Catatan Popular

Khamis, 23 Mei 2019

KITAB TUAN TABAL @ TO’ TAKBAI: JALA UL QULUB BI ZIKRILLAH (SIRI 15)


Oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal @ To’ Takbai (Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)


Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani رحمه الله تعالى atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh al-Haqir al-Faqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyaikh tuanguru-tuanguru dan para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Ampun maaf diatas segala kelemahan. Al-Faqir hanya sekadar ingin berkongsi khazanah para ulama kita. Sekian.

Fashal (فصل) pada menyatakan fana’ di dalam baqa’ dengan Allah

Hai saudaraku! Sucikan olehmu akan ‘baitullah’ itu daripada mengitsbatkan wujud haqiqi bagi yang lain daripada Allah dan hiasi akan dia dengan menafikan wujud engkau yang majazi. Maka janganlah engkau mengitsbatkan wujud engkau yang majazi serta wujud Allah yang haqiqi. Dan keluar olehmu daripada penjara mengaku dan dakwa kepada pandang wahdah Allah. Dan engkau perangkan nafsu engkau dengan pelapar [berlapar] kan dia pejaga [berjaga malam] kan dia [1].

Dan sebut olehmu akan Allah Ta’ala supaya zahir di dalam hati engkau bendaharaan wujud Allah dan supaya berombak di dalam ruh engkau oleh laut ahadiyah Allah dan supaya terpacarlah [terpancarlah] mata air hikmah daripada hatimu atas lidah engkau daripada laut ahadiyah Allah. Kerana barangsiapa kelepasan daripada penjara mengaku dan dakwa maka [d]ialah raja waktunya dengan kurnia Allah. Dan barangsiapa fana’ daripada dirinya maka jadi baqa dengan Allah.

Maka pada tiap-tiap ketika sebut olehmu akan Allah dan pada tiap-tiap masa musyahadah olehmu akan nur Allah serta engkau sucikan daripada barang yang tiada patut dengan kebesaran Allah dan fana’ olehmu daripada wujud engkau yang waham dengan wujud Allah yang haqiqi, supaya berhubung engkau dengan khawas auliya’ Allah dan mabuk engkau dengan minum arak wahdah Allah. Dan lepaslah engkau daripada qait [ikatan/tambatan] zaman [masa] dan makan [tempat] dengan hairan yang maqbul pada Allah. Maka bersamaan pada engkau azali dan abadi di dalam wahdah Allah dan engkau kata [D]ialah yang awal dan [D]ialah yang akhirnya dan [D]ialah yang zahir dan [D]ialah yang bathin dan [D]ialah atas tiap-tiap suatu berlebih kuasa. Maka kita sekelian bagi Allah dan dengan Allah dan di dalam Allah dan serta Allah dan kepada Allah. والله أعلم

[1] Maksudnya perangilah nafsu itu dengan berlapar dan berjaga malam. Pada awal kitab ini pengarang telahpun menyentuh hal ini dengan katanya:
(Hai saudaraku, tiliklah olehmu) kepada hatimu iaitu baitullah, jika ada kasih kepada ma-siwallah seperti hartapun dan anak isteri dan segala perhiasan dunia dan kemegahannya dan lainnya, maka hendaklah kamu usaha menghilangkan dia dengan banyak zikrullah dan banyak berfikir (Dan jika menahan kamu) oleh nafsu amarah daripada banyak berzikir maka kamu perangkan dia serta kamu pelapar [berlapar] berjaga [tidak/kurang tidur] kan dia hingga kamu dapat lazat kasih rindu kepada Allah. Maka hilanglah segala kasihkan ma-siwallah dan jadilah engkau setengah daripada ahlillah yang sangat tinggi martabatnya. (Maka jika tiada engkau mengusahakan) pada menghilangkan kasih ma-siwallah itu, maka ialah [yang] membimbangkan kamu daripada zikrullah dan hubbullah dan ialah yang yang memutuskan kamu daripada wushul kepada Allah. Maka sangatlah rugi kamu. (Dan jadilah kamu) daripada ahlid-dunya yang haram atas mereka itu akhirat dan wushul kepada Allah.



Tiada ulasan: