Catatan Popular

Rabu, 23 Disember 2020

TASAWWUF MODEN BAB 5 FASAL 45 : SEKADAR YANG PERLU (BAB 5 HARTA BENDA DAN BAHAGIA)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Manusia perlu pakaian, tempat tinggal dan makan. Ketiga-tiga keperluan itu:

  • Ada yang terlalu di bawah.
  • Ada yang pertengahan.
  • Ada yang di atas.

 

1. Pakaian.

Paling di bawah ialah menutup bahagian yang perlu-perlu saja dengan kain yang murah. Kalau dibawa kepada masa, cukup untuk sehari dan semalam, kotor ganti dan bersihkan.

Sayidina Umar bin Khattab, menampal kainnya dengan yang lebih lapuk. Lalu seorang berkata kepadanya: "Tampalan yang begitu tidak tahan lama".

Beliau menjawab: "Apakah umurku akan lebih panjang daripada umurnya?".

Yang pertengahan ialah yang sesuai dengan kesanggupan badan, tidak sengaja melagak-lagak dan boros, dan tidak pula pakaian yang haram.

Yang terlalu tinggi, (yang di atas) ialah mengumpulkan kain baju sebanyak-banyaknya, untuk menunjukkan kemampuan dan keborosan.

2. Tempat Tinggal (Rumah)

Tempat tinggal atau rumah yang paling di bawah, ialah yang dapat didiami saja walaupun asal beratap dan berdinding saja, dalam pondok kecil. Ini masih banyak di tanah air kita, kerana kemiskinan rakyat.

Yang pertengahan ialah rumah yang tidak untuk berganding-gandingan dengan orang lain. Di dalam rumah yang sederhana itu, tuan rumah dapat memikirkan kedaan diri, bermenung mengingat nikmat Tuhan mengenangkan berapa tahun lagikah, berapa hari, atau berapa saat lagikah orang akan tetap tinggal dalam rumah itu, tegasnya dalam dunia ini.

Yang tinggi atau mewah ialah gedung-gedung indah permai, singgahsana yang molek, villa cantik dengan perkakasnya yang mahal, di sana berlumba-lumba antara pencinta dunia, kehormatan dan pangkat, melebihi yang seorang akan yang lain, sehingga lalai dari tujuan hidup, dan lupa memikirkan nasib orang yang miskin.

Rumah yang pertama adalah sekadar perlu, sebab maksud tempat tinggal ialah memelihara diri dari panas dan hujan. Rumah yang begini tidaklah mahu orang mendiaminya dengan sengaja, kecuali orang-orang yang telah sampai darjat tawakalnya ke puncak yang paling tinggi, atau terpaksa tawakal kerana miskin. Yang pertengahan tadi, adalah sekadar cukup.

 

Tetapi yang paling tinggi, yang nombor tiga, itulah dunia yang tidak ada batasnya, hawanafsu yang tiada hujung. Lalai kerana keindahan yang demikian kerapkali membuat kita lupa mengingat Tuhan. Itulah sebabnya Sultan Harun Al Rasyid sangat suka menanggil orang-orang zuhud dan sufi yang besar-besar ke dalam istana untuk mengingatkannya agar tidak lupa diri lantaran kemewahanannya sehingga kerapkali baginda menangis berhurai air mata, jika menerima nasihat-nasihat yang menyentuh dari ulama-ulama itu. Mendiami rumah cantik, memakai pakaian indah, semuanya tiada terlarang, bahkan diruruh meninggikan himmah supaya tercapai, asal saja segala pantangnya diingat, iaitu jangan lalai mengingat Tuhan Allah swt. Dan tidak memaksa diri melebihi kesanggupannya, kerana rayuan kulit dunia.

3. Makanan.

Makanan adalah asas hidup yang paling penting, anak-kunci kemuliaan dan kehinaan. Dia pun mempunyai 3 *tiga) martabat.

Paling rendah, sekadar perlu untuk menyang saja dan untuk jadi tangkal jangan mati atau lemah, supaya badan kuat beribadat. Dengan membiasakan dan melatih menahan selera, makanan itu boleh dibatasi. Menurut keterangan Imam Ghazali, orang-orang zahid di zaman dahulu, ada yang tahan tak makan sampai 10 hari atau 20 hari. Contoh demikian dapat kita saksikan pada puasanya pemimpin India Mahatma Gandhi. Kata setengah orang ada yang sampai 40 hari. Hal ini tidak perlu kita contoh, tidak pula menunjukkan bahawa perbuatan itu mesti dikerjakan sebab hal itu bergantung kepada pekercayaan masing-masing. Sebab darjat kemahuan hati di antara manusia bertingkat-tingkat.

Darjat pertengahan adalah membahagi-bahagi perut jadi tiga bahagian; sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga dikosongkan, untuk fikiran. Kalau dilebihi dari itu, akan membuat 'buncit perut', sehingga berat dibawa rukuk dan sujud menyembah Allah. Yang sebahagia-bahagia orang ialah mencukupkan apa yang ada, makannya kerana untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Kalau hidupnya hanya memikirkan makan saja, kadang-kadang dia lupa makan untuk hari ini, yang difikirkannya apa yang akan dimakannya besok, apa yang akan dimakan oleh anak cucunya 10 atau 40 tahun lagi, sehingga dia lupa bahawa anak-nak itu pun ada Tuhannya dan ada akalnya sendiri.

Nabi Muhammad saw, telah bersabda tentang makanan dan kekayaan yang sejati ialah:

"Barangsiapa yang sentosa hatinya, sihat badannya, ada makanan untuk dimakannya sehari itu, seakan-akan telah terkumpul di tangannya dunia seisinya". (HR Tarmizi dan Abdullah bin Muhsin).

Dengan sabdanya ini nyata bahawa Nabi Muhammad saw tidak menyuruh kurang dari itu. Kalau tidak ada yang akan dimakan sehari-hari, bagaimana hati dapat tenteram?

Penutup.

Menghadapi harta benda hendaklah dengan niat yang jujur. Jika bekerja mencari harta, hendaklah dengan niat untuk memperbanyakkan amal dan memperkuatkan iman. Jika harta ditinggalkan hendaklah lantaran harta banyak mengganggu langkah.

Ingatlah perkataan Rasulullah saw:

"Sesungguhnya tidaklah engkau nafkahkan harta engkau mengharapkan wajah Allah, melainkan diberi pahala engkau kerananya, harta nafkah yang engkau masukkan ke mulut isterimu sekalipun". (HR Bukhari dan Muslim).

Semuanya itu bergantung kepada niat. Maksud mukmin di sini, ialah yang mengetahui dasar segala perbuatan, tahu hakikat harta yang dinikmati Tuhan kepada hambaNya.

Dari itu orang yang zuhud bukanlah yang tiak suka menyimpan harta, atau tak suka mencari harta, dan menolak harta sama sekali. Suhud ialah yang sudi miskin, sudi kaya, sudi tidak berwang sesen pun, sudi jadi jutawan, tetapi harta itu tidak menyebabkan ia melupakan Tuhan, atau lalai dari kewajipan.

Hendaklah gerak dan diammu, duduk dan jalanmu, kerana Allah. Makan dan minum, melekatkan baju dan sebagainya, kalau dengan niat suci, boleh menjadi ibadat, sembahyang ialah ibadat, kalau perut lapar, ibadat tak kuat, sebab itu makan dahulu, baru sembahyang. Dengan ini nyata makan itu kalau hati tulus jadi ibadat pula. Dalam kaedah agama ada tersebut:

"Kalau suatu pekerjaan wajib tak dapat dilangsungkan kalau tidak dengan pekerjaan lain, pekerjaan lain itu jadi wajib pula".

Kehidupan dunia seperti mencari madu lebah. Pawang yang pintar dapat saja menguakkan lebah yang banyak dan mengambil madunya, dengan tidak tersinggung sengatnya. Adapun orang yang bukan pawang, hanyalah dapat sengatnya.

Atau seperti ular mengandung racun yang bisa, tetapi di samping racun itu ada ubat. Laksana lebah, mempunyai sengat yang bisa, tetapi mempunyai madu juga. Laksana orang buta tak dapat mendaki bukit dengan leluasa, si jahil pun tak dapat pla mendaki bukit dunia dengan tak membahayakan.

Rasulullah saw pada suatu hari didatangi oleh Malaikat Jibril lalu disampaikan kepadanya pertanyaan Allah swt.

Manakah yang disukai, jadi nabi kaya raya seperti Nabi Sulaiman, atau jadi miskin seperti nabi Ayub.

Rasulullah menjawab, bahawa baginda lebih suka makan sehari dan lapar sehari.

"Mengapa begitu?" Tanya Jibril.

"Di waktu kenyang saya bersyukur kepada Tuhan, dan di waktu lapar saya meminta ampun kepadaNya".

Bagi rasul-rasul kekayaan itu nikmat, kemiskinan itu pun nikmat. Di waktu senang dan susah, kaya dan miskin, sukar dan mudah, ada saja semuanya pintu untuk mengadap kepada Tuhan, menjunjung dan menyembahNya. Sebab itu, nabi-nabi dan wali-wali itu tidak dapat diikat dan dibelit, disengat dan digigit dunia.

Mereka telah tahu hakikat, tahu mudarat dan manfaatnya. Mereka tahu bahawa hidup manusia ini dilingkungi oleh tiga zaman, zaman dikandung iu, zaman dilingkung alam dan zaman tengah perjalanan, kerana tujuan masih jauh. Bagi si arif bijaksana, dia singgah untuk persiapan di kampung yang asli, dibawanya bekal yang tahan lama, yang tak basi, yang tak rasan, dan ditinggalkannya mana yang akan memberati dan menghalang-halangi, supaya tidak terlalai menempuh kampung yang dekat itu, atau didahului oleh orang lain.

Golongan bebal dan dungu, disangkanya inilah wathan sejati, tanah air sebenarnya, di sini dia senang-senang berlalai, tidak dilepaskannya dunia dari hatinya, sebelum malaikul maut sendiri merebut dari tangannya.

Kata budiman juga dunia ini laksana sekuntum bunga yang dihidangkan oleh seorang tuan rumah yang memanggil tetamu kerumahnya, buat dicium baunya berganti-ganti.

Seorang tetamu menyangka bahawa bunga itu dihadiahkan untuknya dan boleh dibawa pulang, sehingga tidak dilepaskannya dari tangannya. Akhirnya kerana tetamu itu bodoh, tidak mengerti adat istiadat, tuan rumah mengambil dari tangannya dan memberikannya pula kepada orang lain, supaya dicium orang pula. Di waktu itu si tetamu booh tadi, merasa kesal kerana tercerai dari bunga.

Tetapi tamu yang tahu guna bunga itu, diciumnya dengan hati senang, dan segera memberikannya pula kepada yang lain lagi untuk diciumnya pula, kerana memang sudah demikian biasanya.

 

TASAWWUF MODEN BAB 5 FASAL 44 : SUMBER HARTA (BAB 5 HARTA BENDA DAN BAHAGIA)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Harta berasal dari dua sumber:

  • Dari pencarian sendiri
  • Diterima dengan tiba-tiba, dari pemberian orang, atau beroleh warisan dan mendapat dengan tidak disangka-sangka.

Harta pencarian yang diusahakan, didapat dari dua sumber pula, halal atau haram. Kalau nayata bahawa barang itu halal, ambillah. Tetapi kalau haram sekali-kali jangan didekati, sebelum terbiasa. Sebab, kalau telah terbiasa memakan harta yang haram, amatlah sukar mengubahnya, yang menyebabkan budi pekerti rosak binasa. Kalau amat sukar memperoleh sebenar-benar yang halal, seperti pada masa sekarang, melainkan dengan susah payah, ambillah yang paling ringan haramnya, dan yang paling banyak halalnya. Sebab yang haram boleh jadi rukhsah (dibolehkan), kalau memang nyata tidak ada lagi jalan. Tetapi ikhtiar tidak boleh diputuskan.

Pedomannya ialah hati sanubari yang bersih. Untuk kebersihan hati jangan putus hubungan dengan Tuhan.

Setelah dijaga hati-hati sumber harta benda yang akan masuk ke dalam perbendaharaan, hendaklah jaga pula ke mana harta itu dikeluarkan. Menafkahkan harta tidak semuanya terpuji dan tidak semua tercela. Yang terpuji ialah harta yang dinafkahkan kepada sedekah yang perlu, atau memberi belanja anak isteri menurut mestinya. Memandang bahawa harta benda yang ada itu, bukanlah buat keperluan diri sendiri, tetapi untu keperluan sesama manusia.

Yang tercela ialah:

  • Terlalu berlebihan-legihan
  • Terlalu berkurang-kurangan.

Terlalu berlebih-lebihan ialah orang yang berbelanja lebih dari penghasilan, sehingga tidak sepadan dengan kekuatan dirinya, melupakan yang lebih penting lantaran memperturutkan nafsu mencari yang tidak penting. Suasana sekeliling menyebabkan orang di zaman sekarang jatuh hancur lantaran berlebih-lebihan.

Terlalu berkuran-kurangan, ialah tidak mahu menafkahkan harta pada yang mesti atau mengurangi dari yang perlu.

Penyakit berlebih-lebhan itu sebahagian besar menimpa orang yang tinggal di kota pada masa ini. Sebab kebanyakan bukan orang lelaki yang menyimpan wang, tetapi gaji dan penghasilan yang diterimanya, diserahkannya kepada isterinya. Setengah orang perempuan kalau mula-mula dipercayai, bukan main teguhnya memegang kepercayaan. Akhirnya, jika hendak membeli tali leher, tali sepatu, kancing baju, tidaklah berkuasa di lelaki lagi, tapi meminta dahulu kepada isteri. Oleh si isteri tadi, bukanlah wang tidak berlebih, bahkan banyak tersimpan, tapi untuk penambah bilangan baju pula, baju setera, model yang baru, peniti brelian dan seterusnya. Kalau hal ini ditegur, kaum perempuan akan menjawab:

"Darjat kami mesti disamakan dengan lelaki, kami meminta hak sama rata, sekarang zaman gerakan emansipasi perempuan meminta persamaan hak-hak dengan lelaki".

Adlagi yang berkata:

"Kita sekarang mesti melagak menurut gelombang. "International Minded".

Dalam ekonomi rakyat yang masih morat marit ini, hidup berlebih-lebian adalah menimbulkan benci dan dengki. Ini bukan international minded, tetapi kehancuran dan kecurangan.

Kita kembali kepada pembahagian manusia menghadapi harta.

Ramai orang yang karam di dalam dunia, dikaramkan oleh banyaknya harta, tidak ingat hari tua, tidak insaf akan hari akhirat, sehingga hartanya tidak dijadikannya bekal untuk menempuh negeri yang wajib ditempuh itu. Ada juga orang yang ingat akan hari itu, tetapi semata-mata ingat saja, lalu mengeluh dan disebut sedikit dengan bibir. Kalau mereka mendengar seorang guru menerangkan pelajaran akhirat, bahaya hart dan lain-lain, waktu itu mereka manggut-manggut, terasa rupanya olehnya. Tetapi bilamana habis mendengar pengajaran tadi, mereka kembali pula kepada kelalaiannya. Itulah yang paling banyak. Orang yang begini di dalam Quran dinamai "Abdatuth Thaaghut', penyembah Thaghut (syaitan), dan syarad dawab, sejahat-jahat binatang yang melata dibumi.

Sebahagian lagi sangat berlawanan dengan yang tersebut di atas, iaitu yang berpaling dari dunia dan harta sama sekali, tidak peduli bahkan benci. Mereka lupa dan tidak peduli, kerana mereka hanya mengingat semata-mata tujuan saja, iaitu amal ibadat untuk Allah, untuk kehidupan di akhirat, lain tidak. Orang ini bernama orang-orang Nussaak suhud, benci dunia dan lain-lain. Siapa menjamin belanjanya?

Bahagian ketiga ialah orang pertengahan, ititu orang yang membayar hak dunia dan membayar hak akhirat. Diambilnya harta dunia sepuas-puasnya, berapa pun akan dapatnya, digunakan untuk menyokong amalnya menuju akhirat. Kerana dia berkeyakinan bahawa alam ibadat itu, tidaklah dengan menekur-nekur saja, tetapi dengan membantu dan menolong sesama hamba Allah, melapangkan jalan bagi sesama makhluk menuntut bahagia, mendirikan masjid-masjid tempat meyembah Allah, mendirikan madrasah-madrasah atau sekolah untuk mengembangkan pengetahuan dunia dan akhirat. Dia yakin semuanya itu, terlebih di zaman sekarang, semua tidak akan tercapai kalau tidak dengan harta benda. Sebab itu mereka cari harta benda itu sebanyak-banyaknya, untuk meringankah segala perbuatan yang baik dan mulia ini.

Golongan ini disebut golongan pertengahan, dan golongan inilah yang diakui sah dan terpuji oleh orang-orang Muhaqqiqin (ahli selidik yang saksama). Sebab kedatangan rasul-rasul, utusan Allah ke dunia ini ialah untuk memperbaiki peripenghidupan manusia, dunia dan akhirat, bukan buat mengkucar kacirkan.

Orang yang sanggup mengumpulkan faedah agama dan dunia, amalan dan harta, orang demikianlah yang akan diberi izin Allah menjadi KhalifahNya dalam bumi ini.

Kata setengah Hukama juga:

Orang yang hidup di dunia ini terbahagi tiga, sebagahian yang lebih dipentingkannya tujuannya (akhirat) dari kehidupannya, orang itu mungkin beroleh kemenangan.

Sebahagian lagi lebih mementingkan kehidupannya dari akhiratnya, itulah orang yang binasa.

Dan sebahagian lagi dipentingkannya kedua-duanya, dan dijadikannya kehidupan sebagai tangga mencapai kebahagiann akhirat. Orang yang ketiga inilah menempuh jalan yang paling sukar dan berbahaya. Kalau dua menang, lebih besar kemenangannya daripada golongan yang pertama.

Orang yang ketiga ini adalah orang yang berjuang. Padahal menurut falsafah hayat, kemenangan tidak didapat kalau tidak dengan perjuangan.

Dan perjuangan itu ialah dengan dua alat:

"Dengan harta bendamu dan dengan jiwa ragamu".

Kata Sahibul Hikayat:

"Adalah seorang raja muda belia yang sangat luas ilmu dan hikmat dalam dadanya, termasyhur keadilannya ke mana-mana. Tiba-tiba pada suatu ketika, ditinggalkannya kerajaannya dipakainya pakaian shuf, memisahkan diri dalam Zawiyah tempat kaum sufiyah menekun diri menyembah Tuhan, serta membenci dunia. Berita ini sampai kepada seorang Maharaja lain, yang bersahabat dengan dia. Maharaja ini tidak bersenang hati, lalu dikirimnya sepucuk surat kepada raja yang telah Zahid ini demikian bunyinya:

"Tuan telah menginggalkan singgahsana kerajaan dan memilih hidup menjadi orang Zahid. Kami minta supaya tuan beri kami keterangan apa sebabnya tuan memilih jalan ini. Sebab kalau jalan ini yang benar dan membahagiakan, kami akan menuruti jalan ini yang benar dan membahagiakan, kami akan menuruti jejak tuan, jangan tuan saja beroleh bahagia. Sebab itu segeralah balas surat kami ini, beri kami keterangan supaya kami puas".

Surat itu baginda balas, demikian bunyinya:

"Ketahuilah olehmu, wahai sahabatku bahawasanya kita semuanya ini adalah hamba Tuhan yang Rahim, dikirim ke dunia laksana bala tentera yang dikirim ke medan perang, menentang musuh. Tentu maksud orang yang mengutus kita, tidak lain supaya kita menang. Seketika kita telah berhadap-hdapan dengan musuh, tak dapat tidak, kita terbagi tiga bahagian:

Pertama pengecut yang berkeyakinan bahawa musuhnya lebih kuat daripadanya, lebih berat fikirannya bahawa dia akan kalah. Sebab itu, sebelum perang terjadi, dia sengaja mengelakkan diri dari medan perang, mencari jalan yang lebih damai. Sebelum tertawan lebih baik memilih jalan lain iaitu menyerah kalah.

Kedua pendorong yang terlalu berani, padahal tak tahu tipu muslihat perang. Sehingga belum lama bertempur, dia telah kalah dan jatuh ke bawah tawanan dan perangkap musuh.

Ketiga berani dan arif bijaksana, tahu tipu muslihat, dapat menentang musuh dengan sabar. Dia perang, dia luka dan sembuh, dan dia perang lagi, sampai beroleh kemenangan. Orang inilah yang beroleh kemenangan dan hidup bahagia.

Adapun saya sendiri, setelah saya perhatikan, termasuklah ke dalam golongan pertama, saya seorang lemah. Sebelum ke dalam golongan pertama, saya seorang lemah. Sebelum kalah, lebih baik saya tinggalkan medan perang dan saya meminta damai, saya tidak mengajak tuan meninggalkan medam perang, hai sahabatku tetapi saya lebih bahagia rasanya, kalau tuan memilih menjadi golongan yang ketiga, yang berjuang dengan sengit dan beroleh kemenangan. Sebab itulah yang semulia-mulia golongan di sisi Allah
".

"Inilah rahsia perkataan Tuhan. Tuntutlah dengan barang yang dianugerahkan Allah itu, akan kampung akhirat, dan jangan lupakan nasibmu dari dunia, berbuat baiklah kepada sesaa manusia, sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan jangan suka berbuat fasad (kerosakan) di dalam bumi Tuhan". (Al-Qashash: 77).

Moga-moga kita masuk golongan yang ketiga itu, sanggup menghadapi musuh, iaitu dunia dan harta benda, sanggup mengalahkan musuh itu sehingga kita diredhai Tuhan.

TASAWWUF MODEN BAB 5 FASAL 43 : KEWAJIPAN TERHADAP HARTA (BAB 5 HARTA BENDA DAN BAHAGIA)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Sekarang mengertilah kita bahawasanya harta benda ada kebaikkan dan ada keburukannya. Di dalam jenis harta itu ada ubat, ada racun. Tak berubah keadaannya dengan ular, ada menaruh bisa dan ada menaruh ubat. Bagi orang yang ahli, ular itu dapat ditangkapnya dan dikeluarkannya ubat yang terkandung di dalam badannya. Tetapi bagi orang yang dungu, ular itu akan membelit dan menggigit badannya.

Supaya dapatlah kiranya manusia tersingkir dari bahaya harta, dan dapat mengecap faedah harta, hendaklah diatur betul jalan masuk dan jalan keluarnya, serta kemestian-kemestian yang perlu dicukupkan dengan harta.

Harga Harta Dan Martabat Harta

Tiga rukun yang perlu untuk hidup:

  • Nafsiyah, kebatinan.
  • Badaniyah, tubuh.
  • Keperluan dari luar (tempat tinggal, pakaian dan lain-lain).

Dinar dan dirham, rupiah dan ringgit, termasuk keperluan luar dalam kehidupan. Ilmu pengetahuan dan budi pekerti adalah membentuk batin. Kebatinan mempengaruhi badan kasar, badan kasar memperhamba makanan dan minuman, minuman makanan memperhambakan wang. Diri perlu kepada badan, badan perlu makan minum dan pakaian, pakaian perlu dihasilkan dengan dengan wang. Makan dan minum ialah untuk pengekalkan hidup dan menunggu ajal. Pada tubuh yang sihat, cukup makan dan minum itu bergantung kesihatan jiwa (batin). Ingatlah pengaruh vitamin bagi kesihatan tubuh dan kesihatan berfikir. Kalau diingat segala susun dan tertib ini, insaflah kita akan kemuliaan diri (jiwa batin). Tahulah kita bahawa harta benda adalah tingkat langkah yang pertama, dan kesempurnaan jiwa adalah tujuan yang akhir. Maka harta benda, wang dan kekayaan yang dicari tidak lain ialah untuk kesempurnaan jiwa, bukan untuk kesempurnaan harta itu sendiri. Tidaklah kita mahu menghentikan himmah dan cita-cita sehingga harta itu saja.

Itulah sebab Allah swt berfirman:

:Sebenar-benarnya harta bendau dan anak-pinakmu, adalah fitnah".

Fitnah, sebab di sana kita bertemu jalan bersimpang dua naik atau jatuh.

Maka banyaklah orang yang berfitnah di tengah jalan di dalam mencapai tujuannya, tidak lagi kesempurnaan jiwa yang dicarinya, tetapi kesempurnaan bilangan harta. Hingga jiwanya kasar.

Jiwa boleh murni, tali kehidupan panjang, hujungnya hanya elmaut saja. Walaupun tubuh hancur di kandung tanah tetapi lantaran harta yang banyak dan berfaedah, anak turunan yang banyak dan berjasa, dipanjangkan Allah sebutannya:

"Dipanjangkan umurnya dengan harta dan turunan".

Kata Rasulullah saw kepada Amir bin Asy seketika dia baru memeluk agama Islam, bahawa harta benda yang soleh, berguna sekali untuk lelaki yang soleh.

Kalau orang takut rugi, janganlah sampai lalai oleh harta. Kalau orang tidak mahu jatuh darjat janganlah lalai oleh anak. Bukankah ini terbalik?

Bukan terbalik, tetapi hal yang sebenar-benarnya, sebab Allah berfirman:

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah melalaikan akan kamu harta bendamu, dan jangan anak-pinakmu daripada mengingat Tuhan. Barangsiapa yang berbuat demikian itu, itulah orang yang rugi sekali". (Al-Munafiqun 9).

Ingat akan Tuhan (zikrullah) adalah suatu keuntungan yang tiada ternilai. Jika orang lalai pada zikrullah lantaran anak dan harta, dia akan rugi. Hanya dapat mengumpulkan harta, tetapi tak kenal kelazatan yang lebih daripada itu. Ramai orang yang kurang hartanya, tetapi dia beruntung. Sebab tak putus dengan Tuhan.

Itulah sebabnya Tuhan menanyakan di dalam Quran, siapakah di antara kemu yang suka berlaba perniagaannya dan beruntung jualannya?

Seorang yang hidup miskin, kalau datang orang mengatakan kepadanya, bahawa sekarang terbuka satu pintu pencarian yang boleh membawa untung banyak, akan segera dia datang ke sana, walaupun badan akan payah. Biar payah hari ini katanya sebab nanti akan berbalas dengan untung berlipat-lipat ganda. Demikianlah perhatian orang kepada harta benda. Sekarang terdapat suatu iklan yang tidak pernah mengalami rugi, berutung terus. Iklan itu tertulis dalam Quran.

Tuahan brefirman:

"Sukakah kamu Allah tunjukkan suatu perniagaan yang dapat melepaskan kamu dari azab yang sakit?

"Perniagaan itu ialah percaya pada Tuhan dan RasulNya, serta sudi berorbna pada jalan Allah dengan hartamu dan dirimu. Itulah yang sebaik-baik bagi kamu jikalau kamu tahu". (As-Syaf: 10-11).

Berjuang meningkatkan iman, dengan harta dan jiwa, itulah perniagaan yang beruntung terus, tak pernah mengenal rugi.

Tetapi kalau tiada tahu rahsia itu, orang enggan menempuhnya. Orang lebih suka beroleh untung dengan cepat. Oleh sebab itu haruslah kita menyucikan batin, sehingga nur ilmu yang dikatakan Tuhan itu dapat memancarkan ke dalam sanubari. Sehingga kita dapat rasai sekarang zikrullah, iman dan kepercayaan, bukan kelazatan yang kita rasai sekarang ini, yang membuat kita bagai katak di bawah tempurung.

Kita sangka dunia inilah tempat kekayaan, di balik ini tidak ada lagi, sehingga kita terikat di dalamnya, hati kita terhunjam ke sana, kita hidup bagai menghasata kain sarung, berputar di sana ke sana juga. Pangkat tak dapat naik, harta banyak, susah hati. Semasa miskin susah lantaran miskin, setelah kaya susah lantaran kaya. Tak ubahnya orang yang memburu keduniaan dengan pembangunan sebuah kapal menuju sebuah pelabuhan yang aman, bernama akhirat, datang dari alam yang tak kenal.

Di tengah pelayaran itu, kapal berhenti pada sebuah pulau bernama dunia, di situ dia beristirehat dan mencukupkan keperluan-keperluan kecil untuk bekal menempuh pelabuhan 'bahagia raya' itu. Rumput dalam pulau itu indah-indah, isinya dari pasir yang laksana pualam, tetapi belum pualam sejati, sebab pualam sejati tak ada di pulau di tengah lautan hanyalah di tanah besar, jua. Nokhoda kapal memberi izin segala penumpang turun ke bawah beristirehat, melihat-lihat, tetapi jangan lalai bila datang panggilan hendak meneruskan pelayaran. 

Sebahagian orang mengikuti perintah nakhoda itu, turun ke daratan, mengambil barang-baraang sekadar yang berguna, tidak membuang-buang tepo, setelah selesai dia pun kembali ke kapal. Sebagahian lagi terpedaya dan terlambat naik, sehingga tempat duduknya telah digantikan orang lain. Adapun sebahagian lagi dan inilah yang terbesar, lalai dan lengah, terpedaya, lupa bahawa perjalannannya masih jauh. Tertarik dia dengan keindahan yang ada di pulau itu. Telah berkali-kali loceng berbunyi menyurh naik ke kapal, dia masih acuh tak acuh. Tiba-tia datang masa dan waktunya, kapal membongkar sauhnya dan mereka tertinggal dalam pulau itu. Mereka berjalan ke kiri dan ke kanan, barulah mereka insaf bahawa yang didiaminya sekarang ialah pulau yang dilingkungi air semata-mata. Mereka menyesal, padahal sesal tak berguna lagi. Kapal itu kian jauh, waktunya mesti berjalan, tak dapat dipanggil kembali lagi.

Perumpamaan ini berasal dari Imam Ghazali.

Mereka menyesal, meraung, memekik, menjeritl menyeru-nyeru meminta dijemput kembali. Percuma!

Ada yang berseru:

"Wahai mengapa saya tak jadi tanah saja dahulunya". (Naba': 40).

"Tidak menolong hartaku kepadaku, kekuasaanku pun telah membinasakan diriku". (Al-Haqqah: 28-29).

Orang tidak ada lagi akan jadi teman, kapal lain tak ada pula. Sesal tumbuh, sedar datang, insaf terasa. Hari pun malamlah, maka ular-ular dan kala, lipan dan ulat-ulat yang berbisa bangunlah dari sarangnya, pergi mengejar dan hendak menggigitnya.Ular dan kala, lipan dan ulat yang berbisa datang, bertambah lama bertambah banyak, mengancam jiwa raga sendiri.

Itulah sebabnya Saidina Ibrahim Khalilullah bermohon kepada Illahi, demikian bunyinya:

"Ya Tuhanku, jauhkanlah kiranya daku dan turunan-turunanku daripada penyembah berhala".

Kata sebahagian ahli tafsir bukanlah berhala-hala biasa itu yang dimaksudkan di sini. Kerana meskipun tak dimohonkan, namun menyembah berhala itu, telah jadi pantang dari Nabi Ibrahim dan semua nabi-nabi. Seorang nabi pun tak ada yang memohonkan terhindar dari menyembah berhala biasa, sebab yang demikian menunjukkan kelemahan dan belum tetap keyakinan. Ahli tafsir berkata bahawasanya 'ashnam' atau berhala di sini, ialah dinar dan dirham, rupiah dan ringgit, yang bahayanya lebih besar dari berhala biasa.

Itulah sebabnya Nabi Ibrahim memohon terlepas dari iktannya. Beliau bersabda:

"Penyembah berhala biasa, lekas dinamai orang 'muysrik' dan 'kafir' tetapi penyembah berhala wang, kerapkali disembah dan dituhankan orang pula. Menjadi fakir musyrik yang tiak sedar".

Saidina Ali kerapkali munajat tengah malam seorang diri seraya berseru"

"Hai yang putih-putih (perak), pergilah perdayakan orang lain, tinggalkan saya!".

"Hai yang putih-putih (perak), pergilah perdayakan orang lain, tinggalkan saya".

Dengan terang dan nyata Nabi Muhammad saw mengatakan, bahawa orang yang diperdayakan harta benda, adalah hamba, tegasnya menyembah akan harta.

"Celaka orang yang diperhamba dinar, celaka yang diperhamba dirham, tak lepas lagi. Bila jatuh ke dalam cengkaman dinar dan dirham, tak sanggup lagi melepaskan diri".

 

TASAWWUF MODEN BAB 5 FASAL 42 : HARTA BAIK DAN BURUK (BAB 5 HARTA BENDA DAN BAHAGIA)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Sebagaimana manusia berkata, pangkal bahagia ialah harta banyak. Kalau tidak berharta, kita tidak beroeh bahagia. Dari bermula angan-angan yang begini telah kita patahkan. Angan-angan ini tidak diakui oleh agama, oleh akal yang sempurna dan oleh ilmu yang betul, bahkan oleh pancaindera pun tak diakui. Malahan yang paling banyak terjadi, bertambah banyak harta bertambah jauh dari keinsafan, bertambah sombong, bertambah dekat kepada kesengsaraan batin. Kadang-kadang harta itu menjadi jalan untuk membuat hubungan dengan syaitan. 

Kerapkali fikiran manusia diperdayakan oleh harta. Untuk mengumpulkan harta sebab dengan harta orang merasa beroleh bahagia maka segala jalan dilaluinya, segala kesulitan ditempuhnya, baik halal atau haram, baik jujur atau curang. Di dalam membelanjakan harta, kerana si kaya menyangka segala maksudnya akan tercapai, dilangarnya garis kesopanan, garis adab dan budi. Dia tak peduli, sebab dia menyangka tidak ada orang lain yang akan berkuasa mencegahnya. Oleh sebab itu orang lain yang akan berkuasa mencegahnya. Oleh sebab itu kerapkali persangkaan akan beroleh bahagia dengan harta jadi dita-cita dan angan-angan saja. 

Bermain harta tak ubahnya engan bermain judi, sekali menang dan enam kali kalah. Lantaran bermain judi, sekali menang dan enam kali kalah. Lantaran menang yang sekali, orang lupa kekalahannya yang enam kali, dipasangnya juga dan ditaruhi juga. Dengan tidak disedarinya, dia harus pulang dengan tangan kosong. Yang banyak kejadian, setelah manusia melepaskan nafsunya dengan harta yang banyak, bukannya bahagia yang didapatkannya, tetapi penyesalan, sesal yang selalu datang terlambat. Dia hendak mencapai bahagia dengan harta, tak ubahnya dengan menyiram api yang menyala dengan minyak, bukan tambah padam, malahan tambah menyala. Atau sebagai orang yang kehausan, meminum air laut, hausnya tidak lepas malah bertambah dahaga.

Berlumba memburu harta benda, memburu kesenangan, tetapi kesusahan yang didapatnya. Tenaga sia-sia, umur habis, fikiran kacau, yang dapat hanya dedaknya (hampa).

Mereka menganiaya badan, membunuh diri, mengorbankan tenaga dan usaha, sehingga terlalai mengingati Allah, setelah itu dibelanjakan kepada yang tidak diredhai Tuhan. Kita kasihan pada kuli kontrak di kebun onderneming, bekerja setengah mati sebulan lamanya, gajinya 40 sen sehari. Ketika gajinya diterimanya, setelah dipotong pajak dan pinjaman, wang lebihnya itu dibawanya ke meja judi.

Kita kasihan melihat itu, padahal kuli kontrak hanyalah satu contoh kecil dari nafsu manusia mengumpu harta. Orang kaya, jutawan pun tabiat mereka sama dengan kelakuan kuli kebun itu. Akibat banyak wang berlebih-lebihan, mereka bosan, laksana seorang penjual daging, yang tk suka memakan goreng daging lantaran sudah muak.

George Bernard Shaw, ahli fikir bangsa irlandia yang masyhur itu, telah memperkatakan hal ini dengan panjang lebar. Dia katakan"

"Kalau hartawan-hartawan, jutawan yang besar-besar itu hendak merasa bahagia dengan harta benda yang telah melimpah-limpah, lebih baik dia mencurahkannya dengan beramal, membantu pekerjaan mulia".

Tetapi mencurahkan menurut Shaw itu pada masa sekarang, tak ubahnya dengan menitikkan air mata ke pasir, tidak diperdulikan orang, sebab perumpamaan seorang kuli kontrak. Deli adalah sebagai kaca bandingan dari jutawan besar.

Kekayaan demikian hanya jenjang celaka, bukan jenjang bahagia, sebagaimana kebanyakan disangka orang. Kekayaan yang tidak bertujuan inilah yang dicela nabi-nabi dan rasul-rasul, oleh Hukama dan Budiman, lebih baik tidak berharta daripada berharta.

Kerana takut akan kekayaan yang tidak tentu rebab tegaknya, inilah Rasulullah saw memohon kepada Tuan:

"Oh Tuhanku, hidupkanlah hamba dalam kemiskinan, matikan dalam kemiskinan dan timbulkan dalam kelangan orang-orang miskin.

Hartawan yang beginilah yang dicela oleh seorang ahli Hikmat:

"Alangkah celakaya orang kaya! Badannya tak pernah senang, istirehat tak memuaskan, siang malam berhati bimbang, takut harta susut. Raja-raja selalu mengitip, musuh-mush selalu mengawasi, dan ahli waris sentiasa memohonkan lekas mati".

Sesungguhnya mengharapkan harta lebih daripada mestinya, itulah pangkal kerosakan budi manusia, itulah pangkal bertambah bersimaharajalela kemungkaran dan kejahatan, itulah yang menambah pengetahuan orang untuk memperhaluskan ilmu tipu muslihat, ilmu penjajah, ilmu menaklukkan,ilmu menjual si bodoh.

Pandai sekali nenek moyang kita memilih perkataan 'sudagar' bagi orang yang pintar berjual beli, sebab 'su' ertinya seribu, dan 'dagar' ertinya tipu. Sebagaimana, 'sudara' ertinya seribu cinta. Kecintaan kepada harta, sehingga sampai menyembah harta, telah menimbulkan agama sendiri, di luar dari agama Islam dan Kristian, di luar dari agama Brahman dan Budha, iaitu agama yang diwahyukan oleh harta itu sendiri, mana yang halal kata harta, walaupun haram kata agama, diikut orang juga wahyu harta, larangan harta itu juga yang dihentikan orang.

Terbaliklah aturan masyarakat lantaran harta, puji an sanjung boleh dibeli dengan harta. Orang menghormati orang kaya lantaran hartanya, meskipun dia seorang pencuri halus, laksana tikus mencuri daging tumit orang yang tidur nyenyak tengah malam. Dihembusnya supaya dingin, kemudian digigitnya, setelah terasa pedih oleh orang yang tidur itu, digosoknya dengan lidahnya, dan dihembusnya pula, sehingga hilang pedih kerana dihembus. Setelah orang yang kena gigit itu bangun pagi-pagi, dan menginjak kakinya ke tanah, barulah dia tahu bahawa telapak kakinya digigit tikus. Di balik itu, orang yang kaya bui, miskin wang, tidak ada harganya dalam masyarakat.

Alangkah celakanya masyarakat kita ini, anak kecil pun telah tahu memilih kuda-kuda dan kerata-kereta kecil yang bercat air emas. Tiap-tiap surat khabar keluar, penuh dengan pujian kepada orang kaya. Hingga dalam masjid dan di dalam gereja, tempat orang kaya diistimewakan, walaupun di sana tempat menghadap Tuhan.

Perempuan-perempuan lebih suka memilih lelaki yang menang lotri datu dapat warisan banyak. Walaupun sekolahnya tidak tamat, dari lelaki berilmu cukup, tetapi gaji kecil. Orang lebih menghormati harta daripada menghormati manusia, manusia itu akan ikut dihormati kalau harta ada di rumahnya, dan kalau harta itu pindah ke rumah orang lain, maka sipenyimpan harta yang bermula tadi tidak dihormati lagi. Dunia kalau menghadapi seorang manusia, walaupun rupanya buruk, dipindahkannya kecantikan orang lain kepada orang yang dihadapinya itu. Kalau dunia membelakangi orang pula, dicabutnya keindahan yang ada pada dirinya.

Seorang ahli syair membuat misal:

"Orang yang telah menyimpan wang 2 dirham,
telah bijak mulutnya berkata-kata.
Orang pun datang berduyun-duyun ke dekatnya;
lantaran itu bukan buatan sombongnya.
Kalau dia berkata, orang selalu meng'ia'kan walaupun dusta.
Tetapi kalau si fakir yang risau berkata pula
orang selalu me'nidak'kan;
walaupun perkataan itu benar.
Kalau bukan dirham itu yang meniinggikan darjatnya,
sesen pun tak ada harganya di muka bumi ini.
Dirham, di mana saja tempat tinggal,
mencantikan muka dan menghebatkan roman.
Siapa yang hendak asin lidahnya sipanla dirham;
siapa yang hendak menang di dalam peperangan,
kumpulkanlah dirham
".

Perebutan harta benda, yang bagi orang seorang menimbulkan haloba dan bagi bangsa menimbulkan semangat kapitalisme, inilah pangkal huru hara dunia sekarang ini. Inilah pangkat penjajahan, perampasan ekonomi. Ini pulalah yang menimbulkan pertentangan kelas, di antara yang punya dengan yang tak punya.

Harta dan Tujuan Baik

Tetapi sebaliknya jika harta benda dipergunakan kepada kemestiannya, dinafkahkan menurut mesti, dialah yang jadi tangga pertama menuju bahagia, yang empunya harta itu sendiri tangga pertama menuju bahagia, yang epunya harta itu sendiri akan mengecap kelazatan, yang dia akan berkata ketika merasai kelazatan itu, syukur saya ada harta, dengan dia saya lekas tahu kelazatan ini. Atas dasar yang begini, kita diruruh Allah mencari harta:

"Berjalanlah di atas dataran bumi, makanlah rezekinya".

Kata Ibnu Umar: "Berusahalah di dunia, seakan-akan engkau akan hidup selama-lamanya, dan berusaha pulalah untuk akhirat seakan-akan engkau akan mati esok".

Atas dasar inilah perkataan Nabi saw:

"Sesungguhnya kemiskinan itu akan membawa kepada kekafiran". (HR Abu Na'im dan Al Baihaqi).

Seorang Hukama ditanyai orang: "Mengapa tuan mengumpulkan harta pula?".

Beliau menjawab:

"Untuk menjaga darjat kehormatan, untuk menunaikan kewajipan, untuk menghindarkan meminta-minta dan meminjam. Kalau kita kurang harta, orang kurang percaya kepada kita, kurang mendapat kepercayaan, kurang mendapat perhatian, harga kita jatuh".

Ahli syair berkata:

"Alangkah indahnya kalau berkumpul agama dan dunia pada seseorang, dan alangkah sengsaranya pula, kalau berkumpul kekafiran dan kemiskinan".

Kesimpulan: Nyatalah harta benda dapat dihadapkan kepada perbuatan jahat, dan dapat pula digunakan kepada yang baik. Kemudiannya pegang di tangan sendiri. Sebab itu harus awas menjaga dasar bermula, iaitu jangan dihargai harta dari harga yang sebenarnya.

Harta ialah perkakas untuk pelepas angan-angan, pencapai cita-cita. Alat yang berguna itu selama-lamanya berguna, tetapi jangan dipergunakan kepada yang tidak pasangannya. Dia mahal, tetapi lantaran mahalnya sekali-kali jangan lupa bahawa kehormatan diri, kemuliaan agama, keredhaan Allah, ketinggian budi, lebih mahal semua itu dari harta.

"Harga harta sebelum dibelanjakan tidak berubah dengan harga pasir, setelah dibelanjakan baru ada faedahnya".

Kemudian, kebangsawanan dan ketinggian bukanlah lantaran banyak menyimpan harta, atau banyak barang, kemuliaan ialah pada pendidikan budi, pada kesopanan tinggi. Janganlah tertarikh pada bujuk cumbu masyarakat tendah, tetapi ikutlah perkataan nabi-nabi dan rasul-rasul, ulama dan hukama... Sebab harta pahit meninggal.

Ingatlah kecanggungan orang yang kaya lantaran mencatut di zaman perang, di zaman bodoh. Dia serba canggung dalam masyarakat sopan. Rupanya penghargaan masyarakat tidaklah dapat dibeli.

TASAWWUF MODEN BAB 5 FASAL 41 : KEKUASAAN HARTA (BAB 5 HARTA BENDA DAN BAHAGIA)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Seorang tuan mempunyai beberapa orang hamba sahaya. Dia yang berkuasa atas hamba-hamba itu, disuruh dan ditegahnya, dimarah dan diherdiknya. Seorang lagi orang kaya menyimpan banyak harta, harta menjadi milik dari orang kaya sebagaimana hamba milik tuannya. Hamba, adalah manusia, dan harta hanya barang tak bernyawa.

Adakah kita lihat orang kaya dapat memerintah hartanya sebagaimana memerintah hambanya? Sebaliknya! Banyak kita lihat hartalah yang memerintah pemiliknya, ia dipenjarakan oleh hartanya. Bukanlah si kaya yang berkuasa, tetapi hartanya yang berkuasa atas dirinya.

Teori lama telah dikalahkan oleh teori yang baru. Kepercayaan kolot telah dibasmi oleh kepercayaan moden. Agama tahyul telah digantikan oleh agama tauhid. Zaman sewenang-wenang telah berganti zaman demokrasi. Tetapi kuasa harta yang timbul sejak manusia diciptakan di dalam alam ini, tidak bertambah kurang, malah bertambah lebih.

Harta yang berkuasa. Dengan harta semuanya jadi. Inilah seruan yang kita dengar. Hampir orang putus asa menghadapi perdamaian, ilmu dan budi, kesucian dan kesopanan. Sebab semuanya tidak melebihi kekuasaan harta si fulan, yang dahulunya berkuasa, ternama, termasyhur, diangkat dan dijunjung, bukan lantaran ilmunya, budinya dan sopannya, tetapi lantaran hartanya. Bilamana harta habis, lenganglah orang dari kiri kanannya. Hendak puji bertabur hurailah, sedang yang ditaburkan telah habis.

Hal ini telah melekat di akal, menyusup di fikiran, telah sejalan dengan nafsu. Sebab itu manusia telah jatuh kepada perhambaan harta.

Si fakir diperhamba oleh si kaya, si kaya diperhamba oleh hartanya. Kejahatannya kebebelannya dan kekurangannya dilupakan orang. Si pencuri kecil dimasukkan ke penjara kerana mencuri, tetapi tukang korupsi boleh jadi menteri.

Harta benda inilah sekarang yang menutup hati dari cahaya kebenaran. Dia telah menghambat langkah menyucikan diri, hingga orang tak ada lagi yang mencari kebenaran, bercita-cita tinggi tetapi mencari harta. Sistem pergaulan hidup menyuruh demikian. "Bahagia" yang dicari itu, telah tercampur adukkan dengan memburu harta. Seperti orang haus meminum air masin.

Segala yang ada di dunia ini, jika ditaksirkan lebih daripada harganya, bukanlah mendatangkan keuntungan, tetapi mendatangkan rugi. Laksana hidup bernafas dalam alam kerana orang menganggap hidup itu mahal daripada harga yang sebenarnya, maka dia pun takut mati, sehingga gentar menempuh bahaya. Kehidupan bernafas, singgah dalam alam dunia ini, bukanlah ringan dan murah, remeh dan tidak ada harga. Dia mempuyai harga, tetapi harganya tidak boleh ditawar lebih dari harganya, tetapi janganlah disamakan dengan harga mobil mewah. Sebuah perahu ada harganya, tetapi tidaklah semahal sebuah kapal.

Demikianlah harta benda. Harta benda memang mahal, tetapi orang telah meletakkan harganya lebih dari yang sepadan dengan dirinya. Memang dengan harta kita dapat mencapai maksud, sebab itu harta kita kumpulkan. Tetapi kerap terlalu berlebih-lebihansehingga bukan saja harta disangka untuk mencapai maksud, malah menyimpan harta itu dipandang suatu kemuliaan paing besar, kemegahan yang tiada terperikan, alat kesombongan, alat kehormatan dan kemuliaan. Sehingga dengan tidak merasa, kit berpaling dari mencapai bahagia yang sejati. Kita tidak ada niat lagi hendak menyisihkan kebenaran dari kesalahan. Tidak ada lagi kemahuan yang kuat, tidak ada lagi kemerdekaan berfikir dan menimbang, tegasnya kemerdekaan jiwa. Di sini brtemulah pepatah:

"Barangsiapa yang memandang bahawa maksudnya tidak akan tercapai kalau bukan dengan pertolongan yang lain, maka tunduklah dia kepada yang lain, dan musnahlah kemerdekaan dirinya".

Manusia telah tersesat kecuali orang yang dipeliharakan Allah, mereka taksir harta lebih daripada harganya yang sejati.

Mereka lupa, bahawa emas sebesar gunung ditengah-tengah padang luas yang tidak di datangi manusia, tidaklah ada harganya. Tetapi sebuah wang talen emas di kota, lebih mahal daripada emas sebesar gunung itu. Sebuah wang ketip di tangan seorang hartawan, tidak ada harganya, tetapi amat mahal di tangan seorang miskin, ringgit di tangan si pemboros, tidaklah semahal ringgit di tangan si bakhil. Seorang pengembara yang tengah kehausan di padang belantara luas dan kekurangan air walaupun dia membawa seguni emas urai, tidaklah ada harganya dibandingkan dengan segelas air yang sedang dicarinya.

Dengan beberapa misal ini, nyatalah bahawa harta benda itu pada hakikatnya harganya turun dan naik, kadang-kadang membubung ke atas dan kadang-kadang sama dengan pasir, tergantung hajat dan pandangan manusia kepadanya. Pada hakikatnya semuanya tidak berharga, peti besi tak perlu dibawa ke kubur. Ais tidak peru dibawa ke khutub. Sekarang emas tidak perlu untuk musafir yang kehausan di sahara.

Seorang hartawan ditanya orang, bagaimanakah perasaannya dengan hartanya yang banyak itu, adakah dia bahagia, ataukah dia beruntung?

Dia menjawab: "Kalau dikatakan beruntung dan bahagia lantaran banyak harta, kesusahan mengurus harta, lebih saya rasakan dari kesenangannya. Jika dengan harta itu dapat dicapai segala maksud, maka bertambah banyak harta, bertambah banyak dan lebih besar pula yang teringat dalam hati, sehingga selama-lamanya saya tidak pernah merasa cukup.

Tetapi kalau yang dikatakan dan beruntung itu perasaan hati dan ketenteraman jiwa, tidaklah lebih yang saya rasakan dari yang dirasakan orang lain. Sebab sudah nyata bahawa keberuntungan dan bahagia, rupanya tak dapat dibeli dengan wang dan tak dapat pula dijual".

Orang bertanya pula kepadanya: "Bagaimana perasaannya jika segala harta benda, perkakas dan keindahan telah dipunyai.

Dia menjawab: "Sebelum ada, memang sangat menginginkan, setelah ada keinginan menukar pula dengan yang baru, sebab yang lama telah usang. Meskipun suatu barang kita pandang indah dan kita ingini, bagi si penjual tempat kita membeli itu nyata benar bahawa barang itu tidak diingininya sedikit juga, yang lebih diingininya ialah 'harga' yang akan dibayarkan kepadanya. Bertambah lama barangnya terletak di dalam kedainya, hatinya bertambah susah. Kita sendiri bersenang hati bila barang itu telah pindah ke tangan kita, si penjual bersenang hati pula bila barang itu telah lepas dari tangannya.

Lantaran itu, nyatalah bahawa harga segala barang yang indah itu menurut tilikan dan keinginan kepadanya. Padahal keinginan dari kesetujuan manusia itu tidak pula sama, malah berbeza-beza. Kalau bukan berbeza-beza tentu warna dan corak kain tidak akan berbeza-beza pula seperti yang kita lihat.

Mendengar keterangan orang hartawan itu juga, kita terigat kepada penyakit mobil yang menular dalam kalangan orang-orang hartawan. Mereka lihat mobil mewah paling baru, mereka beli. Setelah enam bulan di belakang, keluar pula mobil baru. Maka model enam bulan yang telah lalu itu ditukar, begitu terus setiap enam bulan, sehingga dengan tidak diinsafinya, fikirannya hanya memperhatikan model mobil orang lain yang lebih baru, dan lupa pada mobilnya sendiri, juga urusannya yang lain-lain.

Nyatalah bahawa barang yang indah itu, turun dan naiknya, mahal dan murahnya bergantung hanya semata-mata kepada perhatian orang yang mengingininya, bukanlah harta itu berharga pada zatnya. Ada barang yang amat baru, tetapi murah, lantaran orang menghendaki yang usang, sebagaimana piring kuno dari Tiongkok atau setem yang lama-lama. Bertambah usang, bertambah mahal harganya.

Maka yang menentukan harga ialah nafsu kita sendiri yang tak ada batasnya.

TASAWWUF MODEN BAB 5 FASAL 40 : KEKAYAAN (BAB 5 HARTA BENDA DAN BAHAGIA)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Apakah hakikat kekayaan, dan apa hakikat kemiskinan?

Setelah payah Hukama mencari apakah erti kekayaan yang sebenarnya, mereka mendapat keputusan, iaitu:

"Orang kaya ialah orang yang sedikit keperluannya".

Jadi jangka turun naik kekayaan dan kemiskinan, ialah hajat dan keperluan. Siapa yang paling sedikit keperluannya, itulah orang yang paling kaya dan siapa yang amat banyak keperluan itulah orang yang miskin. Sebab itu yang maha kaya hanya Allah. Sebab Allah tidak berkehendak keperluan atau hajat.

Raja-raja adalah orang yang paling miskin, kerana keperluannya sangat banyak. Di dunia seorang raja diikat oleh bermacam-macam aturan dan keperluan dan di akhirat akan dibuka pula perkaranya yang besar-besar, sebagaimana yang diterangkan oleh Sayidina Abu Bakar yang telah kita salinkan dahulu daripada ini.

Jutawan ramai yang miskin!

Dasar segala yang tersebut itu, pergantungannya ialah diri sendiri. Kalau orang hendak kaya, cukupkanlah apa yang ada, jangan bernafsu hendak memiliki kepunyaan orang lain hadapkan saja muka di dalam taat kepada Allah, tenteramkan jiwa di dalam menghadapi alhayat. Kalau hendak miskin, ingatlah segala yang teringat, kenanglah segala yang belum ada, hendaki ini dan itu hendaki rumah yang lebih cintik, kerana yang sekarang walaupun bagaimana cantiknya, belum juga cukup rasanya, sebab belum secantik rumah si anu, padahal rumah kita sendiri, sudah titik air liur orang lain elihatnya. Kalau dengan harta yang ada dalam tangan, kita ingin kata, dalam sebentar waktu keinginan itu boleh tercapai, iaitu takaran hidup berdiri di atas kesederhanaan, sudah menafkahkan harta pada barang yang berfaedah apalagi di zaman kini yang membanyakkan belanja orang sehari-hari itu bukanlah keperluan yang penting. Yang membesarkan belanja kerapkali barang yang tak perlu, perhiasan yang berlebih-lebihan. Cuba tekankan perasaan jiwa yang berontak, ikat dengan taat kepada Ilahi dan belanjakan membela kebenaran, menegakkan keadilan, menolong fakir dan miskin.

Kekayaan hakiki ialah mencukupkan apa yang ada, sudi menerima walaupun berlipat ganda beratus-ribu bilion, sebab dia nikmat Tuhan. Dan tidak pula kecewa jika jumlahnya berkurang, sebab dia datang dari sana dan akan kembali ke sana. Jika kekayaan melimpah ialah untuk menyokong amal dan ibadat, iman dan untuk membina keteguhan hati menyembah Tuhan. Harta tidak dicintai kerana dia harta. Harta hanya dicintai sebab dia pemberian Tuhan. Dipergunakan kepada yang berfaedah.

Kekayaan majazi, menurut kebiasaan aturan hidup di zaman sekarang ini, ialah menumpahkan cinta kepada harta-benda semata-mata, yang menyebabkan buta dari pertimbangan, sehingga hilang cinta kepada yang lain, kepada bangsa dan tanahair, agama,Tuha, bahkan Tuhan itu tidak dipercayai lagi. Hilang cinta kepada segala yang patut dicintai, bahkan kadang-kadang diri sendiri sudah lupa mencintainya. Sebab telah tertumpah kepada harta. Orang kaya begini, dua bahaya mengancamnya, pertama penyakit bakhil, kedua penyakit boros dan royal (menghamburkan harta), sombong dan takbur, lupa bahawa manusia sentiasa diancam bahaya yang mengerikan.

Dia kaya raya, sebab itu perlu penjagaan, keperluannya kepada penjagaan menyebabkan dia miskin. Dia miskin. Dia kaya raya, perlu berubat kalau sakit. Keperluannya kepada ubat, satu dari tanda kemiskinannya. Dia takut mati, keperuannya menangkis kemiskinannya. Dia takut mati, keperluannya menangkis kematian, adalah tanda dari kemiskinan. Sebab itu, orang kaya yang majazi, ialah orang miskin yang hakiki. Sebaliknya orang miskin majazi adalah kaya yang hakiki.

Apakah perbezaan antara orang banyak harta dengan orang yang hanya berbaju yang lekat di tubuh itu saja?

Orang yang banyak harta dan orang yang tidur di kami lima, adakah berbeza perasaan sakit yang mereka tanggungkan? Adakah berbeza demam yang mereka idapkan? Tidak. Walaupun orang kaya tidur di tilam tebal dan berselimut mahal, dan orang miskin tidur beratapkan langit saja.

Jadi tidaklah tidur di kasur itu dapat mengurangi penyakit.

Kematian boleh datang menyerang seorang kaya yang sedang berada di atas singgahsana keemasan, dijaga oleh dayang-dayang yang ramai, beratus-ratus pengawal yang berdiri di muka pintu. Kematian pun boleh datang kepada seorang peminta-minta sehingga dia tersungkur di tepi jalan. Si kaya dikafani orang dengan kain sutera, si miskin dikafani dengan pakaian yang lekat di badannya. Si kaya dihantar ke kuburan oleh beribu-ribu orang. Si papa dihantarkan oleh kuli kotapraja yang memungut mayatnya. Keduanya sampai ke kuburan, diperhentian besar yang tidak membezakan darjat orang. Setelah sepuluh atau dua puluh hari di belakang, hancurlah kafan sutera sebagaimana hancurnya pakaian yang lekat di badan si papa tadi.

Kalau nyata bahawa harta tak dapat menangkis, menolak demam, tak dapat menghindarkan maut, nyatalah bahawa kesusahan yang menimpa orang kaya, serupa juga dengan yang menimpa orang miskin.

Memang mahal pakaian yang dipakai oleh lorang yang banyak harta tetapi sungguh pun mahal, yang dipakaiya tidak lebih daripada penutup tubuhnya, sebagaiana yang dipakai oleh si papa tadi. Berbagai ragam makanan yang lazat, dimakan orang yang banyak harta, tetapi bila perutnya telah kenyang, dia berhenti. Persis sebagaimana orang miskin yang hanya memakan nasi sebenggol ratak, bila perutnya telah kenyang, berhenti pula. Kadang-kadang kita lihat lebih banyak keringat sipapa keluar dan lebih 'sunguk sangak' dia menaikkan suapnya lantaran enak makannya, daripada yang banyak harta tadi.

Tidak sedikit ditemukan orang kaya yang terus menerus makan enak itu bosan kerana keenakan.

Kerapkali sejarah mengatakan bahawa orang masyhur,yang telah mendapatkan kedudukan mulia, orang popular dan mengagumkan atau ahli-ahli ilmu yang besar, ataupun pengarang-pengarang ternama, ahli syair, ahli seni, timbul dari kalangan orang-orang fakir dan melarat.

Muhammad saw mengubah dunia yang besar itu, ketika dua bulan dalam kandungan ibunya, ayahnya meninggal dunia. Ketika dia berumur enam tahun ibunya meninggal, umur lapan tahun nenek yang mengasuhnya meninggal pula. Pusaka ayahnya hanya lima ekor unta saja. Demikian juga daripada nabi-nabi yang sebelumnya.

Orang-orang besar yang datang kemudian, pun demikian pula.

Abdur Rahman Dakhil (Fatih) yang mendirikan Kerajaan Bani Umaiyah di Sepanyaol, hanya seorang pelarian politik. Salahuddin al Ayyubi pembela Palestin, hanya seorang anak seldadu. Ibnu Saad haya seorang anak raja yang terbuang ke rumah Syeikh Mubarak As Sabah di Kuwait, Reza Shah Pahlavi, Raja Persia dalamusia 30 tahun barulah pandai menulis dan membaca.

Imam Shafie yang terkenal adalah seorang anak yatim yang kuat hati hendak menuntut ilmu. Imam Malik, barulah di hari tuanya mengecap keenakan harta benda, setelah mendapat hadiah banyak dari raja-raja Bani Abbas.

Abul Ula Alma'ry, seorang miskin di negeri Ma'arrah, yang buta sejak dari kecil yang terkenal dengan gelar Abdul Ula (ayah ketinggian) sebab falsafah dan syairnya yang indah. Kurang senang dengan gelaran Abul Ula, dan lebih suka diberi gelar "Rahinul Mahbasain" (seorang yang terkurung dalam dua penjara), penjara kebutaannya dan penjara kemelaratannya.

Orang-orang besar yang demikian sedikit sekali tumbuh dari kalangan orang kaya-raya. Meskipun ahli falsafah mengakui juga bahawa orang-orang yang banyak harta sanggup menambah ilmu pengetauan sampai tinggi. Orang mengakui hal itu, tetapi orang-orang begini hanya dapat mengumpulkan yang telah ditumbuhkan orang lain. Adapun mencipta suatu penemuan yang baru, umumnya tidaklah sanggup.

Sesungguhnya hati yang tenteram dan fikiran yang tenang, memberi bekas yang nyata pada kebahagiaan manusia, bahkan itulah bahagia yang sejati. Orang yang banyak harta, kerapkali menghalangi bahaya, meskipun mereka sedikit sekali mengadukan kesusahan harta kepada orang lain, yang diperolehi oleh orang ramai banyak harta biasa hanya tiga perkara, makanan dan minuman yang enak, rumah yang bagus dan ke mana-mana hendak pergi tidak terhalang. Cubalah masukkan jumlah yang keempat, tentu tak boleh lagi, kerana yang lain itu bukan bahagiannya.

Oleh kerana makan yang tidak bermacam-macam itu boleh juga mengenyangkan perut. Oleh kerana pakaian sepersalinan boleh juga penutup tubuh, dan menangkis udara dingin dan panas, oleh kerana di pondok yang buruk dapat tidur enak, yang tak kurang enaknya dengan tidur di gedung indah. Oleh kerana semuanya itu, nyatalah bahawa bukan pasal makanan, pakaian dan kediaman itu yang jadi asas keberuntungan dan hina, bahagia dan bahaya, ketenteraman dan kesusahan.

Bukan harta sedikit yang menyebabkan susah, bukan harta yang banyak yang menyebabkan gembira. Asas gembira dan susah payah adalah jiwa yang gelisah atau jiwa yang tenang dan damai.

TASAWWUF MODEN BAB 4 FASAL 39: ADIL (BAB 4 KESIHATAN JIWA DAN BADAN)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Keadilan adalah perangai mulia dari akal budi, daripada nafsu marah dan daripada syahwat, Keadilan yang dimaksudkan di sini, ialah kepandaian mencampurkan 'garam' hidup dan mengendalikan diri sehingga marah, syahwat, akal budi pun seimbang. Kita menjadi seorang ahli hikmat di mana perlu, berjuang menghadapi musuh pada waktunya. Memandang kematian ringan dan perkara decil untuk mempertahankan kehormatan yang harus dibela. Di balik itu, menjadi seorang yang takut berbuat salah.

Cabangnya ialah adil di dalam masyarakat, walaupun terhadap diri sendiri, adil pula di dalam melakukan siasat dan muslihat. Adil di dalam budi pekerti ialah perangai 'iffah. Adil menghadapi lawan ialah memakai perangai Syaja'ah. Adil di dalam pergaulan ialah menghindarkan lengah dan lalai. Adil di dalam masyarakat ialah meninggalkan kepentingan diri sendiri dan mengutamakan kepentingan bersama.

Lawan dari adil ialah zalim, iaitu berbuat sewanangpwenang pada orang lain demi memuaskan nafsu dan syahwat. Tetapi orang juga biasa berbuat zalim pada dirinya. Mementingkan nafsu dan syahwat adalah menzalimi diri sendiri kerana akan berakibat kesengsaraan.

Termasuk zalim pada diri ialah orang yang pengecut dan ragu-ragu. Ada kalanya dalam hidup ini, kita beroleh kesempatan, bila kita pandai menggunakan akan beroleh keberuntungan dan bahagia, dan bila dibiarkan akan berlaku tak akan kembali lagi. Dalam keadaan seperti itu orang harus berani mengambil keputusan dan tak boleh ragu-ragu, orang yang ragu-ragu dan seba takut, adalah zalim pada dirinya. Demikianlah pembicaraan mengenai penyakit kejiwaan.

TASAWWUF MODEN BAB 4 FASAL 38 : HIKMAT (BAB 4 KESIHATAN JIWA DAN BADAN )

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Hikmat ertinya bijaksana. Iaitu keutamaan yang diberikan Allah kepada manusia, supaya manusia dapat mengendalikan syahwatnya dan kemarahannya, jangan sampai melantur. Ahli hikmat dinamai seorang Hakim, kata jamaknya Hukama.

Lukman digelari Al Hakim kerana dia banyak sekali mengajarkan sifat hikmat itu kepada anaknya, yang dengan dia dapat dikendalikan akal budi menurut mestinya.

Seperti sifat-sifat yang lain hikmat itu adalah berjalan di tengah-tengah. Terlalu ke atas, sehingga melebihi dari mesti, mendatangkan bahaya. Terlalu kurang hikmat, sehingga ke bawah dari mesti mendatangkan kerugian.

Hikmat yang amat berlebihan dari mesti, tidak patut dinamai ikmat lagi, tetapi bernama cerdik buruk. Cerdiknya tidak memberi manfaat, tetapi merugikan orang lain, mana yang tunduk dititinya, mana yang tinggi dipanjatnya. Cerdik buruk berisi senyum, tetapi di dalam senyum tersimpan kedengkian:

"Bila engkau melihat singa mengeluarkan saingnya, janganlah engkau sangka dia tersenyum".

Dari mulut keluar perkataan manis, laksana bubur bercampur santan dan tengguli, tapi di dalam tersimpan racun yang mematikan.

Yang di bawah sekali, tidak ada hikmatnya. Ialah orang goblok. Fikirannya tidak lebih dari barang yang ada di mukanya.Dia tidak mengerti akibat. Kalau datang seorang penipu menepuk kuduknya, dan memberinya sebatang rokok lisong, dengan sebuah kertas yang harus ditandatangani, padahal kertas itu meminta persetujuannya untuk menyerahkan lehernya segera diikat, maka sambil menjentik-jentikkan abu rokok itu , dia tidak keberatan menandatangani kertas itu. Pendeknya dijualnya negeri dan bangsanya dengan sekali tepuk kuduk, atau sebatang rokok lisong. Di zaman sekarang dengan 'amplop tertutup'. Atau orang masuk dari pintu belakang, mendekati isterinya "Nyonya Besar' yang tamak dan menyukai hidup mewah.

Bodoh adalah penyakit, ada yang dari sebab tabiat, atau keturunan, amat sukar sembuhnya. Adapun dari sebab musabab turunan atau tabiat itu, kata orang kadang-kadang boleh sembuh, kalau pada satu ketika ditimpa oleh penyakit lain. Tetapi yang timbul lantaran kurang pengajaran dan pendidikan dan kurang pergaulan, dapat dihilangkan dengan menempuh sebab-sebabnya tersebut. Ada juga penyakit pada orang pintar, tetapi tidak tahu harga diri, rendah gengsi (malu), kurang darjat.

Orang gila dapat dikenal dari kelakuannya, dan orang bodoh dapat pula dikenal dari aksi dan buah tuturnya. Tinggi rupanya dari botolnya.

TASAWWUF MODEN BAB 4 FASAL 37 : KEPEDIHAN PENANGGUNGAN BATIN (BAB 4 KESIHATAN JIWA DAN BADAN)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Ada orang yang berkata, bahawa sukacita tidak akan didapat, kalau batin masih merasa sakit dan pedih. Selama kepedihan itu masih ditanggungka, kegembiraan belum akan dikecap kelazatannya. Tiadalah orang akan merasa beruntung kalau dia masih menanggung kepedihan.

Benarkah demikian?

Persangkaan itu salah, sebab orang yang bodoh, dungu, goblok, singkat fikiran dan gila dalam kegilaan, kedunguan dan egoblokannya itu. Orang itu senang di dalam keadaannya.

Pada suatu hari seorang filosof berjalan di suatu jalan yang ramai. Tiba-tiba sedang dia menekur-nekur memikirkan keadaan hidup manusia, dia tertumbuk kepada seorang tukang sapu jalan.

"Hai, orang pengangguran! Apa kerja tuan di dunia ini, makanya tuan berjalan termanggu-manggu? Sehingga saya tertumbuk ke hidung tuan, tuan tidak sedikit juga sedar?"

Demikian pertanyaan tukang sapu jalan.

"Saya seorang filosof, saya termanggu memikirkan kehidupan bani Insan".

"Kasihan... kasihan... hanya itulah pekerjaan tuan?"

Si filosof kasihan melihat nasib tukang sapu, dan tukang sapu lebih kasihan melihat si filosof. Sebab biasanya, orang yang mengankut mayat tertawa bila bertemu dengan orang yang mengarak pengantin. Orang yang mengarak pengantin bersedih bila bertemu dengan orang membawa mayat.

Orang gila merasa senang di dalam kegilaannya. Orang bodoh kerap mencela orang pintar, sebab mereka pintar. Apakah yang dikerjakan orang-orang pintar itu, selalu berembuk, selalu mengarang, selalu bekerja keras, katanya hendak membela tanah air, membela bangsa dan lain-lain. Padahal semuanya berpayah-payah, menghabiskan tempo dan umur. Lebih baik seperti kita ini saja, dapat hidup mengatur diri dan anak bini sudah cukup.

Orang yang bernasib demikian itu adakah beruntung?

Mereka tidak merasa sakit dan susah.

Maka adakah keberuntungan seperti yang mereka rasai itu yang mesti dicapai oleh tiap-tiap manusia? Adakah orang-orang yang berakal mempunyai keinginan hendak bernasib seperti mereka? Kalau benar kegilaan itu satu keberuntungan?

Tidak ada yang mahu! Alhamdulillah!

Semua orang yang tak mahu jadi bodoh, sebab orang bodoh kelihatan senang dalam kebodohannya, kalau orang tak berakal tak mahu jadi orang gila, sebab orang gila kelihatan merdeka dalam kegilaannya, nyatalah bahawa keberuntungan sejati itu didapat dengan kepedihan yang tiada terperikan. Sehingga beberapa filosof Islam bersoal jawab, bilakan orang merasai kelazatan dalam hidupnya? Sesudah pekerjaannya berhasil, atau sebelumnya?

Berulang-ulang telah kita paparkan, bahawa orang yang beroleh bahagia, tidaklah luntur bahagianya lantaran kepedihan dan kesengsaraan yang silih berganti hilang satu timbul dua, meskipun berat sengsara bahaya. Sebab dia ada mempunyai perkakas yang paling teguh dan kuat, iaitu sabar dan tidak kehilangan akal. Bahkan kadang-kadang baru dirasainya kebahagiaan itu, sesudah menangkis segala sengsara. Tak ubahnya dengan orang menghisap candu, yang telah tahu bahawa candu itu merosak badan, menghabiskan kesihatan, tetapi candu itu dihisapnya juga, sebab yang diharapnya ialah kelazatan sesudah menghisap. Dia pengsan lantaran merasai lazat, kian lama kekuatannya hilang dan tulangnya lesu, namun dia kembali juga menghisap.

Jika tak senang telinga tuan mendengarkan misal orang menghisap candu, mari kita misalkan kepada seorang perempuan yang melahirkan anak. Betapa sakit tanggungan yang dipikulnya sejak mengandung sampai melahirkan, berapa takut dia akan hamil lagi yang kedua dan yang ketiga. Tetapi pekik anak yang baru lahir menghilangkan segala kesakitan yang berbulan-bulan itu.

Mengapa kesakitan, berbulan-bulan dihapuskan oleh tangis anak yang baru lahir? Mengapa perempuan yang mandul, berubat kian ke mari, mencari dukun sakti, minta ubat supaya beroleh anak? Tidakkah perempuan mandul itu tahu bagaimana kesakitan saudaranya yang beroleh anak? Dia tahu, dia melihat seorang ibu bergantung ke tempat tidur sehingga hampir roboh, lantaran kesakitan melahirkan. Dia dengar rintihannya seketika anak itu hendak keluar. Perempuan mandul tidak ingat itu, sebab dia ingin mendengarkan tangis anak itu seketika bayi keluar. Dia ingin pula menyusukan, memangku dan mengendong bayi.

Demikianlah ingat akan Tuhan apabila telah berupa cinta. Rasanya lazat, melebihi lazat candu. Dia mabuk! Mabuk dalam bercinta.

Demikianlah orang yang merasa beruntung dengan barang yang hanya kecil saja, jika dibandingkan dengan keberuntungan yang paling besar, bahagia yang abadi, yakni taat kepada Allah.

Budiman berkata:

"Kalau Allah tak menjadikan kesengsaraan, di manakah orang akan kenal kelazatan bahagia? Kalau Tuhan tak menjadikan perhambaan dan perbudakan, di manakah akan ada keinginan hendak mengejar merdeka?

Memang kalau tak ada kesakitan, orang tak ada keinginan mengejar kesenangan.

Tidaklah terlalu berlebih-lebihan, jika kita katakan bahawa sakit dan pedih adalah tangga menuju bahagia.

Kesakitan perlu untuk orang yang hendak diinjeksi dan dioperasi. Kina yang pahit perlu bagi orang yang sakit malaria. Doktor sengaja mencampurkan racun di dalam ubat-ubat, menurut resip takaran yang tertentu, supaya ubat itu kuat makannya. Demikianlah Allah menjatuhkan kepedihan itu kepada hambaNya.

"Telanlah ubat ini hai hambaKu, supaya engkau lekas sembuh".

Pahit, ya Tuhanku...

"Tahanlah pahit supaya engkau lekas sembuh".

Orang yang tak percaya dihindarkannya dan dikicuhnya meminum ubat sehingga dia beroleh penyakit lebih berbahaya. Orang yang patuh dan taat, ditennya juga walaupun pahit dan tak enak, sebab dia mengharap sembuh.

Segala sengsara, kepedihan dan kesakitan, dijatuhkan Tuhan kepada hambaNya menurut takaran. Penyakit dan kekuatan jiwa si hamba, tidak dilebih-lebihNya dan tidak dikurang-kurangNya. Kecelakaan sihamba adalah sebab mereka sendiri, yang tidak mengikuti nasihat doktornya.

Sakit dan pedih itu mesti ada. Bumi tak subur tanamannya jika tidak diluku dahulu dengan bajak yang tajam, intan digosok baru timbul cahayanya. Emas dibakar baru boleh menjadi gelang. Bagi Insan, sakit dan pedih itulah yang menimbulkan fikiran baru, sakit dan pedih menimbulkan ikhtiar baru, sebab air mata saja tidaklah menolong dan meringankan tanggungan.

Kepedihan menghidupkan kemahuan yang telah mati. Bila kemahuan telah hidup, umur manusia seakan-akan bertambah adanya.

Kepedihan adalah bayang-bayang manusia, dia tak dapat menceraikan manusia selama-lamanya. Tidaklah berfaedah orang yang hendak menghilangkan kesakitan dan kepedihan sebab hilang dahulu manusia, baru hilang kepedihan.

Jaafar Syadiq cucu Rasulullah saw berkata:

"Barangsiapa mencari barang yang tidak dijadikan Allah di dunia ini, dan barang itu hanya di syurga saja, adalah menghabiskan umur dengan sia-sia".

Apakah barang itu? Tanya orang kepada beliau. Ialah kesenangan.

Nabi bersabda juga:

"Tiap-tiap hari berganti, maka kesakitan hari yang datang kemudian lebih hebat dari kesakitan yang datang pada hari yang dahulu".

Seandainya sakit dapat dihindarkan dari hidup, hidup yang tak mengandung pedih adalah, seakan-akan sambal yang tak bergaram. Itulah sebabnya, bangsa yang hina dan diperbudak, berusaha mencapai kemerdekaan. Kelak pada turunan yang datang di belakang, kemerdekaan yang dicapai oleh nenek moyangnya itu disia-siakan, sebab dia tidak merasai bagaimana sakit mencapai kemerdekaan itu.

Marilah kita perhatikan kehidupan anai-anai yang mengerubungi lampu. Anai-anai itu mendekati cahaya lampu seolah-olah berkata:

"Berilah aku izin mendekatimu hai lampu, aku ingin cahayamu yang terang benderang itu".

"Sia-sia, semata-mata sia-sia permintaanmu. Sebab keinginanmu itu mesti bertemu dengan bahaya". Jawab lampu.

"Bahaya apakah gerangan itu, tuan lampu?"

"Di dalam perjalanan engkau akan bertemu dengan burung layang-layang, engkau dijadikannya magsanya".

"Itu bukan bahaya, tuanku. Itu adalah keberuntungan, mati dalam menempuh cita-cita".

"Sis-sia, semata-mata sia-sia perbuatanmu itu".

Mengapa tuan katakan sia-sia orang yang mencintai bahaya tuan>"

Tidakkah engkau lihat, bangsamu telah jatuh tersungkur, mati tertimbun-timbun di bawah naunganku, lantaran mencari cahayaku?"

"Itu bukan sia-sia, ya tuanku. Itu adalah keberuntungan. Kami datang dari tempat yang jauh-jauh mencari cahaya kerana kamitak tahan gelap. Kami datang ke dekatmu, berkeliling mencari cahaya. Biarlah kami mati lantaran panasnya cahaya itu, bagi kami kematian itulah kelazatan".

Tidakkah kamu ngeri melihat bangkai yang tertimbun itu?

"Biarlah bangkai tertimbun ya tuanku. Bertimbun dan mati di bawah naunganmu. Kami cari cahayamu, setelah maksud kami berhasil, biarlah kematian datang, asal kami diredhakan datang".

Maka bertimbunlah bangkai anai-anai di bawah cahaya lampu, sedang yang datang masih banyak, dan yang akan datang, masih dalam perjalanan.

(Syair dari seorang sufi, memisalkan keinginan seorang Mukmin mencari Nur Tuhannya).

 

TASAWWUF MODEN BAB 4 FASAL 36 : UBAT DUKACITA (BAB 4 KESIHATAN JIWA DAN BADAN)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Dukacita, ialah penyakit yang timbul lantaran terlampau kuatnya keterikatan dengan dunia ini. Keterikatan itu pasti ada selama kita hidup iaitu keterikatan dengan anak, isteri dan sebagainya. Kerana kehilangan orang yang dikasihi atau orang yang disukai. Sebab dari timbulnya dumacita itu, kerana terlalu besar mementingkan keperluan jasmani, dan syahwat tidak terbatas sehingga timbul kepercayaan bahawa barang yang dicintai itu tidak boleh berpisah-pisah selama-lamanya dari badan. Padahal kalau manusia telah tenteram hatinya, sihat badannya, dan cukup pula yang akan di makan pagi dan petang, itulah orang yang sekaya-kayanya dan sesenang-senangnya. Kalau sudah begitu masih merasa dukacita juga, tndanya orang itu kurang akal dan kurang budi. Timbul penyakit dukacita ialah lantaran menyedari keberuntungan yang telah berlalu, atau takut menghadapi bahaya yang akan datang, atau kerana memikirkan bahawa yang ada sekarang ini masih belum cukup dan serba kurang.

1. Dukacita Memikirkan Yang Telah Lalu.

Kalau manusia berdukacita memikirkan keberuntungan, kekayaan dan kemuliaan yang telah hilang, kedukaan itu tidak berfaedah sama sekali. Sebab segala kejadian yang telah lalu walaupun bagaimana meratapinya, tidaklah akan kembali. Sedangkan masa dua minit yang lalu, walaupun dikejar dengan mesin terbang, yang sekencang-kencangnya atau yang melebihi kecepatan suara, tidaklah dapat dikejar. Apa guna meratapi yang telah lalu, dia tak akan pulang, dan lantaran diratapi dia boleh merosakkan badan. Kedukaan yang begini timbulnya lantaran tidak berkeyakinan bahawa segala isi alam ini asalnya tidak ada, kemudian itu ada dan akhirnya akan lenyap. Kemuliaan, ketinggian, kemajuan kecintaan yang disayangi anak dan isteri, harta benda, semuanya akan datang kepada kita dan akan pergi dari kita. Kalau tidak kita yang pergi lebih dahulu, tentu mereka. Sebab kepergian itu berdahulu, berkemudian juga.

Mengubat dukacita ini tidak lain hanyalah dengan menjaga yang tinggal sekarang. Kerana semuanya ini, baik yang telah pergi dan hilang atau yang sedang ada, apalagi yang akan datang, semuanya itu nikmat. Jangan ampai lantaran meratapi nikmat yang hilang, kita lupa akan nikmat yang ada. Nanti yang ada itu setelah hilang diratapi pula.

Dalam pepatah ada tersebut:-

"Kalau ada jangan harap, kalau hilang janganlah cemas.

Di waktu nikmat membanjir, hendaklah syukuri, letakkan ditempatnya. Insaf bahawa barang ini hanyalah pinjaman. Jika nikmat yang sangat dicintai itu masa muda, gunakanlah masa muda itu dengan baik, dan yakini masa muda itu tak lama. Kalau dia pergunakan dengan baik, kelak kalau sampai tua, kita tidak menyesali kepergiannya lagi, melainkan tersenyum dan bangga bahawasanya semasa muda dahulunya, kita telah berbuat baik.

Kalau nikmat yang membanjir itu harta benda, kekayaan dan kemuliaan, peliharalah dan gunakan dengan baik. Jangan dilupakan bahawa dia akan pergi. Jangan hanya diingat semasa saya kaya daulunya. Ingat pula yang sebelum itu, iaitu: Semasa saya lahir dahulunya.

Seketika Maharaja Iskandar Zulkarnain akan menghembuskan nafasnya yang penghabisan, setelah menaklukkan negeri-negeri Persia dan India, setelah dirasakannya bahawa telah sampai waktunya kembali ke akhirat, maka Maharaja yang muda belia itu mengumpulkan orang-orang besarnya dan berkata:

"Bilamana aku mangkat, letakkan mayatku dalam peti, bawa ke negeri Persia dan Mesir dan ke segenap jajahan yang telah aku taklukkan. Dari dalam peti hendaklah hulurkan kedua belah tanganku yang kosong, supaya orang tahu bahawa Raja Iskandar yang maha kuasa, walau bagaimana kuasa sekalipun, dia kembali ke akhirat dengan tangan kosong juga. Jika ibu dan ahli rumahku hendak meratapi mayatku, janganlah dilarang mereka meratap, cuma suruh saja cari dua orang yang akan jadi temannya, iaitu orang yang tidak akan mati selama-lamanya, dan orang yang tidak pernah kematian. Kalau yang berdua itu telah ada, bolehlah mereka meratapi aku".

2. Dukacita Memikirkan Yang Sekarang.

Kalau orang berdukacita memikirkan yang sekarang barangkali orang ini berdukacita kerana orang lain dapat nikmat, dia tidak. Atau kerana melarat hidupnya, dan cita-citanya yang sentiasa tak berhasil. Barangkali dia kekurangan harta, kurang mulia. Barangkali juga dia tidak duduk sama rendah, tegak sama tinggi dengan orang lain.

Sebabnya orang ini berdukamita, ialah lantaran dia tak tahu rahsia kehidupan dan dunia. Dia tidak tahu dunia ini kandang ripuan. Ini hari disenyumkannya kita, esok ditangiskannya. Kalau hendak mengubati penyakit ini, janganlah diingat tatkala Napoleon jadi kaisar saja, tetapi hendaklah diingat pula semasa dia mati di tanah pembuangan di Pulau St. Helena. Kalau difikirkan sampai ke sana, timbullah syukur dalam hati, mujurlah saya dalam keadaan yang begini. Secinta-cinta orang kepada perempuan cantik, kalau difikirkannya akhir akibat perempuan itu, akan kuranglah cintanya. Sebab rahsia dunia ini ganjil sekali. Tiap-tiap kemuliaan mengandung racun, dan tiap-tiap kesengsaraan mengandung faedah. Manusia hidup di dunia diancam dengan tiga anak panah. Panah kejatuhan, panah penyakit, dan panah kematian.

Lihatlah garis perjalanan dunia, peredaran politik tiap hari, lihat dan baca. Jangan dilihat dan dibaca saja, perhatikan pula akibatnya. Cuba lihat negeri Austria di masa yang lalu menjadi pusar Kerajaan Austria Hongaria. Kemudian jadi satu bahagian kecil dari Jermania Raya. Kemudian jadi kota kecil yang miskin. Kekayaannya hanya semata-mata sejarah. Lihat pula negeri Jerman, menjadi kerajaan yang kalah, kemudian naik daun, kemudian kalah dan bangkit menjadi bangsa yang kuat. Demikian keadaan negeri, demikian pula raja-raja. Itulah hidup.

Kalau diperhatikan segala kejadian ini dengan saksama, tidaklah orang akan berhiba hati memikirkan kekurangan diri dan nasib, tidak pula akan tercengang melihat kenaikan dan kejatuhan orang lain, tidak harap lantaran dapat untung, dia tidak cemas lantaran beroleh rugi.

Janganlah menyangka, bahawa 'hidup' itu hanya bernafas, hanya makan dan minum. Carikan segala ikhtiar untuk memperbanyak pengalaman dan ilmu dari edaran alam. Berjalanlah ke pasar-pasar, ke muka-muka pejabat bank. Lihatlah bagaimana seorang kasir payah-payah menghitung-hitung wang berjuta-juta tiap hari, sedang gajinya hanya 600 rupiah (60 sen) seublan. Jangan pula lupa melihat anak kecil dan perempuan-perempuan tua yang duduk di muka bank itu. Duduk berlindung di cucuran atapnya, kerana tidak mempunyai rumah. Batasnya dengan tempat penyimpan wang berjuta-juta itu hanya sebatas dinding, tetapi bukan dia yang empunya. Cuba periksa apakah tuan yang menguasai bank itu bersukacita dan gembira lantaran wang banyak? Pernahkah tuan itu susah? Pernah! Dia menyusahkan wangnya yang banyak, dan perempuan dan anak kecil dan nenek tua yang duduk di muka bank itu menyusahkan wang pembeli nasi tak ada. Cuma yang disusahkan yang berlain, darjat susah sama.

Semasa agama Islam mulai dibangkitkan, Rasulullah saw melarang sahabat-sahabatnya ziarah ke kuburan, takut kepercayaan dan iktikad mereka akan rosak kembali, kerana mereka masih dekat dengan zaman jahiliah. Tetapi setelah tiba di Makkah, larangan itu baginda cabut buat kaum lelaki, mereka dibolehkan ziarah ke kubur. Lantaran ziarah ke kubur menimbulkan ingatan kepada kematian. Tidak berapa lama kemudian, perempuan-perempuan diberi pula ieizinan, untuk menjadi iktibar.

Ahli-ahli tasauf banyak ziarah ke dekat-dekat penjara, ke rumah sakit, ke tempat-tempat orang miskin yang melarat, bahkan mereka singkirkan mendekati istana-istana.

Apakah guna semua itu? Ialah untuk menimbulkan keinsafan bahawa kita tak boleh berdukacita atas kesusahan, dan tak boleh bergembira benar atas kemuliaan, kerana dunia ini penuh rahsia.

Dalam urusan kehidupan hendaklah mengadap kepada orang yang lebih atas jangan terbalik, supaya tidak hilang pedoman. Itulah maka kerapkali bila ditanya seorang yang salah: Apa sebab engkau berbuat kesalahan ini? Dia menjawab: Sedangkan tuan Anu berbuat demikian.

Jika ditanyai, mengapa engkau menghabiskan umur begini dalam hidupmu? Dia menjawab: Aku sangat ingin bermegah-megah semacam si Anu.

3 Dukacita Memikirkan Yang Akan Datang.

Jika orang berdukacita memikirkan masa yang akan datang, tentu yang dia fikirkan satu dari dua macam kejadian, iaitu yang pasti datang dan yang barangkali datang.

Yang pasti datang adalah mati an tua, mustahil menolaknya. Hal itu tak usah diulang lagi.

Duka mengingat akan tua dan mati, adalah duka kerana jahil.

Kalau hal itu masih boleh ditolak, lebih baik jangan dihabiskan hari dalam berdukacita, tetapi lekas-lekaslah sediakan segala usaha penolak yang ditakuti itu. Kalau hanya berdukacita saja, tentu dia datang juga, tandanya kita tidak percaya adanya kudrat dan iradat Allah. Di sinilah perlunya persediaan 'tawakkal' serahkan keputusan itu kepada Allah swt.

Itulah maksud firman Tuhan:

Ertinya:
" Tiadalah menimpa suatu musibah di dalam bumi ini, atau di dalam dirimu sendiri, melainkan semuanya itu telah tertulis di dalam Kitab, sebelum ia terjadi dahulunya. Semuanya itu bagi Allah mudah saja. Supaya janganlah kamu sekalian berdukacita mengingat barang yang telah hilang dan jangan pula bersukacita atas barang yang datang kepadamu, dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong dan membanggakan diri". (Al-Hadid: 22-23).

Orang sangat takut bahaya yang akan datang, kerana hatinya lekat kepada dunia dan sombong lantaran nikmat dunia. Dia tidak ingat kepada pepatah:

Ertinya:

"Bukanlah malam itu sentiasa berbuat kebaikan kepaa manusia. Tetapi kebaikan itu kelak akan diikutinya dengan kesusahan".

TASAWWUF MODEN BAB 4 FASAL 35 : PERINGATAN MATI (BAB 4 KESIHATAN JIWA DAN BADAN)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Di dalam mengingati mati, manusia ingat 2 (dua) perkara:

  1. Perkara sebelum mati.
  2. Perkara sesudah mati.


Meskipun mati penuh dengan rahsia, tetapi hendaklah orang selalu ingat bahawa mati pasti datang. Itulah sebabnya para Anbiya' menjadikan ingat kepada kematian itu sebagai salah satu cabang dari pelajarannya. Demikian juga ahli-ahli falsafah, sebahagian besar mengakaji masalah kematian itu panjang lebar. Setengah berkata, kehidupan ini hanya palsu saja, hakikat hidup ialah sesudah mati.

Rasulullah saw bersabda:

"Banyak-banyaklah mengingat barang yang memusnahkan segala kelazatan itu, kerana siapa yang di dalam kesempitan, kalau dia ingat mati, dia insaf bahawa dia akan disambut oleh kesempitan".

Ahli-ahli falsafah bangsa Cina purbakala menciptakan suatu tradisi yang amat ganjil. Seorang anak yang baru dilahirkan ke dunia, dibuatkan oleh ibu bapanya dua barang yang amat perlu, iaitu buaian dan peti mati, supaya di samping kehidupan dia ingat akan kematian. Bertambah besar anak, bertambah besar peti mati dibuatkan. Setelah tua, meskipun badan sihat sampai sekarang masih kita lihat mereka buat keranda dan kuburan yang tenteram di dekal rumahnya yang indah, supaya kuburan itu jadi peringatan baginya, ke mana dia akan pergi. Mereka berkata bahawa manusia dalam hidupnya, berjalan melalui sebuah jambatan.

Sebelah ke belakang yang telah dilampaui ialah hidup, dan yang akan ditempuh ialah mati. Bertambah lama berjalan, bertambah dekat kepada mati, bertambah dekat pintu mati, bertambah jauhlah hidup.

Orang Mesir zaman purbakala lain lagi caranya. Bila mereka mengadakan suatu perhelatan (pesta) besar bersuka ria, sedang segenap tetamu gembira bersorak bersenda gurau, tuan rumah membawa suatu peti mati berisi mummi ke tengah-tengah majlis itu. Ketika itu segenap tamu lelaki dan perempuan harus diam, dan insaf bahawa di samping segala kesukaan itu berdiri 'elmaut'.

Sebab itu hendaklah orang yang berakal sentiasa ingat akan kematian, sebagaimana dia ingat akan kehidupan. Ingat bahawa hari ini kita memikul mayat orang lain, dan besok lusa mayat kita sendiri dipikul orang. Hendaklah ingat bahawa kita tidak akan lama menghuni rumah bagus, hendaklah yakin bahawa akan datang masanya naik usungan.

Itulah yang ajaib bagi filosof bangsa Cina zaman dahulu. Iaitu mereka pakai segala warna hitam, tanda berkabung atau kelahiran. Kerana bagi mereka lahir ke dunia itu belum tentu beroleh gembira, barangkali menempuh sengsara, lantaran 'hayat' ini sukar jalannya. Tetapi kalau kematian, mereka memakai pakaian putih (sekarang biasanya memakai pakaian putih kasar, belacu atau serupa guni), tanda bersyukur sebab telah datang janji yang ditunggu-tunggu, akan bertemu dengan arwah nenek moyang, pindah dari alam keonaran (huru hara) ke dalam alam bahagia.

Tidaklah kita hairan, bila kita baca riwayat kematian Bilal bin Rabah. Seketika dalam nazak, beliau berkata:

"Wahal gembiranya".

Laltu isterinya bertanya:

"Wahai suamiku, mengapa di dalam sakaratul maut, tuan berkata gembira, padahal dari tadi saya berkata:

"Aduh dukacitanya hatiku".

Bilal menjawab:

"Tidakkah gembira hatiku, bila aku ingat bahawa aku akan meninggalkan dunia yang fana, kembali ke alam baqa, menemui Rasulullah yang kucintai".

Dari keterangan di atas, tahulah orang bahawa ingat mati, ialah ingat akan hal sebelum dan hal sesudah mati. Sebab mati itu sendiri tidak lama!

Bilal gembira akan mati, kerana ingat akan hal yang akan ditemuinya sesudah mati.

1. Keadaan Manusia Mengingati Mati.

Pertama: Orang inilah yang sangat merugi, kerana tidak ingat kematian, tak terbayang-bayang dalam fikirannya, seakan-akan telah tetap dalam otak bahawa mati itu tak ada.

Orang ini tidak akan merasa hakikat mati sebelum menyaksikan sendiri. Orang ini baru dapat mengingat mati lantaran mengingat anak atau harta. Dia payah memikirkan bagaimanakah hartaku kelak, siapakah yang akan menjadi suami isteriku kalau aku wafat. Bagaimanakah jadinya anakku kalau aku telah menutup mata.

Kalau mayat dipikul orang di hadapan rumahnya, dibacanya "Inna Lillahi wa Innailaihi Raji'un" krana sudah teradat demikian. Masusia begini bukan mengingati kematian untuk dirinya, tetapi memikirkan orang lain. Ada juga dia mengaku ingat akan mati, cuma dengan mulutnya, tidak sejak dari hatinya. Dibawanya lengah saja perasaan takut mati yang ada dalam batinnya.

Kedua: Orang yang sentiasa takut saja mengingat mati, takut akan mati, takut kalau-kalau mati datang sehingga gementar tubuhnya dan berkunang-kunang penglihatannya. Dia ingat perkara ini kalau dia telah duduk termenung-menung seorang diri, sehingga lama-lama fikirannya morat-marit, pekerjaannya tak menentu lagi, pencemas, penggigil, putus harap. Bagi orang begini nikmat Tuhan jadi kecelakaan. Sebab tiap-tiap perniagaannya beruntung atau gajinya naik anaknya bertambah, rumahnya indah dan lain-lain, semuanya menambh takutnya menghadapi mati.

Dia takut kena angin, kerana angin itu menurut keterangan doktor membawa baksil penyakit. Takut bergaul dengan orang, kerana barangkali orang itu ada menyimpan bibit t.b.c. (penyakit berjangkit) kelak dibawa angin bertambah kembang biak, dan pindah pula ke dadanya sendiri. Kadang-kadang ada orang takut makan, kalau makanan itu tidak diperiksa doktor terlebih dahulu, barangkali beracun. Sultan Abdul Hamid menggaji seorang tukang cicip (kinyam) makanan yang akan baginda makan, haruslah dimakan oleh tukang cicip itu lebih dahulu. Akhirnya tukang cicip makanan itu kaya raya lantaran gajinya. Ia tidak mati kena racun, melainkan kemudian Sultan Abdul Hamid, mati di tanah buangan.

Penyakit demikian kalau dibiarkan, tidak ditangkis dengan kekuatan jiwa atau kekuatan iman kepada Tuhan, akan membahayakan diri, yang perlu kepada rawatan Doktor mengeluarkan wang beribu-ribu. Kalau doktor itu tidak ingat akan sumpah dan kemanusiaan, orang yang seperti ini boleh dijadikan permainan, penambah kekayaan pula bagi si doktor.

Ketiga: Orang yang ingat kematian dengan akal budi dan hikmat. Tak ubahnya dengan orang yang naik haji ke Makkah. Selama di dalam perjalanannya tidak lupa dia bahawa dia akan naik haji. Di dalam perjalanan selalu dihafalya manasik. Dicukupkannya wang, dilengkapkannya bekal, jangan sampai hajinya tidak sah.

Yang demikian adalah lantaran dia yakin bahawa ingat mati menghapuskan angan-angan yang tak menentu, menghabiskan was-was dan mengenang barang yang akan menghabiskan umur. Dari inat akan kematian, manusia menjadi sabar menerima bahagian yang sedikit, tidak tamak akan harta benda, lebih dari mesti, dan tidak menolak berapapun diberi, tidak tercengang dan gamang jika harta itu habis. Ingat mati menyegerakan taubat, khianat, haloba dan tamak. Ingat mati menghindarkan ujub. Ingat mati menghindarkan takbur. Tiap-tiap sehari melangkah dalam hidup,ingatlah mati sekali, supaya bekal ke sana bertambah banyak disediakan. Jangan sampai kejadian, sedang terlengah-lengah menghadapi yang lain, malaikat maut datang tiba-tiba. Sebab mati itu mungkin datang secara mendadak.

Hendaklah laksana juru tulis pejabat yang berkerja secara rapi. Bersedia memperlihatkan buku, apabila tukang periksa datang.

2. Ikhwal Manusia Seketika Mati.

Keadaan manusia seketika mati, tiga macam:

Pertama: Memikirkan bahawa kematian itu laksana suatu yang membawa bahagia, melepaskan dari, perhambaan, sebab hidup itulah yang memperhambanya. Sesungguhnya kehidupan manussia ini, walaupun sampai beribu tahun, masih sekejap mata saja dari cahaya kilat, setelah itu hilang kembali dan kemudian gelap. Orang ini tidak merasa berat meninggalkan dunia, hanyalah sekadar beberapa kekurangan yang belum terbayarkan olehnya kepada Tuhannya. Dia merasa menyesal lantaran khidmat kepada Tuhan dirasanya belum puas. Orang ini masih tamak juga hendak mendekatkan diri kepada Tuhan sedikit lagi, masih haloba kepada kesucian.

Orang bertanya kepada seorang Waliullah yang hampir mati, mengapa dia kelihatan bersedih hati. Dia menjawab:

"Saya agak sangsi, kerana saya baru akan menempuh suatu perjalanan yang belum pernah saya lihat, sampai sekarang dada saya berdebar, perkataan apakah kelak yang akan saya ucapkan di hadapanNya".

Orang ini bukan takut mati, tetapi merasa belum cukup ibadatnya, merasa malu akan bertemu dengan Tuhan lantaran ingat akan kebesaran Tuhan. Dia ingin beribadat sedikit lagi, tetapi waktunya sudah habis dan ajal sudah datang.

Seorang Waliullah yang lain berdoa demikian:

"Ilahi! Jika hamba memohon hidup di alam kematian, tandanya hamba benci hendak bertemu dengan Engkau. Sebab RasulMu sendiri pernah berkata: "Siapa yang ingin hendak bertemu dengan Allah, maka Allah pun ingin hendak bertemu dengan dia. Siapa yang enggan bertemu dengan Tuhannya, Tuhan pun enggan hendak menemuinya".

Buat orang ini Tuhan menyediakan sambutan yang baik. Buat mereka mati dialih namanya jadi "Liqa", ertinya "Pertemuan".

Kedua: Orang-orang yang sempit pandangan, yang perjalanan hidupnya penuh dengan maksiat, yang telah karam dalam godaan dunia, hingga tak dapat dibongkar lagi, sehingga kalau dia meninggal, hatinya masih tetap tersangkut. Orang ini merasa bahawa hidup di dunia itulah yang paling beruntung, dan tak memikirkan kehidupan akhirat. Memang orang yang begini lantaran telah kotor dalam kehidupan dunia, tersisih juga darjatnya dalam kehidupan akhirat. Dia telah lebih dahulu buta di dunia, sebab itu dia buta pula di akhirat.

Orang yang pertama tadi adalah seorang hamba yang patuh, yang bilamana dipanggil Tuhannya, dia bersegera datang dengan muka manis, dia datang dengan sukacita dan senyum simpul. Dia datang mengadap Tuhan dengan Qalbin Salin: Hti Baik.

Orang yang kedua, ialah hamba yang keras kepala, pulang kepada Tuhan dengan dada berdebar, sebab kesalahan amat banyak. Barangkali ia mencuba lari, tetapi tak dapat lagi, sebab temphnya sudah cukup. Sebab itu, kedatangannyakepada Tuhan terpaksa diikat, sebagai orang yang bersalah, tak dapat mengangkat muka, kelu lidahnya, tak dapat menjawab segala pertanyaan.

Alangkah jauh bedanya di antara kedua manusia ini.

Himah Rasulullah saw bertemu di dalam perkara menghantarkan mayat ke kubur, sabda baginda:

"Lekas-lekas hantarkan mayat ke kuburnya. Sebab kalau dia orang soleh, supaya lekas dia bertemu dengan pahalanya, dan kalau dia orang jahat, supaya jangan lama dia memberati dunia ini!".

Ketiga: Orang yang berada di tengah-tengah di antara kedua darjat tadi. Iaitu yang tahu tipu daya dunia, tak terikat oleh alam, tetapi dia suka juga kepada alam itu, sebab tak dapat menahan hatinya. Orang ini, laksana orang yang kepayahan berjalan tengah malam dan mencari tempat berhenti. Tiba-tiba tertumbuk kepada sebuah rumah kosong di tepi jalan, yang di kiri kanannya rimba. Akan masuk ke dalam merasa takut, akan diteruskan perjalanan takut pula. Lantaran terpaksa oleh keadaan dia masuk juga ke rumah kosong itu. Kalau orang ini sabar menunggu hari siang, tentu kelak dia akan menempuh jalannya juga dan rasa takutnya pun hilang. Tetapi kalau takutnya diperturutkannya, itulah yang akan membinasakannya.

Kita tidak hairan bahawa manusia amat berat akan meninggalkan suatu barang yang biasa dipakainya. Berapa banyaknya orang yang enggan meninggalkan rumah lama, pindah ke rumah baru, padahal rumah baru itu lebih besar. Anak-anak menangis meninggalkan perut ibunya, padahal dia pindah dari lapangan sempit kepada alam luas, nanti kalau telah biasa dengan udara alam, dia pun tak menangis lagi, bahkan menangis pula kelak bila akan meninggalkan alam itu.

Moga-moga kita semuanya menjadi umat yang bererti, yang redha pada Allah, dan Allah redha pada kita, sehingga hidup kita selamat di dunia dan di akhirat. Amin!