Catatan Popular

Isnin, 3 Oktober 2011

KITAB KIMIA KEBAHAGIAAN 2 : PEMBUKAAAN HATI KE ALAM GHAIB

Pembukaan pintu hati terhadap ke Alam Ghaib ini berlaku juga dalam keadaan-keadaan yang hampir dengan Wahyu Kenabian,  di mana Intuisi atau Wahyu atau Ilham terbit dalam fikiran tanpa di bawa melalui saluran-saluran deria(pancaindera) sebagaimana seseorang itu menyucikan dirinya dari pengaruh nafsu kebendaan dan menumpukan(konsentrasi) fikirannya kepada Allah.  Maka semakin bertambah teranglah kesedarannya terhadap Intuisi atau Ilham sedemikian itu.  Mereka yang tidak sedar tentang perkara ini tidak berhak menafikan hakikat tersebut.
Intuisi(Ilham) ini bukanlah terhad bagi mereka Kenabian sahaja.  Ibarat besi,  jika selalu digosok  dan digilap akan menjadi berkilat seperti cermin.  Begitu juga jiwa dan fikiran yang diasuh dengan disiplin sedemikian rupa akan dapat menerima khabaran dari Alam Ghaib itu.  Sebab itulah Nabi Muhammad SAW. ada bersabda;
"Tiap-tiap kanak-kanak itu dilahirkan dalam keadaan Islam(fitrah),  maka kemudian ibu-bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi"
Tiap-tiap manusia dalam kesedaran batinnya yang dalam itu pernah  mendengar soalan;
Bukankah aku ini Tuhanmu?"   dan mereka menjawab;  "Ya",  sebenarnya"  tetapi sesetengah hati adalah ibarat cermin yang penuh berhabuk dan berkarat sehingga tidak memberi bayangan apa-apa di dalamnya.  Tetapi hati Ambiya dan Aulia meskipun mereka itu manusia biasa yang mempunyai perasaan seperti kita,  mereka sangat senang dan cepat menerima semua gambaran atau Ilham Ketuhanan Yang Maha Tinggi itu.
Bukanlah kerana Ilmu yang didapati dari Ilham atau Wahyu atau Intuisi itu sahaja yang menyebabkan Ruh manusia itu boleh menduduki martabat pertama atau paling tinggi di kalangan makhluk,  tetapi juga oleh kerana kekuasaannya(Ruh).  Sebagaimana Malaikat-malaikat menguasai atau memerintah unsur-unsur,  maka begitu jugalah Ruh itu.  Ia memerintah anggota-anggota badan.  Ruh-ruh yang mencapai peringkat kekuasaan yang khusus  bukan sahaja memerintah badan mereka sendiri tetapi juga badan-badan yang lain.  Jika mereka hendakkan orang sakit supaya sembuh,  maka sembuhlah ia,  atau orang yang sihat boleh disakitinya;  atau jika mereka inginkan seseorang supaya datang kepada mereka,  maka datanglah orang itu.  Oleh kerana kerja-kerja Ruh yang kuat ada dua macam;  iaitu baik dan jahat,  maka perbuatan mereka itu pun dibahagikan dua macam juga iaitu Mukjizat dan yang lagi satu Sihir.
Ruh-ruh yang kuat ini berbeza dari Ruh-ruh orang biasa dalam tiga perkara:
1.  Apa yang orang lain dapat lihat secara mimpi dalam tidur,  mereka lihat dalam jaga.
2.  Orang lain hanya dapat menguasai badan mereka sendiri sahaja.  Mereka ini dapat menguasai badan-badan yang lain dari diri mereka juga.
3.  Ilmu orang lain dapat secara belajar dan mengkaji bersungguh-sungguh.  Mereka ini dapat Ilmu itu secara Ilham atau Wahyu.
Bukanlah ini sahaja tanda yang membezakan mereka dari orang biasa.  Ada lagi yang lain.  Tetapi itulah sahaja yang kita ketahui.  Sebagaimana juga kita ketahui iaitu Allah itu sahaja yang mengenal  DiriNya Yang Sebenar-benarNya,  begitu jugalah  hanya Nabi-nabi itu juga yang mengenal Hakikat Kenabian itu sebenarnya.  Ini tidaklah menghairankan.  Sedangkan dalam kehidupan sehari-harian ini pun kita ada mengalami kesulitan untuk menerangkan keindahan sesuatu Syair atau Puisi kepada orang yang tidak tahu dan tidak faham tentang Syair dan Puisi;  atau keindahan warna pada orang buta.
Di samping ketidakupayaan biasa itu,  ada lain-lan lagi yang menghalang seseorang itu mencapai Hakikat Keruhanian.  Satu daripadanya ialah Ilmu yang diperolehi dari luar.  Sebagai ibarat,  hati itu adalah sebuah telaga,  dan lima deria ialah lima batang tali air yang sentiasa mengalirkan air ke telaga itu.  Untuk mengetahui isi telaga itu sebenarnya,  taliair itu hendaklah dihentikan mengalir ke dalam telaga itu untuk sementara waktu,  dan sampah sarap yang di bawa oleh taliair itu hendaklah dibuang dari telaga itu.  Demikianlah ibaratnya.
Sekiranya kita hendak mencapai Hakikat Keruhanian yang suci itu,  maka kita hendaklah sementara waktu mengenepikan Ilmu yang diperolehi dari proses luar(iaitu yang datang dari luar seperti belajar,  membaca dan sebagainya) yang mana selalunya telah menjadi beku dan keras dan bersifat Prasangka Yang Dokmatik(Doqmatic Prejudice).
Di samping itu ada pula satu kesilapan yang dilakukan oleh orang-orang yang singkat IlmuNya,  iaitu setelah mereka mendengar percakapan orang-orang Sufi,  mereka pun merendah-rendahkan taraf ilmu.  Ini adalah ibarat seorang yang bukan ahli dalam bidang Ilmu Kimia mengatakan,  "Kimia itu lebih baik dari emas!",  dan ia enggan menerima apabila emas diberikan kepadanya.  Kimia lebih baik dari emas,  tetapi ahli-ahli Kimia yang sebenar-benar pakar sangat sedikit bilangannya.  Begitu jugalah ahli-ahli Sufi yang pakar sebenarnya amat sedikit bilangannya.
Orang yang hanya tahu sedikit sahaja berkenaan Kesufian adalah tidak lebih tinggi martabatnya dari orang-orang yang berpengetahuan.  Begitu juga orang yang baru mencuba beberapa percubaan dalam bidang Kimia,  janganlah hendak merendah-rendahkan orang yang kaya.
Orang-orang yang melihat berkenaan hal ini tentu akan melihat betapa kebahagian itu adalah sebenarnya berkaitan dengan Mengenal Allah Subhanahuwa Taala.   Tiap-tiap anggota kita ini suka dan seronok dengan untuk apa yang sebenarnya ia dijadikan.  Misalnya hawa nafsu suka dengan apa yang dikehendakinya;   marah suka hendak membalas dendam;  mata suka dengan benda yang indah;  telinga suka mendengar muzik yang merdu dan sebagainya.  Fungsi(tugas)  Ruh manusia yang paling tinggi ialah Menyaksi atau Melihat Hakikat,  dan di sanalah ia mendapat keseronokan dan kesukaannya.  Seorang itu amat gembira diberi jawatan Perdana Menteri,  tetapi kegembiraan itu akan bertambah jika Raja berkawan baik dengannya dan menceritakan kepadanya rahsia-rahsia negeri.
Ahli Ilmu Falak(Astronomer) dengan ilmunya dapat membuat peta-peta bintang dan perjalanan falaknya,  akan merasai lebih seronok dari ilmunya itu daripada pemain catur dengan ilmunya.  Tidak ada yang lebih tinggi dari Allah Subhanahuwa Taala.  Alangkah besarnya keseronokan dan kebahgiaan yang didapati oleh seseorang itu hasil dari Makrifat Allah.
Barangsiapa yang sudah hilang kemahuan untuk mencapaai Ilmu yang sedemikian tinggi itu,  maka orang itu adalah ibarat orang yang telah seleranya untuk memakan makanan yang baik-baik;  atau pun seperti orang yang lebih suka memakan tanah daripada memakan roti.  Semua selera badan kasar ini hilang sirnanya apabila mati (bercerai nyawa dengan badan).  Selera itu mati bersama badan kasar itu.  Tetapi Ruh tidak mati dan ia tetap membawa apa juga Ilmu tentang Ketuhanan yang ada padanya,  bahkan menambahkan Ilmu itu lagi.
Sebahagian penting berkenaan Ilmu kita tentang Allah adalah timbul dari kajian dan pemikiran kita tentang badan kita sendiri,  yang membukakan kepada kita kekuasaan,  kebijaksanaan dan Cinta Tuhan Yang Menjadikan segalanya.  KekuasaanNya menunjukkan betapa setitik air djadikan kita  seorang manusia yang cukup lengkap.  KebijaksanaanNya ditunjukkan dengan betapa rumit dan sulitnya anggota-anggota kita dan saling persesuaian antara bahagian-bahagian anggota itu antara satu dengan yang lain.  CintaNya ditunjukkan dengan KurniaNya kepada kita bukan sahaja anggota-anggota yang paling perlu untuk hidup seperti jantung,  hati,  otak,   tetapi juga anggota-anggota yang tidak paling perlu seperti tangan,  kaki,  lidah dan mata.  Kemudian ditambah pula dengan perhiasan seperti hitam rambut,  merahnya bibir,  bulu mata yang melentik dan sebagainya.
Maka sewajarnyalah manusia itu diibaratkan sebagai " ALAM KECIL"  dalam dirinya sendiri bentuk dan susunan badan itu hendak dikaji bukan sahaja oleh mereka yang hendak jadi doktor tetapi juga hendaklah dikaji oleh mereka yang ingin mencapai MakrifatuLlah sebagaimana juga mengkaji dengan mendalam tentang susunan keindahan bahasa dalam Puisi yang agung membukakan kepada kita makin lama makin banyak kebijaksanaan pengarangnya.
Bahawa Ilmu atau Mengenal Ruh itu memainkan peranan yang lebih penting untuk membawa kepada MakrifatuLlah;  lebih penting dari mengenal badan dan tugas-tugasnya.  Badan ini ibarat kuda tunggangan dan Ruh itu ibarat Penunggangnya.  Badan itu dijadikan untuk Ruh,  dan Ruh itu untuk badan.  Jika seseorang itu tidak tahu dirinya yang mana adalah yang paling hampir dengan Dia,  maka apakah gunanya ia mengenal yang lain?   Ibarat pengemis;  yang dirinya sendiri pun payah hendak makan berkata pula ia boleh memberi makan kepada penduduk sebuah pekan.
Dalam bab ini kita akan cuba sedikit-sebanyak membicarakan keagungan Ruh manusia.  Orang yang tidak peduli kepada jiwa atau RuhNya dan membiarkan Ruh atau jiwa itu berkarat dan bergelap,  maka rugilah ia di dunia dan di akhirat juga.  Keagungan seseorang manusia itu sebenarnya terletak pada keupayaan untuk Maju yang kekal abadi.  Jika tidak,  dalam dunia fana ini,  manusia itulah yang paling lemah dari segala makhluk kerana tertakluk kepada kepada lapar,  dahaga,  panas,  sejuk dan dukacita.
Perkara yang paling ia suka selalunya paling bahaya kepadanya,  dan perkara yang memberi faedah kepadanya itu tidak dapat diperolehi tanpa usaha dan susah payah.  Berkenaan dengan Aqalnya pula,  kesilapan yang sedikit saja pada otak boleh menyebabkan ia gila dan rosak.  Berkenaan kekuasaan pula,  gigitan nyamuk sahaja telah cukup menyebabkan ia resah gelisah dan tidak dapat tidur.  Berkenaan dengan perasaan pula,  dia rasa dukacita hanya dengan kehilangan beberapa sen wang.  Berkenaan dengan kecantikan pula,  dia tidak lebih dari perkara yang kotor dibalut dengan kulit yang licin lunak.  Tanpa dibasuh selalu,  ia menjadi Ain dan tidak menarik lagi.
Pada hikikatnya,  manusia itu dalam dunia ini adalah sangat lemah dan hina.  Hanya di akhirat kelak manusia itu akan bernilai dan berharga.  Jika dengan cara "Kimia Kebahgiaan" dia meningkat naik dari peringkat binatang kepada peringkat Malaikat.  Kalau tidak,  peringkat lebih hina dan rendah dari binatang yang akan hancur dan akan jadi tanah.  Maka perlulah bagi manusia di samping sedar tentang ketinggian martabatnya dari semua makhluk,  sedarlah hendaknya tentang lemah hinanya,  kerana itu pun adalah satu daripada "anak kunci" membuka pintu Mengenal Allah (MakrifatuLlah).
 

Tiada ulasan: