Catatan Popular

Isnin, 18 September 2017

KITAB IMAM AL QURTHUBI : FASAL KEMATIAN BAB 7 - ADAB MASUK KAWASAN KUBURAN DAN MASAALAH MENANGIS.

Kitab Al Taskirat bi Awali al Mauta wal Umur al Akhirat"

Oleh Imam al Qurthubi Andalusia (Mahaguru Tafsir)

Telah diriwayatkan oleh Abu Daud dari Buraidah bin Khashib bahawa Rasullah saw bersabda "Aku pernah melarang kamu semua dari menziarahi kuburan. Sekarang berziarah kuburlah kamu semua kerana didalam ziarah itu terdapat peringatan". Diriwayatkan oleh an Nasai' dari Buraidah bahawa Nabi telah bersabda " Barangsiapa yang ingin menziarah kubur, dipersilakan tetapi jangan berkata jahat (perkataan-perkataan yang tidak baik)." Telah diriwayatkan oleh Abu Umar dari Ibnu Abbas bahwa Nabi saw telah bersabda " Setiap orang yang melawat kubur sahabat sesama Islam dan dikenalinya kemudian mengucapkan salam maka akan dijawab oleh penghuni kubur akan ucapan salamnya itu".

Tetapi didalam sebuah hadis daaif yang telah diriwayatkan oleh Baihaqi dan ad Dailami bahawa ia berkata " Sekalipun kamu tidak mengenali mereka dan tetap mengucapkan salam kepadanya, nescaya akan dijawab juga salam itu ". Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Saidatina Aisyah ra dikatakan pernah bertanya kepada Rasulullah saw tentang ayat yang perlu dibaca ketika memasuki tanah kuburan. Rasulullah menjawab "Ucapkanlah, semoga keselamatan sentiasa dilimpahkan kepada para penghuni kuburan ini yang terdiri dari orang-orang yang beriman dan orang-orang muslim. Semoga Allah mengasihi orang-orang terdahulu dan orang-orang dibelakang antara kami, Insyaallah kami akan bergabung dengan kamu semua". Kemudian disebut didalam Shahih Bukhari dan Muslim bahawa pada suatu hari Nabi saw mendapati seorang wanita sedang menangis disebuah kuburan ahli keluarganya lalu Baginda bersabda kepadanya "Bertawakallah kepada Allah dan bersabarlah".


KETERANGAN:

Daripada hadis-hadis diatas tadi, dapatlah kita mengatahui beberapa pengertian yang agung berkenaan hukum sunat bagi menziarahi kubur untuk semua kaum baik lelaki mahupun wanita. Kemudian adalah sunat memberi salam kepada mayat-mayat dikuburan dan salam itu pastinya akan dijawab oleh mereka. Kemudian tiada larangan untuk kaum wanita menziarahi kubur dan menangis. Seandainya telah terdapat larangan seumpama itu, pastinya Nabi saw akan bersabda untuk melarang perbuatan itu, justru riwayat yang mengatakan kaum wanita dilarang menziarahi kuburan itu adalah tidak shahih. Yang shahih adalah Rasulullah saw tidak melarang kaum wanita dari menziarahi kubur dan mereka juga boleh menangis (tidak hingga meraung) cuma mereka mesti mematuhi hukum-hukum syarak seperti mesti menutup aurat, tidak boleh bercampur gaul dengan lelaki yang bukan muhrim, tidak dibenarkan bercakap pekara-pekara yang tidak baik, tidak dibenarkan berkelakuan tidak sopan, tidak boleh berpakaian menjolok mata dan lain-lain lagi. Kemudian tiada beza diantara kaum wanita dewasa atau remaja. Jika ada perbezaannya , sudah tentu Rasullah akan bersabda tentangnya. Kaum wanita boleh saja menangis dikuburan sama saja seperti menangis sewaktu ahli keluarga mereka baru meninggal dunia. Hanya perbezaan budaya sahaja yang berlainan. Jika masyarakat Arab, mereka akan menangis sambil meraung-raung, meratap dan menjerit-jerit, menampar-nampar pipi dan dada mereka, mengoyak-goyak baju terutama dibahagian poketnya, mengambil pasir dan disiram dikepala mereka sambil menghentak-hentak kaki dan ada juga hingga baring ditanah berguling-guling , menghempas-hempas diri dan mencakar-cakar tanag sambil menangis. 


Begitulah dasyatnya mereka meratapi kematian ahli keluarga mereka, tidak seperti masyarakat Melayu yang lebih sopan. Berdasarkan Ijma Ulama-ulama ASWJ pekara meraung seumpama masyarakat Arab itu adalah ditegah dan adalah haram hukumnya didalam syarak. Terdapat satu larangan dan ancaman dari sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim yang menyatakan bahawa Nabi saw telah bersebda "Aku bebas tanggungjawab daripada wanita-wanita yang mencukur rambutnya, yang meratap dan mengoyak-goyak bajunya sendiri ". Ada pun menangis biasa akibat perasaan sedih, atau kasihan dan bersifat manusia biasa adalah tidak ditegah kerana Rasulullah juga turut menangis ketika kematian putranya yang bernama Ibrahim. Saidina Omar al Khathab juga tidak melarang kaum wanita menangis ketika kematian Abu Salman. Kesimpulannya, menangis kerana kematian adalah dibenarkan cuma jangan melampaui batas.



Tiada ulasan: