakukan suruhan Allah termasuk bersolat. Taubatnya adalah merupakan taubat nasuha.
Pada satu hari Hasan Basri, tokoh `ulama` dan sufi melintasi gerobok  yang dihuni oleh Habib al-`Ajam, ketika itu dia sedang solat. Habib sebagai seorang bekas banduan menyebabkan Hasan  tidak berminat untuk bersolat dengannya.  Ertinya ada pandangan rendah terhadap banduan yang benar-benar insaf itu.
Pada malamnya Hasan Basri bermimpi yang dia memohon keredhaan dari Allah di atas segala amalnya.  Dalam mimpinya itu, dia diperingatkan, bahawa dia memang mendapat keredhaan Allah, tapi sekiranya dia tidak bersikap  dengan memandang rendah terhadap Habib al-`Ajam, tingkat keredhaannya lebih tinggi.
Banduan yang telah insaf dan bertaubat nasuha lebih murni dan bersih di sisi Allah, ironinya sebagai puncak dari penceritaan, bahawa Hasan Basri suatu hari telah diburu oleh pegawai-pegawai Hajjaj bin Yusof seorang governor yang terkenal kejam pada zaman Kerajaan Umayyah, dikatakan untuk menyelamatkan diri dia menyelinap masuk ke dalam gerobok yang dihuni oleh Habib, apabila pegawai-pegawai Hajjaj datang mencarinya, mereka bertanya Habib tentang Hasan Basri, Habib memberitahu yang dia di dalam biliknya, tetapi apabila pegawai-pegawai itu memeriksa di dalamnya, tidak diketemui Hasan, akibatnya Habib dipukul oleh pegawai-pegawai Hajjaj, kerana dianggap bercakap dusta. Tetapi selepas mereka berlalu, mereka tidak berpuashati dan datang semula menggelidah bilik bagi mencari Hasan Basri, tetapi mereka tidak menemui Hasan. Selepas mereka pergi, Hasan mengatakan kepada Habib, bahawa pegawai-pegawai tidak nampak diri, kerana barakah Habib. Tetapi Habib menjawab,
``Ianya bukan barakah dari dirinya, tetapi mereka tidak melihat Guru, kerana Allah tidak memberi mereka melihat  !``
Apabila ditanya, apa yang menyebabkan dirinya terlindung ?, maka katanya, `Kerana mereka tidak bersifat munafik ! Dan redha dengan ketentuan Allah.
Di dalam anekdot di atas ada terdapat cerita yang berlegar  tentang Habib al-`Ajam, sebagai watak jahat yang telah insaf, patuh  kepada Allah dan penuh penyerahan kepadaNya.
Di alam cerita ada tema yang boleh disebut sebagai `Taubat Nasuha, atau Allah Menolong Orang Yang Benar, Karamat Sufi dan sebagainya selagi sesuai.
Di dalam cerita di atas watak utama ialah Habib al-A`jam, ianya menjadi judul anekdot dan watak kedua ialah Hasan Basri. Mereka adalah watak-watak baik. Terdapat watak jahat yang disebut secara sepintas lalu ialah Hajjaj bin Yusof dan pegawai-pengawai.
Konflik yang menjadi permasalahan, bahawa Hasan Basri yang mau ditangkap hilang dari penglihatan. Ianya mejadi tanda tanya. Akibatnya Habib menjadi mangsa dipukul.
Peleraian cerita, mereka selamat kerana benar dan tidak munafik dan Allah berpihak kepada pihak yang benar.
Perutusan dan pengajaran yang dapat diambil;
Jangan memandang rendah terhadap bekas orang jahat yang telah benar-benar insaf. Jiwanya mungkin lebih murni dari orang biasa.
Peyerahan sepenuhnya kepada Allah mendapat pertolongan dari Allah.
Allah berpihak kepada orang yang baik dan ikhlas.
Kejahatan yang dilakukan orang (Hajjaj) kekal dalam sejarah dan ingatan sebagai pengajaran.
 Jangan dusta dan munafik.
Ada barakah pada orang-orang `alim dan sufi.

Dan pengajaran-pengajaran lain yang dapat diambil iktibar dan kesimpulan.

KU HIDUPKAN KITAB KASHF AL MAHJUB (AL HUJWIRI) : BAB 11 IMAM GENERASI SELEPAS TABIIN

OLEH IMAM Al-HUJWIRI

BAB 11 IMAM GENERASI SELEPAS TABIIN       

Salah satu pendekatan di dalam  penulisan kitab-kitab tasawuf ialah mengisi sebahagian daripada kandungannya   ialah dengan membicarakan tokoh-tokoh tasawuf sebagai bab di dalam penulisan kitab berkenaan.

Ini sebagaimana dilakukan oleh Abu al-Qasim `Abd al-Karim bin Hawazin di dalam kltabnya yang berjudul Al-Risalat al-Qushairiyyah, iaitu dengan membicarakan seramai 83 tokoh sufi. Kitab Kashfu al-Mahjub oleh Al-Hujwiri juga mengisi sebahagian  tokoh daripada kandungan kitab  Kashf al-Mahjub. Misalnya selepas membicarakan tentang imam-imam dari kalangan  para sahabat Nabi, Imam dari kalangan Ahl al-Bayt,  imam dari kalangan tabi`ian, maka dibicarakan para imam selepas dari generasi tabi`in. Jika Al-Qushairy membicarakan seramai 83 orang, maka Al-Hujwiri membicarakan seramai 64 orang. Memandangkan bahawa Al-Qushairy  mensenaraikan seramai  83 orang dan  Al-Hujwiri mensenaraikan serama 64 orang, kita menjangkakan sebahagian besar dari tokoh-tokoh yang dibicarakan adalah bersamaan, lantaran mereka sezaman Al-Qushairy meninggal (m. 465H.) dan Al-Hujwiri (m.456H.), tetapi ternyata tidak semua tokoh yang disenaraikan oleh Al-Hujwiri tidak banyak bersamaan di dengan Al-Risalat al-Qushairiyyat yang lebih panjang. Kelainan ini mungkin tempat mereka berlainan, Al-Qushairy berasal dari Naisabur, manakala Al-Hujwiri dari Ghaznawi.

Pendekatan dan pengajian mungkin berlainan. Walau bagaimana sebahagian dari tokoh adalah  bersamaan. Sebagai perbandingan diperturunkan nama-nama yang bersamaan:

Bersamaan Di dalam Al-Risalat Al-Qushairiyyah dan Kashf al-Mahjub)

1.       Abu Ishaq Ibrahim bin Adham bin Mansur
2.       Bishr bin Harith al-Hafi
3.       Abu Yazid Thaifur bin `Isa al-Bistami
4.       Abu `Abdullah al-Harith bin Asad al-Muhasibi
5.       Abu Sulaiman bin Da`wud bin Nusair al-Ta`i
6.       Abu Hasan Sari bin Mughallis al-Saqati
7.       Abu Mahfuz Ma`ruf bin Firuz al-Karkhi
8.       Abu `Abdul Rahman Hatim bin `Ulyan al-Asamm
9.       Abu Hasan Ahmad bin Abi al-Hawari
10.   Abu Hamid Ahmad bin Khadhrawayh al-Balkhi
11.   Abu `Abdullah Ahmad bin `Asim al-Antaki
12.   Abu Muhammad `Abdullah bin Khubaiq
13.   Abu al-Qasim al-Junayd bin Muhammad bin al-Junayd al-Baghdadi
14.   Abu `Abdullah Ahmad bin Yahya al-Jalla
15.   Abu Muhammad Ruym bin Ahmad
16.   Abu Hasan Samnun bin `Abdullah al-Khawwas
17.   Abu Muhammad Sahl bin `Abdullah al-Tustari
18.   Abu Muhammad `Abdullah Muhammad bin al-Fadhl al-Balkhi
19.   Abu `Abdullah Muhammad bin `Ali al-Tirmidzi
20.   Abu Sa`id  Ahmad bin `Isa al-Kharraz
21.   Abu Hasan Muhammad bin Isma`il al-Khayr al-Nasaj
22.   Abu Hamzah al-Khurasani
23.   Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad al-Khawass
24.   Abu Bakr Muhammad bin Musa al-Wasiti
25.   Abu Bakr bin Dulaf bin Jahdar al-Shibli
26.   Abu Muhammad bin al-Qasim al-Radzbari

Berlainan (Tiada dalam Al-Qushairy)

1.       Habib  al-`Ajami  
2.       Malik bin Dinar
3.       Abu Halim Habib bin Salim al-Ra`i
4.       Abu Hazim al-Madani
5.       Muhammad bin Wasi
6.       Abu Hanifah Nu`man bin Thabit al-Kharaz
7.       `Abdullah bin  Mubarak al-Marwazi
8.       Abu `Ali al-Fudhayl bin `Iyadh
9.       Abu al-Faydh Dzu al-Nun bin Ibrahim, al-Misri
10.   Abu `Ali Shaqiq bin Ibrahim al-Azdi
11.   Abu Sulaiman `Abdul Rahman bin `Atiyyah al-Darani
12.   Abu `Abdullah Muhammad bin Idris al-Shafi`e
13.   Imam Ahmad bin Hanbal
14.   Abu Turab `Askar bin al-Husain al-Nakhshabi al-Nasafi
15.   Abu Zakariyya Yahya bin Mu`adz al-Razi
16.   Abu Hafs `Amr bin Salim al-Nishafur al-Haddadi
17.   Abu Salah Hamdun bin Ahmad bin `Umar al-Qassar
18.   Abu Sari Mansur bin `Ammar
19.   Abu al-Hasan  Ahmad bin Muhammad al-Nuri
20.   Abu `Uthman Sa`id bin Isam`il al-Hiri
21.   Abu Ya`qub Yusuf bin al-Husain al-Razi
22.   Abu Fawaris Shah Shuja` al-Kirmani
23.   `Amr bin `Uthmanal-Makki
24.   Abu Bakr Muhammad bin `Umar al-Waraq
25.   Abu al-Hasan `Ali bin Muhammad al-Is*fahani
26.   Abu al-`Abbas Muhammad bin Mashruq
27.   Abu ~Abdullah Muhammad bin Isma`il al-Maghribi
28.   Abu `ali al-Hasan  al-Juzaja ni
29.   Abu Muhammad Ahmad bin al-Husain al-Jurayri
30.   Abu al-`Abbas Ahmad bin Muhammad bin Sahl al-Amuli
31.   Abu al-Mughith al-Husain bin Mansur al-Hallaj
32.   Abu Hamzah al-Baghdadi al-Bazzaz
33.   Abu Muhammad Ja`far bin Nusairal-Khuldi
34.   Abu al-`Abbas Qasim bin al-Mahdi al-Sayyari
35.   Abu `Abdullah Muhammad bin Khafif
36.   Abu `Uthman Sa`id bin Sallam al-Maghribi
37.   Abu  Qasim Ibrahim bin Muhammad bin Mahmud al-Nasr Abadzi
38.   Abu al-Hasan `Ali bin Ibrahim al-Hashri

Demikianlah dari jumlah 64 tokoh sufi disenaraikan oleh Al-Hujwiri di dalam Kafhf al-Mahjub hanya  26 bersamaan dengan Al-Qushairy di dalam Al-Risalat al-Qushairiyyah, manakala yang lain, yakni 38 tidak bersamaan.

Ini bermakna lebih banyak maklumat baru tentang tokoh didapati dari Al-Hujwiri. Walau bagaimana dari yang bersamaan, maklumat baru juga dapat dimanfaatkan melalui pendekatan yang setengahnya berlainan dari apa yang telah dibicarakan oleh Al-Qushairi di dalam al-Risalat al-Qushairiyyahnya.
Namun lebih banyak maklumat boleh di dapati dari kitab-kitab tabaqat seperti Tabaqat al-Nussak oleh Abu Sa`id al-A`rabi, Tabaqat al-Sufiyyah oleh `Abdul Rahman al-Sulami (m. 421H.) dan Tabaqat oleh `Abdul Wahhab al-Sha`rani.
Namun semua kitab-kitab di atas membantu menambahkan maklumat tentang tokoh-tokoh sufi.



KU HIDUPKAN KITAB KASHF AL MAHJUB (AL HUJWIRI) : BAB 10 EMPAT SUFI KALANGAN TABIIN

OLEH IMAM Al-HUJWIRI

BAB 10 EMPAT SUFI KALANGAN TABIIN

Jika bilangan sahabat begitu ramai dan tidak diketahui jumlah mereka secara  tepat, maka jumlah tabi`in tentulah lebih ramai lagi. Dari jumlah ini pun sukar untuk dipastikan berapa ramai  sufi dari kalangan  tabi`in. Pada  peringkat awal tidak dipastikan tentang konsep kesufian , kerana ilmu ini belum lahir pada peringkat permulaan. Ianya tumbuh danberkembang selepas abad ke 2 H.  Ini tidak bereerti tidak ada sufi, sebenarnya  lebih ramai lagi pada peringkat tabi`in. Mereka tentulah tidak sukar untuk dikenalpasti, tapi Al-Hujwiri ,
memilih empat saja sebagai mewakili peringkat tabi`in. Mereka ialah `Uwais al-Qarni, Harim bin Hayyan, Hasan Basri dan Sa`id al-Musayyib.

Mereka ini dapat dikatakan mencapai peringkat wali.

1)       `Uwais al-Qarni

`Uwais al-Qarni dapat dikatakan watak mistri. Beliau dikatakan hidup pada zaman Rasulullah s..a.w. tetapi tidak bertemu dengan Rasulullah. Beliau dapat dikatakan sebagai `terasing dari dunia luar` oleh kerana konsentrasi diri dengan ibadat dan kerohanian dan juga tumpuan kepada menjaga ibunya yang telah tua.
Beliau dikenali lantaran Rasulullah s.a.w. memberitahu sahabat Baginda dan menyebut namanya seorang yang tinggal di Qaran, namanya `Uwais yang pada hari kiamat kelak dapat sama memberi shafaat. Rasulullah s.a.w.   bersabda kepaada Sayyiduna `Umar dan `Ali bahawa mereka  akan melihatnya, bahawa dia seorang  yang faqir, tapi kuat beribadat. Sesudah   wafatnya Rasulullah, Sayyiduna `Umar  dan `Ali ke Makkah dan mencari orang yang bernama `Uwais berkenaan di Qaran di kawasan Najd. Di tempatnya dia dikenali sebagai seorang gila. `Umar dan `Ali menemuinya sedang dia bersolat.   `Umar dan `Ali diberitahu oleh `Uwais, bahawa kita perlu bersolat  untuk bersiap  diri bagi perpindahan ke akhirat. Bila diketahui Rasulullah s,a,w. memuji `Uwais ramai yang datang untuk menziarahinya di Qaran.
  Tetapi  kemudian  didapati dia telah berpindah ke Kufah. Pernah sekali dia diketemui di sana. Dia berjuang di sana bagi membela Sayyiduna `Ali dalam peperangan di Siffin dan gugur syahid.

2)       Harim Bin Hayyan

Juga berwatak mistri dan rohani. Dia mempunyai kaiatan peristiwa dengan `Uwais al-Qarni. Dia tertarik dengan watak dan cerita yang berhubung dengan Uwais yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. Dia berusaha pergi ke Qaran tempat asal `Uwais, tetapi setibanya di Qaran, dia diberitahu bahawa `Uwais telah berpindah. Dia kembali ke Makkah dan dia diberitahu, bahawa `Uwais telah berpindah ke Kufah, lalu dia  ke Kufah dan tidak diketemui, kemudian ia ke Basrah, ditakdirkan dia bertemu di jalanan dilihat  dia berbaju bulu dan berkesempatan  dilihat  dia sedang berwudhu` di Sungai Furat.  Harim terkejut apabila dia ditegur `Uwais dengan namanya dan dia bertanya bagaimana dia mengetahui namanya, katanya, Rohku mengenali rohmu.``
Ada dua prinsip `Uwais mengenai hati,
Iaitu menjaga hati dengan taat kepada Allah dan mengawasi dari nafsu. Dan kedua , peliharakan hatimu, kerana dia adalah jalan bagimu mendekati Ilahi. Selepas itu dia tidak diketemui lagi.

3)       Hasan Basri

Nama sebenarnya Abu `Ali  juga dikenali sebagai Abu Muhammad dan juga Abu Said. Dianggap mewarisi kerohanian dari Rasulullah yang mana dia dari turunan orang suruhan Rasulullah yang setia dan patuh. Hasan Basri dianggap tokoh yang mempertahankan aliran Sunni yang sengit ditentang oleh pendukung Qadariyyah-Jabariyyah-Mu`tazilkah yang dikaitkan dengan tokoh Wasil bin `Ata`.
Hasan Basri terkenal sebagai seorang yang wara` dan dia disanjung oleh golongan sufi dengan ciri-ciri kerohaniannya yang tinggi.
Hasan Basri juga memperkatakan tentang sabar.
Menurutnya sabar ada dua aspek:
Sabar biasa seperti sabar dari kesempitan hidup, sabar kerana mengalami kemalangan dan musibah yang mengajar manusia supaya berwaspada dalam hidup dan menjadi panduan di dalam kehidupan.
Sabar kedua ialah sabar terhadap suruhan Allah dan laranganNya, iaitu seperti sabar dari melakukan perkara-perkara yang haram seperti memakan perkara yang haram yang merosakkan kebersihan diri dan  juga hati. Dengan menjaga diri dari perkara-perkara haram, memudahkan diri mentaati perintah Allah. Mematuhi perintah Allah, tidak lain dari melakukan perkara-perkara yang baik, maka dengan demikian melatih dan melazimkan diri dengan perkara yang  menjadikan diri baik. Kebaikan memberi kesan kepada kehidupan keluarga dan memberi kebaikan dalam hubungan dengan masyarakat.
Pendek kata Hasan Basri berprinsip, bahawa bergaul dengan orang yang baik menatijahkan kebaikan dan sebaliknya bergaul dengan orang yang jahat menatijahkan kejahatan.

4)       Sa`id al-Musayyib

Dia adalah seorang salih dan beramanah, turut sama  meriwayat dan menjadi rawi bagi Hadith Rasulullah s.a.w.  Sa`id al-Musayyib mengingatkan diri kita agar berwaspada dari sifat tamak. Beliau berkata,
Biarlah sedikit dari habuan dunia, asalkan diri selamat, sebaliknya janganlah jadi tamak dengan dunia hingga menghilangkan agama.
Sa`id al-Musayyab ketika di Makkah telah ditanya seseorang untuk memeberitahu sesuatu yang halal yang tidak ada sama sekali di dalamnya haram. Beliau menjawab, ialah tahmid atau memuji Tuhan yang di dalamnya sama sekali tidak ada yang haram, sebaliknya memuji dan memuja yang lain dari Tuhan boleh membawa kepada syirik kepada Tuhan. Katanya, ``Keselamatanmu berada pada yang pertama (Tuhan)  dan tidak ada pada yang lain``.


KU HIDUPKAN KITAB KASHF AL MAHJUB (AL HUJWIRI) : BAB 9 KALANGAN AHLU AL SUFFAH

OLEH IMAM Al-HUJWIRI

BAB 9 KALANGAN AHLU AL-SUFFAH TELADAN KESUFIAN

Salah satu istilah yang dikaitkan dengan tasawuf ialah `Al-Suffah`, bermaksud `Anjung`, ya`ni anjung Masjid Madinah atau Masjid Nabawi. Pada peringkat permulaan Hijratul Rasul dari Makkah ke Madinah, tumpuan Rasulullah ialah mendirikan masjid, khususnya Masjid  Nabawi yang menjadi pusat ibadat, pentadbiran dan kegiatan kemasyarakatan. Pada peringkat permulaan Hijrah ini, ramai dari para sahabat yang datang tanpa harta dan persediaan bagi menetap pada tempat perpindahan baru. Mereka datang atas nama jihad dan kerana Allah.

Pada peringkat permulaan ini, mereka tidak mempunyai tempat tinggal atau sebarang tempat perlindungan. Tumpuan mereka  pada peringkat permulaan ialah berlindung di Masjid Madinah yang agak terhad keluasannya. Jumlah mereka sebagaimana disebut oleh Al-Sarraj dalam Al-Luma` dalam lingkungan 300 (tiga ratus) orang (al-Luma`, 1380H./1960M. 183). Mereka adalah disifatkan sebagai fuqara` yang hidup sehelai sepinggang. Tumpuan mereka adalah beribadat dan mendekati diri mereka kepada Allah. Dengan sifat Ahlu al-Suffah yang faqir, kuat ibadat dan mendekati Allah ini benar-benar melambangkan jiwa kesufian dan istilah `al-suffah` mempunyai kaiatan dengan istilah tasawuf.
Kedudukan mereka yang agak ramai dan merimaskan serta dengan bau tidak menyenangkan, membuat setengah pihak rasa tidak senang dengan mereka. Namun Allah berfirman berhubung dengan mereka, ayat yang bermaksud:
``Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdo`a kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka kehendaki keredhaan semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab  sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hubungan ilmu, maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari golongan orang-orang yang zalim.`` (Al-An`am: 52).

Adalah Rasulullah s.a.w. bermesra dengan mereka, bahkan duduk bersama mereka dan makan bersama mereka,  menggalakkan orang ramai memuliakan mereka  dan mengenali kelebihan mereka itu.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa katanya, ``Aku melihat tujuh puluh orang daripada Ahlu al-Suffah, mereka bersolat dengan baju yang tidak sampai melitupi dua lutut mereka, apabila ruku` salah seorang daripada mereka  memegang dengan dua tangannya takut terbuka auratnya.
Berkata Abu Musa al-Ash`ari r.a. ``Adalah menyerupai bau kita seperti bau biri-biri yang memakai selubung.``

Dan berkata `Abdullah bin Talhah, ``Kami bersahabat dengan jama`ah Ahli al-Suffah, pada suatu hari berkata kami, ``Wahai Rasulullah, terbakar perut kami dengan buah tamar, dan haram ke atas kami bangkai, maka kata-kata ini didengar oleh Rasulullah s.a.w, maka Baginda menaiki mimbar dan bersabda, ``Mengapa ada antara kaum yang mengatakan, terbakar perut kami oleh tamar, adakah dia tidak   mengetahui bahawa dengan tamar inilah,bahawa dia adalah makanan penduduk Madinah, sesungguhnya dia memberi kelawasan baginya dan bagi kita dari kelawasannya.

Demi diri Muhammad di tanganNya bahawa sejak sebulan atau dua bulan tidak berasap daripada dapur rumah Rasulullah, bagi memasak roti dan tidak ada bagi mereka  itu kecuali dua perkara hanya tamar dan air.``

Bermaksud Rasulullah membela kalangan Ahlu al-Suffah dan apa yang dialami oleh kalangan Ahlu al-Suffah ini adalah pengalaman yang pernah dilalui oleh Rasulullah s.a.w., bahkan Rasulullah s.a.w. adalah menghormati mereka.

Adalah dikatakan apabila berada di dalam majlis mereka itu, Baginda tidak akan bangun dari majlisnya apabila Ahlu al-Suffah duduk mengelilingi Baginda sehingga mereka bangun dan apabila Baginda berjabat tangan dengan mereka itu, Baginda tidak menarik tangan sebelum mereka menarik tangan.

Suasana digambarkan tentang Ahlu al-Suffah adalah pada peringkat permulaan Hijrah, namun  selepas itu, Ahlu al-Suffah yang berjumlah lebih kurang tiga ratus orang ini adalah merupakan sebahagian dari kalangan Muhajirin yang dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w. bersama dengan kaum Ansar (Aus dan Khazraj) dan mereka ini merupakan sahabat-sahabat setia dan mempunyai peranan dan terkenal di dalam berbagai bidang. Misalnya Bilal bin Rabah menjadi Tukang Bang Rasulullah, Salman al-Farisi Pakar strategi Perang terkenal Pakar Peperangan Khandak. Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah terkenal sebagai Pemegang Amanah Rasulullah dan juga Pemimpin Perang,, Ammar bin Yasir digelar Rasulullah sebagai Penghulu Penghuni di syurga, `Abdullah bin Mas`ud sebagai `ulama` dan Perawi Hadith, `Abdullah bin `Umar sebagai `ulama`, Abu Hurairah Perawi Hadith terkenal, Huzaifah al-Yamani pernah dilantik sebagai Wali Kota Mada`in di Parsi, Abu Dzarr al-Ghifari tokoh harakah dan contoh orang zuhud.

Anatara yang lain ialah:  `Utbah bin Mas`ud (saudara `Abdullah bi Mas`ud), Miqdad bin al-Aswa, Khabbab bin al-Irth, Shuhaib bin Sinan, `Utbah bin Ghazwan, Zayd bin al-Ghaththah, Abu Khaira, Abu al-Marthad Kinanah bin al-Husain al-`Adawi, Salim (sahabat Al-Hudzaifah al-Yamani), `Ukashah bin Mihshan, Mas`ud bin Rabi` al-Farisi,  Safwan bin Baidah, Abu Lubabah bin `Abd al-Mundzir, `Abdullah bin al-Badr al-Juhani, Mithah bin `Uthathah bin `Abbad, Thauban, Mu`adz bin al-Harith, Sa`id bin Khallad, Thabit bin Wadi`at, Abu `Isa `Uwaym bin Sa`idah, Salim bin `Umayr bin Thabit, Abu Yasar Ka`b bin `Amr, Wahab bin Ma`qal, `Abdullah bin `Unais dan Hajjaj bin `Umar al-Aslami

Mereka adalah kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. Antaranya disifatkan oleh Al-Qur`an bermaksud:
``Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat). Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang benar.`` (Al-Taubah: 100).

Ahlu al-Suffah sesungguhnya menjadi contoh teladan kesufian dan menjadi tulang belakang kekuatan Islam.