Muhammad Al-Amin di Gua
Hira’
Di tengah-tengah
masyarakat yang penuh dengan bermacam-macam kepincangan itu, dalam dekad
pertama kurun ke – 7 Masihi, Muhammad yang bergelar Al-Amin yang sedang
meningkat usia empat puluhan sedang dalam keadaan amat tidak puas hati dengan
keadaan masyarakatnya yang sedemikian rupa. Baginda sentiasa berfikir dan
merenung mencari kebenaran.
Pada suatu malam,
baginda mengalami mimpi yang baik “al-Ru’ya al-Salihah” atau “al-Ru’ya
al-sadiqah” mimpi yang benar di dalam tidurnya. Sejak itu baginda gemar
bersendirian di Gua Hira’, sebuah gua yang terletak kira-kira enam batu ke
utara kota Makkah. Baginda bersendirian di gua itu kerana beribadat menurut
agama Nabi Ibrahim AS. Dalam hubungan ini Aisyah melaporkan:
Permulaan wahyu
berlaku pada Rasulullah s.a.w. ialah mimpi yang baik di dalam tidur. Sesuatu
mimpi yang dilihatnya itu pasti datang seperti sinaran subuh. Kemudian selepas
itu baginda gemar bersendirian di Gua Hira’ beribadat beberapa malam sebelum
kembali kepada keluarga mengambil bekalan baru. Sesudah beberapa malam di Gua
Hira’ baginda pulang kepada Khadijah mengambil bekalan sehingga datang
kebenaran ketika berada di Gua Hira’ itu.
(Riwayat al-Bukhari , L-Tajrid al-Sarih, hlm.5)
(Riwayat al-Bukhari , L-Tajrid al-Sarih, hlm.5)
Beberapa tahun
sepanjang bulan Ramadhan, baginda pergi ke Gua Hira’, merenung, berfikir dan
menunaikan ibadat. Jauh dari masyarakat yang hingar–bingar, bersendirian
mencari kebenaran dan keheningan fikiran, mencari kekuatan rohaniah dan
kekuatan diri.
Pada suatu ketika
sewaktu berada di gua itu, tiba-tiba datang Malaikat Jibril AS dengan rupa yang
asal, membawa sehelai kain sutera yang bertulis, terus ia memeluk nabi dengan
erat sambil berkata: “Bacalah!” dan dia menjawab: “Aku tidak tahu membaca.”
Sekali lagi Jibril memeluknya. Ia menyuruh lagi katanya: “Bacalah!” Muhammad
terus bertanya, “Apakah saya akan baca?” Ketika itu Jibril terus membaca firman
Allah Taala:
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Ia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang paling Pemurah. Yang mengajar dengan perantaraan pena. Ia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya. (Surah al-Alaq :1-5)
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Ia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang paling Pemurah. Yang mengajar dengan perantaraan pena. Ia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya. (Surah al-Alaq :1-5)
Nabi menurut bacaan
itu dan Jibril menghilang dirinya dari situ . Ketika itu baginda seolah-olah
terasa hatinya sudah tertulis atau terpatri dengan ayat yang dibacanya itu.2
Begitulah peristiwa
Rasulullah SAW menerima ayat al-Quran yang pertama dari Malaikat Jibril.
Peristiwa ini berlaku pada malam Isnin 17 Ramadhan tahun 41 dari kelahirannya
bersamaan 6 Ogos tahun 610 Masihi. Ketika itu baginda meningkat usia 40 tahun 6
bulan 8 hari menurut kiraan tahun Qamariah bersamaan kira-kira 39 tahun 3 bulan
8 hari menurut kiraan Syamsiah.3
Dalam keadaan
terkejut dan kehairanan Nabi SAW keluar dari gua itu. Ketika sampai di lembah
bukit, baginda terdengar suara dari arah langit, katanya: “Wahai Muhammad!
Engkau rasul dan aku Jibril.” Nabi mendongak ke langit kelihatan Jibril dalam
rupa seorang lelaki. Baginda tidak berganjak dari tempatnya, tidak ke depan dan
tidak ke belakang. Setelah Jibril menghilangkan diri, Nabi segera pulang ke rumah
mendapatkan isterinya Khadijah. Dengan perasaan gerun dan terperanjat baginda
meletakkan kepalanya di atas paha Khadijah sambil berkata, “Selimutkanlah aku!
Selimutkanlah aku!”4
Melihat keadaan yang
luar biasa itu, dengan penuh simpati Kahdijah bertanya: “Wahai Abu al-Qasim, ke
manakah anda pergi? Saya telah mengantar utusan untuk mencari anda sehingga
mereka sampai ke Bandar Makkah dan kini mereka telah pulang.” Setelah agak reda
daripada keadaan itu, Nabi menceritakan segala yang telah berlaku. Sebaik
sahaja mendengar peristiwa itu, sebagai seorang isteri yang bertanggungjawab,
Khadijah cuba menenang dan menguatkan semangat suaminya itu. Kata Khadijah:
“Bergembiralah dan tetapkan hati wahai anak pakcik ku! Demi yang diri Khadijah
ini di dalam kekuasaan-Nya, ku harap anda dapat menjadi Nabi bagi umat ini.”5
Melihat suaminya dalam keletihan dan terperanjat itu, Khadijah menyelimutkannya
sehingga baginda tertidur.
Ketika Nabi sedang tertidur
itu Khadijah pergi ke rumah sepupunya Waraqah bin Naufal seorang tua yang buta,
beragama Nasrani, menguasai bahasa Ibrani, sangat luas pengetahuan dalam
hal-hal agama. Mengetahui kandungan kitab Taurat dan Injil. Setelah mendengar
cerita daripada Khadijah, Waraqah berkata: “Quddus, Quddus! Demi yang diri
Waraqah di tangan-Nya, kalau engkau mempercayai aku wahai Khadijah, sebenarnya
dia telah didatangi al-Namus al-Akbar yang telah datang kepada Nabi Musa. Dia
adalah Nabi untuk umat ini.” Katakanlah kepadanya: “Hendaklah tetapkan hati.”
Khadijah pulang
menemui suaminya dan didapati ia masih nyenyak tidur. Tiba-tiba ia menggigil
dan sesak nafas sementara peluh membasahi dahinya. Baginda terbangun dari
tidurnya itu dan didapati malaikat datang menyampaikan wahyu kepadanya:7
“Wahai orang yang
berselimut! Bangunlah , lalu berilah peringatan!Dan Tuhan mu agungkanlah. Dan
pakaianmu bersihkanlah. Dan perbuatan dosa tinggalkanlah. Dan jangan engkau
memberi(dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak.”
(Surah al-Muddathir: 1-6)
(Surah al-Muddathir: 1-6)
Melihat suaminya yang
menggigil-gigil itu, timbul rasa belas kasihan dan simpati di hati Khadijah
lalu menyuruhnya tidur kembali untuk berehat. Mendengar suruhan isterinya itu
baginda berkata:-
Masa tidur dan
berehat sudah habis wahai Khadijah! Jibril telah memerintah aku supaya memberi
peringatan kepada manusia dan menyeru mereka kepada Allah dan beribadat
kepada-Nya. Tetapi siapakah orangnya yang hendak aku serukan itu? Siapakah yang
akan menerima seruan aku itu?8
Kemudian dengan tidak
teragak-agak Khadijah terus menyatakan pendiriannya dengan berkata: “Sayalah
orang yang mula-mula sekali menyahut seruan Islam. Saya mengaku bahawa anda
adalah Nabi dan Pesuruh Allah dan saya beriman kepada Allah.”
Bermulalah babak baru
dalam hidup Muhammad. Hidup yang mengubah dunia dari gelap kejahilan kepada
cahaya kebenaran dan ilmu. Kehidupan baginda menjadi contoh teladan yang unggul
bukan sahaja dalam bidang kehidupan rohani, tetapi dalam pembinaan masyarakat
dan negara.
Kerohaniaan
Dalam Islam
Kehidupan rohaniah
dalam Islam bermula sejak zaman Nabi SAW dan baginda sendiri merupakan model
yang pertama dan utama dalam mengamalkan rohaniah dalam kehidupan sehari-hari.
Amalan baginda dicontohi dan diikuti para sahabat yang kemudiannya diteruskan
pula oleh para Tabi’in dan Tabi’at Tabi’in dan berterusan sampai ke hari ini
dan masa-masa yang akan datang. Perjuangan dan amalan rohaniah Baginda SAW
merupakan ikutan utama bagi setiap Muslim yang ingin mencapai ketinggian
rohaniah.
Rasulullah dan para
sahabatnya, di samping berjuang di medan perang kerana menegakkan agama Allah,
mereka juga berjuang meningkatkan rohaniah, hidup zuhud, tidak mementingkan
kebendaan dunia, pangkat kebesaran dan kemasyhuran diri. Mereka sebaliknya
dengan penuh prihatin dan kesedaran menumpukan sepenuh hati kepada Allah,
berusaha meningkatkan mujahadah al-nafs melawan hawa nafsu dan godaan syaitan.
Di samping itu tidak pula lalai daripada tanggungjawab dakwah menegakkan amar
maaruf dan nahi munkar. Semua tanggungjawab ini adalah semata-mata kerana Allah
demi mencapai keredhaan-Nya.
Dengan iman yang
kental dan keyakinan yang padu, mereka tidak ragu-ragu memikul tanggungjawab
sebagai hamba Allah, menunaikan hak-hak fizikal dan juga tuntutan-tuntutan
rohaniah sehingga berjaya mencapai ketinggian rohaniah dan kehidupan yang
sempurna selaras dengan ajaran-ajaran dan tuntutan Islam yang sebenar. Mereka
telah memperimbangkan antara tuntutan dunia dan tuntutan akhirat, antara
jasmaniah dan rohaniah. Dengan menggabung-jalinkan antara dua aspek ini barulah
terbina kehidupan yang dikehendaki Islam.
Cara hidup Rasulullah
SAW dan para sahabat Ridwanullahi Alaihim dengan penumpuan beribadat, hidup
zuhud, hidup secara kasar (taqasysyuf), mujahadah al-nafs, berjihad pada jalan
Allah, semuanya itu merupakan benih pertama kehidupan rohaniah Islamiah.
Kemudian benih ini tumbuh dan berkembang subur melahirkan sistem rohaniah yang
mempunyai kaedah-kaedah dan cara-cara yang tertentu, menjadi amalan para
tabi’in dan amalan umat Islam yang kemudiannya. Mereka mengambil berat
menjalankan urusan agama, tidak lalai dan tidak terpengaruh dengan kehidupan
dunia yang sementara ini.
Sirah Rasulullah SAW
sebelum baginda dibangkitkan menjadi Rasul sebagaimana yang telah dijelaskan
dalam bahagian yang lepas, baginda berhari-hari bersendirian di Gua Hira,
merenung memikirkan tentang keindahan alam, tentang keadaan masyarakat, tentang
kekuasaan dan keagungan Maha Pencipta, mencari ketenangan dan keheningan jiwa,
semuanya ini merupakan jalan rohaniah, jalan menyuci jiwa daripada kekotoran
dan gangguan keduniaan untuk menuju insan kamil.
Untuk mencapai
ketinggian dan kemurniaan rohaniah itu, seseorang itu memerlukan disiplin diri
yang kuat, menjalani riadah dan mujahadah, melaksanakan amalan-amalan syariat
dengan penuh kesedaran sehingga akhirnya terbentuklah kehidupan rohaniah yang
murni, bersih daripada gangguan-gangguan hawa nafsu, rasa tamakkan dunia, tidak
berasa takut dan ragu dalam menjalani hidup di dunia ini.
Berjuang meningkatkan
ketinggian rohaniah dengan membersihkan jiwa daripada daki-daki dunia merupakan
satu usaha dan ikhtiar untuk membaiki diri setakat yang mampu oleh manusia.
Tujuannya supaya benar-benar menjadi abid, seorang insan yang beruntung, yang
mencapai kejayaan hakiki menurut penilaian Islam, beruntung dan berjaya di
dunia dan akhirat.
Dalam kehidupan dunia
ini, biasanya manusia kalah kepada hawa nafsu apabila berhadapan dengan
kebendaan dan pangkat kebesaran dan tawaran-tawaran kesenangan walaupun
kadang-kadang jalan-jalan memperolehinya itu tidak bersih dan salah. Apabila
seseorang itu kalah dalam menghadapi gejala-gejala tersebut, nilai dirinya
telah jatuh ke tahap yang paling rendah, ia tidak lagi mempunyai harga diri dan
terlalu hina pada pandangan Allah Taala.
Biasanya pengaruh
kebendaan inilah yang memutuskan hubungan hamba dengan Tuhannya. Ia merupakan
penghalang bagi seseorang daripada mencapai kebersihan kerohaniaan, menjadikan
manusia leka dalam hidup ini dan akhirnya terjerumus dalam kesesatan, kegelapan
dan kehinaan.
Kehidupan rohaniah
menurut Islam bukan sahaja bertujuan menggilap hati sejernih mungkin, tetapi
juga membawa manusia kepada keinsafan diri, mengenali diri sendiri dan
mengenali akan alam sarwajagat yang tersusun indah, rapi dan menakjubkan ini.
Semakin tajam keprihatinan diri terhadap alam ini, semakin jauh jangkauan mata
hati, perasaan hati dan pandangan hidup meneroka alam metafizik yang penuh
rahsia, penuh misteri ini.
Ayat-ayat Al-Quran
begitu banyak menganjurkan manusia supaya merenung berfikir dan menyelidik
terhadap alam semesta ini. Bagi orang yang berfikir, orang yang bermata hati,
semua penjuru alam ini menimbulkan kesedaran bahawa di sebalik alam nyata yang
indah dan terbentang luas wujud satu kuasa Yang Maha Agung, Maha Sempurna,
Dialah Al-Khaliq. Apabila kesedaran ini telah bertakhta di hati, perasaan diri
akan lebih tertumpu ke arah Yang Maha Agung itu sehingga timbul perasaan rindu,
perasaan ingin mengenali dan mendampingi-Nya. Justeru itu, mulailah ia berusaha
mencari jalan untuk makrifatullah dengan sebenar-benarnya. Sesudah dapat
mencapai makrifatullah, keimanan akan bertambah kukuh, keyakinan terhadap
kebesaran dan kekuasaan-Nya semakin kuat dan rasa tauhid bertambah mendalam,
tiada lagi ragu-ragu, itulah tauhid ahlullah. Terangkat hijab dan terserlah
baginya berbagai-bagai rahsia alam ghaib.
Apabila seseorang itu
telah mencapai tahap kerohaniaan yang tinggi, mengenali hakikat hidup yang
sebenar, keduniaan ini tidak lagi menjadi tumpuan hidup yang utama. Nilai
kebendaan dan kebesaran pangkat pula tidak lagi menjadi tumpuan hidup dan tidak
lagi menduduki tempat yang teratas dalam pandangannya. Dia sudah mempunyai
pegangan dan pandangan hidup yang tersendiri. Dia sedar hidup di dunia ini
hanya sementara sahaja. Dia yakin, di sebalik hidup di dunia ini ada lagi hidup
yang lebih tinggi dan lebih bererti, hidup kekal abadi, hidup di dalam rahmat
Allah bagi mereka yang telah menyuci jiwanya. Sebaliknya pula, hidup dalam
kesengsaraan yang amat parah bagi mereka yang hanya bergelumang dengan
keduniaan.
Setelah mengenali
yang hak dan yang batil, ia beriltizam di atas yang hak. Kaya atau miskin,
senang atau susah, mulia ataupun hina, tinggi ataupun rendah, istana atau pun
teratak, semuanya tidak penting dalam hidupnya. Yang penting ialah menghabiskan
sia-sia hidup sementara ini dalam kebenaran. Kalau Allah memberi kesenangan,
kemewahan, kekayaan, ia bersyukur, dan ia membelanjakannya untuk jalan agama
Allah. Jika sebaliknya, ia juga bersyukur dan bersabar. Ia terus berusaha dan
bersabar beristiqamah dalam keredaan Allah walaupun terpaksa menempuh ujian dan
kesusahan.
Dengan pandangan ini,
ia terus bertekun meningkatkan ta’abbudnya kepada Allah, menjadi seorang abid
yang bersikap warak, zuhud, taqasysyuf, bertawakal dan reda. Inilah sikap hidup
yang dipelopori baginda Rasulullah SAW, dicontohi para sahabat, menjadi ikutan
generasi Muslim yang kemudian. Inilah juga cara hidup para nabi yang terdahulu,
para wali, orang-orang salihin, dan orang-orang sufi.
Kehidupan rohaniah
sebagaimana yang tersebut di atas adalah tuntutan syariat Allah, bukannya
rekaan manusia. Ia adalah intisari bagi agama Samawi, telah dipraktikkan para
nabi dan abid yang telah sempurna kemuncak keagungannya dalam agama Islam,
bertitik tolak daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah.
Kehidupan rohaniah
Islamiah sebagaimana yang telah digambarkan di atas itu terus berkembang di
kalangan generasi Islam peringkat permulaan itu dengan keadaan bersih dan
murni. Tetapi setelah Islam berkembang luas, penganut bertambah ramai terdiri
daripada pelbagai bangsa yang selama ini telah mempunyai kepercayaan, amalan,
adat istiadat, kebudayaan dan cara hidup yang tersendiri, mulailah kehidupan
itu bercampur dengan pelbagai unsur. Ada yang bersifat falsafah, kebudayaan,
kepercayaan dan sebagainya. Unsur-unsur itu telah memberi kesan dan pengaruh
yang besar kepada kehidupan orang-orang Islam. Antara unsur itu ada yang sesuai
dengan Islam dan ada pula yang menyeleweng.
Oleh yang demikian
apabila hendak melibatkan diri dalam kehidupan rohaniah, kita kenalah
berhati-hati memilih guru atau syeikh mursyid yang muktabar agar kita tidak
terjerumus dalam ajaran sesat yang bertopengkan ilmu tasawuf. Perlu diingat
sejak zaman-zaman kebelakangan ini, terdapat banyak ajaran sesat berkembang di
dalam masyarakat kita yang dibawa oleh orang-orang jahil yang mendakwa diri
mereka sebagai ahli tasawuf padahal mereka bukan ahli tasawuf.
Ibadat
Rasulullah SAW
Dalam huraian di atas
dinyatakan bahawa kehidupan Rasulullah merupakan contoh teladan bagi para
sahabat dan kemudiannya diikuti pula oleh generasi yang kemudian Rasulullah SAW
dalam kehidupannya telah melaksanakan kedua-dua tuntutan, duniawi dan ukhrawi.
Baginda tidak meninggalkan dunia kerana menumpukan amal ibadat untuk hidup
akhirat. Beliau adalah sebagai panglima perang, ketua negara yang berkecimpung
dalam masyarakat kerana membina ummah, sebagai suami dan sebagai ayah yang
bertanggungjawab membina keluarga dan rumahtangga bahagia. Dalam kesibukan
menjalankan tugas dan tanggungjawab tersebut, baginda juga merupakan seorang
abid yang tekun menunaikan ibadat, bangun menunaikan solat tahajud dan membaca
Al-Quran setiap malam, beristighfar kepada Allah sekurang-kurangnya 70 kali
atau 100 kali setiap hari.9
Baginda menunaikan
solat fardu berjemaah di masjidnya. Ditambah pula dengan sunat rawatibnya, lapan
rakaat ditunaikan solat dhuha setiap hari. Solat ditunaikan dengan khusyuk,
penuh sempurna memakan masa yang panjang, malah meliputi dua pertiga malam
menunaikan solat. Auf bin Malik menceritakan: “Pada suatu malam saya bersama
Rasulullah SAW. Baginda bangun lalu bersugi. Selepas itu baginda menunaikan
solat. Saya bangun besertanya. Baginda menunaikan solat dengan membaca surah
Al-Baqarah. Bila bertemu ayat rahmat, baginda berhenti lalu berdoa. Bila
bertemu ayat azab, ia berhenti lalu memohon perlindungan. Kemudian barulah
rukuk. Lama sekali rukuknya itu. Dalam rukuknya itu baginda membaca:
سبحان ذى الملكوت والعظمة والجبروت
‘Maha suci Tuhan Yang
mempunyai kerajaan dan keagungan serta kekuatan.’
Kemudian bangun dan
sujud, dibacanya yang demikian. Pada rakaat yang kedua dibacanya surah Ali
Imran, kemudian dibacanya surah demi surah dilakukannya seperti itu juga.10
Mengambarkan keadaan
ibadat Rasulullah SAW, Ummu Mu’minin Saiyidatina Aisyah menerangkan bahawa
baginda menunaikan solat malam sampai bengkak kedua kakinya. Lantaran itu
Aisyah RA berkata: “Wahai Rasulullah! Kerana apa lagi tuan lakukan sampai
begini, sedangkan Allah telah mengampuni dosa tuan yang telah lalu mahupun yang
akan datang?” Jawab baginda: “Tidakkah baik aku menjadi seorang hamba yang
penuh bersyukur?”11
Rasulullah SAW sering
menangis takutkan Allah. Sensitiviti hatinya begitu terasa dan tajam. Justeru
itu apabila berdoa kepada Allah baginda sering menggeletar, menadah tangan dengan
penuh khusyuk dan tadarruk terutamanya pada malam-malam hari selepas menunaikan
solat pada waktu sahur, pada waktu pagi dan juga pada waktu petang. Baginda
pernah bersabda maksudnya: “Demi Allah, jika kamu mengetahui apa yang aku
ketahui, tentulah kamu berebut-rebut hendak pergi ke kubur.”
Ata’ menceritakan
bahawa beliau dan Ubaid bin Umair pernah pergi ke rumah Aisyah RA bertanyakan
hal-hal yang menakjubkan pada Rasulullah SAW. Aisyah yang berada di balik tabir
itu tiba-tiba menangis sambil berkata: “Perkara-perkara yang berlaku pada
Rasulullah SAW semuanya menakjubkan. Pada satu malam giliran saya, baginda
datang menghampiri saya sehingga bersentuhan kulit. Baginda bersabda: aku
hendak menumpukan ibadat kepada Tuhanku, Allah Taala’. Baginda pun pergi ke
tempat air mengambil wuduk. Baginda berdiri menunaikan solat. Kemudian menangis
sehingga basah janggutnya. Kemudian sujud. Selepas itu baginda terbaring di
atas lambungnya. Kemudian datang Bilal kerana azan Subuh. Bilal bertanya: ‘Apa
sebab tuan menangis sedangkan Allah telah mengampuni dosa tuan yang lalu dan
yang akan datang?’ Jawab baginda: ‘Wahai Bilal, betapa tidak aku menangis
kerana pada malam ini Allah telah menurunkan ayat:
“Sesungguhnya dalam
kejadian langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat
tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” (Ali Imran: 190)
Kemudian baginda
bersabda: ‘Celakalah bagi mereka yang membaca ayat ini, tetapi tidak memikirkan
tentangnya.’12
Dalam penumpuan
rohaniah ini, pernah terjadi Rasulullah SAW putus hubungan dengan alam nyata
ini, terputus dengan keadaan sekelililngnya walaupun tubuh kasarnya berada di
alam nyata ini. Pada suatu ketika baginda berada seorang diri, tiba-tiba Aisyah
isterinya masuk ke tempat baginda. Bila baginda sedar Aisyah masuk terus
bertanya:
“Siapa engkau?”
“Saya Aisyah.” Jawab Aisyah.
“Siapa Aisyah?” Tanya baginda lagi.
“Aisyah anak al-Siddiq.”
“Siapa al-Siddiq itu?”
“Mentua Muhammad,” tegas Aisyah.
“Saya Aisyah.” Jawab Aisyah.
“Siapa Aisyah?” Tanya baginda lagi.
“Aisyah anak al-Siddiq.”
“Siapa al-Siddiq itu?”
“Mentua Muhammad,” tegas Aisyah.
Ketika baginda
bertanya: “Siapa Muhammad?” Aisyah tidak berkata apa-apa kerana dia sudah
mengetahui, Nabi SAW sedang berada dalam keadaan yang luar biasa, lebih ke alam
rohani daripada alam maddi. Jika riwayat ini sahih, kata Muhammad Mustafa
Hilmi, suasana rohaniah yang luar biasa juga boleh berlaku pada orang-orang
yang sufi.13
Dalam melaksanakan
tuntutan rohaniah ini, seseorang itu jangan sampai mengabaikan tanggungjawab
terhadap tuntutan jasmaniah dirinya. Kedua-duanya hendaklah dilaksanakan,
sama-sama diberi perhatian yang sebaik-baiknya. Pada zaman Rasulullah SAW
pernah tiga orang sahabat datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah SAW
bertanyakan tentang ibadat baginda. Setelah mereka diberitahu, mereka merasakan
bahawa ibadat tersebut masih terlalu sedikit. Lalu mereka pun berkata: “ Di
manlah kita ini jika dibandingkan dengan Rasulullah SAW sedangkan baginda
diampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan yang akan datang?” salah seorang
daripada mereka berkata: “Tentang saya, saya akan solat malam selama-lamanya.”
Yang kedua berkata: “saya akan berpuasa sepanjang tahun dan tidak akan
berbuka.” Yang ketiga pula berkata: “saya akan menjauhkan diri daripada
perempuan dan tidak akan kahwin selama-lamanya.” Apabila Raulullah SAW bertemu
mereka, baginda bertanya: “Kamukah yang berkata begini, begini? Sesungguhnya
demi Allah, saya adalah orang yang paling takut dan bertakwa kepada-Nya, tetapi
saya berpuasa dan berbuka. Saya mendirikan solat dan tidur dan saya juga
berkahwin. Sesiapa yang tidak sukakan sunnahku, dia bukan daripada golonganku.”
(Riwayat Al-Bukhari)
Ramai para sahabat
melaksanakan tuntutan rohaniah dengan memperbanyakkan ibadat kepada Allah.
Sikap ini pula dicontohi oleh generasi tabi’in. dalam perkembangan rohaniah
Islam ini, semua tatahidup para sahabat itu dapat dianggap sebagia benih
pertama yang kemudiannya tumbuh dan berkembang merendang mengeluarkan
buah-buahan yang lazat rasanya, dinikmati dalam kehidupan para tabi’in dan
generasi-generasi kemudian yang mengutamakan agama dalam hidup dunia ini.
Dalam peringkat
permulaan ini, istilah “tasawwuf” dan “sufi” belum lagi wujud dalam sejarah
umat Islam. Ia mula dikenali pada kurun ke-2 Hijrah. Orang-orang yang mula-mula
sekali dipanggil sufi ialah Abu Hasyim al-Kufi yang meninggalkan dunia pada
tahun 162.
Perkembangan
Kehidupan Rohaniah
Kehidupan rohaniah
Islamiah yang bermula dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang
tersebut dalam bahagian yang lepas, dicontohi dan diamalkan oleh para sahabat
dalam kehidupan mereka. Sebagaimana Nabi turun ke medan perang berjihad
menegakkan agama Allah, para sahabat dan generasi yang kemudiannya juga turut
melaksanakan tuntutan tersebut. Akhirnya mereka berjaya menegakkan pemerintahan
Islam, mengalahkan dua kerajaan besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi. Di samping
meneruskan jihad di medan perang, mereka juga meneruskan jihad al-nafs, melawan
hawa nafsu dan godaan syaitan.
Sejarah menunjukkan
sikap hidup yang bersepadu, yang dipelopori Rasulullah SAW dan para rasul yang
terdahulu itu, dalam kehidupan sahabat-sahabat besar baginda, Abu Bakr, Umar,
Uthman dan Ali. Sahabat-sahabat utama seperti Bilal Al-Habsyi, Salman
Al-Farisi, Suhaib Al-Rumi, Ubai Ibn Ka’ab, Tamim Al-Dari, Abu Dzar Al-Ghiffari,
Huzaifah Ibn al-Yaman, Mus’ab ibn Umair dan ramai lagi sahabat lain turut
mempraktikkan sistem hidup Rasulullah SAW itu. Mereka menumpukan amal ibadat
(taabud), bersikap zuhud (tazahhud), hidup taqasysyuf (hidup secara kasar),
mujahad al-nafs dan sebagainya.14
Semuanya tatahidup
mereka itu merupakan benih pertama rohaniah yang kemudiannya tumbuh dan
berkembang membina institusi kehidupan rohaniah yang besar, menerbitkan
buah-buahan yang lazat, dinikmati dalam kehidupan para tabi’in dan generasi
yang kemudiannya.
Dalam kurun pertama
hijrah ini, istilah sufi dan tasawwuf belum lagi dikenal dalam sejarah
kehidupan rohaniah Islamiah. Dalam peringkat ini ahli-ahli ibadat dipanggil
dengan berbagai-bagai gelaran. Antaranya ialah:
Nussak: Kata jamak bagi perkataan nasik iaitu orang-orang yang
memberi penumpuan untuk beribadat kepada Allah.
Ubbad: Kata jamak
bagi perkataan abid iaitu orang-orang yang banyak beribadat, mengabdikan diri
semata-mata kepada Allah.
Zuhhad: Kata jamak bagi perkatan zahid yang diambil daripada
perkataan zuhud iaitu orang-orang yang tidak mementingkan dunia, harta benda,
kemegahan, kebesaran dan sebagainya.
Bakka’un: Kata jamak bagi perkataan bakka’ yang bermaksud
orang-orang yang banyak menangis kerana mengenangkan amalan ibadat kalau-kalau
tidak diterima Allah atau pun kerana mengenangkan hari Akhirat.
Walaupun nama-nama
ini berlainan sebutan zahirnya, tetapi semuanya membawa pengertian yang sama
iaitu sangat-sangat prihatin terhadap urusan agama, sedikit perhatian terhadap
dunia. Kehidupan mereka lebih banyak menunaikan ibadat, banyak berzikir,
merenung, bertafakkur mengenangkan keagungan dan kekuasaan Allah, peka terhadap
Allah dan penuh bertawakal kepada-Nya.
Antara tokoh rohaniah
dalam peringkat ini ialah Uwais bin Amir Al-Qarani, Amir bin Abdullah bin Abd
Qais al-Basri, Masyruq bin Abdurrahman al-Kufi, al-Rabi’ bin Khaitham, Haram
bin Hayyan, Hasan bin Abu al-Hasan Abu Sai’d al-Basri dan lain-lain. Cara hidup
mereka meninggalkan kesan yang besar dalam pertumbuhan kerohanian Islam
masa-masa berikutnya.15
Dalam kurun pertama
dan kedua Hijrah, peraturan-peraturan yang merupakan kaedah-kaedah umum untuk
dijadikan pegangan dalam melaksanakan kehidupan rohaniah atau kaedah-kaedah
yang perlu diikuti dalam menjalani latihan rohaniah belum lagi wujud dengan
teratur. Malah setiap individu menjalankan kehidupan rohaniah menurut citarasa
sendiri. Walaubagaimanapun, masing-masing berusaha menuju ke arah ketinggian
rohaniah dan kebersihan jiwa. Ahli-ahli ibadat, nasik, zahid, dan sebagainya
itu berusaha membersih dan membebaskan diri daripada gangguan-gangguan duniawi
yang boleh menyekat perkembangan rohaniah seseorang itu. Matlamat mereka ialah
mencapai keredaan Allah, matlamat tertinggi bagi setiap orang.
Dalam peringkat ini,
golongan nussak, dan zuhhud itu secara umumnya terbahagi kepada dua aliran
iaitu:
1.Aliran
Kufah
2.Aliran Basrah
2.Aliran Basrah
Kedua-dua aliran ini
sangat-sangat mengambil berat tentang ilmu-ilmu Islam dengan mempelajari ilmu
fekah, hadis, ilmu al-kalam dan ilmu-ilmu bahasa. Di samping kegiatan ilmiah
itu, mereka juga giat menjalani latihan rohaniah, menjalani riadah hati,
mujahadah al-nafs dan mengawal hawa nafsu.16
Selain daripada dua
aliran yang berpusat di dua buah kota itu golongan al-zuhhad, ubbad dan nussak
juga telah muncul di kawasan-kawasan lain umpamanya Khurasan di mana munculnya
Ibrahim bin Adham (m. 161H) dan muridnya Syaqiq al-Balkhi (m. 194H). Kedua-duanya
merupakan tokoh terkenal dalam sejarah kehidupan rohaniah Islamiah.
Tasawwuf dan
Tareqat
Daripada kegiatan
rohaniah sebagaimana yang telah dijelaskan itulah kemudiannya terbentuk
institusi tasawwuf. Pada permulaan abad ketiga ia telah tersebar luas dan
mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat. Baghdad, pusat pemerintahan
kerajaan Abbasiyyah pada masa itu merupakan pusat kegiatan ilmiah yang begitu
pesat. Kegiatan tasawwuf amat subur di kota ini. Sesuai dengan kemajuan dan
pertumbuhan ilmiah itu, orang ramai kian terpaut kepada kesenangan dan
kemewahan duniawi. Justeru keruntuhan akhlak mulai melanda masyarakat Islam.
Untuk menghadapi
gejala-gejala negatif itu, alim ulama’ meningkatkan kegiatan mereka,
menyedarkan masyarakat, berusaha menarik mereka ke arah memperbaiki akhlak dan
ketinggian budi pekerti. Kegiatan tasawwuf bertambah luas dan memegang peranan
penting dalam usaha pembentukan rohaniah dan akhlak masyarakat. Baghdad sebagai
pusat kegiatan tasawwuf mengatasi tempat-tempat lain. Dari Baghdad, tasawwuf
terus berkembang sampai ke Parsi. Sebagaimana Baghdad, tanah Parsi juga
merupakan kawasan yang subur bagi institusi tasawwuf. Pada peringkat ini
tasawwuf telah berkembang sampai ke Mesir, Syam dan Jazirah Arab.
Semenjak abad ketiga,
tasawwuf mulai teratur, terbentuk peraturan-peraturan, kaedah-kaedah yang
tersusun sebagai satu ilmu dan istilah-istilahnya juga sudah tercipta. Masa
abad ke-4 ia telah merupakan satu cabang ilmu yang telah mantap, mempunyai
bidang dan pendekatannya yang tersendiri. Istilah-istilah seperti al-‘Isya,
al-Mahabbah, al-qurb, al-haqiqah, maqamat, ahwal dan lain-lain sudah meluas
digunakan.
Institusi tasawwuf
tumbuh dengan meluas di bawah bimbingan syaikh-syaikh tasawwuf yang berwibawa
yang mempunyai murid yang ramai. Dari institusi inilah kemudiannya terbentuk
tareqat-tareqat dengan cara dan pendekatan masing-masing. Keseimbangan antara
kegiatan ilmiah dan amalan inilah yang meletakkan tasawwuf pada tahap
kecemerlangan, dan inilah yang perlu kita contohi pada hari ini.
Bermula dari kurun ke
7 dan seterusnya, tareqat telah berkembang luas dan tumbuh di seluruh alam
Islami. Tareqat-tareqat itu walaupun mempunyai sistem, cara dan kaedah yang
berlainan antara satu sama lain, tetapi semuanya mempunyai matlamat yang sama
iaitu mendekatkan diri kepada Allah, membersihkan jiwa, meningkatkan rohaniah
untuk mencapai keredhaan dan ma’rifatullah. Hasil daripada pertumbuhan dan
kegiatan sebagaimana yang tersebut itu akhirnya terbentuklah institusi tareqat
yang diberi nama menurut nama shaikh masing-masing. Tareqat-tareqat mu’tabar
sebagaimana yang disenaraikan Abu Bakar Aceh antaranya ialah:
1. Qadiriyyah
2. Jalutiyyah
3. Usyaqiyyah
4. Syattariyyah
5. Naqsybandiyyah
6. Bakdasiyyah
7. Bakriyyah
8. ‘Aidrusiyah
9. Syadhiliyyah
10.Ghazaliyyah
11.Bayumiyyah
12.Sunbuliyyah
13.Rifa’iyyah
14.Rumiyyah
15.Uthmaniyyah
16.Anfasiyyah
17.Dusuqiyyah
18.Jastiyyah
19.Aliyyah
20.Sammaniyyah
21.Akbariyyah
22.Sya’baniyyah
23.Abbasiyyah
24.Sanusiyyah
25.Maulawiyyah
26.Kaisaniyyah
27.Haddadiyyah
28.Idrisiyyah
29.Kubrawiyyah
30.Hamzawiyyah
31.Maghribiyyah
32.Badawiyyah
33.Suhrawardiyyah
34.Tijaniyyah
35.Ghaibiyyah
36.Ahmadiyyah
37.Khalwatiyyah
38.Alawiyyah
39.Hadriyyah
2. Jalutiyyah
3. Usyaqiyyah
4. Syattariyyah
5. Naqsybandiyyah
6. Bakdasiyyah
7. Bakriyyah
8. ‘Aidrusiyah
9. Syadhiliyyah
10.Ghazaliyyah
11.Bayumiyyah
12.Sunbuliyyah
13.Rifa’iyyah
14.Rumiyyah
15.Uthmaniyyah
16.Anfasiyyah
17.Dusuqiyyah
18.Jastiyyah
19.Aliyyah
20.Sammaniyyah
21.Akbariyyah
22.Sya’baniyyah
23.Abbasiyyah
24.Sanusiyyah
25.Maulawiyyah
26.Kaisaniyyah
27.Haddadiyyah
28.Idrisiyyah
29.Kubrawiyyah
30.Hamzawiyyah
31.Maghribiyyah
32.Badawiyyah
33.Suhrawardiyyah
34.Tijaniyyah
35.Ghaibiyyah
36.Ahmadiyyah
37.Khalwatiyyah
38.Alawiyyah
39.Hadriyyah
Antara tareqat yang
tersebar luas dan mempunyai pengikut atau ikhwan yang ramai di Malaysia ialah
Tareqat Naqsybandiyyah dan Tareqat Ahmadiyyah. Justeru itu, ada yang tidak
bertanggungjawab mengambil kesempatan bergerak sebagai kumpulan tareqat dan
mendakwa kumpulannya sebagai Tareqat Naqsybandiyyah atau Tareqat Ahmadiyah pada
hal sebenarnya bukanlah tareqat tersebut. Oleh itu diingatkan kepada sesiapa
yang ingin mengikut mana-mana tareqat pastikan ianya tareqat yang sebenar,
bukanlah tareqat tiruan yang membawa ajaran sesat.
Mengenali
Syeikh Mursyid
Dalam menyelusuri
khazanah sufistik ini, perlu juga kita mengetahui ciri-ciri seorang shaikh yang
merupakan tonggak utama dalam institusi tareqat sufiyyah. Ini kerana di
tangannya terletak teraju bagi sesebuah tareqat sama ada berada di atas
landasan yang lurus ataupun sebaliknya. Masalah mursyid inilah yang perlu
diberi perhatian oleh setiap orang yang ingin melibatkan dirinya dalam kegiatan
rohaniah. Wujudnya ajaran-ajaran sesat yang bergerak cergas adalah berpunca
daripada mursyid tiruan yang mendakwa dirinya sebagai pemimpin rohaniah, pada
hal dia bukanlah mursyid menurut kriteria tareqat sufiyyah yang sebenarnya.
Gerakan yang dipimpinnya itu dilabelkan dengan mana-mana sama tareqat yang
mu’tabar bertujuan untuk mengabui mata orang ramai, untuk meraih sokongan dan
kepentingan diri sendiri. Dengan sikapnya yang tidak bertangggungjawab itu, dia
telah mencemarkan ajaran-ajaran tareqat yang asli yang telah lama beroperasi
dan diterima pakai dalam masyarakat alam Islami.
Untuk kebaikan
peminat-peninat rohaniah, kita menyeru agar mereka berhati-hati dan berwaspada
dalam memilih institusi rohaniah yang hendak disertainya itu. Seseoraang itu
hendaklah lebih dahulu meneliti latar belakang institusi yang hendak
diceburinya itu dan sekaligus pula cuba mengenali latar belakang pemimpinnya,
apakah dia seorang yang berwibawa dalam bidang Akidah Islamiyah, bidang Syariah
dan benar-benar menguasai ilmu rohaniah. Ini boleh dicapai dengan merujuk
kepada alim ulama’ dan institusi–institusi agama yang diakui menpunyai
authoriti dalam bidang keagamaan.
Dalam peringkat ini
rasanya perlu kita mengetahui apakah ciri-ciri mursyid yang layak untuk menjadi
pemimpin rohaniah itu? Dalam hubungan ini al-Imam al-Ghazali menegaskan,
katanya: “Seseorang salik atau pengembara rohaniah itu memerlukan seseorang syaikh mursyid murabbi untuk mengeluarkan sifat-sifat negatif daripada salik tersebut dengan bimbingan dan didikannya, dan digantikannya dengan sifat–sifat positif.” Seterusnya kata Imam Ghazali lagi, didikan atau tarbiah itu serupalah dengan kerja peladang yang mencabut duri-duri dan mengeluarkan tumbuh-tumbuhan asing dari celah–celah tanaman supaya ia tumbuh dengan baik dan sempurna kesuburannya. Bagi seseorang salik, kata al-Imam al-Ghazali, dia mesti syaikh yang melatih dirinya dan menunjuknya ke arah jalan Allah Taala. Ini kerana Allah Taala telah mengutus untuk hamba–hambanya seorang rasul yang bertugas memandu hamba-hambanya itu kejalan Allah; dan apabila Rasulullah SAW sudah tidak ada lagi, para Khulafa’ ar-Rasyidun pula mengambil tempatnya itu, sehingga mereka pula bertugas menunjuk orang ramai kepada jalan Allah Taala.
katanya: “Seseorang salik atau pengembara rohaniah itu memerlukan seseorang syaikh mursyid murabbi untuk mengeluarkan sifat-sifat negatif daripada salik tersebut dengan bimbingan dan didikannya, dan digantikannya dengan sifat–sifat positif.” Seterusnya kata Imam Ghazali lagi, didikan atau tarbiah itu serupalah dengan kerja peladang yang mencabut duri-duri dan mengeluarkan tumbuh-tumbuhan asing dari celah–celah tanaman supaya ia tumbuh dengan baik dan sempurna kesuburannya. Bagi seseorang salik, kata al-Imam al-Ghazali, dia mesti syaikh yang melatih dirinya dan menunjuknya ke arah jalan Allah Taala. Ini kerana Allah Taala telah mengutus untuk hamba–hambanya seorang rasul yang bertugas memandu hamba-hambanya itu kejalan Allah; dan apabila Rasulullah SAW sudah tidak ada lagi, para Khulafa’ ar-Rasyidun pula mengambil tempatnya itu, sehingga mereka pula bertugas menunjuk orang ramai kepada jalan Allah Taala.
Syarat seorang syeikh
yang layak menjadi pengganti Rasullullah SAW itu, kata Al Imam Al-Ghazali,
pertamanya dia mesti seorang yang alim. Tetapi tidak semua orang alim layak
menerajui kepimpinan ini. Di sini, kata Al-Imam Al-Ghazali, diterangkan secara
ringkas cirinya agar tidak semua orang boleh mendakwa dirinya sebagai mursyid.
Antara ciri-ciri itu ialah:
•Dia tidak
mencintai dunia dan kemegahannya.
•Dia sendiri telah mengikuti bimbingan seorang mursyid yang berwibawa yang berkesinambungan sampai kepada junjungan kita penghulu rasul-rasul SAW.
•Beliau amat baik dalam riyadhah dirinya, tidak banyak makan, tidak banyak bercakap dan tidak banyak tidur, sebaliknya banyak mengerjakan solat, bersedekah dan puasa.
•Dia sendiri telah mengikuti bimbingan seorang mursyid yang berwibawa yang berkesinambungan sampai kepada junjungan kita penghulu rasul-rasul SAW.
•Beliau amat baik dalam riyadhah dirinya, tidak banyak makan, tidak banyak bercakap dan tidak banyak tidur, sebaliknya banyak mengerjakan solat, bersedekah dan puasa.
Dengan mengikut
syaikh yang berwibawa seperti itu, jadilah akhlak yang baik itu sirah
perjalanan hidupnya seperti bersifat sabar, mengerjakan solat, bersyukur,
bertawakal, yakin, qana’ah, tenang, lemah-lembut, tawadhu’, bersopan-santun,
berhati-hati, berhemat-cermat dan sebagainya. Jadilah dia sebagai cahaya
daripada cahaya-cahaya nabi SAW, dan dia layak diikuti. Tetapi wujudnya tokoh
yang seperti ini jarang sekali dan lebih sukar daripada mendapati belerang
merah. Walaupun bagaimanapun, kata Al-Imam Al-Ghazali, mana-mana orang yang
terdorong untuk beroleh kebahagiaan, dia akan bertemu denagn shaikh yang
mempunyai ciri-ciri dan kriteria sebagaimana yang tersebut itu.
Sifat-sifat mursyid
yang dibentangkan al-Imam al-Ghazali itu dapat kita jadikan sebagai kayu pengukur
atau neraca untuk memilih syaikh atau mursyid, atau guru rohaniah yang
benar-benar boleh dipercayai dan boleh diikuti. Dengan demikian, seseorang itu
akan terhindar daripada terperangkap dalam kegiatan ajaran-ajaran sesat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan