Catatan Popular

Selasa, 12 April 2011

"AKU” : PANDANGAN AHLI SUFI (SIRI 2)


Penjelasan ke-19 (AKU HANYA BONEKA)
AKU ini pada hakikatnya adalah boneka yang dilakonkan oleh Dalang (iaitu Allah). AKU ini dari satu ibarat lagi ialah keris yang dihunus oleh pendekar. AKU tidak berdaya upaya, gerak dan diam AKU adalah digerakkan dan didiamkan oleh Allah. Adanya AKU adalah limpahan dari adanya Allah.
Allah itu hakiki. AKU itu majazi atau relatif sahaja. Kalau difaham dan diselidiki secara mendalam, akan terasa bahawa yang ghaib dan yang zahir dan yang awal dan yang akhir adalah Allah sahaja.
Pendeknya pada pandangan orang yang sangat hampir dengan Allah, alam dan dirinya lenyap sama sekali dan tinggallah Allah semata-mata. Ini dipandang oleh ROH yang bersih dan suci dan mentauhidkan diri kepada Allah semata-mata.
Penjelasan ke-20 (AKU TAJALLI ALLAH)
AKU yang hakiki itu adalah nurullah (cahaya Allah) kerana dengan ROH, Allah kelihatan. Sesuatu yang menampakkan sesuatu yang lain adalah cahaya. Tanpa cahaya gelap gelitalah segala-galanya.
AKU juga ayatollah (tanda-tanda Allah) kerana ROH itu tanda-tandanya adanya Allah.
AKU juga digelar Rohullah kerana ROH itu adalah hembusan dari Roh Allah. Itulah AKU yang hakiki.
AKU dan alam semesta adalah penzahiran atau tajalli Allah. AKU ini adalah alam kecil kerana semua perkara yang ada dalam alam besar ini ada salinannya atau penzahirannya dalam alam kecil.
Alam semesta ini juga digelar Insan Kabir (manusia besar) kerana semua yang ada dalam alam kecil ini ada kenyataannya dalam alam besar.
Insan Saghir (manusia kecil) ini adalah dir i(ROH) manusia itu dan Insan Kabir itu adalah alam semesta raya yang ghaib dan yang nyata. Alam kecil adalah Insan Saghir iaitu Manusia dan Alam Besar adalah Insan Besar iaitu Alam Semesta Raya.
Demikian pendapat Falsafah Kesufian.
Penjelasan ke-21 (AKU ITU HIDUP)
Dalam alam dunia ini kita katakan si anu itu orang Bandar dan si anu itu orang kampung ataupun si anu itu berada di pejabat atau berada di rumah. Semua itu menunjukkan tempat dalam alam nyata ini. Tetapi bagi ROH itu semua tidak ada. Ia bebas dari tempat atau arah atau masa atau waktu.
ROH itu hidup. Ia tidak tertakluk kepada alam nyata atau alam kebendaan. ROH itu hidup dengan limpahan Yang Maha Hidup. Demikianlah AKU.
Penjelasan ke-22 (AKU BESERTA ALLAH)
AKU memang berserta dengan Allah, sejak dari dahulu hingga akan datang atau sejak awal hingga akhir. Tidak pernah bercerai dan berpisah dengan Yang Maha Aku (iaitu Allah). Sejak dari dalam ilmu Allah hingga sampai ke alam akhirat yang tidak ada hujungnya, AKU tetap bersama Allah.
AKU tidak keluar dan tidak masuk dalam lengkungan Allah. AKU itu memang berada dalam lengkungan Allah sahaja. Kalau Allah itu diibaratkan sebagai lautan, maka AKU itu ikannya. Ikan itu sentiasa dalam lautan dan tidak akan hidup tanpa air lautan itu.
‘Masuk’ dan ‘Keluar’, ‘berpisah’ dan ‘bersatu’, tidak termasuk dalam kamus AKU. AKU bukan seperti badan kasar yang tertakluk kepada ruang dan zaman.
AKU menyerahkan dirinya dan nasibnya kepada Yang Maha AKU. Cukuplah Dia mengawal dan memelihara AKU. AKU tidak perlu pada yang lain lagi. Tidak perlu pertolongan dari ghairullah (selain Allah), bahkan tidak ada ghairullah pada pandangannya. Cukup Allah bagi AKU.
Penjelasan ke-23 (AKU SEBENARNYA DHAIF)
AKU bodoh. Dialah yang mencerdikkan AKU. AKU lemah Dialah yang menguatkan AKU. AKU tidak tahu, Dialah yang memberiku tahu. AKU papa kedana, Dialah yang memperkayakan AKU.
AKU bertanya, memohon, berharap kepadaNya sahaja. Seolah-olah AKU dan DIA berpadu dan bersatu di mana dan bila sahaja. Dan DIA ada dalam kesadaran AKU.
Renunglah ke dalam AKU. Dia berada dalam kesadaran AKU. Maha Halus dan Maha Seni. AKU terdengar bisikanNya. Dalam waktu sunyi sepi, paling baik mendengar bisikan hati nurani. Tanpa huruf, tanpa suara, tetapi AKU faham segala-galanya.
AKU kenal Dia dalam kesadaran batinku kerana AKU berhubung dengan Dia tanpa menyekutukanNya. Inilah satu hasil zikrullah.
Penjelasan ke-24 (WUJUD AKU)
AKU wujud dalam lautan Yang Maha Wujud. AKU sentiasa berada dalam lautan itu. Dalam lautan itulah AKU bermastautin. Itulah lautan wujud.
Penjelasan ke-25 (AKU MEMANG ADA KESEDARAN)
AKU memang ada kesadaran, limpahan Yang Maha Sedar (iaitu Allah SWT). Kesadaran AKU meliputi alam nyata dan alam ghaib, alam dunia dan alam akhirat. AKU sedar semua itu. Semua perkara itu ada ilmuku. Allah ada dalam kesedaran AKU. Begitu juga makhluk ada dalam kesedaran AKU. Segala yang ada dalam kesedaran AKU itulah ilmu AKU. Syurga, neraka, malaikat dan iblis ada dalam kesedaran AKU. Semua yang ada dalam ilmu atau kesedaran AKU itu adalah penzahiran Allah dalam kesedaran dan ilmu AKU.
Penjelasan ke-26 (AKUSENTIASA CINTA DIA)
AKU sentiasa cinta kepada DIA (Allah). Tidak mahu berpisah dan berjauhan dengan DIA. AKU sentiasa ingatkan DIA. Terasa azab jika tidak mengingatiNya. Puja dan puji hanya untuk DIA belaka. Perasaan cinta ini tidak akan ada pada AKU jika tidak dengan anugerahNya juga. Alangkah kerdilnya AKU berada dalam majlis DIA.
Penjelasan ke-27 (AKU TIDAK MEMILIKI APA-APA)
Dari pandangan ROH atau AKU yang hakiki, AKU tidak memiliki apa-apa tetapi ia dimiliki oleh Yang Maha Kaya (iaitu Allah).
AKU dijasadkan untuk menjalani hidup di dunia fana ini. AKU juga diberi nafsu. Kalau AKU ditakluki oleh jasad dan nafsu, maka binasalah AKU itu, tetapi jika AKU yang menkluki jasad dan nafsu, maka selamatlah AKU itu.
AKU membawa kita menuju Allah dan menyedari hakikat dirinya dan Tuhannya. Nafsu serakah membawa kita jauh dari Allah dan lupa akan hakikat diri kita. Lantaran itu hanyutlah ia dalam larutan kelupaan dan kesesatan dan akhirnya ia akan menyesal setelah ia meninggalkan badannya. Setelah ROH berpisah dari badan, maka sedarlah AKU itu kembali akan keadaan dirinya yang sebenar.
Penjelasan ke-28 (AKU PALING MULIA PADA KENYATAANNYA)
Badan kita ini amat kerdil, ibarat sebutir pasir di padang gurun, setitik air di lautan luas, sebiji bintang di cekrawala, melukut di tepi gantang, masuk tidak bertambah dan keluar tidak mengurang. Betapa kecil dan kerdilnya badan kita. Itulah wajah zahir AKU.
Tetapi kalau kita renung ke wajah batin kita, dia paling mulia, paling tinggi martabatnya, mengatasi segala makhluk dan malaikat. AKU itu suci dan wangi, sangat hampir dengan Ilahi. Dialah cahaya Allah, Dialah ayat-ayat Allah, Dialah ROH Allah, Dialah bayangan dan penzahiran Allah.
AKU yang hakiki itu sangat mulia, tiada tertanding oleh sekalian makhluk. Dia bertasbih setiap ketika, memandang Allah dengan kasihnya, rindu dendam tiada terkira. Itulah AKU yang sebenarnya.
Penjelasan ke-29 (CARA MENGENAL AKU)
Berbagai-bagai cara orang hendak mengenal dirinya atau AKUnya. Ada yang melalui meditasi, pertapaan, mengosongkan fikiran, latihan jiwa yang menyiksakan badan dan sebagainya. Tetapi bagi orang-orang Sufi ialah dengan Zikrullah yang diajar oleh guru-guru Sufi yang pakar dan pembimbing rohani yang mursyid. Dengan berzikir dan melalui bimbingan Syeikh Mursyid sampailah seseorang itu pada tahap mengenal dirinya atau AKUnya.
Orang-orang Sufi ada menjelaskan bahawa “Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka akan kenallah ia akan Tuhannya”. Ini bukan bermakna DIA jadi Tuhan. Apabila seseorang itu kenal gambar, maka kenallah ia akan orang yang digambarkan. Apabila seseorang kenal akan bayang dalam cermin, maka kenallah ia orang yang punya bayang. Fahamkanlah!
Penjelasan ke-30 (PENGEMBARAAN AKU)
Orang yang memasuki jalan kesufian (Tareqat Sufi) adalah sebenarnya memasuki pengembaraan iaitu pengembaraan AKUnya menuju Allah SWT. Pengembaraan ini bukan dari tempat ke tempat atau dari masa ke masa, tetapi pengembaraan ini adalah pengembaraan dalam kesadaran AKU, beredar dalam pengalaman kerohanian atau kejiwaan. Hanya jiwa yang merasainya, tidak kelihatan oleh mata kasar.
Tetapi setelah sampai ke tempat dituju iaitu kesadaran bahawa AKU ini fana dalam Allah dan Baqa (kekal) denganNya, barulah AKU itu sedar bahawa pengembaraan itu hanya dari tidak sedar kepada sedar. Sedar betapa AKU memang berada di destinasi sejak awal hingga akhir. Apakah destinasi itu? Itulah kesadaran dan pengenalan tentang Allah atau dalam istilah kesufian digelar MA’RIFAT.
Pada hakikatnya AKU itu memang berada ‘dalam’ Allah dan ‘kekal’ dengan Allah sejak awal lagi, dulu, sekarang, dan akan datang. AKU memang bersama dan ‘berpadu’ dengan Tuhannya. AKU itu memang diliputi oleh lautan Wujud Ketuhanan.
Penjelasan ke-31 (AKU TIDAK PEDULI)
Dalam peringkat AKU yang hakiki, ia tidak peduli orang yag mengeji kerana keji itu tidak akan merendahkan martabatnya. Ia juga tidak peduli orang yang memuji kerana pujian itu tidak akan meninggikan martabatnya. AKU tidak sakit hati dengan kejian dan tidak bangga dengan pujian. Semua itu tidak apa-apa bagi AKU. Keji dan puji tidak menjejaskan martabatnya sedikit jua.
‘Yang apa-apa’ bagi AKU hanya Allah kerana Dialah tempat AKU kembali, tempat AKU mengadu, tempat menyerahkan diri, tempat perlindungan, tempat pembelaan dari apa jua angkara, dari jin dan manusia, dari dunia dan apa saja. Cukuplah Allah bagi AKU.
Penjelasan ke-32 (KESEDARAN AKU)
Dalam kesadaran AKU, semua makhluk ini dan diri AKU juga adalah semata-mata ayatollah (tanda-tanda Allah). Tanda-tanda adanya Allah, tanda-tanda kesempurnaanNya, keagunganNya dan keindahanNya.
Apabila dilihat tanda, tergambarlah yang tanda. Apabila dilihat gambar, terbayanglah yang digambar. Apabila dilihat daun yang bergoyang, nampaklah angin yang bertiup. Apabila nampak bayang, nampaklah yang empunya bayang. AKU dan alam semesta raya ini adalah ayat-ayat Allah belaka.
Penjelasan ke-33 (PENYERAHAN AKU)
AKU yang hakiki percaya dan menyerah diri kepada Yang Maha AKU (iaitu Allah) sahaja tanpa sangsi dan ragu-ragu. AKU memfanakan diri dalam Yang Maha AKU. Terasa oleh AKU betapa kasihnya Yang Maha AKU kepadanya. Tidak terhingga kasih sayangnya kepada AKU, melebihi kasih sayang ibu kepada anaknya. Yang Maha AKU cinta dan kasih sayang kepada AKU. Percayalah!
Penjelasan ke-34 (AKU JUGA ADA KALA SANGSI)
Adakalanya AKU itu sangsi dan ragu atau perasaan tidak menentu terhadap kasih sayang Yang Maha Penyayang. Mungkin syaitan membisik kedalam kalbu supaya ragu-ragu dan tidak percaya dengan kasih sayang Yang Maha Pengasih.
Oleh yang demikian, AKU sentiasa memohon perlindungan Allah dari bisikan syaitan. Setiap saat AKU berjuang melawan bisikan syaitan itu dan mengharapkan bantuan dari Yang Maha Gagah (iaitu Allah).
Penjelasan ke-35 (PENYERAHAN BULAT AKU PADA ALLAH)
AKU sentiasa menyerahkan diri kepada Allah SWT. Penyerahannya bulat dan padu. Ia menyerahkan dirinya kepada Allah ibarat bayi menyerahkan dirinya kepada ibunya, ibarat mayat menyerahkan dirinya kepada pemandi mayat, ibarat ombak memfanakan atau melenyapkan dirinya kedalam lautan. Bahkan lebih dari itu lagi. Tidak dapat digambarkan lagi.
Penjelasan ke-36 (ASAL AKU)
AKU sebenarnya berasal dari tempat yang tinggi dan mulia iaitu di hadrat Allah SWT. Kemudian datang sebentar ke alam bumi dan jasadkan dengan badan jasmani untuk tempoh yang ditentukan seolah-olah merantau sebentar di alam bumi ini.
Apabila sudah cukup tempoh berada di perantauan, AKU pun kembali pulang menuju ke tempat asal. Ibarat perantau kembali ke kampung halaman. Tidaklah terkira hati berasa nyaman.
Tetapi jika diperdalam renung dan kaji, AKU tetap berada di tempat sendiri. Bukan dari mana dan ke mana pergi. Bila dan di mana juga pun AKU di tempat sendiri juga.
AKU datang dari Ilahi, tidak bercerai walaupun seinci dan sesaat. AKU tetap bersama setiap masa dengan Allah SWT. Dulu AKU bersama denganNya, sekarang pun bersama denganNya, akan datang pun bersama denganNya. Sentiasa AKU bersama dengan Allah SWT.
AKU itu tetap. AKU juga, bersama Allah sentiasa. Hanya alam-alam yang ditempuh saja berbeza , dari satu alam ke satu alam yang lain.. AKU sentiasa kekal dengan Allah, walaupun di alam manapun berada.
Penjelasan ke-37 (AKU TIDAK KAGUM)
AKU tidak kagum dengan kemajuan manusia. Tidak kagum dengan kemajuan sains dan teknologi, kemajuan peniagaan dan perindustrian. Bahkan AKU tidak hairan dengan segala urusan keduniaan.
Yang dihairankan oleh AKU ialah Allah Yang Maha Bijaksana yang melimpahkan segala ilham kemajuan itu. Sebenarnya Dialah yang maju dan Dialah yang bijaksana. Dia yang memiliki segala ilham. Sumber ilham kemajuan itu dari Yang Memiliki Ilham itu sendiri iaitu Allah SWT.
Penjelasan ke-38 (ASAL AKU)
AKU itu diri. Diri manusia itu banyak tetapi berasal dari Diri Yang Satu. Diri itu ROH. ROH itu banyak tetapi berasal dari Satu ROH iaitu AL ROH
Al Roh itu digelar oleh orang-orang Sufi sebagai Haqiqatul Muhammadiyah atau juga digelar Insan Kamil atau Insan Kabir. AL ROH itu juga digelar Al Roh Ul Kulliyah (roh semesta). Dari ROH Semesta inilah dizahirkan ROH-ROH yang pelbagai dan banyak itu. Allah zahirkan AL Roh dan dari Al Roh dizahirkan sekelian ROH. ROH individu atau ROH perseorangan itu pancaran dari Al Roh dan Al Roh pula terbit dari Allah SWT.
Demikian pandangan falsafah kerohanian sebahagian orang Sufi.
Penjelasan ke-39 (AKU SEBENARNYA SEADANYA)
AKU tidak megah dengan harta benda, wang ringgit, pangkat darjat, anak pinak, sanak saudara yang banyak dan segala ghairullah (selain Allah).
AKU tidak iri hati dengan orang kaya. Ia tidak dengki dengan orang-orang berpangkat tinggi. Pada pandangan AKU segala harta benda, wang ringgit, pangkat, saudara mara, anak pinak dan sebagainya itu adalah milik Allah yang dianugerahkanNya kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya. Dia yang menentukan siapa yang patut diberi harta banyak dan siapa yang patut diberiNya harta yang sedikit. Semua itu Allah yang menentukan. KetentuanNya tidak dapat disanggah dan dipertikaikan. Kenapa AKU mesti dengki dan iri hati dengan ketentuanNya. Dia yang AKU puji dan puja tentulah AKU redha dengan ketentuanNya.
Penjelasan ke-40 (AKU TIDAK HAIRAN KEDUNIAAN)
AKU tidak merasa hina kalau miskin papa atau buruk paras badan, atau tidak berpangkat atau tidak banyak kawan atau tiada intan berlian. Semua itu berkaitan dengan keduniaan dan kebendaan, tidak bersangkut paut dengan AKU yang bersifat kerohanian.
AKU hina jika kufur dengan Allah. AKU hina jika jauh dengan Dia, jika tidak beriman dan tidak bertakwa, itulah kehinaan pada AKU yang sebenar.
Penjelasan ke- 41 (MATLAMAT AKU)
Matlamat AKU ialah ALLAH. Yang diharapnya ialah keredhaan Allah. Yang dimintanya ialah keampunan Allah. Pada pandangan AKU kehidupan akhirat itulah yang utama. Kembali ke hadrat Allah itulah yang diidamkannya.
AKU tidak takut mati (berpisah nyawa dari badan) kerana ‘mati’ sebenarnya berpindah alam, dari alam dunia ke alam barzakh. AKU tetap AKU juga. Walaupun badan hancur tetapi AKU tidak hancur. AKU akan kembali sedar kerana hijab-hijab (tirai-tirai) jasad atau badan telah hilang.
Penjelasan ke- 42 (AKU TETAP KAYA JIWA)
Walaupun dari segi kehidupan dunia ini seseorang itu papa, tetapi kalau jiwanya kenal diri dan Tuhannya, ia tetap kaya. Kaya pada perasaannya. Walaupun susah kehidupan dunianya, AKUnya tetap berasa senang. Walaupun badannya lemah, AKUnya tetap berasa kuat. Walaupun ia kesunyian tanpa rakan, namun ia tetap berasa ramai.
AKU yang telah ‘menyerap’ dalam Yang Maha AKU, atau jiwa yang ‘menyerap’ dalam Jiwa Semesta atau perasaan yang ‘menyerap’ dalam Perasaan Sejagat Raya, atau diri yang ‘menyerap’ dalam Diri Semesta Raya, tidak akan merasa lemah, tidak akan merasa susah, tidak akan merasa teruk, dan tidak akan merasa duka, dan tidak akan merasa sunyi.
Penjelasan ke- 43 (AKU TIDAK MEMILIK SIFAT TERCELA)
AKU tidak megah dan tidak bangga. Orang yang telah kenal AKUnya tidak memiliki sifat-sifat yang tercela seperti takabbur, bongkak, sombong, kikir, dengki, khianat, takut kepada ghairullah, mengumpat, mengeji dan sebagainya.
Sifat-sifat tercela itu tidak perlu baginya. Segala sifat tercela itu sendirinya hilang dan diganti dengan sifat-sifat terpuji.
Apakah yang hendak dimegahkan, dikhuatirkan, ditakutkan, dan sebagainya kerana AKU itu sebenarnya tiada apa-apa. AKU itu kosong belaka. Yang ada hanya Allah pada hakikatnya. Allah memiliki segala-galanya. Dia yang patut dipuji dan dipuja.
Penjelasan ke- 44 (AKU BERILMU)
AKU itu berilmu. Ilmunya adalah limpahan ilmu Allah. Ilmu itu meliputi yang diketahui. Apa yang diketahui itu adalah kandungan ilmu. Oleh itu AKU, ilmunya dan yang diketahuinya adalah sebenarnya ‘bersatu’, ‘bersama’, dan tiada bercerai.
AKU itu tahu. Apa yang AKU tahu itulah kandungan ilmu AKU. Berbagai-bagai yang diketahui oleh AKU. Semua itu kandungan ilmu AKU. Semua itu tiada bercerai dari AKU.
Penjelasan ke- 45 (AKU TERTAKLUK KEPADA ALLAH)
AKU yang sebenarnya itu hanya tertakluk kepada Allah sahaja. Ia tidak dikuasai oleh sesiapa. Alam ini tertakluk kepada AKU. Makhluk itulah yang tunduk kepada AKU dengan perintah Allah Yang Maha Perintah.
AKU itu khalifah Allah atau wakil Allah yang mengurus makhluk dengan isiNya. Segala yang ada di langit dan di bumi semua untuk AKU. Kalau dunia ini ladang, AKU pengurusnya dan Allah yang empunya ladang itu.
Allah tidak perlu apa-apa. Hanya AKU yang memerlukan Dia. Hanya AKU yang mahukan dunia. Makhluk segala-galanya adalah untuk AKU (Insan). Semuanya kurniaan Tuhan AKU (Allah). Allah jadikan makhluk untuk AKU. Demikian mulianya AKU.
Penjelasan ke- 46 (AKU SUCI HAKIKATNYA)
AKU ini memang suci hakikatnya kerana Ia limpahan Nur Allah Yang Maha Suci. Yang mengotorkan AKU ini ialah syirik iaitu menyekutukan dengan apa dan siapa jua. Untuk membersihkan najis syirik itu dari hati ialah dengan Tauhid. Tauhid ibarat air yang menyucikan najis syirik dari hati. Jiwa yang bersih ialah jiwa yang tauhid.
Dengan Tauhid ini menjadikan jiwa seseorang itu berani, tawadhu’, sabar, kuat dan gagah kerana jiwa tauhid ini betul-betul mengesakan Allah dan menyerah bulat-bulat kepada Allah Yang Maha Agung.
Dengan berzikir hati akan jadi tenang dan damai, akan menimbulkan semangat tauhid dalam dalam penzikir itu.
Penjelasan ke- 47 (HUBUNGAN AKU DENGAN ALLAH)
Perhubungan AKU dengan Allah SWT iailah ibarat pehubungan matahari dengan cahayanya, ibarat ombak dengan laut, ibarat air dengan ais. Semua ini menunjukkan betapa hampirnya perasaan AKU itu dengan Khaliknya.
Satu ibarat lagi ialah pelukis dengan lukisan, pengukir dengan ukiran, pengarang dengan karangannya, pencipta dengan ciptaan. Ini adalah ibarat untuk menunjukkan bahawa AKU dengan alam semesta raya ini adalah tanda-tanda atau manisfestasi Wujud Yang Maha Esa itu.

Penjelasan ke- 48 (AKU MENGISBATKAN ALLAH)
AKU tetap mengisbatkan Allah dalam segala hal dan tindak tanduknya. Maksudnya AKU tetap nampak Allah di sebalik segala yang maujud (perkara yang ada) ini dan “nampak” perbuatan dan lakuan dan arah mana memandang disana “nampak” Allah.
Oleh kerana memandang yang sedemikian itu maka AKU akan berkata, ” Tiada maujud melainkan Allah”. Ini adalah kata-kata dari orang yang sudah “tenggelam” dalam lautan Ketuhanan yang berada dalam pandangan keruhanian semata-mata. Inilah orang-orang sufi yang telah mencapai maqam Fana Fillah (lenyap dalam Allah) dan seterusnya Baqa Billah (kekal dengan Allah).
Penjelasan ke- 49 (AKU TETAP MENAGUNGKAN ALLAH)
AKU sebenarnya hanya mengagungkan dan memuja Allah sahaja. Ia tidak mengagungkan apa-apa pun jua selain Allah. Pada pandangan AKU tidak ada yang kuat dan gagah melainkan Allah. Tidak ada yang bijaksana melainkan Allah. Tidak ada yang kaya melainkan Allah.
Semua kekayaan, kegagahan, kebijaksanaan, keindahan ghairullah adalah hanya limpahan kurnia Allah semata-mata. Oleh itu, AKU tetap dengan puji dan pujiannya terhadap Allah SWT sahaja.
Penjelasan ke- 50 (AKU PUNYA ILMU MELIPUTI)
AKU yang hakiki ini mempunyai ilmu. Ilmunya adalah limpahan dari ilmu Allah. Seluruh alam ini ada dalam ilmu AKU. Dalam ilmu AKU ada syurga, neraka, dunia, akhirat, malaikat, iblis bahkan seluruh ciptaan Allah. Semua ini ada dalam ilmu AKU kerana AKU tahu semua itu. Telah diberitahu melalui ayat-ayat Allah, yang tersurat dan tersirat, bahawa semua perkara tersebut ada dan AKU percaya dan ‘merasai’ adanya. Oleh itulah AKU ini mempunyai ilmu yang meliputi segala-galanya. Semua itu adalah limpahan kurnia Allah belaka.
Penjelasan ke- 51 (AKU INSAN SAGHIR)
Menurut Falsafah Kesufian, AKU itu adalah Insan Saghir yakni Manusia Kecil. Alam semesta raya yang ghaib dan yang nyata, adalah Insan kabir atau manusia besar. Insan Saghir itu adalah Alam Saghir iaitu Alam keil dan Insan Kabir itu adalah Alam besar.
Dikatakan sedemikian kerana hakikat-hakikat dalam Insan Kabir atau manusia besar itu ada dalam Insan Saghir. Idea-idea Insan Kabir itu ada terbayang dalam Insan Saghir atau Alam Kecil iaitu Manusia.
Alam Kabir itu pula mengandungi alam ruh, alam mithal dan alam jasmaniah atau alam fizikal. Alam-alam ini juga ada pada Insan Saghir atau manusia. Manusia terdiri dari unsure-unsur roh, mithal, badan sebagaimana Alam Besar ini terdiri juga dari unsur-unsur roh, mithal dan fizikal.
ROH itu nyawa atau jiwa atau ‘hidup’. Fizikal itu jisim atau badan. Mithal itu ialah antara roh dan badan yang digelar mental atau khayal atau minda.
Idea Alam Kabir ada dalam Alam Saghir (manusia). Hakikat Insan kabir (iaitu Alam Besar) ada dalam Insan Saghir iaitu Manusia. Unsur-unsur alam kabir itu ada juga pada Alam kecil atau manusia itu.
Maka dengan itulah dikatakan AKU itu bayangan atau salinan Alam Kabir. AKU juga adalah bayangan atau salinan Insan Kabir. Insan Kabir dan Alam Kabir adalah jua nama bagi satu entiti atau diri.
Demikian teori Falsafah Kesufian menurut pandangan sebahagian Ahli Sufi.
Penjelasan ke- 52 (UNSUR DIRI)
AKU itu diri. Diri insan terbahagi kepada tiga bahagian menurut pendapat sebahagian Ahli Sufi, iaitu bahagian jasmani, bahagian mithali dan bahagian ruhani.
Unsur ROH itu adalah diri yang sebenar. Itulah diri yang tidak akan ‘mati’ menurut istilah biasa. Diri ini berpindah alam sahaja dari satu alam ke satu alam yang lain. Diri inilah yang mulia dan menjadi ayat atau nur Allah. Kejadiannya mulia dan tinggi.
Unsur mithali adalah unsur antara jasmani dengan rohani. Ia adalah diri lapisan yang kedua. Ini termasuklah fikiran, minda dan tubuh halus yang bukan jasmani dan bukan pula roh yang sebenarnya. Diri inilah yang boleh mengembara dalam alam mimpi tatkala kita tidur.
Di lapisan yang ketiga iailah diri jasmani iaitu badan kasar kita yang terdiri dari empat unsur iaitu unsur air, unsur angin, unsur api dan unsur tanah. Diri ini memerlukan unsur-unsur yang empat itu untuk dapat hidup. Kehidupan hanya akan wujud setelah empat unsur itu tersedia.
Itulah tiga bahagian diri manusia. Walau bagaimanapun, unsur roh itulah yang paling penting. Roh itu hidup. Tanpa ‘hidup’ lapisan yang dua lagi tidak berfungsi. Dengan adannya ROH barulah diri kita boleh berfikir, berkomunikasi, makan, minum, bermain, bergerak dan sebagainya. Tanpa roh segalanya akan kaku, mati, dan tiada berguna lagi.
Penjelasan ke- 53 (DUA UNSUR DIRI)
Ada juga orang yang berpendapat Diri manusia itu terbahagi kepada dua unsur sahaja iaitu rohaniah dan jasmaniah. Unsur rohaniah termasuklah nyawa atau jiwa, dan juga fikiran, minda, khayalan, akal, dan seumpamanya. Semua ini berunsur rohaniah atau kejiwaan.
Yang berunsur kejasmanian atau kebadanan ini termasuklah anggota badan kasar seperti kepala, badan, kaki, tangan, telinga, mata, dan sebagainya yang terdiri dari unsur-unsur api, angina, tanah dan air.
Kedua-dua unsur kejiwaan dan kebadanan ini saling bertindak antara satu dengan yang lain, saling pengaruh mempengaruhi antara satu dengan yang lain. Kalau seseorang itu hatinya susah, atau duka, perasaan ini boleh mempengaruhi jasmaninya seperti tidak lalu makan dan minum dan akibatnya badan jadi kurus dan tidak sihat. Sebaliknya pula kalau badan sakit, fikiran pun rungsing dan ini menyusahkan hati dan jiwa. Demikianlah adanya pengaruh mempengaruhi antara jasmani dan rohani.
Penjelasan ke- 54 (KENAL DIRI)
Setiap orang hendaklah seboleh-bolehnya kenal akan dirinya yang sebenar itu iaitu yang berunsur rohaniah atau kerohanian itu supaya ia tidak mensia-siakan hidupnya di dunia fana ini. Hidup kita bukan di dunia ini sahaja. Hidup kita akan berlanjutan hingga kekal abadi di akhirat yang tiada hujungnya. Disana nilai buruk atau baik bukan disukat dari segi kekayaan harta benda, banyaknya anak pinak, bukannya kurniaan bintang atau pingat atau pangkat yang diperolehi di dunia ini. Nilai baik dan buruk seseorang di sana bergantung kepada iman dan amal soleh seseorang itu.
Dengan kenalnya kita akan diri kita yang sebenar itu, kita tidak akan putus asa, tidak takut, tidak bimbang dalam melayari bahtera hidup kita ini. Ini kerana kita tahu diri kita adalah kekasih Allah. Takkanlah orang yang mengasihi seseorang itu akan menganiayai kekasihnya. Sebenarnya Allah kasih akan diri kita lebih dari ibu mengasihi anak kesayangannya. Ia Maha Kasih Sayang terhadap hamba-hambanya.
Dengan mengenal diri kita, tidaklah kita takabur, sombong, bongkak, dengki, iri hati, khianat kerana kita tahu siapa diri kita sebenarnya. Dinisbahkan dengan Allah SWT, kita tiada apa-apa, hanya ayat-ayatNya sahaja. Jika dinisbahkan dengan makhlukNya, diri kita adalah penguasa dan pengurus. Allah menjadikan alam dan makhluk untuk kita (sebagai insan) dan kita untuk Dia. Demikian kata Ahli Sufi.
Penjelasan ke- 55 (BADAN ZAHIR)
Badan kita yang zahir ini adalah penzahiran diri kita yang batin. Diri kita yang batin itu ghaib dari pandangan mata kasar. Untuk melihat yang batin itu diperlukan bayangannya iaitu diri kita yang zahir ini. Maka itulah dikatakan badan kasar itu hanya ‘sarung’ atau ‘tunggangan’ atau ‘sangkar’ bagi badan yang ghaib itu.
Apabila nyawa berpisah dari badan, maka tinggallah badan itu dan lama kelamaan jadi reput dan hancur kecuali dengan kehendak Allah ada juga badan yang tidak reput setelah lama nyawa meninggalkannya. Tetapi pada kebiasaan atau lumrahnya badan akan hancur binasa. Itulah dikatakan dari tanah kembali semula ke tanah.
Ada juga orang melihat dalam dunia ini ‘bayangan’ atau ‘lembaga’ orang yang telah lama meninggal dunia berlakon dan beraksi sebagaimana hidupnya dalam dunia dahulu. Itu bukanlah badan orang itu sebenarnya. Badannya telah hancur binasa. ‘bayangan’ atau ‘lembaga’ itu adalah dari unsur alam mithal. Alam mithal ini adalah alam yang halus, yang penghuninya atau kandungannya tidak hancur. Ia bukan roh semata-mata dan bukan pula badan semata-mata. Ia adalah antara kedua unsur itu.
Seperti yang kita jelaskan dahulu, diri kita terdiri dari tiga unsur iaitu unsur badan, yang akan hancur kecuali yang dikehendaki Allah untuk tidak hancur, unsur mithal yang tidak hancur tetapi tersimpan dalam ‘alam mithal’ dan unsur ketiga iailah roh dan ini selama-lamanya hidup, tidak hancur dan tidak kembali lagi ke dunia nyata ini.
‘Lembaga’ atau ‘bayangan’ orang yang telah mati yang kelihatan oleh orang dalam dunia ini dan berlaku seperti mana ia hidup di dunia dahulu, sebenarnya adalah berunsur mithaliyyah (mithal). Sesekali ia kelihatan oleh orang yang hidup dalam dunia ini persis seperti mana hidupnya dahulu, bahkan boleh pula berkata-kata dengan orang yang berada dalam dunia ini. Ini telah banyak terjadi di mana sahaja dalam dunia ini, baik di Barat atau di Timur.
Setelah kita faham alam yang tiga itu, maka tidaklah kita hairan kenapa ada orang yang mendakwa melihat si anu dan si anu padahal orang itu telah meninggal dunia. Alam mithal ini ada tetapi tidak kelihatan kecuali mereka yang dibukakan hijab untuk melihat alam itu dan para penghuninya.
Demikian teori sebahagian Ahli Sufi.
Penjelasan ke- 56 (MEGENAL AKU HAKIKI)
Untuk mengenal AKU yang hakiki itu perlu berusaha dengan sabar dan perlu panduan guru yang pakar dalam bidang kerohanian dan kesufian, dan banyak berfikir dan berzikir dan memohon taufik dan hidayah dari Allah SWT. AKU kita ini ibarat sagu, perlu dipecahkan ruyung, barulah dapat sagunya. Memecah ruyung itu hendaklah dengan petunjuk orang yang telah pakar memecahkan ruyung yang tahu cara bagaimana memecahnya dan alat pemecahnya pula mestilah yang sesuai.
Satu lagi ibarat, AKU yang hakiki yang dikatakan bayangan atau ayat atau penzahiran Yang Maha AKU (iaitu Allah) itu ibarat matlamat atau destinasi yang dituju. Sebelum sampai ke destinasi itu perlulah kita mengembara atau berjalan dengan kenderaan atau tanpa kenderaan menuju tempat yang di tuju itu. Supaya kita tidak tersesat, kita perlu si penunjuk jalan agar kita sampai ke tempat yang sebenarnya. Kita perlu pula kenderaan supaya cepat sampai, kalau berjalan kaki sahaja tanpa kenderaan lambatlah sampai. Setelah sampai perlulah kita mendapat pengesahan dari si penunjuk jalan bahawa tempat yang kita tuju itu telah sampai, maklumlah tempat yang kita tuju itu belum pernah kita lihat, mungkin kita was-was atau ragu-ragu adakah itu tempatnya. Setelah sah itulah tempat yang kita tuju, maka tamatlah pengembaraan kita. Apabila kita telah berada dalam tempat yang dituju itu, maka bebaslah kita menikmati dan merasai atau mengalami keadaan di tempat tersebut.
Seperti kata orang-orang sufi, ” Barangsiapa kenal dirinya akan kenal Tuhannya”. Mengenal Allah melalui mengenal diri itu adalah jalan atau cara orang-orang sufi. Ini bukan bererti diri kita itu sama dengan Tuhan. Diri kita tetap kita. Diri kita bukan Tuhan. Allah tetap Allah tanpa sekutu dengan yang lain. Diri kita tetap diri kita juga. Tetapi dengan mengenal diri itu dapatlah kita mengenal Allah.
Seperti yang kita jelaskan dalam penjelasan-penjelasan yang terdahulu, AKU atau diri kita ini adalah ayat-ayat atau tanda-tanda atau bayangan Tuhan. Zat Tuhan itu, digelar oleh Ahli Sufi sebagai ‘Kunhi Zat’ (semata-mata Zat), tidak sampai kedalam pengetahuan atau ilham atau kasyaf kita. Pendeknya ilmu dan kasyaf kita tidak sampai ke sana. Tetapi bayanganNya atau ayat-ayatNya atau penzahiranNya dapat kita kenali.
Matahari itu silau mata kita memandangnya tetapi bayangannya dalam air dapat kita pandang tanpa merosakkan mata. Angin tidak dapat dilihat tetapi kalau daun bergoyang itulah tanda adanya angin. Pedas tidak dapat dilihat, tetapi cabai atau cili dapat dilihat. Inilah perumpamaan atau ibarat. Fikirkanlah.
Kita ini ibarat bayang, daun, ladai tadi. Dengan melalui bayang dapat dikenali yang empunya bayang. Dengan melihat daun bergoyang, dapat diketahui adanya angin Dengan lada dapatlah kita merasai pedas.
Paling penting bertanyalah kepada orang yang ahli dalam bidang kerohanian dan kesufian ini. Janganlah ditanya kepada yang bukan ahlinya, kerana tiap-tiap ilmu itu ada ahlinya. Ahli ilmu itulah yang faham dan mengerti tentang ilmu yang diketahui dan diamalnya.

Penutup
Demikianlah serba ringkas tentang perkara AKU ini menurut pandangan Falsafah Kesufian. Sekiranya ada salah dan silap haraplah perbetulkan kerana penulis bukanlah seorang yang pakar dalam bidang ini, tetapi hanya sekadar ‘penterjemah’ yang menterjemahkan idea-idea dalam ilmu penterjemah yang singkat ini dalam bidang Falsafah Kesufian atau Falsafah Tasawuf ke dalam risalah ringkas ini dengan bahasa Malaysia yang mudah untuk difahami oleh orang awam.
Semoga risalah ringkas ini dapat menambahkan satu lagi perbendaharaan risalah dalam perpustakaan buku-buku atau risalah-risalah Kesufian atau Tasawuf dalam bahasa Malaysia untuk mereka yang tidak faham membaca buku-buku atau risalah-risalah Kesufian dalam bahasa lain.
Mudah-mudahan Allah sentiasa memberi taufik dan hidayah kepada kita sekalian.Amin, amin, Ya Rabbal’alamin.

Tiada ulasan: