Sebagaimana maklum, Firaun dengan segala kesombongan
dan kebongkakannya telah mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata
menyembah dan memperhambakan diri kepadanya.
Barangsiapa yang ingkar akan disiksa dan dibunuh.
Begitulah kejamnya Firaun dan kerajaannya. Namun begitu terdapat beberapa orang
yang telah sedar dan beriman kepada Allah di antaranya Siti Asiah, isteri
Firaun dan keluarga Masyitah. Masyitah adalah pelayan raja dan lebih terkenal
sebagai tukang sikat Firaun.
Mereka terpaksa menyembunyikan iman mereka kepada
Allah, dengan itu mereka tidak akan diganggu.Tetapi pada satu hari, sewaktu
Masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba
sikat itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja melatah dan menyebut
"Allah". Puteri tersebut apabila mendengar perkataan "Allah",
dia pun bertanya kepada Masyitah siapakah"Allah" itu. Masyitah pada
mulanya enggan untuk menjawab pertanyaan itu tetapi setelah didesak
berkali-kali, Masyitah memberitahu bahawa Allah itu adalah Tuhan yang Esa dan
Tuhan sekalian Alam.
Puteri itu dengan serta-merta mengadu pada Firaun
akan hal Masyitah itu. Firaun agak terperanjat bila mendengar Masyitah
menyembah Tuhan selain daripadanya. Maka Firaun dengan kekuasaan yang ada
padanya telah memerintahkan menterinya yang bernama Hamman untuk membunuh
Masyitah dan kaum keluarganya yang telah menyembah Allah. Firaun sedikit pun
tidak mengenang jasa Masyitah terhadap keluarganya. Selain menjadi tukang
sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana Firaun. Tetapi tanpa usul
periksa dan kejam Firaun menjatuhkan hukuman kepada Masyitah.
Inilah masanya untuk menguji Masyitah, seorang wanita
yang lemah fizikalnya tetapi memiliki kekuatan jiwa yang luar biasa. Beliau
dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia yang
tidak berhati perut itu. Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya untuk
menyediakan sebuah kawah yang besar untuk mencampakkan Masyitah dan keluarganya
yang ingkar dengan Firaun seandainya mereka tidak mahu kembali kepada Firaun.
Masyitah bersama dengan suami dan empat orang anaknya termasuk seorang anaknya
yang masih bayi dihadapkan ke hadapan Firaun untuk diberi kata dua sama ada
hendak menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas
yang mendidih. Maka dengan tegas Masyitah dan suaminya tetap mempertahankan
keimanan mereka dengan mengatakan Allah itulah Tuhan yang Esa dan Firaun
hanyalah manusia biasa.
Dengan keputusan itu, Hamman dengan tiada rasa peri
kemanusiaan mencampaksatu persatu keluarga Masyitah ke dalam kawah yang berisi
air panas yang mendidih. Sambih ketawa terbahak-bahak dengan nada yang
menyindir, Hamman mencampakkan suami Masyitah dahulu diikuti dengan
anak-anaknya yang lain.Masyitah melihat sendiri dengan mata kepalanya bagaimana
anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang panas menggelegak itu. Kini
tinggal Masyitah dan bayinya yang akan dicampakkan ke dalam kawah
tersebut.Syaitan membisikkan ke telinga Masyitah rasa was-was dan kasihan
melihat anaknya yang masih kecil itu disiksa sedemikian rupa. Masyitah mula
ragu-ragu samada hendak terjun ataupun tidak. Tetapi dengan kekuasaanAllah,
tiba-tiba anak yang masih bayi itu berkata-kata kepada ibunya, Masyitah :
"Wahai ibu, marilah kita menyusul ayah, sesungguhnya syurga sedang menanti
kita".Bila mendengarkan kata-kata yang sangat ajaib dari anaknya yang
masih bayi itu, dengan rasa
kehambaan dan cinta kepada Allah, Masyitah terjun
bersama anaknya ke dalam kawah yang berisi air panas itu dan matilah mereka
sekeluarga demi mempertahankan iman mereka kepada Allah.Tetapi Allah tidak
membiarkan manusia berbuat durjana sesuka hati.
Allah datangkan kepada Firaun, Hamman dan para
pengawalnya yang membunuh Masyitah dengan azab siksa yang sangat pedih. Allah
runtuhkan kerajaan Firaun dan Hamman mati di dalam runtuhan tersebut. Tentera dan
para pengawalnya ditenggelamkan di dalam dasar laut. Mereka mati di dalam
keadaan kafir. Sebaliknya Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan yang mulia
dan bahagia di dalam syurga. Sewaktu Rasulullah s.a.w Isra' dan Mikraj, baginda
telah melalui sebuah makam. Makam itu sangat wangi dengan bauan kasturi. Lantas
Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibril yang mengiringinya, maka jawab Jibril
a.s : "ItulahMakam Masyitah, salah seorang wanita penghulu syurga."
Begitulah keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah.
Walaupun tubuhnya dan tubuh keluarganya hancur, namun
di sisi Allah mereka sangat mulia. Wahai wanita yang mukmin, bersabarlah
menghadapi hidup di dunia ini. Kesusahan dan kekurangan, kata nista manusia dan
kejian di dalam membangunkan Islam itu hanyalah sementara. Bersabarlah dan
tenangkan hati dengan banyak mengadu dan mengharapkan keredhaan Allah.
Kuatkan iman dan sematkan di dalam hati kecintaan
kepada Allah dan Rasul itu melebihi dari segalanya. Patuh dan taat akan
perintah suami, didik anak-anak dengan Islam. Insya Allah kita akan selamat di
dunia dan akhirat. Marilah sama-sama mencontohi Masyitah yang sanggup
mengorbankan nyawanya dan nyawa keluarganya demi mendapatkan cinta kepada
Allah. Tidakkah kita ingin mengikut jejaknya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan