Catatan Popular

Selasa, 3 Mei 2011

SILSILAH KE 9 TAREKAT NAQSYABANDI : SYAIKH ABU YAAKUB YUSUF BIN AL-HAMADANI , MARY, TURKMENISTAN ,(440 - 535H)

NAMA penuh beliau adalah Yusuf Ibni Ayyab Ibni Yusuf Ibni Al-Hussain Al- Hamadani dan nama Kuniatnya ialah Abu Ya’aqub. Beliau dilahirkan di Buzanjird berdekatan dengan Hamadan pada tahun 440 Hijrah.

Beliau berpindah dari Hamadan ke Baghdad ketika dia berusia 18 tahun. Beliau mempelajari Fiqah Mazhab Syafi’i di bawah pengawasan seorang guru yang terkenal di zamannya iaitu Hadhrat Syeikh Ibrahim Bin ‘Ali Bin Yusuf Al-Fairuzabadi Rahmatullah ‘alaih.

Beliau kemudiannya telah bertukar kepada Mazhab Fiqah Imam Abu Hanifah.
Ketika di Baghdad, beliau sering bersuhbah dengan Para ‘Alim ‘Ulama, antaranya Hadhrat Abu Ishaq Shirazi Rahmatullah ‘alaih, yang mana telah memberikannya suatu perbezaan yang ketara di kalangan para muridnya meskipun Hadhrat Abu Ya’aqub Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih adalah muridnya yang paling muda.
Beliau adalah seorang yang amat bijaksana dalam Ilmu Fiqah hinggakan menjadi tempat rujukan bagi sekelian ‘Alim ‘Ulama Fiqah pada zamannya. Beliau sangat terkenal di Baghdad sebagai sebuah pusat perkembangan ilmu-ilmu Islam, di Isfahan, Iraq, Khurasan, Bukhara, Samarqand, Azerbaijan, Khwarazm dan di Asia Tengah.
Hadhrat Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih kemudiannya telah mengasingkan dirinya dan meninggalkan segala kehidupan duniawi di belakangnya.
 Beliau menjadi seorang yang tekun melakukan Ibadah dan Mujahadah. Seterusnya beliau menumpukan kepada pengajian Ilmu Hadits dan mula memberikan pengajaran yang berupa nasihat dan orang ramai pun mulalah mengambil manafaat darinya. Beliau menguasai bidang Fatwa Keagamaan dan bidang Hukum hakam Syari’ah.
Beliau juga menguasai bidang Ilmu Ma’rifat dan menuruti jejak langkah Para ‘Ulama Rasikhin yang sentiasa mengawasi segala Khatrah Batin dan memiliki keupayaan penuh untuk melakukan Tasarruf bagi menzahirkan Karamahnya.
Beliau pernah bersuhbah dengan Hadhrat Syeikh ‘Abdullah Ghuwayni Rahmatullah ‘alaih dan Hadhrat Syeikh Hassan Simnani Rahmatullah ‘alaih, namun beliau telah memperolehi Nisbat Batin dari gurunya iaitu Hadhrat Khwajah Abu ‘Ali Faramadi Rahmatullah ‘alaih.
Beliau menunjukkan hasil peningkatan Ruhani dalam penafian kewujudan diri dan sentiasa bermuraqabah hingga beliau mencapai kedudukan Ghauts pada zamannya. Ramai Para ‘Alim ‘Ulama dan Para Fuqaha serta rombongan jemaah yang besar sering datang berkumpul bagi menghadiri majlis beliau di Khanqahnya yang mana mereka sering menhasilkan manafaat dari kalimah kata-kata petunjuk dan nasihat beliau.
Beliau terkenal sebagai seorang yang ‘Alim dalam ilmu-ilmu Haqiqat dan keruhanian. Ramai orang yang datang dari Azerbaijan dan Khurasan yang datang bersuhbah dengannya bagi menghasilkan limpahan Faidhz darinya. Begitu ramai orang yang mengambil limpahan Ilmu dan Faidhz darinya. Beliau telah menerima suatu penerimaan yang agung di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang mana ke’arifannya tentang ‘Ilmu Ketuhanan adalah amat luarbiasa.
Beliau telah mencapai suatu martabat Kewalian yang tinggi dari kalangan Para Auliya Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Beliau ibarat sebatang tiang yang teguh dalam memelihara Sunnah Nabawiyah. Tiada siapa yang dapat mencapai martabat Kewaliannya. Beliau adalah seorang Imam, ‘Alim dan ‘Arif yang sebenar. Beliau adalah Mahaguru Tariqat di zamannya dan telah mengangkat darjat dan maqam para pengikutnya.
Ramai Para ‘Ulama dan Para Solihin sering datang berkumpul untuk mendengar ucapan-ucapan beliau di Khanqahnya yang terletak di Merv, yang sekarang ini dikenali sebagai Turkmenistan.
Beliau telah mewasiatkan rahsia-rahsia Naqshbandiyah kepada Hadhrat Abul ‘Abbas Khidhzr ‘Alaihissalam yang kemudiannya telah mewariskan kepada Hadhrat ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih. Hadhrat ‘Abdul Khaliq Ghujduwani juga telah menerima limpahan Faidhz secara terus dari Hadhrat Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih.

 
UCAPAN-UCAPANNYA KEROHANIANNYA

HADHRAT Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih pernah mengucapkan banyak pengucapan yang menjadi bukti bahawa Keramat kemuliaan terkandung dalam kata-katanya. Beliau telah berkata,
“Pembukaan kepada pendengaran Batin dalam diri Rakan-Rakan Allah adalah seumpama sebuah pesanan dari Haqiqat, sebuah Bab dari Kitab Allah, keberkatan dari ‘Ilmu Ghaib. Ianya adalah merupakan permulaan bagi pembukaan hati dan menyingkap hijabnya. Khabar gembira dari maqam-maqam yang Suci. Ianya merupakan Fajar bagi kefahaman bagi memperolehi makna-makna yang suci. Pendengaran ini adalah menjadi santapan bagi Ruh dan menghidupkan hati. Ianya adalah suatu rahsia yang bersifat kekal. Allah menjadikan diriNya bersaksi dengan Musyahadah hamba-hambaNya yang terpilih dan memakaikan mereka dengan pakaian Af’alNya dan menghiaskan mereka dengan Sifat-SifatNya.”
“Di kalangan Para AuliyaNya, Dia menjadikan satu golongan yang dapat mendengar menerusi Syuhada At-Tanzih yakni PenyaksianNya Yang Suci, Dia menjadikan satu golongan yang dapat mendengar menerusi Wahdaniyah yakni KeesaanNya, Dia menjadikan satu golongan yang lain yang dapat mendengar menerusi RahmatNya dan Dia menjadikan sebahagian yang lain yang dapat mendengar menerusi QudratNya.”
“Ketahuilah olehmu wahai manusia, bahawa Allah telah menciptakan dari
Nur TajalliNya 70,000 Malaikat dan mereka telah ditugaskan bagi kedudukan-kedudukan tertentu yang berlainan di antara ‘Arash dan Kursi. Mereka sentiasa jinak dan tidak liar, pakaian mereka adalah bulu-bulu hijau, wajah mereka adalah seperti bulan yang mengambang penuh. Mereka berdiri di hadapan Allah dalam keadaan takut dan lemah, mabuk dengan cintaNya, berlari tanpa hentinya dari ‘Arash ke Kursi dan kembali kerana perasaan Cinta dan Rahmat yang sentiasa membakar dalam hati mereka. Mereka adalah Para Sufi di langit dan Israfil adalah pemimpin dan pembimbing mereka, Jibril adalah penghulu mereka dan penghujah mereka, dan Al-Haq adalah Raja mereka. Rahmat Allah senantiasa ke atas mereka.”
Demikianlah Hadhrat Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih sebagai Bayangan Sifat Allah di atas muka Bumi mengungkapkan kebenaran tentang Alam Malakut dan ketinggian maqam Para Sufi. Hadhrat Ibnu Hajar Al-Haitsami Rahmatullah ‘alaih telah meriwayatkan di dalam kitabnya Al-Fatawa Al-
Haditsiyah: Abu Sa’id ‘Abdullah Ibni Abi ‘Asran, seorang Imam dalam Mazhab Syafi’I
telah berkata,
“Ketika aku mula-mula mencari Ilmu Agama, aku telah menemani rakanku Ibnu Saqa yang merupakan seorang penuntut di Jami’ah Nizamiyah, dan adalah menjadi kebiasaan kami untuk menziarahi orang-orang yang Salih. Kami mendengar bahawa di Baghdad terdapat seorang yang bernama Yusuf Al-Hamadani yang terkenal sebagai seorang Ghauts, dan beliau mampu untuk menzahirkan dirinya bila-bila saja yang dia suka dan juga mampu untuk menghilangkan dirinya bila-bila yang dia suka. Maka, daku membuat keputusan utnuk pergi menziarahinya bersama-sama dengan Ibnu Saqa dan Syeikh ‘Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah ‘alaih, yang masih muda remaja.”
 Pada waktu itu Ibnu Saqa berkata,
“Apabila kita menziarahi Syeikh Yusuf Al-Hamadani, aku akan bertanya kepadanya satu soalan yang dia sendiri tidak akan tahu jawapannya.”

Daku berkata,

“Aku juga akan bertanya kepadanya satu soalan dan aku mahu melihat apakah yang akan diperkatakannya.”

Hadhrat Syeikh ‘Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah ‘alaih berkata,
“Ya Allah, lindungilah aku dari bertanya sebarang soalan dari seorang Wali seperti Yusuf Hamadani, akan tetapi aku akan pergi hadir di hadapannya untuk memohon keberkatan darinya limpahan ‘Ilmu Ma’rifat.”
Mereka bertiga pun pergi menghadiri majlisnya. Hadhrat Khwajah Yusuf Al- Hamadani Rahmatullah ‘alaih telah menghijabkan dirinya dari mereka dan mereka pun tidak dapat melihatnya sehinggalah sejam telah berlalu
Hadhrat Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih pun keluar dan melihat ke arah Ibnu Saqa dalam keadaan marah dan berkata kepadanya tanpa sesiapa pun yang memberitahukan namanya,
“Wahai Ibnu Saqa, berani kau bertanya aku soalan sedangkan niatmu adalah untuk mengelirukan aku? Soalanmu adalah begini dan jawapan baginya adalah begini!”
Kemudian beliau berkata kepada Ibnu Saqa,

“Aku melihat api kekufuran sedang membakar di dalam hatimu.”

Beliau lalu memandang ke arah Ibnu ‘Asran dan berkata,
“Wahai ‘Abdullah, adakah kau bertanyakan aku satu soalan dan menantikan jawapan dariku? Soalanmu adalah begini dan jawapan baginya adalah begini. Biarkan orang ramai menangisi akan dirimu kerana mereka akan kehilanganmu sebagai natijah kerana ketiadaan rasa hormatmu terhadap diriku.”
Kemudian beliau memandang ke arah Hadhrat Syeikh ‘Abdul Qadir Al- Jailani Rahmatullah ‘alaih dan berkata kepadanya,
“Marilah ke hadapan wahai anakku, aku akan memohonkan keberkatan untukmu. Wahai ‘Abdul Qadir, kau telah menyukakan Allah dan RasulNya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan adab penghormatanmu yang sempurna terhadap diriku. Aku melihatmu pada masa akan datang, duduk di tempat yang tinggi di Baghdad dan berucap serta membimbing manusia dan berkata kepada mereka bahawa kakimu adalah di atas leher sekelian Wali, dan aku sedang melihat bahawa setiap Wali pada zamanmu akan tunduk kepadamu kerana ketinggian maqammu dan kemulianmu.”
Hadhrat Syeikh ‘Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah ‘alaih telah bersuhbah dan berkhidmat dengan Hadhrat Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih serta mengambil limpahan Faidhz darinya. Hadhrat Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih telah menyuruh Hadhrat Syeikh ‘Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah ‘alaih memberikan pengajaran dan nasihat kepada masyarakatnya.
Hadhrat Syeikh ‘Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah ‘alaih lalu berkata,

“Daku adalah seorang ‘Ajam, bagaimana daku harus berucap di kalangan orang-orang yang fasih di Baghdad?”

Hadhrat Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih pun menjawab,
“Dikau telah mempelajari ilmu-ilmu Fiqah, Usul Fiqah, Ikhtilaf Mazahab, Nahwu, Lughat, Tafsir Al-Quran dan kesemua cabang ilmu. Hendaklah dikau mula memberikan petunjuk dan imbingan. Aku sedang melihat sebuah akar yang dalam sedikit masa lagi akan menjadi sebuah pohon.”
Hadhrat Ibnu Hajar Al-Haitsami Rahmatullah ‘alaih seterusnya menyatakan,

“ Abdul Qadir telah diangkat kedudukannya dan segala apa yang telah diperkatakan oleh Syeikh Al-Hamadani berkenaan dirinya telah pun menjadi kenyataan. Telah berlalu suatu waktu di mana dia telah berkata, “Kakiku berada di atas leher sekelian Para Auliya”, dan beliau telah menjadi tempat rujukan dan cahaya pembimbing bagi sekelian manusia pada zamannya untuk membawa mereka kepada maksud kehidupan yang sebenar.”
Nasib Ibnu Saqa adalah amat berlainan. Beliau begitu bijaksana dalam pengetahuannya tentang hukum-hukum Syari’ah Islam. Beliau mendahului sekelian Para ‘Ulama pada zamannya. Beliau sering berdebat dengan Para ‘Alim ‘Ulama pada zamannya dan sentiasa mengatasi mereka sehinggalah Khalifah memanggilnya untuk menjadi ahli majlisnya.
Pada suatu hari, Khalifah telah menghantarnya sebagai wakil untuk bertemu dengan Raja yzantium, yang mana telah memanggil sekelian paderi dan ‘Alim ‘Ulama Nasrani untuk berdebat dengannya. Ibnu Saqa telah dapat mengalahkan segala hujah mereka dalam debat tersebut. Para Paderi langsung tidak mampu memberikan sebarang jawapan di hadapannya, sebaliknya Ibnu Saqa sendiri yang telah memberikan kepada mereka jawapan sehingga membuatkan seolah-olah mereka kelihatan sebagai muridnya ketika berada di hadapannya.
Kebijaksanaan Ibnu Saqa telah menawan hati Raja Byzantium dan beliau telah dijemput oleh Raja untuk menghadiri majlis tertutup anggota keluarga Raja. Dalam majlis itu, mata Ibnu Saqa telah terjatuh pandangannya kepada Puteri Raja Byzantium. Beliau terus jatuh cinta kepadanya dan telah bertanya kepada bapanya iaitu Raja Byzantium untuk berkahwin dengan puterinya.
Puteri tersebut telah menolak lamarannya melainkan dengan satu syarat iaitu Ibnu Saqa hendaklah menerima Agamanya iaitu Nasrani. Ibnu Saqa telah bersetuju, lalu meninggalkan Agama Islam dan memeluk Agama Nasrani yang dianuti oleh Puteri tersebut. Setelah berkahwin, beliau telah jatuh sakit dan telah dihalau keluar dari istana. Beliau telah menjadi seorang peminta di tengah kota, dengan meminta makanan dari orang ramai, namun tiada siapa pun yang memberikan makanan kepadanya. Kegelapan telah menyelubungi wajahnya.
Pada suatu hari, beliau telah bertemu dengan seorang yang pernah mengenalinya, lalu orang itu bertanya kepadanya,

“Apa yang telah berlaku pada dirimu?

Ibnu Saqa menjawab,

“Aku telah terjatuh dalam godaan Hawa Nafsu.”

Orang itu bertanya lagi kepadanya,

“Adakah kau masih ingat sesuatu ayat dari Al-Quran?”

Ibnu Saqa menjawab,

“Aku hanya ingat ayat, Rubbama Yawaddullazina Kafaru Lau Kanu
Muslimin(Orang-orang Kafir itu seringkali menginginkan pada kehidupan diAkhirat nanti, jikalau sekiranya mereka di Dunia dahulu menjadi orang-orang
Muslim). [Surah Al-Hijr: Ayat 2]
Ibnu Saqa menggeletar seolah-olah akan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Orang tersebut telah meghadapkan badan Ibnu Saqa ke arah Barat iaitu menghala ke Ka’abah, namun beliau tetap memalingkan dirinya ke arah Timur. Kemudian orang itu sekali lagi menghadapkan badan Ibnu Saqa ke arah Ka’abah, namun dia sendiri memalingkan dirinya ke arah Timur.
Pada kali yang ketiga orang itu menghadapkan badan Ibnu Saqa ke arah Ka’abah, namun beliau tetap memalingkan dirinya ke arah Timur. Kemudian tatkala Ruhnya akan keluar dari dirinya, beliau telah berkata,
“Ya Allah, inilah hasil natijah dari sikap tidak hormatku terhadap Wali GhautsMu, Yusuf Al-Hamadani.”

Seterusnya Hadhrat Ibnu Hajar Al-Haitsami Rahmatullah ‘alaih telah meriwayatkan tentang Ibnu ‘Asran yang berkata,
“Aku telah pergi ke Damsyik dan Raja di sana iaitu Nuruddin Asy-Syahid telah meletakkan aku dalam Jabatan Keagamaan dan aku pun telah menerima tanggungjawab tersebut. Kesudahannya, perkara-perkara keduniaan telah datang kepadaku dari segenap sudut berupa layanan yang istimewa, keperluan, kemegahan, wang dan pangkat kedudukan sehingga ke akhir hayatku. Itulah apa yang telah diramalkan oleh Hadhrat Yusuf Al-Hamadani, seorang Wali Ghauts terhadap diriku.”
Hadhrat Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih sering menampilkan Sifat-Sifat Allah iaitu di antaranya Sifat Al-Qahhar bagi mereka yang menentang usaha-usaha Keruhanian. Pernah terjadi suatu ketika bilamana beliau sedang memberikan pengajaran kepada para pendengar dalam majlisnya dengan limpahan ilmu-ilmu Ketuhanan, dua orang ‘Ulama Zahir yang hadir di dalam majlisnya berkata kepadanya,
“Diamlah! Sesungguhnya engkau sedang mengada-adakan Bida’ah.”

Hadhrat Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih berkata kepada mereka,
“Janganlah kamu berkata tentang sesuatu yang kamu sendiri tidak memahaminya. Adalah lebih baik kamu mati dari terus hidup.
” Sebaik sahaja beliau mengucapkan perkataan tersebut, mereka berdua serta merta jatuh lalu mati.
Pada suatu ketika seorang Darwish telah datang hadir berkhidmat pada Hadhrat Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih lalu berkata padanya,

“Daku telah pergi pada Hadhrat Syeikh Ahmad Ghazali, beliau telah duduk makan bersama-sama dengan Para Darwish.
Tidak lama kemudian Darwish tersebut mula mengumpat tentang keadaan Hadhrat Syeikh Ahmad Ghazali, lalu Hadhrat Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih pun berkata,
“Pada waktu itu, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah datang kepadaku dan telah menyuapkan makanan ke mulutku.”
Hadhrat Khwajah Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Ini merupakan suatu bentuk khayalan yang mana anak-anak Tariqat memperolehi Tarbiyah.”
Beliau telah menetap di Merv dan kemudian pergi ke Herat dan tinggal di sana buat beberapa lama. Kemudian beliau telah berniat untuk kembali ke Merv dan sewaktu beliau di dalam perjalanannya beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Beliau wafat di Khurasan, di antara Herat dan Bakshur pada 12 Rabi’ul Awwal 535 Hijrah ketika berusia 60 tahun dan telah dikebumikan di Merv. Berdekatan dengan maqam kuburnya telah dibina sebuah Masjid dan sebuah Madrasah yang besar. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan kepada kita segala limpahan Faidhz Keruhanian yang berkekalan sepertimana limpahan Faidhz Keruhanian yang telah dikurniakannya kepada Hadhrat Maulana Khwajah Abu Ya’aqub Yusuf Al-Hamadani Rahmatullah ‘alaih.


Tiada ulasan: