PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)
Ada orang
yang berkata, bahawa sukacita tidak akan didapat, kalau batin masih merasa
sakit dan pedih. Selama kepedihan itu masih ditanggungka, kegembiraan belum
akan dikecap kelazatannya. Tiadalah orang akan merasa beruntung kalau dia masih
menanggung kepedihan.
Benarkah demikian?
Persangkaan itu salah, sebab orang yang bodoh, dungu, goblok, singkat fikiran
dan gila dalam kegilaan, kedunguan dan egoblokannya itu. Orang itu senang di
dalam keadaannya.
Pada suatu hari seorang filosof berjalan di suatu jalan yang ramai. Tiba-tiba
sedang dia menekur-nekur memikirkan keadaan hidup manusia, dia tertumbuk kepada
seorang tukang sapu jalan.
"Hai, orang pengangguran! Apa kerja tuan di dunia ini, makanya tuan
berjalan termanggu-manggu? Sehingga saya tertumbuk ke hidung tuan, tuan tidak
sedikit juga sedar?"
Demikian pertanyaan tukang sapu jalan.
"Saya seorang filosof, saya termanggu memikirkan kehidupan bani
Insan".
"Kasihan... kasihan... hanya itulah pekerjaan tuan?"
Si filosof kasihan melihat nasib tukang sapu, dan tukang sapu lebih kasihan
melihat si filosof. Sebab biasanya, orang yang mengankut mayat tertawa bila
bertemu dengan orang yang mengarak pengantin. Orang yang mengarak pengantin
bersedih bila bertemu dengan orang membawa mayat.
Orang gila merasa senang di dalam kegilaannya. Orang bodoh kerap mencela orang
pintar, sebab mereka pintar. Apakah yang dikerjakan orang-orang pintar itu,
selalu berembuk, selalu mengarang, selalu bekerja keras, katanya hendak membela
tanah air, membela bangsa dan lain-lain. Padahal semuanya berpayah-payah,
menghabiskan tempo dan umur. Lebih baik seperti kita ini saja, dapat hidup
mengatur diri dan anak bini sudah cukup.
Orang yang bernasib demikian itu adakah beruntung?
Mereka tidak merasa sakit dan susah.
Maka adakah keberuntungan seperti yang mereka rasai itu yang mesti dicapai oleh
tiap-tiap manusia? Adakah orang-orang yang berakal mempunyai keinginan hendak
bernasib seperti mereka? Kalau benar kegilaan itu satu keberuntungan?
Tidak ada yang mahu! Alhamdulillah!
Semua orang yang tak mahu jadi bodoh, sebab orang bodoh kelihatan senang dalam
kebodohannya, kalau orang tak berakal tak mahu jadi orang gila, sebab orang
gila kelihatan merdeka dalam kegilaannya, nyatalah bahawa keberuntungan sejati
itu didapat dengan kepedihan yang tiada terperikan. Sehingga beberapa filosof
Islam bersoal jawab, bilakan orang merasai kelazatan dalam hidupnya? Sesudah
pekerjaannya berhasil, atau sebelumnya?
Berulang-ulang telah kita paparkan, bahawa orang yang beroleh bahagia, tidaklah
luntur bahagianya lantaran kepedihan dan kesengsaraan yang silih berganti
hilang satu timbul dua, meskipun berat sengsara bahaya. Sebab dia ada mempunyai
perkakas yang paling teguh dan kuat, iaitu sabar dan tidak kehilangan akal.
Bahkan kadang-kadang baru dirasainya kebahagiaan itu, sesudah menangkis segala
sengsara. Tak ubahnya dengan orang menghisap candu, yang telah tahu bahawa
candu itu merosak badan, menghabiskan kesihatan, tetapi candu itu dihisapnya juga,
sebab yang diharapnya ialah kelazatan sesudah menghisap. Dia pengsan lantaran
merasai lazat, kian lama kekuatannya hilang dan tulangnya lesu, namun dia
kembali juga menghisap.
Jika tak senang telinga tuan mendengarkan misal orang menghisap candu, mari
kita misalkan kepada seorang perempuan yang melahirkan anak. Betapa sakit
tanggungan yang dipikulnya sejak mengandung sampai melahirkan, berapa takut dia
akan hamil lagi yang kedua dan yang ketiga. Tetapi pekik anak yang baru lahir
menghilangkan segala kesakitan yang berbulan-bulan itu.
Mengapa kesakitan, berbulan-bulan dihapuskan oleh tangis anak yang baru lahir?
Mengapa perempuan yang mandul, berubat kian ke mari, mencari dukun sakti, minta
ubat supaya beroleh anak? Tidakkah perempuan mandul itu tahu bagaimana
kesakitan saudaranya yang beroleh anak? Dia tahu, dia melihat seorang ibu
bergantung ke tempat tidur sehingga hampir roboh, lantaran kesakitan
melahirkan. Dia dengar rintihannya seketika anak itu hendak keluar. Perempuan
mandul tidak ingat itu, sebab dia ingin mendengarkan tangis anak itu seketika
bayi keluar. Dia ingin pula menyusukan, memangku dan mengendong bayi.
Demikianlah ingat akan Tuhan apabila telah berupa cinta. Rasanya lazat,
melebihi lazat candu. Dia mabuk! Mabuk dalam bercinta.
Demikianlah orang yang merasa beruntung dengan barang yang hanya kecil saja,
jika dibandingkan dengan keberuntungan yang paling besar, bahagia yang abadi,
yakni taat kepada Allah.
Budiman berkata:
"Kalau Allah tak menjadikan kesengsaraan, di manakah orang akan kenal
kelazatan bahagia? Kalau Tuhan tak menjadikan perhambaan dan perbudakan, di
manakah akan ada keinginan hendak mengejar merdeka?
Memang kalau tak ada kesakitan, orang tak ada keinginan mengejar kesenangan.
Tidaklah terlalu berlebih-lebihan, jika kita katakan bahawa sakit dan pedih
adalah tangga menuju bahagia.
Kesakitan perlu untuk orang yang hendak diinjeksi dan dioperasi. Kina yang
pahit perlu bagi orang yang sakit malaria. Doktor sengaja mencampurkan racun di
dalam ubat-ubat, menurut resip takaran yang tertentu, supaya ubat itu kuat
makannya. Demikianlah Allah menjatuhkan kepedihan itu kepada hambaNya.
"Telanlah ubat ini hai hambaKu, supaya engkau lekas sembuh".
Pahit, ya Tuhanku...
"Tahanlah pahit supaya engkau lekas sembuh".
Orang yang tak percaya dihindarkannya dan dikicuhnya meminum ubat sehingga dia
beroleh penyakit lebih berbahaya. Orang yang patuh dan taat, ditennya juga
walaupun pahit dan tak enak, sebab dia mengharap sembuh.
Segala sengsara, kepedihan dan kesakitan, dijatuhkan Tuhan kepada hambaNya
menurut takaran. Penyakit dan kekuatan jiwa si hamba, tidak dilebih-lebihNya
dan tidak dikurang-kurangNya. Kecelakaan sihamba adalah sebab mereka sendiri,
yang tidak mengikuti nasihat doktornya.
Sakit dan pedih itu mesti ada. Bumi tak subur tanamannya jika tidak diluku
dahulu dengan bajak yang tajam, intan digosok baru timbul cahayanya. Emas
dibakar baru boleh menjadi gelang. Bagi Insan, sakit dan pedih itulah yang
menimbulkan fikiran baru, sakit dan pedih menimbulkan ikhtiar baru, sebab air
mata saja tidaklah menolong dan meringankan tanggungan.
Kepedihan menghidupkan kemahuan yang telah mati. Bila kemahuan telah hidup,
umur manusia seakan-akan bertambah adanya.
Kepedihan adalah bayang-bayang manusia, dia tak dapat menceraikan manusia selama-lamanya.
Tidaklah berfaedah orang yang hendak menghilangkan kesakitan dan kepedihan
sebab hilang dahulu manusia, baru hilang kepedihan.
Jaafar Syadiq cucu Rasulullah saw berkata:
"Barangsiapa mencari barang yang tidak dijadikan Allah di dunia ini, dan
barang itu hanya di syurga saja, adalah menghabiskan umur dengan sia-sia".
Apakah barang itu? Tanya orang kepada beliau. Ialah kesenangan.
Nabi bersabda juga:
"Tiap-tiap hari berganti, maka kesakitan hari yang datang kemudian
lebih hebat dari kesakitan yang datang pada hari yang dahulu".
Seandainya sakit dapat dihindarkan dari hidup, hidup yang tak mengandung pedih
adalah, seakan-akan sambal yang tak bergaram. Itulah sebabnya, bangsa yang hina
dan diperbudak, berusaha mencapai kemerdekaan. Kelak pada turunan yang datang
di belakang, kemerdekaan yang dicapai oleh nenek moyangnya itu disia-siakan,
sebab dia tidak merasai bagaimana sakit mencapai kemerdekaan itu.
Marilah kita perhatikan kehidupan anai-anai yang mengerubungi lampu. Anai-anai
itu mendekati cahaya lampu seolah-olah berkata:
"Berilah aku izin mendekatimu hai lampu, aku ingin cahayamu yang terang
benderang itu".
"Sia-sia, semata-mata sia-sia permintaanmu. Sebab keinginanmu itu mesti
bertemu dengan bahaya". Jawab lampu.
"Bahaya apakah gerangan itu, tuan lampu?"
"Di dalam perjalanan engkau akan bertemu dengan burung layang-layang,
engkau dijadikannya magsanya".
"Itu bukan bahaya, tuanku. Itu adalah keberuntungan, mati dalam menempuh
cita-cita".
"Sis-sia, semata-mata sia-sia perbuatanmu itu".
Mengapa tuan katakan sia-sia orang yang mencintai bahaya tuan>"
Tidakkah engkau lihat, bangsamu telah jatuh tersungkur, mati tertimbun-timbun
di bawah naunganku, lantaran mencari cahayaku?"
"Itu bukan sia-sia, ya tuanku. Itu adalah keberuntungan. Kami datang dari
tempat yang jauh-jauh mencari cahaya kerana kamitak tahan gelap. Kami datang ke
dekatmu, berkeliling mencari cahaya. Biarlah kami mati lantaran panasnya cahaya
itu, bagi kami kematian itulah kelazatan".
Tidakkah kamu ngeri melihat bangkai yang tertimbun itu?
"Biarlah bangkai tertimbun ya tuanku. Bertimbun dan mati di bawah
naunganmu. Kami cari cahayamu, setelah maksud kami berhasil, biarlah kematian
datang, asal kami diredhakan datang".
Maka bertimbunlah bangkai anai-anai di bawah cahaya lampu, sedang yang datang
masih banyak, dan yang akan datang, masih dalam perjalanan.
(Syair dari seorang sufi, memisalkan keinginan seorang Mukmin mencari Nur
Tuhannya).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan