Catatan Popular

Sabtu, 8 September 2018

UNTAIAN KISAH PARA WALI ALLAH KE 35 Pengalaman Al Arif Billah Syekh Abdul Wahid bin Zaid


Penyakit yang menimpa diri Syeikh Abdul Wahid cukup merunsingkan dirinya. Dia ditimpa sakit bisul di bahagian kakinya. Awalnya ketika mula membengkak sudah terasa berdenyut-denyut sakitnya. Bahkan keadaan itu semakin lama semakin teruk. Sangatlah menderita kerana sedikit pergerakan sahaja pun akan menjadikan seluruh badannya kesakitan akibat besarnya bisul yang terjadi.

Bisul itu akhirnya pecah tetapi tidak sepenuhnya keluar. Ada 'matanya' yang masih tersimpan di dalam. Akibatnya Syeikh Abdul Wahid semakin tersiksa dan sulit hendak mengerjakan ibadah. Nanah bercampur darah sentiasa mengalir keluar. Busuk hanyirnya tambah menyiksakan 

Bagi seorang ahli ibadah seperti Syekh Wahid, keadaan seperti itu sudah tentu serba sedikit mengganggu, terutama ketika sembahyang. Walau pun begitu, beliau tetap menepati waktu-waktu solat dan tidak mengurangi solat malamnya.

Pada suatu malam, bisul itu terasa berdenyut-denyut bagaikan disayat-sayat dengan sembilu, namun dia tetap memaksa dirinya untuk sembahyang tahajjud dalam keadaan sakit. Selepas sembahyang dia berdo'a kepada Allah memohon ampun dan rahmatNya. Munajat dan rintihannya di malam itu sungguh-sungguh berharap agar penyakitnya sembuh dengan segera.

Ketika sedang berdo'a itu, bisulnya terus berdenyut-denyut dan terasa panas membara. Dia merasa sudah tidak sanggup bertahan berlama-lama dalam munajatnya. Sakit itu sangat menyulitkannya. Maka dia pun segera beredar dari mihrabnya. Hatinya berkata, rehatlah sekejap sementara menantikan sakitnya reda.

Lalu dibukanya kain ridaknya, dilipat-lipat kemudian di letakkan dibawah kepalanya sebagai bantal. Dia pun berbaring dalam keadaan menahan sakit sekira-kira jika sudah beransur kurang sakitnya, dia akan bangun kembali bersembahyang. Tidak lama kemudian, keletihan dan kesakitan itu menyebabkan dia tertidur.

Rupanya sebaik-baik sahaja matanya terlelap selepas tahajjud itu, dia sudah terpindah ke suatu mimpi indah yang sangat menyeronokkan. Mimpi itu begitu cepat menjelma di depan matanya. Dia terpaku melihat suasana mimpinya kerana secara tiba-tiba, seorang wanita yang tidak diketahui dari mana arah datangnya muncul di hadapannya. Wajah wanita muda itu tersangat cantik. Tidak pernah dia melihat makhluk tuhan - dari jenis manusia / wanita - secantik itu.

Syeikh Abdul Wahid sebenarnya masih merasakan bisulnya yang sudah pecah dengan darah-nanah yang masih mengalir. Bahkan dia sedar darah-nanah itu semakin deras alirannya membasahi sekujur badannya. Tetapi semua itu hilang sekelip mata sebaik dia terpandang wajah wanita muda yang luar biasa cantiknya itu.

Ketika itu fikirannya melayang ke syurga disebabkan kecantikan wajahnya dan keindahan bentuk tubuhnya. Dia difahamkan di dalam mimpi itu bahawa wanita itu adalah jariahnya yang didatangkan Tuhan dari syurga. Kagumlah dia dengan jariah atau bidadari yang cantik tidak terperi itu.

Jariah itu rupanya diiringi pula oleh beberapa jariah lain yang tidak kurang cantiknya juga. Tubuh badan mereka sangat halus, bercahaya dan sangat mengasyikkan. Tidak jemu dia memandangnya. Mereka semua melangkah dengan indah dan berhati-hati mendekati tubuh Syeikh Wahid yang keletihan dan kesakitan.

“Wahai teman-teman! Mari kita angkat tubuh ini,” kata jariah yang menjadi awal tadi. Dialah ketua mereka. “Awas jangan sampai dia terjaga,” katanya lagi.

Maka semua jariah yang menjadi pengiringnya mendekati Syeikh Abdul Wahid dan mengangkatnya perlahan-lahan. Semua gerakan mereka itu dapat dilihat dengan jelas oleh Syeikh Abdul Wahid dalam tidurnya bahkan dia terasa lembutnya tangan mereka menyentuhnya dan sangat berhati-hati supaya dia tidak terjaga.

“Wahai kamu, sila bentangkan permaidani di bawah tubuhnya!” kata yang menjadi ketua itu kepada seorang jariah yang lain. Jariah tersebut mengikut arahan dan membawa tujuh helai permaidani yang sangat indah dan dibentangkan di bawah tubuh Syeikh Abdul Wahid. Kemudian dengan perlahan-lahan tubuh beliau diturunkan dan dibaringkan di atas tujuh lapis hamparan permaidani itu.

Selain itu mereka meletakkan pula bantal dan guling di sekeliling kepala lelaki itu. Syeikh Wahid yang pura-pura tidur dapat melihat semua benda-benda cantik yang dibawakan mereka yang belum pernah dilihatnya selama ini. Entah dari mana mereka mendapatkannya, tiadalah dia tahu. Hanya Allah sajalah yang maha mengetahui. Ketua jariah itu terus saja memberikan arahan-arahan kepada anak-anak buahnya. Semua para pengiringnya itu tidak pernah cuai dalam melaksanakan tugas mereka.

“Baiklah, sila taburkan pula wangi-wangian ke tubuh lelaki ini!” katanya memberikan arahan selanjutnya. Para pengiringnya itu segera beredar dan sekejap kemudian telah datang dengan membawa bunga Yasmin yang semerbak wanginya dan ditaburkan di atas permaidani yang ditiduri Syekh Wahid. Maka wangilah semua tempat itu.

Setelah kerja-kerja yang dilakukan pengiringnya sudah cukup sempurna, ketua jariah mendekati tubuh Syeikh Abdul Wahid dan meletakkan tangannya di atas kaki beliau yang terkena bisul. Dengan sangat lembut dan perlahan-lahan, dia mengurut dan mengusap tempat yang sakit itu. Syeikh Abdul Wahid dapat merasakan kelembutan usapannya. Tidak pernah beliau merasakan kelembutan yang sangat memukau itu.

“Tuan, sekarang sila bangun! Allah telah menyembuhkan penyakit tuan,” katanya dengan lembut. Kemudian dia berkata lagi, "Sekarang sembahyanglah dengan tenang tanpa merasa ada gangguan lagi.”  Syeikh Abdul Wahid pun terus terjaga dari tidurnya. Beliau mengusap-ngusap matanya dan melihat di sekeliling. Ternyata tidak ada apa-apa pun di sekitarnya. Jariah-jariah atau para bidadari cantik yang merawatnya tadi juga tidak kelihatan.

“Ah....rupanya aku bermimpi,” kata Syeikh Abdul Wahid dalam hatinya. Tetapi alangkah terkejutnya apabila dia melihat pada kakinya yang ditumbuhi bisul ternyata sembuh seperti sediakala. Kaki itu didapati sihat seperti tidak pernah mengalami apa-apa penyakit. Rupanya Allah telah mengubat penyakitnya dikala dia tidur di tempat tahajjudnya.

Syekh Wahid bertakbir lalu bersujud syukur memuji kebesaran Allah. Mimpi manis itu tidak pernah beliau lupakan selama hidupnya. Kata-kata jariah “Sila bangun! Allah telah menyembuhkan penyakit tuan" terasa masih terngiang-ngiang di telinganya sepanjang dia hidup. Selepas itu, beliau tidak pernah lagi merasakan sakit bisul dan bertambah tenang hatinya untuk beribadah kepada Allah yang maha besar.

Demikianlah layanan Tuhan kepada salah seorang kekasihNya dalam menempuh kesakitan. Semoga kisah ini menyingkap hati kita untuk merasakan wujudnya makhluk-makhluk alam ghaib yang sentiasa mendatangi kita setiap masa. Setiap kali kita merintih dan mengadu padaNya, Tuhan menghantar para malaikat dan ruh-ruh suci mendatangi kita. Mereka turut mendoakan kita dan 'merawat' hati-hati kita untuk bersabar dan tenang menghadapi kesulitan..

Inilah yang dimaksudkan Tuhan maha mendengar, maha melihat. Hanya orang-orang tertentu yang Tuhan perlihatkan kebesaranNya itu sebagai hiburan kepada mereka. Ianya juga menjadi pendorong semangat untuk beribadah mengabdikan diri kepadaNya. 


Tiada ulasan: