Catatan Popular

Jumaat, 6 Mei 2011

YA ALLAH…KU KENAL AHLI MAKRIFAT, AHLI TASAWWUF


SIAPAKAH YANG DIPANGGIL AHLI MA'RIFAT

Berbagai istilah, tetapi merujuk kepada orang yang sama ; samada dipanggil Ahli Tasawwuf (kerana suci dan jernih hatinya) atau dipanggil Ahli Ma'rifat (kerana sangat 'arif tentang keTuhanan) atau Aulia' Allah (wakil dan kekasih Allah) atau Shaikh Sufiyyah (kerana sifat kepimpinan kerohanian kepada kesucian hati dan jalan keTuhanan) dan beberapa nama lagi yang layak bagi mereka....merujuk kepada hamba-hamba pilihan Allah yang telah suci hatinya, dicurahi ilmu, hikmah dan Rahsia ketuhanan dan dihantar ke bawah bagi memimpin manusia kepada Uluhiyyah dan Ubudiyyah yang hakiki.


Ghawthul A'zham Shaikh Muhyidddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anh memberi gambaran paling tepat berkenaan Ahli Tasawwuf, Ahli Ma'rifat, Aulia Allah, Shaikh Sufiyyah ini dengan kata beliau :

"Seseorang tidak dapat dikatakan Sufi sehingga dia sampai ke maqam dimana dia di anugerahi pandangan kepada Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam didalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan. Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya. Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya didalam pimpinan tangan Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam."

(Fath-Ar-Rabbaniy)

dan kata beliau lagi....

"Wali-wali yang menjadi guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam dengan Tuhannya (Ma'rifah, Qurbah dan Mahabbah). Amanah dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa dianugerahkan kepada mereka. Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian, dan diri batin mereka selamat di bawah penjagaan Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi Wasallam."

(Sirrul Asrar Fi ma Yahtaju Ilaihil Abrar) dan ditempat lain beliau menyebut:

"Dalam semua itu mereka mengikut teladan daripada pengikut-pengikut Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam yang terkenal sebagai ‘golongan Tasawwuf’ yang telah meninggalkan semua urusan keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam dan berada hampir dengan baginda. Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka menerimanya secara langsung daripada mulut Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam" .

Walaupun banyak tafsiran dan pengertian lain diberikan oleh sekalian Arif Billah yang mulia, namun gambaran yang dihuraikan oleh Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anh memadai dan merangkumi semua pengertian lain.
Jika diamati daripada huraian diatas maka yang disebut Ahli Ma'rifat, Ahli Sufi atau Ahlillah kita akan dapati mereka itu tidak lain melainkan mu'min pilihan Allah yang di amanahkan untuk menyambung Risalah Nabi Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam diatas muka bumi.

Penegasan daripada Shaikh juga memberi isyarat bahawa yang dikehendaki dengan 'Ahli Ma'rifat' atau 'Ahli Tasawwuf' adalah orang yang telah tamkin (tetap hatinya) dalam Syari'at dan Toriqah Sufiyyah dan telah diijazahkan oleh Gurunya yang telah menerima Nur Silsilah Nabi Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam.

Dengan demikian salik yang sedang dalam perjalanan dan masih dikuasai 'afat' belum boleh dikatakan 'Ahli Ma'rifat' Atau Ahli Tasawwuf'

APAKAH ASAS PERJALANAN MEREKA?

Seluruh perjalanan mereka adalah diatas Al-Qur'an, Kalamullah! Dan mereka mengambil tafsirnya daripada Hadis2 Nabi! Bermula daripada awal perjalanan sebagai salik dibawah pimpinan gurunya sehinggalah beliau diangkat oleh Allah Ta'ala kepada martabat yang tinggi disisiNya, semua ini di ikat dengan perintah2 Allah didalam Al-Qur'an dan Hadis Nabi.

Sebagaimana kata Sayyid-At-Tariqah As-Sufiyyah Shaikh Junaid Al-Baghdadi Radhiallahu 'Anh :

"Ilmu kami, ahli Tasawwuf diikat dengan Al-Qur'an dan Sunnah Nabi. Jika seseorang tidak menghafal Hadis Nabi dan tidak menulisnya didalam kitab2 dan tidak menghafal Al-Qur'an, dan tidak mahir didalam hukum2 syaria't dan tidak pula 'alim didalam ahwal perjalanan kerohanian, maka orang itu tidak layak diikuti sebagai pemimpin Ma'rifat ketuhanan. Maka jangan kamu mengambil ilmu daripadanya"

Berkata Ghawthul A'zaham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anhu:

"Seseorang yang menjadi Shaikh kerohanian mesti memiliki lima syarat, jika tidak dia adalah penipu yang hanya memimpin kepada kebodohan. Dia mesti sangat mahir didalam Syari'at, sementara sangat dalam pengetahuannya didalam haqiqat. Dia mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu2 yang datang kepadanya dengan penuh kasihsayang. Dia juga mestilah sangat 'alim dalam halal dan haram. Dia memimpin si salik pada jalan ma'rifat, sebagaimana dia sendiri dipimpin, sempurna didalam kemurahan hatinya."
(Qala'id Al-Jawahir)

Sultanul Arifin Hazrat Sulatan Bahauddin Radhiallahu Anh berkata:

"Apabali seseorang memasuki alam Tasawwuf, dia wajib dengan sungguh2 mematuhi tuntutan Syari'at. Dia wajib mematuhi hukum2 didalam Al-Qur'an dan Sunnah Nabi dalam setiap langkahnya"
(Mihakul Fuqara)

Bahkan perlu disebutkan disini bahawa setiap zikir, wirid, ayat2 Muraqabah, Ayat2 Mushahadah yang menjadi sukatan pelajaran dan pendidikannya adalah bersumberkan Al-Qur'an! Kita lihat beberapa contoh:

Pendidikan awal yang dimulai dengan zkrullah adalah berdasarkan Firman Allah Ta'ala :

"Wahai orang-orang beriman, zikirkan oleh kamu akan Allah dengan zikir yang banyak." [Al-Ahzab: 11]

Pendidikan Ahli Tasawwuf berpusat kepada HATI dengan memperbanyakkan ZIKRULLAH. Walaupun disana terdapat amalan dan wirid-wirid lain seperti suluk, khalwah,tawajjuh dan Riadhah Nafsiyyah yang lain, asasnya adalah zikrullah jua!

Inilah didikan Rasulullah Salla-Allahu ‘Alaihi Wasallam kepada para sahabat Ridhwanullah sehingga mereka menjadi insan2 bertaqwa dan diredhai oleh Allah Ta’ala. Dan pada hakikanya ini adalah perintah Allah Ta’ala keatas Rasulullah Salla-Allahu ‘Alaihi Wasallam.

Mana dalilnya?

Mengapa HATI dan ZIKRULLAH?

Firman Allah Ta’ala :

“Pada hari itu tiada berguna harta dan anak-pinak kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)” (Ash-Shuara 26; 89 )


Sabda Rasulullah Salla-Allahu ‘Alaihi WaSallam:

"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging apabila baik ia, nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalb. (hati).
(Riwayat Bukhari).

Isyarat Hati dalam Firman Allah Ta’ala dan hadis Nabi diatas memadai bagi menunjukkan secara mutlak kedudukan hati dalam seluruh kejadian manusia! Dan tempat jatuhnya pandangan dan penilaian Allah Ta’ala atas hamba2Nya. Dan kesudahan baik buruk manusia apabila dipanggil menghadapNya di Yaumul Mahsyar.!

Mengapa hati (qalb) ?

Kerana….
Didalamnya Rahsia Ilahiyyah - Ruh yang dijadikan oleh Allah Ta’ala dari Nur Muhammad.

Kerana…..
Didalam rongga hati itu diletakkan nur Iman!

Kerana….
Didalam rongga ini juga pertembungan dan pertempuran diantara cahaya dan kegelapan ; cahaya yang diterbitkan oleh Iman sementara kegelapan yang diwujudkan oleh Nafsu dan tentera2 syaitan.

Kerana…..
Hati menjadi pusat terbitnya segala niat, perbuatan, perkataan, tingkah laku, dan emosi.

Maka tepatlah kata Rasul itu; apabila hati itu baik, iaitu hati yang suci bersih dan telah menurut petunjuk Iman dan penuh taqwanya lepada Allah maka selamatlah dia didunia dan akhirat.

Sebab itu…..
Hati itu mesti ditawan dahulu….
Hati mesti dikuasai dengan zikrullah
Hati mesti dihidupkan dengan ingatan terus menerus kepada Allah Ta’ala

Sesipa yang menguasai istana hati ini, iaitu menjadikan ia bercahaya dengan zikrullah dan terus menerus dalam keadaan demikian, nescaya Allah Ta’ala akan datangkan pertolonganNya dengan menurunkan cahaya Asma’ dan SifatNya kedalam hati insan ini. Sehingga bertempiaran lari segala syaitan dan Iblis, dan matilah segala nafsu syahwat yang jahat, bertukar menjadi nafsu yang baik2 sahaja. Dan bersinar pula seluruh hati, aqal dan ruhnya sehingga terbuka ‘alam alwiyyah memandang kepada Tuhan Rabbul Jalil.

Tidak ada kekuatan, tidak ada kekuasaan yang lebih tinggi dari kekuasaan Allah Ta’ala. Maka orang yang hatinya telah dipenuhi dengan kekuasaan Allah Ta’ala tiada suatu pun dapat memasukinya. Tidak ada gangguan insan, atau gangguan ruh jahat dapat menghampirinya apalagi memasukinya.

Ketika ini suasana yang berlaku didalam hati adalah keluasan, kedamaian dan ketenangan. Kekuasaan Allah yang bertahta dihati menggerakkan lepada kepatuhan dan ketaqwaan.

Firman Allah Ta’ala :
“Ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tetap. (tenang, tenteram)
(Ar-Ra’d ; 28)


Sebaliknya hati yang tidak dihidupkan dengan zikrullah, maka Iblis dan syaitan akan bermaharaja. Hati akan berada dalam zulmat, kegelapan dan kekotoran hasil racun yang ditaburkan oleh Iblis. Dia akan menguasai pusat2 nafsu yang tujuh dan mengarahkan seluruh anggota tubuh supaya kufur kepada Allah Ta’ala.

Firman Allah :
Bermula neraka wail bagi mereka yang keras hati mereka itu daripada zikrullah. Bahawasanya Mereka itu didalam kesesatan yang nyata. (Az-Zumar :22)

Kesesatan ditafsirkan dengan dua ma’na ; satu menjadi fasiq dan satu lagi boleh jatuh lepada kufur.

MENGAPA ZIKRULLAH?

1 Kerana ianya perintah Allah dan RasulNya yang wajib dikerjakan:

Firman Allah Ta'ala:

"Wahai orang-orang beriman, sebut olehmu akan Allah sebut yang banyak. (banyak2 zikrullah)

Ayat ini adalah menunjukkan perintah wajib mengerjakan zikrullah dan zikrullah yang dikerjakan itu banyak2 ertinya tiada sempadan atau had. Dan bererti juga terus menerus tanpa henti. (ini bermaksud kepada zikir hati) 


2 Kerana ianya menjadikan seseorang Islam tetap dan teguh hatinya:

Firman Allah Ta'ala:

“Ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tetap. (tenang, tenteram)"
(Ar-Ra’d ; 28)


Tenang, tenteram, teguh bermaksud Imannya tetap dan teguh mematuhi perintah Allah Ta'ala dengan penuh ketaqwaan. Serta tetap hatinya khusyu' dalam Ibadahnya. Disebabkan hatinya tidak bergoyang lagi, tiada angan2, tiada khatir atau was-was syaitan yang menganggunya.

3 Mendapat Keampunan Allah dan Pahala yang besar:

Al-Ahzab (33:35) .........dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

Aal-e-Imran (3:135) Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Semoga Allah Ta'ala memimpin kita kepada kebenaran dan menetapkan hati kita didalamnya.

Firman Allah Ta'ala diatas dijelaskan oleh ayat lain :

"Wahai orang2 beriman janganlah mengganggu oleh harta kamu dan anak2 kamu daripada mengerjakan zikrullah. Dan siapa2 yang terganggu oleh yang demikian mereka itu orang yang rugi." (Al-Jumua't :9)

Penerangan kepada ma'na "khasirun" (rugi) ditafsirkan oleh Shaikh Yahya Al-Kholidi dalam kitab Risalah Ma'rifat seperti berikut:

"Ya anakku "khasirun" itu ada dua makna. Satu makna berdosa mendapat azab neraka dan satu lagi makna kafir kekal dalam neraka. Jadi lafaz al-khasirun pada ayat ini tiada tafsir yang menentukan makna kepada salah satu makna itu."




BAGAIMANA BOLEH JATUH FASIQ (BERDOSA BESAR)

Apabila seseorang tidak mengerjakan zikrullah, iaitu tidak mengingati Allah maka hatinya akan kelam, ibarat bilik yang tiada pelita. Bilik yang kelam disukai oleh binatang2 kotor dan binatang-binatang perosak! Hati yang kelam adalah kesukaan Iblis dan dan nafsu2 jahat. Iblis dan tentera2nya menggerakkan anggota tubuhnya supaya melakukan ma'siat dan berbagai kejahatan. Minum arak seperti minum air. Judi dan perempuan jadi mainan harian.

Lebih jahat lagi, Iblis dan tentera2nya mengarahkan anggota-angggota lidah dan tangannya supaya menentang ayat2 Allah, menghina Sunnah Nabi. Maka manusia durjana yang tiada zikir dalam hati, yang tiada takut kepada Allah, yang telah kelam hatinya tidak sedikitpun kesal dengan perbuatan dia. Bagaimana orang ini dapat melepaskan diri daripada jatuh kepada kekafiran.

Anda melihat betapa kebinasaan ini bagi orang tidak hidup hatinya dengan zikrullah. Walaupun dia pergi Masjid hari Juma'at, puasa Ramadhan dan pergi Umrah....tapi semua itu akan menjadi lakunan semata2. Bagaimana mungkin seseorang yang mengangkat takbir menucap Allah Akbar, Allah Maha Besar pada masa yang sama mencaci dan menghina Al-Qur'an! Ini adalah penipuan yang nyata! Dan kekufuran yang nyata!



BAGAIMANA YANG DIKATAKAN ZIKRULLAH - SUPAYA TERHINDAR DARI FASIQ

Yang dikehendaki dengan zikrullah secara umum ada dua:

1. Zikir Lisan - Zikir yang disebut dengan lidah berserta ingatan dalam hati. (seperti La-Ilaha Illa-Allah, Subhanallah dll)

2. Zikir Qalb - Zikir terus menerus menyebut nama Allah dalam hati (seperti La-Ilaha Illa-Allah, Allah, Allah dll)

Dengan demikian seseorang wajib melakukan zikir ini dengan lisan dan juga dengan hati. Zikir yang dilakukan oleh lidah wajib disertai dengan ingatan kepada Allah dalam hati. Zikir yang tidak disertai ingatan kepada Allah tidak dianggap zikrullah. (Sirrul Asrar)

Banyak mana kadarnya adalah bergantung kepada diri seseorang. Jika dia sering terpaling dari ingatan kepada Allah Ta'ala dan sering abaikan tanggungjawab agama, maka banyak lah zikrullah yang perlu dikerjakan.

Lagi banyak seseorang mengerjakan zikrullah, semakin dekat dia dengan Allah Ta'ala.


Zikrullah bagi Ahli Ma'rifat dan salik yang menjalani jalan Toriqat Sufiyyah adalah lebih dari yang disebutkan itu. zikir lataif, zikir nafi isbat, zikir nafas, zikir wuquf Qalbi, zikir Ruh adalah sebahagian daripadanya Semua zikir ini dilakukan dengan mengikut peraturan dan syarat2 yang ditentukan. Dan wajib dilakukan dibawah pimpinan guru kerohanian. (akan diterangkan kemudian)

Zikir yang dilakukan dengan pimpinan guru Ma'rifat adalah jauh lebih berkesan kepada hati kerana ianya mempunyai silsilah dan adab2 yang khusus bagi mencapai keteguhan hati dan Iman!


BAGAIMANA CARA-CARA MENGERJAKAN ZIKRULLAH

Sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, zikir terdiri dari berbagai peringkat dan berbagai lafaz. Zikrullah yang paling baik ialah kalimah Tayyibah, La-Ilaha Illa-Allah.

Peraturan mengerjakan zikrullah:
1. Suci dari hadas besar dan hadas kecil.
2. Menghadap Qiblat
3. Menutup aurat
4. Dimulai dengan hadiahkan fatihah kepada Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam, Ahlul Bait, Sahabat serta sekalian Aulia' Allah.
5. Disudahi dengan doa

Cara mengerjakannya pada peringkat permulaan ialah dengan menyebut dengan lidah atau disebut zikir lisan secara kuat berserta dengan ingatan didalam hati akan kebesaran dan keagungan Allah. Ketika melafazkan zikir ini hati hendaklah turut merasakan kehebatan Allah meliputi seluruh alam. Jumlah zikir tiada hadnya. Lebih banyak seseorang melakukan zikrullah ini pada bilangannya lebih berkesanlah pada batin hatinya.

Apabila zikrullah ini dijadikan wirid, iaitu dilakukan secara terus menerus setiap hari pada bilangan tertentu sehingga memenuhi hatinya dan bercahaya2 maka cahaya zikir yang memenuhi hati ini akan melimpah pula ke seluruh jasad meliputi darah, daging, urat dan tulang.

Pada peringkat2 seterusnya seseorang akan merasakan kemesraan zikir ini pada ruh dan nafas. Kesudahannya seseorang itu akan melihat dirinya diliputi zikrullah; daripada lidah, hati, aqal, nafas dan ruh semuanya berzikir.!

Berkata Shaikhuna :

"Pada peringkat permulaan seseorang perlu menyebutkan ucapan zikirnya dengan lidahnya secara berbunyi. Kemudian
peringkat demi peringkat zikir mengalir ke dalam diri, turun kepada hati, naik kepada roh dan seterusnya pergi semakin jauh iaitu kepada bahagian rahsia-rahsia, pergi lagi kepada yang lebih jauh iaitu bahagian yang tersembunyi sehinggalah kepada yang paling tersembunyi daripada yang tersembunyi. Sejauh mana zikir masuk ke dalam, peringkat yang dicapainya, bergantung kepada sejauh mana Allah dengan kemurahan-Nya membimbing seseorang."


Selain dari mengerjakan zikrullah dengan cara tertib ini, zikrullah dalam hati wajib diteruskan juga diluar; ketika makan, minum, sedang bekerja dsb. Pada peringkat permulaan keadaan ini memang sukar dilakukan. Tetapi jika diwiridkan sebagaimana tersebut diatas, mudah2an Allah Ta'ala akan memberi pertolonganNya sehingga seseorang dapat sentiasa berzikrullah.

Didalam Toriqat Sufiyyah, zikir La-Ilaha-Illallah serta zikir2 yang lainnya dikerjakan mengikut beberapa panduan, syarat, dan aliran garisan kalimah. Ini perlu dilakukan dengan mengambil talqin daripada Shaikh pemimpin kerohanian. Hasil daripada zikrullah yang dikerjakan melalui Ilmu Toriqat Sufiyyah jauh lebih berkesan dan lebih manfaatnya kepada keteguhan Iman dan Taqarrub Ilallah.

HATI TEMPAT TUMBUH IMAN ATAU KUFUR

Mengapa Ahli Ma'rifat sangat menitikberatkan soal hati?. Mengapa mereka lebih menitikberatkan soal pembersihan hati daripada segala hal ehwal perlakuan, ucapan, perkataan samada berbetuk ibadah atau muamalat? Kerana didalamnya Allah Ta'ala meletakkan cahaya keimanan.

Apabila seseorang itu beriman kepada Allah Ta'ala, dia akan mendapat satu nur yang kecil didalam hatinya (jantung sanubari). Kedudukan nur Iman ini adalah didalam darah hitam dibilik jantung sanubari.

Nur Iman ini yang menggerakkan seseorang itu patuh dan ta'at kepada Allah Ta'ala. Nur Iman ini yang membolehkan seseorang itu mengakui kewujudan dan kebesaran Allah Ta'ala. Nur Iman ini juga menjadi "mata" pembukaan ma'rifat keTuhanan.

Kuat lemahnya seseorang itu didalam agama bergantung kepada sejauh mana nur keimanan ini bercahaya didalam hatinya. Apabila hidup hati itu dengan zikrullah maka akan bercahaya seluruh hati itu dan melimpah keseluruh tubuhnya. Sehingga menjadikannya ta'at kepada perintah Allah Ta'ala.

Apabila hati itu tidak berzikir, maka pelita iman yang kecil akan makin malap, makin malap dan akhirnya padam. Wal Iyazhubillah.! Keadaan ini tidak disedari kerana ianya berlaku didalam keadaan yang perlahan2 dan beransur-ansur. Apa lagi jika keadaan diri orang ini terdedah kepada suasana kemungkaran dan kefasikan, maka akan cepatlah padam nur hatinya!

Awaslah wahai tuan2 yang budiman. Peliharalah pelita hati yang telah di anugerahkan Allah Ta'ala.

Firman Allah Ta'ala:

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya"


Setiap suatu ada alat pencucinya. Alat pencuci bagi hati adalah zikrullah.

Hati adalah laksana cermin yang menangkap berbagai gambaran dan rupa yang dilihat oleh mata. Lazimnya gambaran dan rupa ini menjadikan hati itu di lutupi debu2 kekotoran dunia dan segala perhiasannya. Semakin banyak pemandangan,semakin tebal debu2 kekotoran menutupi cermin hati. Jika dibiarkan, maka akhirnya muka hati itu akan terus gelap.

Dengan demikian hati perlu dibersihkan daripada kekotoran dunia dan nafsu dan menjadikannya berkilat semula dengan zikrullah. Apabila zikrullah dilakukan terus menerus, maka hati akan di sucikan. Ia kemudian akan bercahaya. Sekiranya seseorang itu istiqamah dengan zikrullah ini, Allah Ta'ala akan menurunkan cahaya Asma' dan Sifatnya kedalam hatinya sehingga terbuka beberapa rahsia ma'rifat yang membuahkan keimanan dan ketaqwaan!

Inilah didikan kerohanian Ahli Ma'rifat iaitu mendidik hati dengan cara membersihkannya dengan zikrullah sehingga meperoleh kemenangan dunia akhirat!

Firman Allah Ta'ala:

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya"


Penegasan Allah Ta'ala di atas menjadi bukti betapa pentingnya penyucian jiwa. Kerana kejayaan hakiki insan terkandung didalam usahanya mmbersihkan jiwanya.!
ismillahir-Rahmanir-Rahim
Assalamu 'Alaikum wr wb

Hakikatnya ini adalah didikan Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam mengikut perintah Allah Ta'ala. Tiada satupun zikir, wirid, doa atau amalan mereka melainkan ianya diambil daripada Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam yang bersumber dari Kalam Allah Yang Maha Tinggi ini.

Ada yang bertanya, "Mengapa sistem pendidikan (Ahli Ma'rifat melalui sistem pendidikan toriqat Sufiyyah) ini tidak tersebar luas?" Mengapa ramai yang tidak mengetahuinya?

Untuk menjawab persolan ini kita perlu kembali ke kurun ke 2 Hijrah dimana Ummat Islam mula meninggalkan ajaran sebenar yang dibawa oleh Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam. Mereka mengambil sebahagian ajaran Nabi iaitu syari'at zahir tetapi meninggalkan intipati ajaran Islam iaitu Tasawwuf yang menjadi ruh Islam. Mereka berpuas hati dengan mengamalkan syari'at sedangkan batin mereka penuh dengan kekotoran nafsu dan syirk khafi. Ini termasuklah mereka yang telah mencapai pendidikan tinggi sehingga bergelar Ulama. Ulama2 ini sangat mahir didalam Ilmu loghat, nahu, saraf, menghafal ribuan hadis, fiqh, sirah Nabi dan berbagai Ilmu tetapi hati mereka kosong dari zikrullah. Jasad berdiri untuk solat tetapi hati tidak menghadap Allah Ta'ala. Jasad berdiri untuk solat tetapi Qiblat beralih kepada mengejar pangkat duniawi. Sebahagian lagi yang mahir didalam Ilmu matiq mula berbahas2 bab Usuluddin sehingga membawa kepada kesesatan didalam Tauhid!

Melihat kepincangan ini, maka bangkit sekalian Ulama Billah yang mewarisi Ilmu Nabi untuk menunjukki jalan sebenar kepada sebahagian besar Ummat Islam yang mula menuju jalan kesesatan. Mereka bersungguh2 mengembalikan ajaran Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam dengan menyebarkan Ilmu zikrullah yang diajar oleh Nabi. Ilmu ini kemudiannya dikumpul2kan dan dijadikan salah satu bidang Ilmu Islam, Toirqat Sufiyyah dan Tasawwuf.

Shaikh Junaid Radhiallahu 'Anhu adalah yang Shaikh pertama sekali mengijtihadkan Ilmu Tasawwuf iaitu Ilmu yang diterbitkan dari hasil mengamalkan Toriqat Sufiyyah dan disertakan dengan dalil2 dari Al-Qur'an.
(Risalah Ma'rifat)

Ianya kemudian dikemaskan oleh Imam Ghazali Radhiallhu 'Anh. Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anh adalah yang pertama dan unggul dalam memberikan gambaran tepat tentang Ahli Tasawwuf, Ahli Ma'rifat dan sistem pendidikan mereka.

Ada yang mendapat petunjuk dan mula mengikut jalan sebenar. Namun ramai juga Ummat Islam tidak menerimanya sehingga ada yang membenci dan menentangnya! Keadaan ini telah berlarutan sehingga ke zaman ini dimana sangat sedikit yang mengetahuinya. Mana yang mempunyai pengetahuan sedikit, sering tenggelam didalam arus pemodenan jatuh ditelan cabaran akhir zaman.!!!

Begitulah .....hanya sedikit saj yang terselamat. Mudah2an Allah Ta'ala menjadikan kita termasuk golongan sedkit yang terselamat ini!
Orang yang memiliki kewangian hati sahaja akan dapat menghidu wangi-wangian Allah atas muka bumi.

Ahli2 Ma'rifat adalah wangi2an Allah atas muka bumi. Mereka adalah wali-wali Allah yang dizahirkan oleh Allah untuk untuk memimpin manusia. Mereka tetap akan ada disepanjang zaman sehingga hari Qiamat.

Dimana sahaja mereka berpijak, disitu menjadi taman syurga. Wangian Allah dan syurga ini tidak dapat di rasai oleh hati2 yang penuh was2, zulmat dan sangkaan2.

Bangkai yang sememangnya busuk tidak akan dapat ditutupi baunya walaupun cuba dilindungi dengan bau2 haruman. Pasti akan terbongkar kekotorannya!

Wangi2an Allah akan tetap menyebarkan keharumannya walaupun seluruh manusia di dunia cuba menenggelamkannya kerana mereka berdiri teguh diatas Kalam Allah yang Maha Agung!

Sucikanlah hati, matikanlah nafsu kesombongan dan kemegahan. Mohonlah pertolongan Allah Ta'ala sungguh2 nescaya disana akan terlihat akan cahaya yang bersinar ini.!!!

Mudah-mudahan Allah menunjukki jalan kebenaran bagi mereka2 yang benar2 mencari jalanNya.......

Dalam usaha mencari Ahli Ma'rifat yang sebenar,
Shaikhuna telah memberi panduan:

Jika seseorang tidak dapat membezakan di antara Guru Kerohanian /Shaikh Tasawwuf/ Ahli Ma'rifat yang sebenar dan yang palsu, dia perlu mengerjakan solat nafil 2 rakaat di waktu malam tahajjud, untuk memohon petunjuk Allah Ta'ala. Dia kemudiannya memohon kepada Allah menunjukki manusia2 suci ini yang akan memimpinnya kepada jalan kebenaran. Dia mesti sungguh2 merayu kepada Allah agar Dia memperlihatkan kepadanya orang yang akan membawa kepada kasih akan Allah Ta'ala dan yang akan menyinari mata hatinya dengan cahaya Ketuhanan. Dan yang akan membuka kepada kejadian2 ghaib yang beliau sendiri telah menyaksikannya. Dengan berbuat demikian, Insya Allah seseorang akan mendapat jawapannya dari Allah Ta'ala. (Fathur-Rabbaniyy)

Jika seseorang tidak dapat melakukan demikian, maka perlulah menemui seseorang yang diketahui alim dan wara'nya supaya memaklumkan padanya manusia2 mulia seperti itu. Kerana ramai manusia akhir zaman menyamar sebagai ahli ma'rifat /ahli tasawwuf untuk mencari keuntungan duniawi. Wallahu A'lam.

APAKAH AMANAH DAN TUGAS MEREKA DIATAS MUKA BUMI?

Amanah dan tugas mereka adalah menyambung Risalah Nabi Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam. Mereka adalah khalifah dan pewaris Nabi dalam menyeru manusia kepada agama yang benar; satu-satu agama yang benar - mentauhidkan Allah Ta'ala dan menjauhi kekufuran dan kemusyrikan.

Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallhau 'Anh berkata :

"Wali-wali yang menjadi guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam dengan Tuhannya (Ma'rifah, Qurbah dan Mahabbah). Amanah dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa dianugerahkan kepada mereka. Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian, dan diri batin mereka selamat di bawah penjagaan Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi Wasallam."

(Sirrul Asrar Fi ma Yahtaju Ilaihil Abrar)


Mereka adalah pengasuh dan pendidik kerohanian insan2 yang ingin taqarrub Ilallah menghampirkan dirinya kepada Allah Ta'ala.

Firman Allah Ta'ala di dalam Yusuf :108 ditafsirkan oleh Sahikhuna dengan kata beliau:

“Katakanlah: ‘Inilah jalanku, yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku menyeru (manusia) kepada Allah dengan basirah (penyaksian yang jelas). Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku dari golongan musyrikin”. (Surah Yusuf, ayat 108).

Dari Sirrul Arar, Ghawthul A'zham Shaikh Muhyidddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anh menyebut.

Allah memerintahkan Nabi-Nya supaya:
“Katakanlah: ‘Inilah jalanku, yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku menyeru (manusia) kepada Allah dengan basirah (penyaksian yang jelas). Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku dari golongan musyrikin”. (Surah Yusuf, ayat 108).

Dalam ayat ini yang dimaksud dengan "orang yang mengikuti daku" adalah manusia sempurna, guru kerohanian yang sebenar yang akan datang selepas Nabi Muhamamd Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam yang akan mewarisi ilmu batin baginda dan kebijaksanaan baginda dan yang akan berada hampir dengan Allah.

Manusia yang demikian digambarkan sebagai ‘pelindung dan pembimbing sebenar’. (Surah al-Kahfi, ayat 17).

Mereka2 ini seperti Shaikh Abdul Qadir Jilani, Shaikh Junaid, Shaikh Abu Yazid Bustami dan seluruh Arif Billah yang diRahmati Allah Ta'ala telah berjasa melahirkan ribuan Ulama dan Aulia' Allah bagi menyambung Risalah KeNabian. Sehingga ke saat ini Ilmu Warisan Nabi ini masih berterusan dan tetap akan berterusan hingga ke hari Qiamat.

Tetapi bilangan mereka kian berkurangan. Kerana sebahagian dari Silsilah Nabi sudah terhenti dan diangkat oleh Allah Ta'ala. Inilah tandanya dunia sedang menuju hari2 penghabisan usianya.

Sabda Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WAsallam:

Daripada 'Abdullah Ibnu Amr Ibn Al-'As berkata: Aku mendengar Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam bersabda, "Allah Taala tidak mencabut Ilmu dengan mengambilnya dari(hati) manusia, tetapi mengambilnya dengan mewafatkan Ulama' (Billah) sehingga apabila tiada lagi yang tinggal (Ulama Allah) tersebut maka manusia akan mengambil orang jahil sebagai pemimpin mereka yang akan memberi fatwa tanpa ilmu. Mereka akan menjadi sesat dan menyesatkan orang lain.



Dengan demikian rebutlah peluang untuk bertemu para Arif Billah yang tinggal sedikit lagi sementara umur masih ada lagi. Dan smentara Israfil belum meniup sangakakalanya. Kerana bertemu mereka dan berpegang kepada mereka adalah jalan terbaik bagi Iman dan Islam! Seperti wasiat Imam2 Besar Mazhab!

Bagaimana jika seseorang itu sudah berusaha tetapi tidak bertemu seorang pun daripada mereka itu. Maka di sini boleh lah seseorang itu yang benar2 yaqin dengan jalan Ma'rifat Ketuhanan dan Ahli Ma'rifat ini bertawassul dengan Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anh.!

Sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Luas pengampunan dan PemberianNya. Jangan sesekali putus asa dari RtahmatNya!

BOLEHKAH ILMU MA'RIFAT DIPELAJARI DARI KITAB

Sebagaimana telah dihuraikan sebelum ini, ilmu ma'rifat adalah anugerah Allah Ta'ala kepada hamba2 pilihannya yang telah suci hati serta benar dalam mengharapkan wajah Allah Ta'ala :

Firman Allah Ta'ala :

"Dan mereka yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami nescaya Kami tunjukki mereka jalan Kami"

Ahli ma'rifat mentafsirkan "jalan Kami' dengan ma'na jalan ma'rifat ketuhanan.



Seseorang yang alim didalam menguasai Ilmu Syari'at (iaitu mahir didalam fiqh) tetapi tidak mengikuti jalan ma'rifat ketuhanan tidak akan mencapai tauhid yang sempurna kerana pandangannya kepada ketuhanan belum terbuka. Dia tidak akan terlepas dari memandang amalnya. Dia sukar untuk melepaskan diri daripada bersifat ria' serta sifat2 tercela yang lain. Hatinya belum dapat khusyu menghadap Tuhan.

Berkata Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anh:

Orang yang tidak boleh menemui pengetahuan (ma'rifat ketuhanan) ini di dalam dirinya tidak akan menjadi arif walaupun dia membaca seribu buah buku. Nikmat yang boleh diharapkan oleh orang yang mempelajari ilmu zahir ialah syurga; di sana semua yang dapat dilihat adalah kenyataan sifat-sifat Ilahi dalam bentuk cahaya. Tidak kira bagaimana sempurna pengetahuannya tentang perkara nyata yang boleh dilihat dan dipercayai, ia tidak membantu seseorang untuk masuk kepada suasana kesucian dan mulia, iaitu kehampiran dengan Allah, kerana seseorang itu perlu terbang ke tempat tersebut dan untuk terbang perlu kepada dua sayap. Hamba Allah yang sejati adalah yang terbang ke sana dengan menggunakan dua sayap, iaitu pengetahuan zahir dan pengetahuan batin, tidak pernah berhenti di tengah jalan, tidak tertarik dengan apa sahaja yang
ditemui dalam perjalanannya. Allah berfirman melalui rasul-Nya:
“Hamba-Ku, jika kamu ingin masuk kepada kesucian berhampiran dengan-Ku jangan pedulikan dunia ini ataupun alam tinggi para malaikat, tidak juga yang lebih tinggi di mana kamu boleh menerima sifat-sifat-Ku yang suci”.



Contoh terbaik kepada gambaran di atas adalah Imam Ghazali sbelum beliau mengambil Toriqat Sufiyyah dan ilmu ma'rifat ketuhanan. Beliau sudah bergelar Hujjatul Islam dan menjadi rujukan puluhan ribu penuntut seluruh dunia, namun beliau mendapati diri beliau belum mendapat keikhlasan dan tiada khusyu dalam Ibadah. Begini pengakuan beliau:

“Aku lihat diriku tenggelam dalam samudera godaan dan rintangan. Segala pekerjaanku dan yang terbaik ialah mengajar dan mendidik kutinjau sedalam-dalamnya. Jelas, aku sedang memperhatikan beberapa ilmu yang tidak penting untuk perjalanan ke akhirat.Apa niat dan tujuanku dengan mengajar dan mendidik, nyatalah tidak sebenarnya ikhlas yang murni kerana Allah Taala, melainkan dicampuri oleh pengaruh ingin kepada kedudukan dan kemasyuran. Maka terasalah kepadakuu bahwa aku sedang berdiri dipinggir jurang yang curam , diatas tebing yang hampir gugur.

Aku akan dijatuh keneraka jika tidak segera merubah sikap.
(Munqiz Ala-Dholal)

Itulah pengakuan sebenar daripada seorang hamba yang bergelar Hujjatul Islam yang menjadi Guru besar Universiti Nizamiyyah, yang menghafal ratusan ribu hadis, mahir didalam Ilmu Fiqh, Ilmu Hadis, Nahu, Sarf, Mantiq, Bayan dan banyak lagi. Seluruh ilmu syari'at zahirnya tidak membantu beliau menjadi tawadhu' dan khusyu kepada Allah Ta'ala. Sebaliknya semua ilmu itu menjadikan beliau merasa ria' dan bertujuan mencari pangkat.

Akhirnya beliau mendapat petunjuk untuk berbai'ah dan menjalani Ilmu Toriqat Sufiyyah. Setelah bersuluk dan berkhalwah selama 11 tahun dengan meninggalkan seluruh urusan dunianya dan pangkat kebesaran dan kekayaannya, Allah Ta'ala mengurniakan beliau Ilmu Laduni dan Kasyaf sehingga terbuka kepada hakikat Ketuhanan.

Beliau berucap :

“Selama waktu berkhalwah itu, terbukalah bagiku rahsia yang terhitung banyknya, tak mungkin di istiqsa (membahas jauh dan dalam). Yang aku katakan untuk mengambil manfaatnya ialah, aku benar-benar yakin, kaum Sufiyyah itulah yang sebenarnya telah menempuh jalan yang dikehendaki Allah Taala. Merekalah yang paling utama cara-cara hidupnya, paling tepat tindak lakunya dan paling tinggi budi pekertinya.


Malang sekali zaman ini, begitu ramai cerdik pandai yang baru menghafal beberapa hadis dan ayat Qur'an serta secebis Ilmu islam cuba mempertikaikan Ilmu Ma'rifat Ketuhanan. !!!

Seperti kata Ulama; Jadilah orang yang "bodoh" yang ingin belajar. Jangan jadi 'bodoh' yang tak boleh diajar. Kerana ini kebodohan yang disesatkan oleh Iblis La'natullah. Wal 'Iyazubillah!



LATIHAN-LATIHAN KEROHANIAN YANG DILALUI


Latihan-latihan kerohanian yang dilalui adalah secara umumnya ada 3 :

Pertama : Zikrullah secara bersendian.

Kedua : Tawajjuh - zikir secara berjemaah

Ketiga : Suluk /Khalwah - latihan mengasingkan diri dan mujahadah melawan hawa nafsu.

Kesemua latihan ini mempunyai peraturan dan adab tertentu. Daripada ketiga-tiga latihan tersebut, Suluk/Khalwah memberikan kesan yang lebih kerana ianya merupakan latihan intesif dan terkawal di satu tempat khusus dan dipimpin oleh Shaikh secara khusus.

Didalam suluk /khalwah seseorang salik (orang yang menuju Allah) akan di pimpin melalui beberapa latihan menahan diri dari berbagai keinginan nafsu :

1. Mengurangkan makan minum serta elakkan makan yang sedap2
2. Mengurangkan tidur dan banyak berjaga untuk beribadat.
3. Mengurangkan berkata2 atau bercakap2.
4. Jauhi pergaulan
5. Jauhi semua urusan dunia semasa dalam suluk


Di bawah bimbingan gurunya dia akan di bimbing melalui beberapa peringkat zikir dan muraqabah (merenung) dan mushahadah(memandang kepada hadrat Tuhan)

Peringkat2 zikir ;

1. Zikir jihar /zikir lisan - zikir yang dilakukan dengan sebutan lidah dengan nyata
2. Zikir Qalbi dan zikir Lataif - zikir didalam qalb atau hati dan lataif2
3. Zikir Nafi Isbat
4. Zikir Nafas
5. Zikir Ruhani
6. Zikir Nurani

Kemudian dia kan melalui Tujuh peringkat Muraqabah dan tujuh peringkat Mushahadah.

Jika seseorang salik ikhlas dan bersungguh-sungguh didalam perjalanannya, maka dia akan di anugerahkan oleh Allah Ta'ala berbagai peringkat pembukaan rahsia ketuhanan sehingga memperoleh Haqiqat dan Ma'rifat. Hasil daripadanya menjadikannya lebih taqwa kepada Allah, lebih khusyu didalam ibadat dan bersifat dengan sifat2 kepujian serta jauhi sifat2 kecelaan.

Semua ini tidak akan diperolehi dalam waktu yang singkat. Bahkan adakalanya seseorang salik itu terpaksa turun naik kedudukannya berdasarkan kesungguhan dan istiqmah didalam mujahadahnya.


Mudah-mudahan ditunjukki Allah Ta'ala...

Kita akan dapat gambaran asas bagaimana zikrullah mensucikan hati daripada sekalian kekejian hati, segala kecintaan pada dunia sehingga akhirnya tiada suatu yang menjadi kecintaan melainkan Allah Ta'ala.

Didalam perjalanan ini Allah Ta'ala mendatangkan cahaya kedalam hatinya sehingga hilang binasa segala kegelapan, diganti dengan cahaya ketuhanan yang melimpah2. Ketika ini akan terbuka baginya beberapa rahsia haqiqat dan ma'rifat. Tetapi pembukaan ini bukan sekaligus tetapi berperingkat2 berdasarkan keikhlasan dan kesungguhan si salik.

Secara ringkas haqiqat adalah "kenyataan disebalik setiap kejadian" dan ma'rifat adalah 'pembukaan dan pernyataan kepada Rahsia Ilahi". Sebagai satu gambaran untuk mudah difahami :

Ka'bah itu berupa satu bangunan pada zahir pandangan yang menjadi qiblat orang beriman. "Haqiqat" Ka'bah adalah qalb atau hati orang beriman. Bagaimana menyelaminya. Itu adalah melalui zauq dan wijdan. (perasaan dan penglihatan mata hati.) Iaitu hati yang telah suci daripada sekalian aghyar.

Ma'rifat adalah pembukaan kepada Rahsia2 tersebut serta pembukaan kepada melihat Af'al Allah, SifatNya dan ZatNya melalui pandangan mata hati.

Kedua-dua ini menghasilkan keyakinan dan Tauhid kepada Allah Ta'ala. Sebab itu orang yang sebenar Ma'rifat akan Allah Ta'ala adalah orang yang berpegang teguh dengan Syariat Allah. Kerana penyaksiannya kepada hadrat Tuhan menimbulkan serta menambahkan ketakutan dan ketaqwaan.!

Semua ini tidak akan dapat diselami dan difahami melainkan mereka yang benar-benar berpegang kepada Syariat dan berjalan di atas Toriqat Sufiyyah yang haq yang diterima daripada Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam dibawah bimbingan guru yang haq.



2 ulasan:

jeep berkata...

promosi kitab baru hj ahmad laksamana. tafsir quran. sms 0139134441

langkawi resort hotel berkata...

nie baru betui tariqat..yg tak betuinya ade golongan yg tariqat tidak mementingkan syariah..subnallah..