Syeikh Abdul Wahid bin Zaid adalah seorang wali Allah yang suka mengembara dan berdakwah ke satu tempat khususnya tempat yang belum pernah dia sampai. Pada suatu hari dia mengembara ke suatu tempat dengan menaiki sebuah perahu layar. Apabila sampai di tengah lautan tiba-tiba datang ribut taufan sehingga menghanyutkan perahunya dan dia terdampar ke sebuah pulau.
Di pulau itu Syeikh Abdul Wahid berjumpa dengan seorang lelaki yang asyik
menyembah berhala. Setelah menunggu agak lama beliau akhirnya berkesempatan
berkenalan dengan lelaki tersebut dan berbual serta bertukar-tukar fikiran.
Setelah memperkenalkan dirinya Syeikh Abdul Wahid bertanya kepada lelaki itu :
"Wahai lelaki ! Apakah yang engkau sembah tu ? "Tegur Syeikh Abdul
Wahid.
"Aku menyembah Tuhanku ini", jawab lelaki itu sambil tangannya
menunjukkan sebuah berhala yang berada tidak jauh dari situ.
"Siapa yang buat berhala Tuhanmu ini ?", tanya Syeikh Abdul Wahid.
"Aku sendiri yang membuatnya", lelaki itu menjawab secara spontan.
"Kalau begitu engkau sendirilah yang membuat tuhanmu itu ? Akupun boleh
buat benda seperti yang engkau sembah ini, bahkan lebih banyak daripada itu pun
aku mampu", perli Syaikh Abdul Wahid.
"Berhala ini engkau sendiri yang membuatnya, engkau pula yang
menyembahnya. Wahai lelaki, berhentilah daripada perbuatan yang sia-sia
ini,"sambung beliau lagi.
Lelaki itu yang pada mulanya merasa bangga dengan tuhannya, mulai bingung
apabila tetamu yang tidak diundang itu seolah-olah menghalang perbuatannya
menyembah berhala selama ini.
"Lalu siapa yang engkau sembah?" Lelaki itu minta kepastian daripada
Syeikh Abdul Wahid.
"Aku menyembah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Dia yang
menghidupkan dan Dia juga yang mematikan. Namanya sangat Agung dan mulia dan
Dialah Tuhan yang sebenar-benarnya yang wajib kita sembah", terang Syeikh
Abdul Wahid.
"Wahai Tuan Syeikh, siapakah yang mula-mula mengajar kamu mengenal Tuhanmu
itu ?" tanya lelaki penyembah berhala itu.
"Tuhanku telah mengutuskan seorang Rasul; pesuruhNya kepada kami,
beliaulah yang mengajar kami tentang Dia" terang Syeikh Abdul Wahid.
"Lalu apa yang dibuat oleh Rasul tadi?", tanya lelaki itu ingin tahu.
"Setelah Rasul itu menyampaikan semua wahyu yang diturunkan oleh Tuhan
Yang Maha Agung itu dengan sempurna dan lengkap maka dia pun wafat",
Syeikh Abdul Wahid menerangkan kepada lelaki tadi.
"Adakah tanda-tanda atau peninggalan Rasul itu padamu
sekarang?"Penyembah berhala itu bertanya kepada Syeikh Abdul Wahid.
Syeikh Abdul Wahid berkata; "Ya ada. Tuhan Yang Maha Agung itu telah
menurunkan kitab suci al-Qur'an kepadanya untuk dijadikan pedoman dan panduan
hidup umat manusia di dunia dan di akhirat."
"Cuba engkau tunjukkan kitab itu kepadaku, biasanya kitab seorang raja itu
sangat indah dan menarik", lelaki itu berkata seorang diri apabila meminta
kitab al-Qur'an daripada Syeikh Abdul Wahid.
Syeikh Abdul Wahid yang sentiasa membawa kitab suci al-Qur'an ke mana-mana
segera memberikannya. Lelaki penyembah berhala itu membelek-belek Mushaf
tersebut sambil memerhatikan tulisan dan hurufnya satu persatu walaupun dia
tidak dapat membacanya kerana beliau tidak mengenali huruf-huruf Arab.
"Wahai Sheikh, aku tidak tahu apa isi kandungan di dalamnya, bolehkah
engkau membacakan untukku?" Pinta lelaki itu.
Kemudian Syeikh Abdul Wahid membacakan sebahagian daripada surah di dalam kitab
al-Qur'an tersebut. Sedang lelaki penyembah berhala itu mendengar dengan
khusyu', tiba-tiba dia menangis tersedu-sedu sehinggalah Syeikh Abdul Wahid
sempat menghabiskan bacaan surah tersebut. Tangisannya tidak dapat
ditahan-tahan lagi.
"Wahai Tuan Syeikh, aku mohon maaf, Kalam itu betul-betul menyentuh hati
sanubariku. Maka tidak patut kita berpaling daripadaNya",katanya sebaik
saja Syeikh Abdul Wahid selesai membaca al-Qur'an tersebut.
Ekoran daripada peristiwa itu, terbukalah pintu hati penyembah berhala
tersebut, dengan turunnya hidayah Allah kepadanya. Demi kebesaran Tuhan Yang
Maha Agung diapun secara sukarela memeluk Islam dengan mengucapkan dua kalimah
syahadah di hadapan Syeikh Abdul Wahid.
Sejak lelaki itu memeluk Islam Syeikh Abdul Wahid mengajar syariat Islam
seperti tauhid, ibadah, akhlak, membaca al-Qur'an dan sebagainya. Ajaran-ajaran
itu diikuti dan dikerjakannya dengan tekun dan sabar sehinggalah dia menjadi
seorang penganut Islam yang sangat taat akan ajarannya dan seorang yang salih.
Apabila mengerjakan ibadat sembahyang , dia biasanya berjemaah bersama-sama
Syeikh Abdul Wahid.
Pada
suatu malam sesudah mengerjakan sembahyang Isya', dia bersama-sama Syeikh Abdul
Wahid bersiap-siap untuk tidur, tiba-tiba dia berkata:" Wahai tuan Syeikh,
apakah Tuhan yang tuan perkenalkan kepadaku itu tidur juga di waktu
malam?"
"Wahai hamba Allah! Ketahuilah bahawa Tuhan Allah itu Maha Agung, Dia Yang
Maha Hidup, Dia tidak pernah mengantuk dan tidak sekali-kali tidur."
Terang Syeikh Abdul Wahid.
"Wahai hamba Allah ! alangkah buruknya menjadi hamba seperti kita yang
sentiasa mengantuk dan tidur sedangkan Tuhan kita tidak pernah mengantuk dan
tidur, "jelas lelaki itu.
Syeikh Abdul Wahid sangat kagum terhadap kata-kata lelaki itu. Baru saja masuk
Islam, ruh keislamannya sudah begitu meresap di lubuk hatinya sehingga dapat
mengeluarkan kata-kata seperti seorang ahli sufi.
Setelah beberapa lama tinggal di pulau itu, tibalah masanya Syeikh Abdul Wahid
ingin kembali ke negeri asalnya. Apabila beliau menyampaikan hasratnya kepada
lelaki itu, ternyata lelaki itu merasa sedih di atas kepulangan Syeikh Abdul
Wahid dan minta dia dibawa bersama.
Setelah melihat kesungguhan lelaki itu mahu mengikutinya, mahu tidak mahu
terpaksa juga dibawanya saudara baru itu pulang bersama-sama dengannya.
Tatakala sampai ke negerinya, lalu Syeikh Abdul Wahid memperkenalkannya kepada
saudara-saudara Islam yang lain.
"Wahai teman-teman sekalian ! Ini adalah saudara baru kita yang baru saja
memeluk agama Islam", kata Syeikh Abdul Wahid.
Kaum muslimin yang lain mengalu-alukan dan mengucapkan selamat kepada saudara
baru tersebut dan di atas kesedaran ukhuwah Islamiah, mereka mengutip derma
untuk diberikan kepada lelaki tersebut.
"Eh..apa ini?" Tanya lelaki itu kepada Syeikh Abdul Wahid ketika
kutipan derma tersebut diserahkan kepadanya.
"Ini ada sedikit derma untuk perbelanjaan engkau", jawab salah
seorang daripada hadirin.
............., kamu semua telah menunjukkan aku ke jalan yang benar dan jalan
yang diredhai oleh Allah, yang mana sebelum ini aku tinggal di sebuah pulau,
Dia Tuhan yang tidak pernah mengabaikan aku, sekalipun ketika itu aku menyembah
selain daripadaNya (berhala). Sekarang ini setelah kamu semua tunjukkan aku ke
jalanNya dan aku mengenalNya, apakah dia akan mengabaikan aku begitu
saja?" tanya lelaki itu dengan penuh perasaan.
Semua hadirin termasuk Syeikh Abdul Wahid tertunduk kagum akan kekuatan iman
lelaki ini, kerana dia sekali-kali tidak sudi menerima kutipan derma tersebut
kerana anggapannya selama ini Allah sentiasa memeliharanya walaupun ketika itu
dia menyembah berhala. Inikan pula dia sudah menjadi seorang Islam yang kuat
berpegang dengan ajaran-ajarannya, apakah Allah akan mensia-siakannya. Dengan
kata lain dia sekali-kali tidak mengharapkan bantuan lain selain daripada
Allah.
Tiga hari selepas peristiwa itu ada orang datang menyampaikan berita bahawa
lelaki itu sedang sakit. Mendengar berita itu Syeikh Abdul Wahid dan kaum
muslimin yang lain pun datang menziarahinya.
"Wahai hamba Allah, apakah engkau ada sesuatu hajat yang perlu disampaikan
kepadaku? "Tanya Syeikh Abdul Wahid.
"Semua hajatku telah tertunai dengan kedatanganmu ke pulau itu",
suara lelaki itu tersekat-sekat menahan sebak.
Tiba-tiba Syeikh Abdul Wahid merasa mengantuk dan tertidur di sisinya. Dalam
tidurnya itu dia bermimpi melihat sebuah taman yang sangat indah dengan
tanam-tanaman yang sentiasa menghijau. Di tengah-tengahnya terdapat sebuah
kubah yang di dalamnya disediakan sebuah katil yang siap ditunggu oleh
bidadari-bidadari yang tidak ada tolok banding cantik dan indahnya.
Tiba-tiba bidadari itu bersuara : Dengan nama Allah ! Alangkah baiknya kalau
dia segera datang kepadaku. Aku sungguh rindu kepadanya.
Syeikh Abdul Wahid terjaga daripada tidurnya dan didapati lelaki itu baru saja
meninggal dunia di sisinya. Dengan perasaan yang sangat sedih beliau segera
memanggil kaum mislimin bagi pengurusan jenazahnya.
Di sebelah malamnya Syeikh Abdul Wahid bermimpi lagi, dia melihat taman yang
sama sebagaimana mimpinya yang pertama. Dalam taman tersebut juga terdapat
kubah yang sangat indah yang di dalamnya terdapat sebuah katil yang ditunggu
oleh para-bidadari. Tapi bertambah terkejutnya Syeikh Abdul Wahid kerana kali
ini bidadari-bidadari tersebut sedang mendampingi lelaki yang baru meninggal
petang tadi. Masya Allah...
Sambil bermesra dengan bidadari-bidadari itu lelaki tadi membaca firman Allah
Subhanahu Wata'ala dalam surah Ar-Ra`d, ayat 23-24 :
"Sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu
(sambil mengucapkan) : Salamun `Alaikum Bima Shabartum (Keselamatan atas berkat
kesabaranmu)." Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu."
Begitulah jika Allah menghendaki sesuatu kebaikan terhadap hambaNya, ternyata
dalam sekelip mata saja seorang saudara baru, yang sebelumnya, penyembah
berhala boleh menjadi kekasihNya buat selama-lamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan