Menurut Kalam Hikmah ke 37
Al-Arifbillah
Syeikh Ahmad Ibnu Athaillah As kandary:
“Sememangnya Allah SWT itu tetap ada dan tidak ada sesuatu
bersama kewujudanNya. Dia sekarang ini Maha Wujud dan Maha Tunggal kewujudanNya
itu.”
• Sifat yang wajib di sisi Allah SWT ialah
kemahaesaanNya dan ketunggalanNya.Kemahaesaan itu pada zatNya,pada sifatNya dan
pada perbuatanNya.
• Kemahaesaan dan ketunggalan Allah itu
sendiri selaras dengan logika akal manusia lantaran sifat yang berbilang-bilang
akan mencetuskan kekeliruan dan perbalahan.Mustahil di sisi akal bahawa
ketuhanan itu berbilang,bersekutu dan bersyarikat dengan pihak yang lain.
Sehubungan ini Allah SWT berfirman :
Maksudnya :
Kalau ada di langit dan di bumi Tuhan-tuhan yang lain dari Allah,nescaya
rosaklah pentadbiran kedua-duanya.Maka bertauhidlah kamu kepada Allah dengan
menegaskan : Maha Suci Allah,Tuhan yang mempunyai ‘arasy,dari apa yang mereka
sifatkan. ( Surah al-Anbiya` ayat 22 )
Akal kita sendiri tidak dapat menerima bahawa zat
Allah tersusun sebagaimana makhlukNya.Umpamanya manusia tersusun dari
daging,tulang,darah dan sebagainya.Lantaran sifat yang tersusun adalah sifat
benda yang baharu,sedangkan Allah bukan benda.Dia tidak mengambil ruang dan
masa.Sedangkan masa dan ruang adalah makhluk ciptaanNya belaka.
Wahdaniah atau keesaan pada sifat Allah bermaksud
bahawa tidak ada pada sekalian makhluk yang maujud ini bersifat dengan
sifat-sifat yang menyerupai Allah.Misalnya sifat kudrat Allah adalah tetap
satu.Demikian juga sifat-sifat kesempurnaan Allah yang lain juga satu dan tidak
ada suatu juapun yang menyerupaiNya.
Wahdaniah atau keesaan pada perbuatan Allah bermaksud
bahawa Allah SWT itu Maha Esa pada seluruh perbuatanNya,yakni seluruh perbuatan
yang terjadi ke atas seluruh makhlukNya.
Seluruh perbuatan makhluk bersifat baharu dan
disebut al-kasbu yang berertu usaha dan ikhtiar.Usaha dan ikhtiar makhluk tidak
akan memberi bekas.Tetapi apa yang memberi bekas ialah ketentuan dan kudrat
Allah SWT semata-mata.
Usaha dan ikhtiar makhluk sentiasa dipertimbangkan
oleh kudrat dan iradat Allah yang
menentukan keberhasilan sesuatu perkara.Sehubungan ini Allah SWT menegaskan :
Maksudnya :
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang itu melainkan hasil
apa yang diusahakannya;Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan
kepadanya pada hari qiamat kelak;Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan
yang amat sempurna;Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmulah kesudahan
segala perkara. ( Surah al-Najm ayat 39-42 )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan