Menurut Kalam Hikmah ke 24 ,
Imam Ibnu Athaillah Askandary
Manusia yang telah
memperolehi keinsafan dan hatinya sudah beransur bersih, dia akan cenderung
untuk mencari kesempurnaan. Dia
sangat ingin untuk melihat syariat Allah s.w.t menjadi yang termulia di atas
muka bumi ini. Dia sangat ingin melihat umat Nabi Muhammad s.a.w menjadi
pemimpin kepada sekalian umat manusia. Dia ingin melihat semua umat manusia
hidup rukun damai Dia inginkan segala yang baik-baik dan sanggup berkorban
untuk mendatangkan kebaikan kepada dunia. Begitulah sebahagian daripada
keinginan yang lahir di dalam hati orang yang hatinya sudah beransur bersih.
Tetapi, apa yang terjadi adalah kebalikan daripada apa yang menjadi hasrat
murni si hamba Allah s.w.t yang insaf itu. Huru hara berlaku dimana-mana.
Pembunuhan berlaku di sana sini. Umat Islam ditindas di merata tempat.
Kezaliman dan ketidak-adilan berlaku dengan berleluasa. Seruan kepada kebaikan
tidak diendahkan. Ajakan kepada perdamaian tidak dipedulikan. Perbuatan maksiat
terus juga dilakukan tanpa segan-silu.
Manusia dibahagikan kepada dua golongan
iaitu yang beriman dan yang tidak beriman. Golongan yang tidak beriman menerima
upah terhadap kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia ini lagi dan di
akhirat kelak mereka tidak boleh
menuntut apa-apa lagi dari Tuhan. Janganlah menghairankan dan
mendukacitakan sekiranya Tuhan membalas kebaikan mereka ketika mereka masih hidup
di dalam dunia dengan memberikan kepada mereka berbagai-bagai kelebihan dan
kemewahan. Mereka tidak berhak lagi
menuntut nikmat akhirat dan tempat kembali mereka di sana kelak ialah neraka
jahanam. Begitu juga janganlah menghairankan dan mendukacitakan sekiranya
orang-orang yang beriman dan beramal salih terpaksa menghadapi penderitaan dan
penghinaan semasa hidup di dunia. Dunia ini tidak layak menjadi tempat buat
Allah s.w.t membalas kebaikan mereka. Balasan kebaikan dari Allah s.w.t sangat
tinggi nilainya, sangat mulia dan sangat agung, tidak layak dimuatkan di dalam
dunia yang hina dan rendah ini. Dunia hanyalah tempat hidup, beramal dan mati.
Bila berlaku kiamat kita akan dibangkitkan dan menunggu kita adalah negeri yang
abadi.
JANGAN MENGHAIRANKAN KAMU LANTARAN TERJADI KEKERUHAN
KETIKA KAMU BERADA DI DALAM DUNIA KERANA SESUNGGUHNYA KEKERUHAN ITU TIDAK
TERJADI MELAINKAN KERANA BEGITULAH YANG PATUT TERJADI DAN ITULAH SIFATNYA
(DUNIA) YANG ASLI.
Hikmat yang lalu menyingkap halangan secara umum dan Hikmat 32 ini pula mengkhususkan kepada dunia
sebagai hijab yang menutupi pandangan hati terhadap Allah s.w.t. Halangan
inilah yang banyak dihadapi oleh manusia. Manusia menghadapi peristiwa yang
berlaku di dalam dunia dengan salah satu dari dua sikap iaitu sama ada mereka
melihat apa yang terjadi adalah akibat perbuatan makhluk ataupun mereka
memandangnya sebagai perbuatan Tuhan. Hikmat 32 ini menjuruskan kepada golongan
yang melihat peristiwa yang berlaku dalam dunia sebagai perbuatan Tuhan tetapi
mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Tuhan dalam perbuatan-Nya.
Si hamba tadi
melihat kekeruhan yang terjadi di dalam dunia dan merasakan seperti mata tombak
menikam ke dalam hatinya. Hatinya merintih, “Agama-Mu dipermainkan, di manakah
pembelaan dari-Mu wahai Tuhan! Umat Islam ditindas, di manakah pertolongan-Mu
Wahai Tuhan! Seruan kepada jalanMu tidak disambut, apakah Engkau hanya berdiam
diri wahai Tuhan! Manusia melakukan kezaliman, kemaksiatan dan kemunkaran,
apakah Engkau hanya membiarkan wahai Tuhan?” Beginilah keadaan hati orang yang
berasa hairan melihat kekeruhan kehidupan dunia ini dan dia tidak berkuasa
menjernihkannya. Allah s.w.t menjawab keluhan hamba-Nya dengan
firmanNya:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat:
“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya
(tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan
kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan
menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih memuji-Mu
dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu
tidak mengetahuinya”. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah )
Para malaikat sudah dapat membayangkan tentang kehidupan
dunia yang akan dijalani oleh makhluk berbangsa manusia sebelum lagi manusia
pertama diciptakan. Sifat dunia yang
dinyatakan oleh malaikat ialah huru-hara dan pertumpahan darah. Dunia adalah
ibu sementara huru-hara dan pertumpahan darah adalah anaknya. Ibu tidak
melahirkan kecuali anak dari jenisnya juga. Kelahiran huru-hara, peperangan,
pembunuhan dan sebagainya di dalam dunia adalah sesuatu yang seharusnya terjadi
di dalam dunia, maka tidak perlu dihairankan. Jika terdapat kedamaian dan
keharmonian di sana sini di dalam dunia, itu adalah sagu-hati atau kelahiran yang tidak mengikut sifat
ibunya. Seterusnya Allah s.w.t menceritakan tentang dunia:
Allah berfirman,
“Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang
lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi
kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)”. ( Ayat 24 : Surah al-A’raaf )
Allah berfirman
lagi : “Di bumi itu kamu hidup dan di situ juga kamu mati, dan daripadanya pula
kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)”. ( Ayat 25
: Surah al-A’raaf)
Tiap-tiap yang
bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan
disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan
dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya
ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala
kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi
orang-orang yang terpedaya. ( Ayat 185 :
Surah a-li ‘Imraan )
Allah s.w.t menerangkan dengan jelas tentang
sifat-sifat dunia yang dihuni oleh manusia. Manusia bermusuhan sesama sendiri,
saling rosak merosakkan dan kesenangannya adalah tipu daya. Segala perkiraan
dan pembalasan yang berlaku di dalam dunia ini tidak sempurna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan