Alqomah merupakan seorang pemuda yang sangat rajin
beribadat. Pada suatu, dia jatuh sakit secara tiba-tiba. Isterinya menyuruh
seseorang memberitahu Nabi Muhammad tentang keadaan suaminya yang sakit kuat
dan dalam keadaan nazak sakaratul maut.
Apabila menerima berita ini, Nabi menyuruh Bilal,
Ali, Salama dan Amma melihat keadaan Alqomah. Apabila mereka sampai di rumah
Alqomah, mereka membantunya membacakan kalimah Lailaaha¬illah tetapi Iidah Alqomah
tidak mampu menyebutnya.
Setelah melihat keadaan Alqomah yang semakin
menghampiri akhir usia, mereka menyuruh Bilal memberitahu Nabi. Apabila Bilal
sampai di rumah Nabi, maka Bilal menceritakan segala hal yang berlaku di rumah
Alqomah.
Lalu Nabi bertanya kepada Bilal, “Apakah ayah Alqomah
masih hidup?”
Jawab Bilal, “Tidak, ayahnya sudah meninggal, tetapi
ibunya masih hidup dan sangat tua usianya.”
Kemudian Nabi berkata lagi, “Pergilah kamu menemui
ibunya dan sampaikan salamku. Katakan kepadanya kalau dia dapat berjalan, suruh
dia datang berjumpaku. Kalau dia tidak dapat berjalan, katakan aku akan ke
rumahnya.”
Apabila tiba di rumah ibu Alaqomah, ibunya mengatakan
bahawa dia ingin menemui Nabi. Lalu ibu Alqomah mengambil tongkat dan terus
berjalan menuju ke rumah Nabi. Sebaik tiba, dia memberi salam dan duduk di
hadapan Nabi.
“Ceritakan kepadaku perkara yang sebenar tentang
Alqomah. Jika kamu berdusta, nescaya akan turun wahyu kepadaku,” kata Nabi
kepada ibunya.
Berkata Nabi lagi, “Bagaimana keadaan Alqomah?”
Jawab ibunya, “Alqomah sangat rajin beribadat,
menunaikan sembahyang, berpuasa dan sangat suka bersedekah sehingga tidak
diketahui banyaknya.”
Nabi bertanya lai, “Bagaimana hubungan kamu dengan
dia?”
Jawab ibunya, “Aku sangat marah kepadanya.”
Lalu Nabi bertany, “Mengapa?”
“Kerana dia lebih mengutamakan isterinya daripada
diriku dan menuruti kata-kata isterinya sehingga dia menentangku.”
“Atas kemarahan kamu itulah, lidahnya telah terkunci
dari mengucap kalimah Lailahaillallah,” kata Nabi.
Kemudian Nabi menyuruh Bilal mencari kayu api utuk
membakar Alqomah. Apabila ibu Alqomah mendengar perintah tersebut, dia
bertanya, “Wahai Rasullullah, kamu hendak membakar anakku di depan mataku?
Bagaimana hatiku dapat menerimanya?”
Nabi berkata “Siksa Allah itu lebih berat dan kekal,
oleh itu jika kamu mahu Allah ampunkan dosa anakmu itu, maka hendaklah kamu
mengampuninya. Demi Allah yang jiwaku di tangannya, tidak akan berguna
sembahyangnya, sedekahnya, selagi kamu murka kepadanya.”
Maka berkata ibu Alqomah sambil mengangkat kedua
tangannya, “Ya Rasullullah, aku persaksikan kepada Allah di langit dan kau ya
Rasullullah dan mereka-mereka yang hadir di sini bahawa aku redha pada anakku
Alqomah.”
Kemudian Nabi mengarahkan Bilal pergi melihat Alqomah
sambil berkata, “Pergilah kamu wahai Bilal, lihat sama ada Alqomah dapat
mengucap La ilaha illallah atau tidak.”
“Aku khuatir, kalau-kalau ibu Alqomah mengucapkan itu
semata-mata kerana pada aku dan bukan dan hatinya,” sambung Nabi.
Apabila Bilal sampai di rumah Alqomah tiba-tiba
terdengar suara Alqomah menyebut, “La ilaha illallah.”
Lalu Bilal masuk sambil berkata, “Wahai semua orang
yang berada di sini. Ketahuilah sesungguhnya kemarahan seorang ibu menghalang
Alqomah dari mengucapkan kalimah La ilaha illallah. Dan kerana redha ibunyalah
maka Alqomah dapat menyebut kalimah syahadat.” Maka matilah Alqomah pada waktu
sebaik sahaja dia mengucap.
Apabila Nabi sampai di rumah Alqomah, mereka
segeralah mandi dan kafankan lalu disembahyangkan oleh Nabi. Sesudah dikuburkan
maka Nabi berkata sambil berdiri dekat kubur, “Wahai sahabat Muhajirin dan
Ansar. Sesiapa yang mengutamakan isterinya daripada ibunya, maka dia dilaknat
oleh Allah dan ibadat fardu dan sunatnya tidak diterima Allah.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan