Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal. Beliau adalah Imam yang keempat dari fuqahak Islam. Beliau memiliki sifat-sifat yang luhur dan tinggi. Ahmad bin Hanbal dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164H. Beliau termasyhur dengan nama datuknya Hanbal, kerana datuknya lebih masyhur dari ayahnya.
Ibnu Hanbal hidup dalam keadaan miskin, kerana
ayahnya hanya meninggalkan sebuah rumah kecil dan tanah yang sempit. Beliau
terpaksa melakukan berbagai pekerjaan. Beliau pernah bekerja di tempat tukang
jahit, mengambil upah menulis, menenun kain dan kadangkala mengambil upah
mengangkat barang-barang orang. Beliau lebih mementingkan makanan yang halal
lagi baik dan beliau tidak senang menerima hadiah-hadiah.
Ketika ia masih berumur 14 tahun, Ahmad bin Hanbal
telah belajar mengarang dan menghafal Al-Quran. Beliau bekerja keras dalam
menuntut ilmu pengetahuan. Sebagai seorang ulama yang sangat banyak ilmunya,
Ibnu Hanbal pun seorang yang teguh imannya, berani berbuat di atas kebenaran.
Dia tidak takut bahaya apa pun terhadap dirinya di dalam menegakkan kebenaran
itu. Kerana Allah memang telah menentukan bahawa setiap orang yang beriman itu
pasti akan diuji keimanannya. Termasuk juga para nabi dan rasul yang tidak pernah
lepas dari berbagai ujian dan cubaan.
Ujian dan cubaan berupa fitnah, kemiskinan,
seksaan dan lain-lainnya itu selalu akan mendampingi orang-orang yang beriman
apalagi orang yang menegakkan kebenaran. Demikian juga halnya dengan Imam
Hambali, terlalu banyak bahaya yang dihadapinya dalam berjuang menegakkan
kebenaran agama. Ujian itu datangnya bermacam-macam kadangkala dari musuh kita
dan dapat juga timbul dari kawan-kawan yang merasa iri dengan kebolehan
seseorang.
Imam Hanbali berada di zaman kekuasaan kaum
Muktazilah yang berpendapat bahawa Quran itu adalah makhluk. Pendirian ini
begitu kuatnya di kalangan pemerintah, sehingga barangsiapa yang bertentangan
pendirian dengan pihak pemerintah tentu akan mendapat seksaan. Sebelum
Al-Makmun ini, yakni di zaman sultan Harun Al-Rasyid, ada seorang ulama bernama
Basyar Al-Marisy berpendapat bahawa Quran itu adalah makhluk. Baginda Harun
Al-Rasyid tidak mahu menerima pendapat tersebut. Bahkan terhadap orang yang
berpendapat demikian akan diberi hukuman. Kerana ancaman itu akhirnya Basyar
melarikan diri dari Baghdad.
Sultan Harun Al-Rasyid pernah berkata: “Kalau
umurku panjang dan masih dapat berjumpa dengan Basyar nescaya akan kubunuh dia
dengan cara yang belum pernah aku lakukan terhadap yang lain? Selama 20 tahun
lamanya Syekh Basyar menyembunyikan diri dari kekuasaan Sultan.
Tetapi setelah Sultan Harun Al-Rasyid meninggal
dunia, kemudian diganti dengan puteranya Al-Amin barulah Syekh Basyar keluar
dari persembunyiannya. Kembali ia mengeluarkan pendapatnya itu, bahawa Quran
itu adalah makhluk. Al-Amin juga sependirian dengan ayahnya tidak setuju dengan
pendapat tersebut. Ia mengancam berat terhadap orang yang mengatakan Quran itu
makhluk.
Kemudian kepala negara pindah lagi ke tangan
saudara Al-Amin iaitu Al-Makmun. Di zaman pemerintahan Al-Makmun inilah
pendapat tentang Quran itu makhluk mula diterima. Al-Makmun sendiri telah
terpengaruh dan ikut berpendapat demikian. Pada suatu kali oleh Al-Makmun
diadakan pertemuan para ulama besar, untuk membincangkan hal itu, tetapi para
ulama tetap berpendapat bahawa Al-Quran itu adalah makhluk. Al-Makmun
mengharapkan supaya pendapat itu diterima orang ramai.
Pada masa itu satu-satunya ulama yang keras
berpendirian bahawa “Al-Quran itu bukan makhluk? Hanyalah Imam Hanbali. Secara
terus terang ia berkata di hadapan Sultan:“Bahawa Al-Quran bukanlah makhluk
yang dijadikan Allah, tetapi ia adalah Kalamullah.
Imam Hanbali satu-satunya ulama ketika itu yang
berani membantah, sedangkan yang lainnya diam seribu bahasa. Kemudian ia
ditangkap dan dihadapkan ke hadapan baginda. Ia dipanggil bersama tiga orang
ulama yang lainnya, iaitu Imam Hassan bin Muhammad Sajah, Imam Muhammad bin Nuh
dan Imam Ubaidah bin Umar.
Kedua ulama di antara mereka sama menjawab dan
membenarkan pendapat baginda sementara Imam Hambali dan Imam Muhammad bin Nuh
dengan tegas menjawab bahawa Quran itu bukanlah makhluk. Keduanya lalu
dimasukkan ke dalam penjara. Setelah beberapa hari dalam penjara datang surat
dari Tharsus yang meminta supaya keduanya dibawa ke sana dengan dirantai.
Kedua ulama tersebut betul-betul dirantai kedua
kaki dan tangannya dan ditunjukkan di hadapan orang ramai. Kemudian dibawa ke
Tharsus, sesampainya di sana keduanya dimasukkan ke dalam penjara. Kerajaan
mempunyai seorang ulama besar bernama Ahmad bin Abi Daud, yang pandai berbicara
namun lemah dalam pendirian.
Terhadap Imam Hanbali mereka minta supaya
dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya. Baginda raja menerima usulan
tersebut. Lalu Imam Hanbali dihadapkan depan raja dan ditanyakan tentang
pendiriannya. Namun ia tetap menyampaikan pendiriannya bahawa Al-Quran itu
ialah Kalamullah bukan makhluk. Dan ia menegaskan lagi bahawa ia tidak akan
berubah dari pendiriannya itu.
Akhirnya terjadilah persidangan yang dipimpin
oleh baginda sendiri. Kemudian baginda memanggil Imam Hambali dan berkata:
“Atas nama saya sebagai kerabat Nabi Muhammad SAW saya akan memukul engkau
beberapa kali, sampai engkau membenarkan apa yang telah saya benarkan, atau
mengatakan seperti yang saya kata? Kerana Imam Hambali masih tetap dengan
pendiriannya, maka baginda memerintahkan kepada perajuritnya untuk memukul Imam
Hanbali.
Ketika cambuk yang pertama singgah di punggung
beliau, beliau mengucapkan “Bismillah. Ketika cambuk yang kedua, beliau mengucapkan
“La haula walaa quwwata illaa billah (tiada daya dan kekuatan apa pun kecuali
izin Allah). Ketika cambuk yang ketiga kalinya beliau mengucapkan “Al-Quran
kalaamullahi ghairu makhluk (Al-Quran adalah kalam Allah bukan makhluk). Dan
ketika pada pukulan yang keempat, beliau membaca surah At-Taubah ayat 51.
“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami
melainkan apa yang ditetapkan oleh Allah bagi kami.”
Sehingga seluruh badan beliau mengalir darah
merah.
Akhirnya beliau dimasukkan ke dalam penjara kembali. Pada suatu hari ketika
Imam Hanbali dibawa ke Kota Anbar dengan tangan yang terbelenggu, seorang yang
alim bernama Abu Jafar Al-Anbari menghampiri beliau. Imam Hambali bertanya
kepadanya: “Hai Abu Jafar apakah engkau susah melihat keadaanku? “Tidak wahai
Imam, engkau adalah pemuka umat, kerana umat manusia ada di belakangmu. Demi
Allah, bila engkau mahu menjawab bahawa Quran itu makhluk, pastilah umat akan
mengikutimu, dan bila engkau tidak mahu menjawab, maka umat juga tidak mahu
menjawab seperti apa yang ingin engkau jawab. Bila engkau tidak mati dibunuh
orang, pasti engkau juga akan mati dengan cara yang lain. Maka janganlah engkau
mahu menuruti kehendak mereka.
Mendengar kata-kata Jafar itu beliau mencucurkan
air mata dan berkata: “Masya-Allah!, Masya-Allah!, Masya-Allah!. Kemudian
beliau pun dikunjungi oleh bekas penjahat bernama Abdul Haitsam Al-Ayyar dan
berkata kepada beliau: “Wahai Imam, saya ini seorang pencuri yang didera dengan
beribu-ribu cambukan, namun saya tidak mahu mengakui perbuatan saya, pada hal
saya menyedari bahawa saya salah. Maka janganlah Imam gelisah dalam menerima
dera, sebab engkau dalam kebenaran.
Ketika Khalifah Al-Makmun meninggal dunia pada
tahun 218H (833 M) setelah memerintah 20 tahun lamanya, yang mengganti beliau
ialah saudaranya yang bernama Ishaq Muhammad bin Harun Al-Rasyid yang bergelar
dengan Al-Muktashimbillah.
Sebelum Khalifah Al-Makmun meninggal dunia
beliau telah berpesan kepada bakal penggantinya itu bahawa faham Al-Quran itu
makhluk harus dipertahankan.
Kebijaksanaan kerajaan yang menyeksa para ulama
yang tidak sependirian dengan faham kerajaan itu atas dasar hasutan seorang
ulama kerajaan yang bernama Qadhi Qudhoti Ahmad bin Abi Daud (Daud). Ulama
inilah yang memberikan usulan kepada Al-makmun bahawa jika Imam Ahmad bin Hanbal
tetap tidak mahu mengikuti bahawa Al-Quran itu makhluk hendaklah dihukum dengan
hukuman yang berat.
Setelah kerajaan dipegang oleh Al-Muktasim ulama
Ahmad bin Daud masih tetap menjadi qadi kerajaan. Pada suatu hari Qadi kerajaan
ini cuba mengadili Imam Hambali dengan melakukan perdebatan akhirnya Ahmad bin
Daud kalah kerana tidak dapat mengemukakan alasan yang lebih kuat. Walaupun
demikian Imam Hambali tetap dimasukkan kembali ke dalam penjara.
Pada bulan Ramadhan pengadilan terhadap Imam
Hambali diadakan lagi. Khalifah Al-Muktashim bertanya: “Al-Quran itu adalah
baru, bagaimana pendapat anda. “Tidak!, Al-Quran adalah kalam Allah, saya tidak
sejauh itu membahasnya kerana di dalam Al-Quran dan hadith tidak disuruh
membahas soal tersebut. Jawab beliau.
Beliau dicambuk sampai berdarah, pada hal ketika
itu bulan puasa. Baginda berkata: “Kalau kamu merasa sakit dengan pukulan ini,
maka ikutilah saya, dan akuilah bahawa Al-Quran itu makhluk, supaya kamu
selamat.
Penderaan pun terus berlangsung, sehingga beliau
terasa bahawa tali seluar yang menutup auratnya putus dan hampir turun ke
bawah. Beliau pun mengangkatkan mukanya ke atas sambil berdoa: “Ya Allah!, atas
namaMu yang menguasai Arsy, bahawa jika Engkau mengetahui bahawa saya adalah
benar, maka janganlah Engkau jatuhkan penutup aurat ku.
Ketika itu pula seluar beliau yang akan jatuh
itu naik ke atas kembali sehingga aurat beliau tidak jadi terlihat oleh orang
ramai.
Penyeksaan terhadap beliau itu baru berakhir
setelah selesai maghrib. Para hakim dan orang- orang hadir kemudian berbuka
puasa di hadapan beliau. Sementara beliau dibiarkan saja tidak diberi sesuatu
makanan untuk berbuka. Demikianlah seterusnya, pada hari yang kedua pun beliau masih
tetap didera sampai seluruh badannya mencucurkan darah. Pada hari ketiga beliau
masih tetap didera sehingga pengsan.
Setelah Al-Muktashim meninggal dunia ia diganti
dengan puteranya Al-Watsiq. Pada masa ini banyak penganiayaan dilakukan
terhadap para ulama. Khalifah Al-Watsiq inilah yang memancung leher ulama
terkenal yakni Ahmad bin Naser Al-Khuzai. Kepala Ahmad bin Naser digantung dan
diletak tulisan yang berbunyi: “Inilah kepala Ahmad bin Naser yang tidak mahu
mengakui bahawa Al-Quran itu makhluk, maka Tuhan memasukkan Ahmad bin Naser ke
dalam neraka, kepala ini menjadi peringatan bagi mereka yang memalingkan
dirinya dari kiblat. Demikianlah tulisan yang diletakkan dekat leher Ahmad bin
Naser.
Kemudian Khalifah Al-Watsiq meninggal dunia dan
digantikan dengan saudara beliau yang bernama, Al-Mutawakkil. Pada masa inilah
dicabut tentang faham muktazilah dan diadakan pembebasan terhadap semua ulama
yang ditahan, termasuk Imam Ahmad bin hambal. Sementara itu Imam Hambali
setelah dibebaskan beliau diberi hadiah sebanyak l0,000 dirham, namun hadiah
tersebut beliau tolak. Kerana dipaksa untuk menerimanya, akhirnya beliau terima
dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.
Pada hari Jumaat tanggal 12 Rabiul Awal tahun
241 H/855 M beliau meninggal dunia yang fana ini dengan tenang dalam usia 77
tahun. Setelah mendengar wafatnya beliau, seluruh Kota Baghdad menjadi gempar
jenazah beliau disembahyangkan lebih dari 130,000 orang muslimin. Demikian
berakhirnya riwayat seorang penegak kebenaran dan meninggikan ilmu pengetahuan,
setelah melalui berbagai seksaan dan penganiayaan. Semoga mereka yang berjuang
pada jalan Allah menjadi kekasih Allah, yang selalu mendapat keberkahannya dan
keredhaanNya.
Banyak lagi mereka yang berjuang pada jalan
Allah akhirnya menerima ujian dan cubaan dengan berbagai penganiayaan dan
seksaan.
Firman Allah ertinya:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka
dibiarkan saja mengatakan. “Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan
sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka
sesungguhnya Allah mengetahui orang- orang yang benar dan sesungguhnya Dia
mengetahui orang-orang yang dusta (Al-Ankabut: 2-3)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan