Catatan Popular

Rabu, 23 Disember 2020

TASAWWUF MODEN BAB 5 FASAL 41 : KEKUASAAN HARTA (BAB 5 HARTA BENDA DAN BAHAGIA)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Seorang tuan mempunyai beberapa orang hamba sahaya. Dia yang berkuasa atas hamba-hamba itu, disuruh dan ditegahnya, dimarah dan diherdiknya. Seorang lagi orang kaya menyimpan banyak harta, harta menjadi milik dari orang kaya sebagaimana hamba milik tuannya. Hamba, adalah manusia, dan harta hanya barang tak bernyawa.

Adakah kita lihat orang kaya dapat memerintah hartanya sebagaimana memerintah hambanya? Sebaliknya! Banyak kita lihat hartalah yang memerintah pemiliknya, ia dipenjarakan oleh hartanya. Bukanlah si kaya yang berkuasa, tetapi hartanya yang berkuasa atas dirinya.

Teori lama telah dikalahkan oleh teori yang baru. Kepercayaan kolot telah dibasmi oleh kepercayaan moden. Agama tahyul telah digantikan oleh agama tauhid. Zaman sewenang-wenang telah berganti zaman demokrasi. Tetapi kuasa harta yang timbul sejak manusia diciptakan di dalam alam ini, tidak bertambah kurang, malah bertambah lebih.

Harta yang berkuasa. Dengan harta semuanya jadi. Inilah seruan yang kita dengar. Hampir orang putus asa menghadapi perdamaian, ilmu dan budi, kesucian dan kesopanan. Sebab semuanya tidak melebihi kekuasaan harta si fulan, yang dahulunya berkuasa, ternama, termasyhur, diangkat dan dijunjung, bukan lantaran ilmunya, budinya dan sopannya, tetapi lantaran hartanya. Bilamana harta habis, lenganglah orang dari kiri kanannya. Hendak puji bertabur hurailah, sedang yang ditaburkan telah habis.

Hal ini telah melekat di akal, menyusup di fikiran, telah sejalan dengan nafsu. Sebab itu manusia telah jatuh kepada perhambaan harta.

Si fakir diperhamba oleh si kaya, si kaya diperhamba oleh hartanya. Kejahatannya kebebelannya dan kekurangannya dilupakan orang. Si pencuri kecil dimasukkan ke penjara kerana mencuri, tetapi tukang korupsi boleh jadi menteri.

Harta benda inilah sekarang yang menutup hati dari cahaya kebenaran. Dia telah menghambat langkah menyucikan diri, hingga orang tak ada lagi yang mencari kebenaran, bercita-cita tinggi tetapi mencari harta. Sistem pergaulan hidup menyuruh demikian. "Bahagia" yang dicari itu, telah tercampur adukkan dengan memburu harta. Seperti orang haus meminum air masin.

Segala yang ada di dunia ini, jika ditaksirkan lebih daripada harganya, bukanlah mendatangkan keuntungan, tetapi mendatangkan rugi. Laksana hidup bernafas dalam alam kerana orang menganggap hidup itu mahal daripada harga yang sebenarnya, maka dia pun takut mati, sehingga gentar menempuh bahaya. Kehidupan bernafas, singgah dalam alam dunia ini, bukanlah ringan dan murah, remeh dan tidak ada harga. Dia mempuyai harga, tetapi harganya tidak boleh ditawar lebih dari harganya, tetapi janganlah disamakan dengan harga mobil mewah. Sebuah perahu ada harganya, tetapi tidaklah semahal sebuah kapal.

Demikianlah harta benda. Harta benda memang mahal, tetapi orang telah meletakkan harganya lebih dari yang sepadan dengan dirinya. Memang dengan harta kita dapat mencapai maksud, sebab itu harta kita kumpulkan. Tetapi kerap terlalu berlebih-lebihansehingga bukan saja harta disangka untuk mencapai maksud, malah menyimpan harta itu dipandang suatu kemuliaan paing besar, kemegahan yang tiada terperikan, alat kesombongan, alat kehormatan dan kemuliaan. Sehingga dengan tidak merasa, kit berpaling dari mencapai bahagia yang sejati. Kita tidak ada niat lagi hendak menyisihkan kebenaran dari kesalahan. Tidak ada lagi kemahuan yang kuat, tidak ada lagi kemerdekaan berfikir dan menimbang, tegasnya kemerdekaan jiwa. Di sini brtemulah pepatah:

"Barangsiapa yang memandang bahawa maksudnya tidak akan tercapai kalau bukan dengan pertolongan yang lain, maka tunduklah dia kepada yang lain, dan musnahlah kemerdekaan dirinya".

Manusia telah tersesat kecuali orang yang dipeliharakan Allah, mereka taksir harta lebih daripada harganya yang sejati.

Mereka lupa, bahawa emas sebesar gunung ditengah-tengah padang luas yang tidak di datangi manusia, tidaklah ada harganya. Tetapi sebuah wang talen emas di kota, lebih mahal daripada emas sebesar gunung itu. Sebuah wang ketip di tangan seorang hartawan, tidak ada harganya, tetapi amat mahal di tangan seorang miskin, ringgit di tangan si pemboros, tidaklah semahal ringgit di tangan si bakhil. Seorang pengembara yang tengah kehausan di padang belantara luas dan kekurangan air walaupun dia membawa seguni emas urai, tidaklah ada harganya dibandingkan dengan segelas air yang sedang dicarinya.

Dengan beberapa misal ini, nyatalah bahawa harta benda itu pada hakikatnya harganya turun dan naik, kadang-kadang membubung ke atas dan kadang-kadang sama dengan pasir, tergantung hajat dan pandangan manusia kepadanya. Pada hakikatnya semuanya tidak berharga, peti besi tak perlu dibawa ke kubur. Ais tidak peru dibawa ke khutub. Sekarang emas tidak perlu untuk musafir yang kehausan di sahara.

Seorang hartawan ditanya orang, bagaimanakah perasaannya dengan hartanya yang banyak itu, adakah dia bahagia, ataukah dia beruntung?

Dia menjawab: "Kalau dikatakan beruntung dan bahagia lantaran banyak harta, kesusahan mengurus harta, lebih saya rasakan dari kesenangannya. Jika dengan harta itu dapat dicapai segala maksud, maka bertambah banyak harta, bertambah banyak dan lebih besar pula yang teringat dalam hati, sehingga selama-lamanya saya tidak pernah merasa cukup.

Tetapi kalau yang dikatakan dan beruntung itu perasaan hati dan ketenteraman jiwa, tidaklah lebih yang saya rasakan dari yang dirasakan orang lain. Sebab sudah nyata bahawa keberuntungan dan bahagia, rupanya tak dapat dibeli dengan wang dan tak dapat pula dijual".

Orang bertanya pula kepadanya: "Bagaimana perasaannya jika segala harta benda, perkakas dan keindahan telah dipunyai.

Dia menjawab: "Sebelum ada, memang sangat menginginkan, setelah ada keinginan menukar pula dengan yang baru, sebab yang lama telah usang. Meskipun suatu barang kita pandang indah dan kita ingini, bagi si penjual tempat kita membeli itu nyata benar bahawa barang itu tidak diingininya sedikit juga, yang lebih diingininya ialah 'harga' yang akan dibayarkan kepadanya. Bertambah lama barangnya terletak di dalam kedainya, hatinya bertambah susah. Kita sendiri bersenang hati bila barang itu telah pindah ke tangan kita, si penjual bersenang hati pula bila barang itu telah lepas dari tangannya.

Lantaran itu, nyatalah bahawa harga segala barang yang indah itu menurut tilikan dan keinginan kepadanya. Padahal keinginan dari kesetujuan manusia itu tidak pula sama, malah berbeza-beza. Kalau bukan berbeza-beza tentu warna dan corak kain tidak akan berbeza-beza pula seperti yang kita lihat.

Mendengar keterangan orang hartawan itu juga, kita terigat kepada penyakit mobil yang menular dalam kalangan orang-orang hartawan. Mereka lihat mobil mewah paling baru, mereka beli. Setelah enam bulan di belakang, keluar pula mobil baru. Maka model enam bulan yang telah lalu itu ditukar, begitu terus setiap enam bulan, sehingga dengan tidak diinsafinya, fikirannya hanya memperhatikan model mobil orang lain yang lebih baru, dan lupa pada mobilnya sendiri, juga urusannya yang lain-lain.

Nyatalah bahawa barang yang indah itu, turun dan naiknya, mahal dan murahnya bergantung hanya semata-mata kepada perhatian orang yang mengingininya, bukanlah harta itu berharga pada zatnya. Ada barang yang amat baru, tetapi murah, lantaran orang menghendaki yang usang, sebagaimana piring kuno dari Tiongkok atau setem yang lama-lama. Bertambah usang, bertambah mahal harganya.

Maka yang menentukan harga ialah nafsu kita sendiri yang tak ada batasnya.

Tiada ulasan: