Catatan Popular

Khamis, 23 Mei 2019

KITAB TUAN TABAL @ TO’ TAKBAI: JALA UL QULUB BI ZIKRILLAH (SIRI 13)


oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal @ To’ Takbai (Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)


Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani رحمه الله تعالى atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Faqir al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyaikh, tuanguru-tuanguru dan para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri, ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Ampun maaf diatas segala kelemahan pentransliterasi. Al-Faqir hanya sekadar ingin berkongsi khazanah para ulama kita. Sekian.

Fashal (فصل) pada menyatakan menghinakan diri bagi kebesaran Allah

Hai saudaraku! Sucikan olehmu akan miliki hatimu daripada takbur atas makhluq Allah dan hiasi olehmu akan dia dengan menghinakan diri dan merendahkan diri bagi kebesaran Allah. Maka janganlah kamu ‘ajaibkan dirimu dihadapan Allah dan jangan takbur atas seorang daripada makhluq Allah dan basuh olehmu akan miliki hatimu daripada najis ‘ajib dengan air menghinakan diri bagi Allah. Dan buang olehmu akan takbur daripada hatimu dengan mengenal dan mengakukan dirimu hina seperti tanah yang jijak [pijak] orang atasnya.

Dan sapu olehmu akan debu mengaku [a]kan diri daripada tempat memandang Allah kerana ia mencemarkan hati pada hal ia cermin bagi wajah Allah. Dan kenal olehmu akan hina dirimu di dalam hatimu, nescaya kamu dapatkan sekaliannya terlebih mulia dan terlebih tinggi daripada dirimu. Maka pandang kehinaan dirinya ini ialah permata yang sangat indah lagi mahal harganya. Dan ialah ilmu buat emas bahgia dan ialah kepala segala harta ‘arif.

Maka pandang olehmu akan hina dirimu bagi kebesaran Allah dan sembunyi olehmu akan kehinaan ini antaramu dengan Tuhanmu. Jangan engkau zahirkan dia bagi seorang daripada makhluq kerana menghinakan diri kepada makhluq itu haram pada syara’ Allah. Maka mu’amalah olehmu akan manusia dengan tawadhu’ diatas kadar martabat mereka itu kerana Allah. Seperti engkau ajarkan dengan kadar akal mereka itu kerana memeliharakan rahsia Allah. Dan peliharakan olehmu akan hati manusia dengan niat ibadat kepada Allah. Maka jadi engkau diperkenan oleh Allah dan manusia. Maka tiap-tiap ketika sebut olehmu akan Allah dan buang olehmu takbur dan ‘ajaib daripada ‘baitullah’ (yakni pada hati kamu) supaya jadi kamu daripada rijal-rijal Allah. Dan merendahkan dirimu bagi Allah nescaya dapat engkau padanya akan sampai kepada Allah

Tiada ulasan: