Kisah ini diceritakan
sendiri oleh Atha' bin Al-Azraq. Pada suatu hari isteri Atha' menyuruhnya pergi
ke pasar untuk membeli gandum kerana gandum di rumahnya telah habis. Setelah
isterinya memberi wang sebanyak 2 dirham, Atha' mengambil karung guni dan
berjalan menuju ke pasar.
Di dalam perjalanan dia
mendapati seorang hamba sahaya sedang menangis. Orang ramai yang lalu lalang di
situ tidak mempedulikan hamba tersebut. Oleh kerana kasihan melihat keadaan
hamba tersebut, Atha' menghampiri hamba yang sedang menangis itu lalu bertanya:
"Kenapa kamu menangis di tepi jalan ini?" Hamba itu menjawab:
"Saya diberi wang sebanyak 2 dirham oleh tuan saya supaya membeli barang
keperluan di pasar. Apabila tiba di sini, saya dapati wang itu sudah
tiada." Hamba tadi menangis lebih kuat lagi seraya menyambung:
"Mungkin wang itu tercicir semasa dalam perjalanan kemari."
Atha' bertanya lagi:
"Kenapa kamu tidak pulang saja dan memberitahu tuanmu tentang kehilangan
wang tersebut?." Sambil menangis hamba tadi menjawab: "Jika saya
pulang dan memberitahu tentang kehilangan wang tersebut, tentulah saya dimarahi
dan dipukul dengan teruk". Atha' merasa simpati di atas penjelasan hamba
itu lalu berkata: "Ambil wang ini dan belilah barang-barang yang dipesan
oleh tuanmu." Hamba tadi mengambil wang itu dan mengucapkan terima kasih
kepada Atha' lalu beredar dari situ menuju ke pasar untuk membeli barang-barang
yang dipesan oleh tuannya.
Setelah hamba tadi beredar
dari situ Atha' berfikir sendirian: "Bagaimana aku hendak membeli gandum
yang dipesan oleh isteriku sedangkan wang 2 dirham telah aku berikan kepada
hamba tadi?" "Dari mana aku hendak mencari wang sebanyak itu?"
katanya lagi. Untuk menenangkan fikirannya, Atha' menuju ke sebuah masjid yang
berhampiran untuk menunaikan solat sunat. Atha' berada di dalam masjid agak
lama, sehingga beliau sempat bersolat Asar di situ. Beliau berdoa supaya Allah
SWT membantunya.
Setelah selesai solat
Asar, Atha' menuju ke rumah kawannya kerana ia takut dileteri oleh isterinya
kerana pulang tanpa membawa gandum yang dipesannya. Pada mulanya Atha' ingin
menceritakan dan meminta bantuan daripada kawannya tetapi apabila tiba di rumah
kawannya, ia tidak tergamak untuk memberitahu hajatnya. Apabila kawannya
melihat Atha' membawa karung kosong, lalu kawannya bertanya: "Apa tu?
Karung kosong?" jawab Atha': "Ya" "Kalau begitu isilah
habuk kayu ini dan bawalah pulang untuk dijadikan bahan bakar," kata
kawannya. Tanpa berkata apa-apa, Atha' terus mengisi karung guni dengan habuk
kayu yang diberikan oleh kawannya dan terus pulang ke rumahnya.
Apabila tiba dirumahnya,
Atha' meletakkan guni yang berisi habuk kayu tadi di rumahnya dan beredar dari
situ dengan senyap-senyap kerana takut isterinya berleter disebabkan karung
tersebut telah diisi dengan habuk kayu. Atha' kemudian menuju ke masjid. Agak
lama juga beliau berada di sana sehingga hampir larut malam barulah dia pulang.
Setibanya di rumah, dia tercium bau harum roti yang sedang dibakar. Atha' kemudiannya
masuk ke dapur dan melihat isterinya sedang membakar roti lalu berkata:
"Harumnya bau roti ini!" Jawab isterinya: "Memanglah kerana
gandum ini dari kualiti yang baik". Atha' bertanya lagi: "Dari mana
kamu dapat tepungnya?" "Dari mana lagi, dari karung yang awak bawa
baliklah!", jawab isterinya. Atha' kehairanan lalu berkata di dalam
hatinya: "Dari mana datangnya gandum itu sedangkan karung tadi berisi
dengan habuk kayu. Ajaib sungguh!"
Atha' bertanya kepada
isterinya: "Mana karungnya? Biar aku lihat.." Isterinya menghulurkan
karung tadi dan dilihatnya. "Memang benar, karung tadi yang berisi habuk
kayu telah bertukar menjadi gandum yang berkualiti baik," kata Atha' di
dalam hatinya. Atha' hanya mampu memandang sahaja sedangkan dia sendiri tidak
tahu dari mana datangnya gandum tersebut.
Begitulah jika kita
sentiasa merendah diri, beriman dan bertawakkal kepada Allah SWT...
Firman Allah SWT: “Dan
bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pemelihara.” (QS
Al-Ahzab: 33)
Allah SWT juga berfirman:
“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah sedang ia berusaha
mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan yang
teguh dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (QS Luqman: 22)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan