Catatan Popular

Rabu, 23 Disember 2020

TASAWWUF MODEN BAB 5 FASAL 44 : SUMBER HARTA (BAB 5 HARTA BENDA DAN BAHAGIA)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Harta berasal dari dua sumber:

  • Dari pencarian sendiri
  • Diterima dengan tiba-tiba, dari pemberian orang, atau beroleh warisan dan mendapat dengan tidak disangka-sangka.

Harta pencarian yang diusahakan, didapat dari dua sumber pula, halal atau haram. Kalau nayata bahawa barang itu halal, ambillah. Tetapi kalau haram sekali-kali jangan didekati, sebelum terbiasa. Sebab, kalau telah terbiasa memakan harta yang haram, amatlah sukar mengubahnya, yang menyebabkan budi pekerti rosak binasa. Kalau amat sukar memperoleh sebenar-benar yang halal, seperti pada masa sekarang, melainkan dengan susah payah, ambillah yang paling ringan haramnya, dan yang paling banyak halalnya. Sebab yang haram boleh jadi rukhsah (dibolehkan), kalau memang nyata tidak ada lagi jalan. Tetapi ikhtiar tidak boleh diputuskan.

Pedomannya ialah hati sanubari yang bersih. Untuk kebersihan hati jangan putus hubungan dengan Tuhan.

Setelah dijaga hati-hati sumber harta benda yang akan masuk ke dalam perbendaharaan, hendaklah jaga pula ke mana harta itu dikeluarkan. Menafkahkan harta tidak semuanya terpuji dan tidak semua tercela. Yang terpuji ialah harta yang dinafkahkan kepada sedekah yang perlu, atau memberi belanja anak isteri menurut mestinya. Memandang bahawa harta benda yang ada itu, bukanlah buat keperluan diri sendiri, tetapi untu keperluan sesama manusia.

Yang tercela ialah:

  • Terlalu berlebihan-legihan
  • Terlalu berkurang-kurangan.

Terlalu berlebih-lebihan ialah orang yang berbelanja lebih dari penghasilan, sehingga tidak sepadan dengan kekuatan dirinya, melupakan yang lebih penting lantaran memperturutkan nafsu mencari yang tidak penting. Suasana sekeliling menyebabkan orang di zaman sekarang jatuh hancur lantaran berlebih-lebihan.

Terlalu berkuran-kurangan, ialah tidak mahu menafkahkan harta pada yang mesti atau mengurangi dari yang perlu.

Penyakit berlebih-lebhan itu sebahagian besar menimpa orang yang tinggal di kota pada masa ini. Sebab kebanyakan bukan orang lelaki yang menyimpan wang, tetapi gaji dan penghasilan yang diterimanya, diserahkannya kepada isterinya. Setengah orang perempuan kalau mula-mula dipercayai, bukan main teguhnya memegang kepercayaan. Akhirnya, jika hendak membeli tali leher, tali sepatu, kancing baju, tidaklah berkuasa di lelaki lagi, tapi meminta dahulu kepada isteri. Oleh si isteri tadi, bukanlah wang tidak berlebih, bahkan banyak tersimpan, tapi untuk penambah bilangan baju pula, baju setera, model yang baru, peniti brelian dan seterusnya. Kalau hal ini ditegur, kaum perempuan akan menjawab:

"Darjat kami mesti disamakan dengan lelaki, kami meminta hak sama rata, sekarang zaman gerakan emansipasi perempuan meminta persamaan hak-hak dengan lelaki".

Adlagi yang berkata:

"Kita sekarang mesti melagak menurut gelombang. "International Minded".

Dalam ekonomi rakyat yang masih morat marit ini, hidup berlebih-lebian adalah menimbulkan benci dan dengki. Ini bukan international minded, tetapi kehancuran dan kecurangan.

Kita kembali kepada pembahagian manusia menghadapi harta.

Ramai orang yang karam di dalam dunia, dikaramkan oleh banyaknya harta, tidak ingat hari tua, tidak insaf akan hari akhirat, sehingga hartanya tidak dijadikannya bekal untuk menempuh negeri yang wajib ditempuh itu. Ada juga orang yang ingat akan hari itu, tetapi semata-mata ingat saja, lalu mengeluh dan disebut sedikit dengan bibir. Kalau mereka mendengar seorang guru menerangkan pelajaran akhirat, bahaya hart dan lain-lain, waktu itu mereka manggut-manggut, terasa rupanya olehnya. Tetapi bilamana habis mendengar pengajaran tadi, mereka kembali pula kepada kelalaiannya. Itulah yang paling banyak. Orang yang begini di dalam Quran dinamai "Abdatuth Thaaghut', penyembah Thaghut (syaitan), dan syarad dawab, sejahat-jahat binatang yang melata dibumi.

Sebahagian lagi sangat berlawanan dengan yang tersebut di atas, iaitu yang berpaling dari dunia dan harta sama sekali, tidak peduli bahkan benci. Mereka lupa dan tidak peduli, kerana mereka hanya mengingat semata-mata tujuan saja, iaitu amal ibadat untuk Allah, untuk kehidupan di akhirat, lain tidak. Orang ini bernama orang-orang Nussaak suhud, benci dunia dan lain-lain. Siapa menjamin belanjanya?

Bahagian ketiga ialah orang pertengahan, ititu orang yang membayar hak dunia dan membayar hak akhirat. Diambilnya harta dunia sepuas-puasnya, berapa pun akan dapatnya, digunakan untuk menyokong amalnya menuju akhirat. Kerana dia berkeyakinan bahawa alam ibadat itu, tidaklah dengan menekur-nekur saja, tetapi dengan membantu dan menolong sesama hamba Allah, melapangkan jalan bagi sesama makhluk menuntut bahagia, mendirikan masjid-masjid tempat meyembah Allah, mendirikan madrasah-madrasah atau sekolah untuk mengembangkan pengetahuan dunia dan akhirat. Dia yakin semuanya itu, terlebih di zaman sekarang, semua tidak akan tercapai kalau tidak dengan harta benda. Sebab itu mereka cari harta benda itu sebanyak-banyaknya, untuk meringankah segala perbuatan yang baik dan mulia ini.

Golongan ini disebut golongan pertengahan, dan golongan inilah yang diakui sah dan terpuji oleh orang-orang Muhaqqiqin (ahli selidik yang saksama). Sebab kedatangan rasul-rasul, utusan Allah ke dunia ini ialah untuk memperbaiki peripenghidupan manusia, dunia dan akhirat, bukan buat mengkucar kacirkan.

Orang yang sanggup mengumpulkan faedah agama dan dunia, amalan dan harta, orang demikianlah yang akan diberi izin Allah menjadi KhalifahNya dalam bumi ini.

Kata setengah Hukama juga:

Orang yang hidup di dunia ini terbahagi tiga, sebagahian yang lebih dipentingkannya tujuannya (akhirat) dari kehidupannya, orang itu mungkin beroleh kemenangan.

Sebahagian lagi lebih mementingkan kehidupannya dari akhiratnya, itulah orang yang binasa.

Dan sebahagian lagi dipentingkannya kedua-duanya, dan dijadikannya kehidupan sebagai tangga mencapai kebahagiann akhirat. Orang yang ketiga inilah menempuh jalan yang paling sukar dan berbahaya. Kalau dua menang, lebih besar kemenangannya daripada golongan yang pertama.

Orang yang ketiga ini adalah orang yang berjuang. Padahal menurut falsafah hayat, kemenangan tidak didapat kalau tidak dengan perjuangan.

Dan perjuangan itu ialah dengan dua alat:

"Dengan harta bendamu dan dengan jiwa ragamu".

Kata Sahibul Hikayat:

"Adalah seorang raja muda belia yang sangat luas ilmu dan hikmat dalam dadanya, termasyhur keadilannya ke mana-mana. Tiba-tiba pada suatu ketika, ditinggalkannya kerajaannya dipakainya pakaian shuf, memisahkan diri dalam Zawiyah tempat kaum sufiyah menekun diri menyembah Tuhan, serta membenci dunia. Berita ini sampai kepada seorang Maharaja lain, yang bersahabat dengan dia. Maharaja ini tidak bersenang hati, lalu dikirimnya sepucuk surat kepada raja yang telah Zahid ini demikian bunyinya:

"Tuan telah menginggalkan singgahsana kerajaan dan memilih hidup menjadi orang Zahid. Kami minta supaya tuan beri kami keterangan apa sebabnya tuan memilih jalan ini. Sebab kalau jalan ini yang benar dan membahagiakan, kami akan menuruti jalan ini yang benar dan membahagiakan, kami akan menuruti jejak tuan, jangan tuan saja beroleh bahagia. Sebab itu segeralah balas surat kami ini, beri kami keterangan supaya kami puas".

Surat itu baginda balas, demikian bunyinya:

"Ketahuilah olehmu, wahai sahabatku bahawasanya kita semuanya ini adalah hamba Tuhan yang Rahim, dikirim ke dunia laksana bala tentera yang dikirim ke medan perang, menentang musuh. Tentu maksud orang yang mengutus kita, tidak lain supaya kita menang. Seketika kita telah berhadap-hdapan dengan musuh, tak dapat tidak, kita terbagi tiga bahagian:

Pertama pengecut yang berkeyakinan bahawa musuhnya lebih kuat daripadanya, lebih berat fikirannya bahawa dia akan kalah. Sebab itu, sebelum perang terjadi, dia sengaja mengelakkan diri dari medan perang, mencari jalan yang lebih damai. Sebelum tertawan lebih baik memilih jalan lain iaitu menyerah kalah.

Kedua pendorong yang terlalu berani, padahal tak tahu tipu muslihat perang. Sehingga belum lama bertempur, dia telah kalah dan jatuh ke bawah tawanan dan perangkap musuh.

Ketiga berani dan arif bijaksana, tahu tipu muslihat, dapat menentang musuh dengan sabar. Dia perang, dia luka dan sembuh, dan dia perang lagi, sampai beroleh kemenangan. Orang inilah yang beroleh kemenangan dan hidup bahagia.

Adapun saya sendiri, setelah saya perhatikan, termasuklah ke dalam golongan pertama, saya seorang lemah. Sebelum ke dalam golongan pertama, saya seorang lemah. Sebelum kalah, lebih baik saya tinggalkan medan perang dan saya meminta damai, saya tidak mengajak tuan meninggalkan medam perang, hai sahabatku tetapi saya lebih bahagia rasanya, kalau tuan memilih menjadi golongan yang ketiga, yang berjuang dengan sengit dan beroleh kemenangan. Sebab itulah yang semulia-mulia golongan di sisi Allah
".

"Inilah rahsia perkataan Tuhan. Tuntutlah dengan barang yang dianugerahkan Allah itu, akan kampung akhirat, dan jangan lupakan nasibmu dari dunia, berbuat baiklah kepada sesaa manusia, sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan jangan suka berbuat fasad (kerosakan) di dalam bumi Tuhan". (Al-Qashash: 77).

Moga-moga kita masuk golongan yang ketiga itu, sanggup menghadapi musuh, iaitu dunia dan harta benda, sanggup mengalahkan musuh itu sehingga kita diredhai Tuhan.

Tiada ulasan: