PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)
Dukacita,
ialah penyakit yang timbul lantaran terlampau kuatnya keterikatan dengan dunia
ini. Keterikatan itu pasti ada selama kita hidup iaitu keterikatan dengan anak,
isteri dan sebagainya. Kerana kehilangan orang yang dikasihi atau orang yang
disukai. Sebab dari timbulnya dumacita itu, kerana terlalu besar mementingkan
keperluan jasmani, dan syahwat tidak terbatas sehingga timbul kepercayaan
bahawa barang yang dicintai itu tidak boleh berpisah-pisah selama-lamanya dari
badan. Padahal kalau manusia telah tenteram hatinya, sihat badannya, dan cukup
pula yang akan di makan pagi dan petang, itulah orang yang sekaya-kayanya dan
sesenang-senangnya. Kalau sudah begitu masih merasa dukacita juga, tndanya
orang itu kurang akal dan kurang budi. Timbul penyakit dukacita ialah lantaran
menyedari keberuntungan yang telah berlalu, atau takut menghadapi bahaya yang
akan datang, atau kerana memikirkan bahawa yang ada sekarang ini masih belum
cukup dan serba kurang.
1. Dukacita Memikirkan Yang Telah Lalu.
Kalau manusia berdukacita memikirkan keberuntungan, kekayaan dan kemuliaan yang
telah hilang, kedukaan itu tidak berfaedah sama sekali. Sebab segala kejadian
yang telah lalu walaupun bagaimana meratapinya, tidaklah akan kembali.
Sedangkan masa dua minit yang lalu, walaupun dikejar dengan mesin terbang, yang
sekencang-kencangnya atau yang melebihi kecepatan suara, tidaklah dapat
dikejar. Apa guna meratapi yang telah lalu, dia tak akan pulang, dan lantaran
diratapi dia boleh merosakkan badan. Kedukaan yang begini timbulnya lantaran
tidak berkeyakinan bahawa segala isi alam ini asalnya tidak ada, kemudian itu
ada dan akhirnya akan lenyap. Kemuliaan, ketinggian, kemajuan kecintaan yang
disayangi anak dan isteri, harta benda, semuanya akan datang kepada kita dan
akan pergi dari kita. Kalau tidak kita yang pergi lebih dahulu, tentu mereka.
Sebab kepergian itu berdahulu, berkemudian juga.
Mengubat dukacita ini tidak lain hanyalah dengan menjaga yang tinggal sekarang.
Kerana semuanya ini, baik yang telah pergi dan hilang atau yang sedang ada,
apalagi yang akan datang, semuanya itu nikmat. Jangan ampai lantaran meratapi
nikmat yang hilang, kita lupa akan nikmat yang ada. Nanti yang ada itu setelah
hilang diratapi pula.
Dalam pepatah ada tersebut:-
"Kalau ada jangan harap, kalau hilang janganlah cemas.
Di waktu nikmat membanjir, hendaklah syukuri, letakkan ditempatnya. Insaf
bahawa barang ini hanyalah pinjaman. Jika nikmat yang sangat dicintai itu masa
muda, gunakanlah masa muda itu dengan baik, dan yakini masa muda itu tak lama.
Kalau dia pergunakan dengan baik, kelak kalau sampai tua, kita tidak menyesali
kepergiannya lagi, melainkan tersenyum dan bangga bahawasanya semasa muda
dahulunya, kita telah berbuat baik.
Kalau nikmat yang membanjir itu harta benda, kekayaan dan kemuliaan,
peliharalah dan gunakan dengan baik. Jangan dilupakan bahawa dia akan pergi.
Jangan hanya diingat semasa saya kaya daulunya. Ingat pula yang sebelum itu,
iaitu: Semasa saya lahir dahulunya.
Seketika Maharaja Iskandar Zulkarnain akan menghembuskan nafasnya yang
penghabisan, setelah menaklukkan negeri-negeri Persia dan India, setelah
dirasakannya bahawa telah sampai waktunya kembali ke akhirat, maka Maharaja
yang muda belia itu mengumpulkan orang-orang besarnya dan berkata:
"Bilamana aku mangkat, letakkan mayatku dalam peti, bawa ke negeri Persia
dan Mesir dan ke segenap jajahan yang telah aku taklukkan. Dari dalam peti
hendaklah hulurkan kedua belah tanganku yang kosong, supaya orang tahu bahawa
Raja Iskandar yang maha kuasa, walau bagaimana kuasa sekalipun, dia kembali ke
akhirat dengan tangan kosong juga. Jika ibu dan ahli rumahku hendak meratapi
mayatku, janganlah dilarang mereka meratap, cuma suruh saja cari dua orang yang
akan jadi temannya, iaitu orang yang tidak akan mati selama-lamanya, dan orang
yang tidak pernah kematian. Kalau yang berdua itu telah ada, bolehlah mereka
meratapi aku".
2. Dukacita Memikirkan Yang Sekarang.
Kalau orang berdukacita memikirkan yang sekarang barangkali orang ini
berdukacita kerana orang lain dapat nikmat, dia tidak. Atau kerana melarat
hidupnya, dan cita-citanya yang sentiasa tak berhasil. Barangkali dia
kekurangan harta, kurang mulia. Barangkali juga dia tidak duduk sama rendah,
tegak sama tinggi dengan orang lain.
Sebabnya orang ini berdukamita, ialah lantaran dia tak tahu rahsia kehidupan
dan dunia. Dia tidak tahu dunia ini kandang ripuan. Ini hari disenyumkannya
kita, esok ditangiskannya. Kalau hendak mengubati penyakit ini, janganlah
diingat tatkala Napoleon jadi kaisar saja, tetapi hendaklah diingat pula semasa
dia mati di tanah pembuangan di Pulau St. Helena. Kalau difikirkan sampai ke
sana, timbullah syukur dalam hati, mujurlah saya dalam keadaan yang begini.
Secinta-cinta orang kepada perempuan cantik, kalau difikirkannya akhir akibat
perempuan itu, akan kuranglah cintanya. Sebab rahsia dunia ini ganjil sekali.
Tiap-tiap kemuliaan mengandung racun, dan tiap-tiap kesengsaraan mengandung
faedah. Manusia hidup di dunia diancam dengan tiga anak panah. Panah kejatuhan,
panah penyakit, dan panah kematian.
Lihatlah garis perjalanan dunia, peredaran politik tiap hari, lihat dan baca.
Jangan dilihat dan dibaca saja, perhatikan pula akibatnya. Cuba lihat negeri
Austria di masa yang lalu menjadi pusar Kerajaan Austria Hongaria. Kemudian
jadi satu bahagian kecil dari Jermania Raya. Kemudian jadi kota kecil yang
miskin. Kekayaannya hanya semata-mata sejarah. Lihat pula negeri Jerman,
menjadi kerajaan yang kalah, kemudian naik daun, kemudian kalah dan bangkit
menjadi bangsa yang kuat. Demikian keadaan negeri, demikian pula raja-raja.
Itulah hidup.
Kalau diperhatikan segala kejadian ini dengan saksama, tidaklah orang akan
berhiba hati memikirkan kekurangan diri dan nasib, tidak pula akan tercengang
melihat kenaikan dan kejatuhan orang lain, tidak harap lantaran dapat untung,
dia tidak cemas lantaran beroleh rugi.
Janganlah menyangka, bahawa 'hidup' itu hanya bernafas, hanya makan dan minum.
Carikan segala ikhtiar untuk memperbanyak pengalaman dan ilmu dari edaran alam.
Berjalanlah ke pasar-pasar, ke muka-muka pejabat bank. Lihatlah bagaimana
seorang kasir payah-payah menghitung-hitung wang berjuta-juta tiap hari, sedang
gajinya hanya 600 rupiah (60 sen) seublan. Jangan pula lupa melihat anak kecil
dan perempuan-perempuan tua yang duduk di muka bank itu. Duduk berlindung di
cucuran atapnya, kerana tidak mempunyai rumah. Batasnya dengan tempat penyimpan
wang berjuta-juta itu hanya sebatas dinding, tetapi bukan dia yang empunya.
Cuba periksa apakah tuan yang menguasai bank itu bersukacita dan gembira
lantaran wang banyak? Pernahkah tuan itu susah? Pernah! Dia menyusahkan wangnya
yang banyak, dan perempuan dan anak kecil dan nenek tua yang duduk di muka bank
itu menyusahkan wang pembeli nasi tak ada. Cuma yang disusahkan yang berlain,
darjat susah sama.
Semasa agama Islam mulai dibangkitkan, Rasulullah saw melarang
sahabat-sahabatnya ziarah ke kuburan, takut kepercayaan dan iktikad mereka akan
rosak kembali, kerana mereka masih dekat dengan zaman jahiliah. Tetapi setelah
tiba di Makkah, larangan itu baginda cabut buat kaum lelaki, mereka dibolehkan
ziarah ke kubur. Lantaran ziarah ke kubur menimbulkan ingatan kepada kematian.
Tidak berapa lama kemudian, perempuan-perempuan diberi pula ieizinan, untuk
menjadi iktibar.
Ahli-ahli tasauf banyak ziarah ke dekat-dekat penjara, ke rumah sakit, ke
tempat-tempat orang miskin yang melarat, bahkan mereka singkirkan mendekati
istana-istana.
Apakah guna semua itu? Ialah untuk menimbulkan keinsafan bahawa kita tak boleh
berdukacita atas kesusahan, dan tak boleh bergembira benar atas kemuliaan,
kerana dunia ini penuh rahsia.
Dalam urusan kehidupan hendaklah mengadap kepada orang yang lebih atas jangan
terbalik, supaya tidak hilang pedoman. Itulah maka kerapkali bila ditanya
seorang yang salah: Apa sebab engkau berbuat kesalahan ini? Dia menjawab:
Sedangkan tuan Anu berbuat demikian.
Jika ditanyai, mengapa engkau menghabiskan umur begini dalam hidupmu? Dia
menjawab: Aku sangat ingin bermegah-megah semacam si Anu.
3 Dukacita Memikirkan Yang Akan Datang.
Jika orang berdukacita memikirkan masa yang akan datang, tentu yang dia
fikirkan satu dari dua macam kejadian, iaitu yang pasti datang dan yang
barangkali datang.
Yang pasti datang adalah mati an tua, mustahil menolaknya. Hal itu tak usah
diulang lagi.
Duka mengingat akan tua dan mati, adalah duka kerana jahil.
Kalau hal itu masih boleh ditolak, lebih baik jangan dihabiskan hari dalam
berdukacita, tetapi lekas-lekaslah sediakan segala usaha penolak yang ditakuti
itu. Kalau hanya berdukacita saja, tentu dia datang juga, tandanya kita tidak
percaya adanya kudrat dan iradat Allah. Di sinilah perlunya persediaan
'tawakkal' serahkan keputusan itu kepada Allah swt.
Itulah maksud firman Tuhan:
Ertinya:
" Tiadalah menimpa suatu musibah di dalam bumi ini, atau di dalam
dirimu sendiri, melainkan semuanya itu telah tertulis di dalam Kitab, sebelum
ia terjadi dahulunya. Semuanya itu bagi Allah mudah saja. Supaya janganlah kamu
sekalian berdukacita mengingat barang yang telah hilang dan jangan pula
bersukacita atas barang yang datang kepadamu, dan Allah tidak suka kepada
tiap-tiap orang yang sombong dan membanggakan diri". (Al-Hadid: 22-23).
Orang sangat takut bahaya yang akan datang, kerana hatinya lekat kepada
dunia dan sombong lantaran nikmat dunia. Dia tidak ingat kepada pepatah:
Ertinya:
"Bukanlah malam itu sentiasa berbuat kebaikan kepaa manusia. Tetapi
kebaikan itu kelak akan diikutinya dengan kesusahan".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan