Catatan Popular

Jumaat, 29 Julai 2011

PIAWAIAN BERTAREQAT IALAH SYARI’AT


Syariat ialah hukum hakam Allah atau peraturan-peraturan yang telah Allah tetapkan melalui firman NYA di dalam Al Quran dan disampaikan oleh Sunnah Rasulullah SAW.

Untuk lebih mudah difahami dan diamalkan oleh umat yang terkemudian, syariat yang menjadi peraturan atau hukum hakam Allah yang terkandung didalam Al Quran & Sunnah Rasulullah SAW , telah diterjemahkan oleh ulamak Imam mazhab yang empat dan diberi contoh dengan qias. Adapun hukum syariat itu terbahagi kepada lima. Setiap tindak tanduk, amal perbuatan dan percakapan dalam kehidupan sehari-harian kita tidak terlepas dari 5 hukum syariat ini. Kelima-lima hukum dalam syariat itu adalah seperti berikut :
1. Wajib = dibuat dapat pahala, ditinggalkan berdosa, kedudukannya MESTI buat
2. Sunat = dibuat dapat pahala, ditinggalkan tak mengapa . kedudukannya ELOK buat
3. Haram = dibuat berdosa, ditinggalkan dapat pahala, kedudukannya MESTI tinggal
4. Makruh = ditinggalkan dapat pahala, dibuat tak mengapa, kedudukannya ELOK tinggalkan
5. Harus = dibuat atau ditinggalkan dosa tak dapat, pahala pun tak dapat, kedudukannya terpulang pada diri sendiri tempoh 5 syarat ibadah , beroleh pahala. Lima syarat tersebut ialah
a) Niat mesti betul
b) Perlaksanaan mesti selaras dengan syariat
c) Natijah mesti betul tidak bertentangan syariat
d) Perkara yang dibuat dan dilaksanakan dibenarkan oleh syariat
e) Tidak meninggalkan ibadah yang asas
Maka sebagi umat Islam, setiap amal perbuatan dan tindak tanduk serta percakapan malah gerak hati kita, tidak terlepas dari kelima-lima hukum syariat iaitu wajib, sunat, haram makruh dan harus.
Contohnya dalam berpakaian :
1. Wajib berpakaian untuk menutup aurat. Menutup seluruh tubuh bagi wanita dan sekurangkurangnya dari pusat sampai lutut bagi lelaki.
2. Sunat berpakaian mengikuti sunnah Rasulullah SAW seperti memakai kopiah, serban, jubah, dan lain-lain.
3. Haram berpakaian yang membuka aurat bagi lelaki dan wanita. Haram memakai pakaian dari sutera bagi lelaki.
4. Makruh berpakaian yang panjangnya melampaui batas bagi lelaki.
5. Harus berpakaian apa saja baik yang murah atau yang mahal.
Seluruh perintah Allah baik yang wajib atau sunat, diibaratkan seperti satu badan. Maka perumpamaan orang yang hanya buat hal yang sunat saja tetapi tidak melakukan yang wajib, badannya mati tapi tidak berfungsi. Bagi orang yang hanya buat yang wajib tapi tidak buat yang sunat, badannya hidup tapi tidak indah dan cantik.
Apabila Syariat menyuluh/ mengatur hal ehwal keyakinan dan keimanan, dinamakan Usuluddin / Tauhid. Apabila Syariat menyuluh hal ehwal lahiriah, peraturan yang zahir, dinamakan Feqah. Dan apabila Syariat menyuluh / mengatur hal ehwal hati , sifat-sifat hati, dinamakan Tasauf/Akhlak.
Ketiganya tidak dapat dipisahkan, Imam Malik r.a berkata :
Barang siapa yang semata-mata berfiqih tetapi tidak bertasawwuf, dia akan jatuh fasiq. Barangsiapa yang bertasawuf tetapi tidak berfiqih, dia akan jatuh zindiq (kafir)”.
Inilah yang disebutkan di dalam Hadis Rasulullah SAW berkenaan Iman, Islam dan Ihsan.
Dari Umar Ibnul-Khattab r.a, katanya : Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba mucul di dalam majlis itu seorang laki-laki yang berpakaian serba putih, berrambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang musafir, dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu duduk ia bersama Rasulullah SAW, dan ditemukan kedua lututnya dengan kedua lutut Rasulullah SAW serta diletakkan kedua tapak tangannya ke atas kedua paha Rasulullah SAW, lalu berkata : Sipemuda : Khabarkan aku tentang Islam ? Rasulullah : Islam, iaitu hendaklah mengucap syahadat – bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Ta’ala dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan hendaklah bersembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah apabila berdaya ke sana. Sipemuda : Benar katamu. ( Berkata Umar r.a : Kami merasa hairan kepada tingkah laku sipemuda itu, dia yang bertanya dan dia pula yang mengiyakannya ) Sipemuda : Khabarkanlah kepada ke tentang Iman ? Rasulullah : Hendaklah engkau beriman kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir Allah yang baikNya atau yang burukNya. Sipemuda : Benar katamu ! Khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan ? Rasulullah : Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihat engkau. Sipemuda : Khabarkan padaku tentang hari kiamat ?. Rasulullah : Tiadalah orang yang ditanya itu lebih mengetahui dari orang yang bertanya. Sipemuda : Khabarkan padaku tentang tanda-tandanya ? Rasulullah : Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri ; Apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, pengembala kambing ( berbangga ) membina bangunan yang tinggi-tinggi. ( Kemudian beredar keluar sipemuda itu dari majlis tersebut ) : Rasulullah : Tahukan anda wahai Umar siapakah pemuda yang menyoal kau tadi ? Umar Al-Khattab : Allah dan RasulNya jua yang mengetahui. Rasulullah : Itulah Jibril a.s yang telah mendatangi aku untuk mengajarkan kamu pelajaran agama kamu. ( Sahih Bukhari )
Maka sebagai khalifah Allah yang telah diamanahkan untuk melaksanakan hukum-hakam Allah dimukabumi, tanngungjawab ke arah perlaksanaan hukum syariat tersebut hendaklah dilaksanakan. Perlaksanaan hokum syariat dari perkara yang remeh temeh seperti qadha hajat hinggalah ke aspek kehidupan yang lain seperti membangunkan institusi kekeluargaan, pendidikan, ekonomi dan kenegaraan. Perlaksanaan hukum syariat ini adalah WAJIB bagi setiap muslim. Barangsiapa yang tidak menghukum dengan hukum-hakam atau peraturan yang telah Allah tetapkan, maka akan jatuh ke atas mereka salah satu dari tiga hukum iaitu FASIQ, ZALIM atau KAFIR wal iyazubillahi min zalik.
Maka kesimpulannya, SYARIAT lah yang menjadi kayu ukuran dan piawai untuk menilai sejauh mana benar sesuatu amalan, sejauh mana kebenaran sesuatu kepercayaan, sejauhmana kebenaran sesuatu amal perbuatan, perkataan dan sebagainya. Inilah neraca yang perlu digunakan oleh umat Islam dalam menempuh kehidupan di dunia menuju ke negara akhirat yang kekal abadi. Syariat inilah yang menjadi titik tolak dalam kita mengatur setiap langkah-langkah menyelusuri perjalanan ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Jika Syariat diabaikan, walau pun kita mengaku pandai, kita mengaku hamba Allah, walau kita mengaku pejuang Islam, walau kita mengaku ahli tariqat, mengaku ahli hakikat dan ahli makrifat, mengaku waliyullah, mengaku boleh terbang, mengaku hebat ilmu keduniaan dan sebagainya, pengakuan kita hanyalah sia-sia. Tiada nilai disisi Allah SWT.

Tiada ulasan: