PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)
Di dalam
mengingati mati, manusia ingat 2 (dua) perkara:
- Perkara
sebelum mati.
- Perkara
sesudah mati.
Meskipun
mati penuh dengan rahsia, tetapi hendaklah orang selalu ingat bahawa mati pasti
datang. Itulah sebabnya para Anbiya' menjadikan ingat kepada kematian itu
sebagai salah satu cabang dari pelajarannya. Demikian juga ahli-ahli falsafah,
sebahagian besar mengakaji masalah kematian itu panjang lebar. Setengah
berkata, kehidupan ini hanya palsu saja, hakikat hidup ialah sesudah mati.
Rasulullah
saw bersabda:
"Banyak-banyaklah
mengingat barang yang memusnahkan segala kelazatan itu, kerana siapa yang di
dalam kesempitan, kalau dia ingat mati, dia insaf bahawa dia akan disambut oleh
kesempitan".
Ahli-ahli
falsafah bangsa Cina purbakala menciptakan suatu tradisi yang amat ganjil.
Seorang anak yang baru dilahirkan ke dunia, dibuatkan oleh ibu bapanya dua
barang yang amat perlu, iaitu buaian dan peti mati, supaya di samping kehidupan
dia ingat akan kematian. Bertambah besar anak, bertambah besar peti mati
dibuatkan. Setelah tua, meskipun badan sihat sampai sekarang masih kita lihat
mereka buat keranda dan kuburan yang tenteram di dekal rumahnya yang indah,
supaya kuburan itu jadi peringatan baginya, ke mana dia akan pergi. Mereka berkata
bahawa manusia dalam hidupnya, berjalan melalui sebuah jambatan.
Sebelah ke
belakang yang telah dilampaui ialah hidup, dan yang akan ditempuh ialah mati.
Bertambah lama berjalan, bertambah dekat kepada mati, bertambah dekat pintu
mati, bertambah jauhlah hidup.
Orang Mesir
zaman purbakala lain lagi caranya. Bila mereka mengadakan suatu perhelatan
(pesta) besar bersuka ria, sedang segenap tetamu gembira bersorak bersenda
gurau, tuan rumah membawa suatu peti mati berisi mummi ke tengah-tengah majlis
itu. Ketika itu segenap tamu lelaki dan perempuan harus diam, dan insaf bahawa
di samping segala kesukaan itu berdiri 'elmaut'.
Sebab itu
hendaklah orang yang berakal sentiasa ingat akan kematian, sebagaimana dia
ingat akan kehidupan. Ingat bahawa hari ini kita memikul mayat orang lain, dan
besok lusa mayat kita sendiri dipikul orang. Hendaklah ingat bahawa kita tidak
akan lama menghuni rumah bagus, hendaklah yakin bahawa akan datang masanya naik
usungan.
Itulah yang
ajaib bagi filosof bangsa Cina zaman dahulu. Iaitu mereka pakai segala warna
hitam, tanda berkabung atau kelahiran. Kerana bagi mereka lahir ke dunia itu
belum tentu beroleh gembira, barangkali menempuh sengsara, lantaran 'hayat' ini
sukar jalannya. Tetapi kalau kematian, mereka memakai pakaian putih (sekarang
biasanya memakai pakaian putih kasar, belacu atau serupa guni), tanda bersyukur
sebab telah datang janji yang ditunggu-tunggu, akan bertemu dengan arwah nenek
moyang, pindah dari alam keonaran (huru hara) ke dalam alam bahagia.
Tidaklah
kita hairan, bila kita baca riwayat kematian Bilal bin Rabah. Seketika dalam
nazak, beliau berkata:
"Wahal
gembiranya".
Laltu
isterinya bertanya:
"Wahai
suamiku, mengapa di dalam sakaratul maut, tuan berkata gembira, padahal dari
tadi saya berkata:
"Aduh
dukacitanya hatiku".
Bilal
menjawab:
"Tidakkah
gembira hatiku, bila aku ingat bahawa aku akan meninggalkan dunia yang fana,
kembali ke alam baqa, menemui Rasulullah yang kucintai".
Dari
keterangan di atas, tahulah orang bahawa ingat mati, ialah ingat akan hal
sebelum dan hal sesudah mati. Sebab mati itu sendiri tidak lama!
Bilal
gembira akan mati, kerana ingat akan hal yang akan ditemuinya sesudah mati.
1. Keadaan
Manusia Mengingati Mati.
Pertama: Orang
inilah yang sangat merugi, kerana tidak ingat kematian, tak terbayang-bayang
dalam fikirannya, seakan-akan telah tetap dalam otak bahawa mati itu tak ada.
Orang ini
tidak akan merasa hakikat mati sebelum menyaksikan sendiri. Orang ini baru
dapat mengingat mati lantaran mengingat anak atau harta. Dia payah memikirkan
bagaimanakah hartaku kelak, siapakah yang akan menjadi suami isteriku kalau aku
wafat. Bagaimanakah jadinya anakku kalau aku telah menutup mata.
Kalau mayat
dipikul orang di hadapan rumahnya, dibacanya "Inna Lillahi wa Innailaihi
Raji'un" krana sudah teradat demikian. Masusia begini bukan mengingati
kematian untuk dirinya, tetapi memikirkan orang lain. Ada juga dia mengaku
ingat akan mati, cuma dengan mulutnya, tidak sejak dari hatinya. Dibawanya
lengah saja perasaan takut mati yang ada dalam batinnya.
Kedua: Orang yang
sentiasa takut saja mengingat mati, takut akan mati, takut kalau-kalau mati
datang sehingga gementar tubuhnya dan berkunang-kunang penglihatannya. Dia
ingat perkara ini kalau dia telah duduk termenung-menung seorang diri, sehingga
lama-lama fikirannya morat-marit, pekerjaannya tak menentu lagi, pencemas,
penggigil, putus harap. Bagi orang begini nikmat Tuhan jadi kecelakaan. Sebab
tiap-tiap perniagaannya beruntung atau gajinya naik anaknya bertambah, rumahnya
indah dan lain-lain, semuanya menambh takutnya menghadapi mati.
Dia takut
kena angin, kerana angin itu menurut keterangan doktor membawa baksil penyakit.
Takut bergaul dengan orang, kerana barangkali orang itu ada menyimpan bibit
t.b.c. (penyakit berjangkit) kelak dibawa angin bertambah kembang biak, dan
pindah pula ke dadanya sendiri. Kadang-kadang ada orang takut makan, kalau
makanan itu tidak diperiksa doktor terlebih dahulu, barangkali beracun. Sultan
Abdul Hamid menggaji seorang tukang cicip (kinyam) makanan yang akan baginda
makan, haruslah dimakan oleh tukang cicip itu lebih dahulu. Akhirnya tukang
cicip makanan itu kaya raya lantaran gajinya. Ia tidak mati kena racun,
melainkan kemudian Sultan Abdul Hamid, mati di tanah buangan.
Penyakit
demikian kalau dibiarkan, tidak ditangkis dengan kekuatan jiwa atau kekuatan
iman kepada Tuhan, akan membahayakan diri, yang perlu kepada rawatan Doktor
mengeluarkan wang beribu-ribu. Kalau doktor itu tidak ingat akan sumpah dan
kemanusiaan, orang yang seperti ini boleh dijadikan permainan, penambah
kekayaan pula bagi si doktor.
Ketiga: Orang yang
ingat kematian dengan akal budi dan hikmat. Tak ubahnya dengan orang yang naik
haji ke Makkah. Selama di dalam perjalanannya tidak lupa dia bahawa dia akan
naik haji. Di dalam perjalanan selalu dihafalya manasik. Dicukupkannya wang,
dilengkapkannya bekal, jangan sampai hajinya tidak sah.
Yang
demikian adalah lantaran dia yakin bahawa ingat mati menghapuskan angan-angan
yang tak menentu, menghabiskan was-was dan mengenang barang yang akan menghabiskan
umur. Dari inat akan kematian, manusia menjadi sabar menerima bahagian yang
sedikit, tidak tamak akan harta benda, lebih dari mesti, dan tidak menolak
berapapun diberi, tidak tercengang dan gamang jika harta itu habis. Ingat mati
menyegerakan taubat, khianat, haloba dan tamak. Ingat mati menghindarkan ujub.
Ingat mati menghindarkan takbur. Tiap-tiap sehari melangkah dalam
hidup,ingatlah mati sekali, supaya bekal ke sana bertambah banyak disediakan.
Jangan sampai kejadian, sedang terlengah-lengah menghadapi yang lain, malaikat
maut datang tiba-tiba. Sebab mati itu mungkin datang secara mendadak.
Hendaklah
laksana juru tulis pejabat yang berkerja secara rapi. Bersedia memperlihatkan
buku, apabila tukang periksa datang.
2. Ikhwal
Manusia Seketika Mati.
Keadaan
manusia seketika mati, tiga macam:
Pertama: Memikirkan
bahawa kematian itu laksana suatu yang membawa bahagia, melepaskan dari,
perhambaan, sebab hidup itulah yang memperhambanya. Sesungguhnya kehidupan
manussia ini, walaupun sampai beribu tahun, masih sekejap mata saja dari cahaya
kilat, setelah itu hilang kembali dan kemudian gelap. Orang ini tidak merasa
berat meninggalkan dunia, hanyalah sekadar beberapa kekurangan yang belum
terbayarkan olehnya kepada Tuhannya. Dia merasa menyesal lantaran khidmat
kepada Tuhan dirasanya belum puas. Orang ini masih tamak juga hendak
mendekatkan diri kepada Tuhan sedikit lagi, masih haloba kepada kesucian.
Orang
bertanya kepada seorang Waliullah yang hampir mati, mengapa dia kelihatan
bersedih hati. Dia menjawab:
"Saya
agak sangsi, kerana saya baru akan menempuh suatu perjalanan yang belum pernah
saya lihat, sampai sekarang dada saya berdebar, perkataan apakah kelak yang
akan saya ucapkan di hadapanNya".
Orang ini
bukan takut mati, tetapi merasa belum cukup ibadatnya, merasa malu akan bertemu
dengan Tuhan lantaran ingat akan kebesaran Tuhan. Dia ingin beribadat sedikit
lagi, tetapi waktunya sudah habis dan ajal sudah datang.
Seorang
Waliullah yang lain berdoa demikian:
"Ilahi!
Jika hamba memohon hidup di alam kematian, tandanya hamba benci hendak bertemu
dengan Engkau. Sebab RasulMu sendiri pernah berkata: "Siapa yang ingin
hendak bertemu dengan Allah, maka Allah pun ingin hendak bertemu dengan dia.
Siapa yang enggan bertemu dengan Tuhannya, Tuhan pun enggan hendak
menemuinya".
Buat orang
ini Tuhan menyediakan sambutan yang baik. Buat mereka mati dialih namanya jadi
"Liqa", ertinya "Pertemuan".
Kedua:
Orang-orang yang sempit pandangan, yang perjalanan hidupnya penuh dengan
maksiat, yang telah karam dalam godaan dunia, hingga tak dapat dibongkar lagi,
sehingga kalau dia meninggal, hatinya masih tetap tersangkut. Orang ini merasa
bahawa hidup di dunia itulah yang paling beruntung, dan tak memikirkan
kehidupan akhirat. Memang orang yang begini lantaran telah kotor dalam
kehidupan dunia, tersisih juga darjatnya dalam kehidupan akhirat. Dia telah
lebih dahulu buta di dunia, sebab itu dia buta pula di akhirat.
Orang yang
pertama tadi adalah seorang hamba yang patuh, yang bilamana dipanggil Tuhannya,
dia bersegera datang dengan muka manis, dia datang dengan sukacita dan senyum
simpul. Dia datang mengadap Tuhan dengan Qalbin Salin: Hti Baik.
Orang yang
kedua, ialah hamba yang keras kepala, pulang kepada Tuhan dengan dada berdebar,
sebab kesalahan amat banyak. Barangkali ia mencuba lari, tetapi tak dapat lagi,
sebab temphnya sudah cukup. Sebab itu, kedatangannyakepada Tuhan terpaksa
diikat, sebagai orang yang bersalah, tak dapat mengangkat muka, kelu lidahnya,
tak dapat menjawab segala pertanyaan.
Alangkah
jauh bedanya di antara kedua manusia ini.
Himah
Rasulullah saw bertemu di dalam perkara menghantarkan mayat ke kubur, sabda
baginda:
"Lekas-lekas
hantarkan mayat ke kuburnya. Sebab kalau dia orang soleh, supaya lekas dia
bertemu dengan pahalanya, dan kalau dia orang jahat, supaya jangan lama dia
memberati dunia ini!".
Ketiga: Orang yang
berada di tengah-tengah di antara kedua darjat tadi. Iaitu yang tahu tipu daya
dunia, tak terikat oleh alam, tetapi dia suka juga kepada alam itu, sebab tak
dapat menahan hatinya. Orang ini, laksana orang yang kepayahan berjalan tengah
malam dan mencari tempat berhenti. Tiba-tiba tertumbuk kepada sebuah rumah
kosong di tepi jalan, yang di kiri kanannya rimba. Akan masuk ke dalam merasa
takut, akan diteruskan perjalanan takut pula. Lantaran terpaksa oleh keadaan
dia masuk juga ke rumah kosong itu. Kalau orang ini sabar menunggu hari siang,
tentu kelak dia akan menempuh jalannya juga dan rasa takutnya pun hilang.
Tetapi kalau takutnya diperturutkannya, itulah yang akan membinasakannya.
Kita tidak
hairan bahawa manusia amat berat akan meninggalkan suatu barang yang biasa
dipakainya. Berapa banyaknya orang yang enggan meninggalkan rumah lama, pindah
ke rumah baru, padahal rumah baru itu lebih besar. Anak-anak menangis
meninggalkan perut ibunya, padahal dia pindah dari lapangan sempit kepada alam
luas, nanti kalau telah biasa dengan udara alam, dia pun tak menangis lagi,
bahkan menangis pula kelak bila akan meninggalkan alam itu.
Moga-moga
kita semuanya menjadi umat yang bererti, yang redha pada Allah, dan Allah redha
pada kita, sehingga hidup kita selamat di dunia dan di akhirat. Amin!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan