Adab-adab
al-sālik terhadap syeikh.Menurut keterangan yang diberikan oleh Syeikh Muhammad
Amin al-Kurdi dalam kitabnya yang berjudul Tanwir al-Qulub Fi Mu‘āmalat ‘Allām
al-Ghuyub menyebutkan bahawa adab-adab yang perlu diperhatikan dan dijaga oleh
seorang yang sālik terhadap syeikhnya adalah banyak , namun yang terpenting
ialah seorang yang al-sālik tidak boleh sesekali menentang syeikhnya,
sebaliknya ia membesarkan kedudukan syeikhnya itu lahir dan batin. Seterusnya
ia tidak boleh memperkecilkan kedudukan syeikh, apalagi mencemuhnya di hadapan
atau di belakangnya. Salah satu yang mesti diyakini oleh seorang yang al-sālik
ialah segala maksud dalam suluknya hanya akan tercapai kerana didikan dan
asuhan daripada syeikhnya. Oleh sebab itu, jika ia terpengaruh dengan pandangan
guru-guru yang lain selain daripada syeikhnya menyebabkan ia akan jauh daripada
syeikhnya dan akan gagal menerima limpahan cahaya daripada syeikhnya. Maka
sebagai seorang yang bertaraf al-sālik sewajarnya ia memerhatikan dengan
bersungguh-sungguh tentang beberapa adab terhadap syeikhnya.
Keadaan ini
telah dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi seperti di bawah ini:
a) Seorang
yang al-sālik hendaklah menghormati dan menyanjung tinggi syeikhnya pada yang
zahir dan yang batin, dengan satu keyakinan bahawa dirinya tidak akan berjaya
untuk mencapai cita-cita kerohaniannya kecuali berada di bawah asuhan dan
didikan serta pimpinan daripada syeikhnya. Apabila seorang yang al-sālik itu
tertarik hati kepada seorang syeikh yang lain maka terhalanglah dirinya itu
daripada syeikhnya dan terhentilah limpahan nur ilāhi daripada syeikh tersebut
ke atas dirinya.
b) Seorang
yang al-sālik hendaklah sentisa menyerahkan diri sepenuhnya zahir dan batin
kepada syeikhnya. Sentiasa bersifat taat dan menurut perintah di samping reda
terhadap segala apa yang dibuat oleh syeikhnya. Seorang yang al-sālik hendaklah
bersedia untuk berkhidmat kepada syeikhnya baik dengan harta mahupun dengan
jiwa raga. Semua hal tersebut adalah disebabkan oleh kemahuan yang murni dan
perasaan kasih sayang sebenar yang tidak dapat dinyatakan dengan jelas kecuali
dengan cara yang tersebut. Malahan niat yang benar dan ikhlas itu tidak akan
dapat dicapai kecuali dengan jalan yang demikian itu. Seorang al-sālik mestilah
mempunyai keikhlasan hati di samping kerelaan jiwa demi pengorbanan kepada
syeikhnya. Selepas itu barulah ia akan mendapat barakah irādah yang murni dan
muhibbah. Semua ini akan dianggap sebagai penggerak dalam kehidupan seorang yang
al-sālik.
c) Seorang
yang al-sālik tidak boleh sama sekali menentang, menolak atau menghalang apa
saja yang dibuat oleh syeikhnya, sekalipun perbuatan tersebut pada zahirnya
bertentangan dengan hukum syarak yang membawa hukum haram. Sebagai contoh, seorang
al-sālik tidak boleh berkata terhadap syeikhnya: Mengapakah tuan guru berbuat
demikian? Jika seorang al-sālik berkata demikian terhadap syeikhnya maka ia
tidak akan mencapai maksudnya (wusul kepada Allah S.W.T.) untuk selama-lamanya.
Penentangan merupakan sikap dan akhlak yang tercela, lebih-lebih lagi apabila
diperintahkan oleh syeikhnya. Dalam dispilin ilmu dan amalan tasawwuf ketaatan
itu sudah dibaiahkan ketika seorang al-sālik mengambil amalan tersebut daripada
syeikhnya. Dengan peraturan dan baiah yang demikian barangkali ramai orang
termasuk pemerintah menaruh prasangka dan curiga di samping mengawasi ajaran
tasawwuf dan tariqat di negara ini. Kadang-kadang berlaku pada seseorang syeikh
itu perkara yang tercela nampak pada zahirnya, tetapi pada batinnya adalah
baik, seperti yang berlaku kepada Nabi Khidir a.s ketika bersama-sama dengan
Nabi Musa a.s . Kerana itulah setengah ahli tasawwuf bersya’ir seperti berikut:
Maksudnya:Engkau
di hadapan syeikh seperti mayat di depan orang yang memandikannya.Sentiasa taat
dibalik-balikkan mengikut sekehendak hatinya.Jangan engkau menentang
perintahnya yang engkau tidak mengetahuinya.Sebab,menentang begitu bererti
engkau mencabarnya.Biarkanlah segala perbuatannya yang engkau lihat.Meskipun
berlainan dengan syariat.Cukuplah sebagai contoh kisah Khidir membunuh anak
desa.Bagaimana Musa bersungguh-sungguh menghalangnya.Bila rahsia Khidir jelas
terbongkar.Musa tidak dapat berkata lagi.Dan cuba meminta maaf daripada
Khidir.Begitulah ada yang menakjubkan ilmu orang sufi.
d) Seorang
yang al-sālik tidak boleh mempunyai sebarang keinginan untuk bergaul rapat
dengan syeikhnya untuk tujuan dunia ataupun akhirat. Oleh itu pergaulan dengan
syeikhnya hanyalah semat-mata untuk menghampirkan dirinya kepada Allah S.W.T.
e) Seorang
yang al-sālik hendaklah menghilangkan segala ikhtiarnya kerana berasa cukup
dengan ikhtiar syeikhnya, sebahagiannya atau keseluruhannya yang menyangkut
soal ibadat ataupun adat kebiasaan hidup. Oleh itu antara tanda-tanda yang
menunjukkan seorang yang al-sālik itu bersifat benar ialah jika syeikhnya
menyuruhnya masuk ke dalam dapur api nescaya dilakukannya. Walau apapun yang
berlaku seorang yang al-sālik tetap memegang teguh ikhtiar syeikhnya. Ia mesti
mengakui seorang syeikh itu mempunyai kelebihan tersendiri dalam berikhtiar
jika dibandingkan dengan ikhtiar seorang yang al-sālik.
f) Seorang
yang al-sālik tidak boleh dengan sengaja mencari-cari rahsia hal keadaan
syeikhnya sama sekali. Perbuatan yang sedemikian boleh menyebabkan kecelakaan
dan padah pada diri seorang yang al-sālik itu sendiri. Sebagai seorang yang
al-sālik seharusnya bersangka baik dengan syeikhnya dalam semua hal dan
keadaan.
g) Sebagai
seorang yang al-sālik, dia hendaklah sentiasa ingatkan kepada syeikhnya ketika
ia berjauhan daripadanya (syeikh). Begitu juga jika syeikhnya itu ada
bersama-samanya maka hendaklah ia sentiasa ingatkan dan membayangkan syeikhnya
itu dalam hatinya ketika melakukan semua urusannya, baik ketika musafir mahupun
tidak, supaya mendapat keberkatan daripada syeikhnya itu.
h) Sebagai
seorang yang al-sālik ia hendaklah merasakan bahawa setiap keberkatan yang
telah didapatinya, baik keberkatan di dunia mahupun di akhirat adalah kerana
syeikhnya itu. Sebagai contoh seorang yang al-sālik telah mendapat kelebihan
daripada Allah S.W.T., atau pertunjuk berupa ilhām atau keistimewaan ijābah,
maka tidak boleh mengatakan atau menganggap hal itu disebabkan oleh keupayaan
dan barakah daripada dirinya sendiri yang dekat dengan Allah S.W.T. Sebagai menghormati
gurunya ia mestilah berkeyakinan bahawa ilhām dan anugerah daripada Allah
S.W.T. itu adalah disebabkan oleh keberkatan dan kelebihan daripada syeikhnya
itu.
i) Sebagai
seorang yang al-sālik, ia tidak boleh merahsiakan atau menyembunyikan daripada
syeikhnya sesuatu yang bersifat hāl, lintasan-lintasan hati, kejadian-kejadian,
perkara-perkara yang dikashafkan dan kekeramatan yang telah dikurniakan oleh
Allah S.W.T. semasa di bawah pimpinan daripada syeikhnya itu. Segala sesuatu
yang berkait dengan kehidupan seorang yang al-sālik tidak boleh dirahsiakan
daripada syeikhnya. Ini merupakan satu adab dan peraturan yang mesti ditaati
oleh seorang yang al-sālik.
j) Seorang
yang al-sālik itu tidak boleh sengaja menunjuk-nunjuk atau mencari-cari ta‘bir
berbagai-bagai kejadian, mimpi dan perkara-perkara yang dikashafkan ke atasnya.
Walaupun ia mengetahui dengan jelas ta‘bir perkara-perkara yang tersebut itu,
maka tidaklah boleh ia berpegang teguh terhadapnya. Apabila seorang yang
al-sālik itu bertanyakan sesuatu kepada syeikhnya maka hendaklah ia bersabar
menanti jawapan daripada syeikhnya itu dengan tidak mendesak agar syeikhnya
memberikan jawapan yang segera. Begitu juga jika ada seseorang yang bertanyakan
sesuatu kepada syeikhnya itu, maka janganlah sekali-kali al-sālik itu
memberikan jawapan soalan orang yang tersebut di hadapan syeikhnya.
k) Seorang
yang al-sālik tidak boleh menyebar dan menyiarkan rahsia-rahsia syeikhnya,
walau dengan apa cara sekalipun.
l) Seorang
yang al-sālik tidak boleh mengahwini perempuan yang sudah diketahuinya bahawa
syeikhnya sendiri ada hati mahu mengahwininya. Seorang yang al-sālik juga tidak
boleh mengahwini bekas isteri syeikhnya, sama ada bercerai hidup atau cerai
mati.
m) Seorang
yang al-sālik tidak boleh memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada syeikhnya,
sekalipun syeikhnya meminta buah fikirannya dalam sesuatu perkara yang mahu
dibuat atau ditinggalkannya. Dalam keadaan itu seorang yang al-sālik hendaklah
menyerahkan masalah yang dihadapi itu kepada syeikhnya sahaja dengan penuh
keyakinan bahawa syeikhnya itu lebih tahu daripada dirinya dalam masalah
tersebut dan syeikhnya itu sebenarnya tidak perlu meminta buah fikirannya.
Sebenarnya perbuatan syeikh meminta buah fikiran al-sālik itu hanyalah sebagai
satu polisi syeikhnya supaya dapat ia menunjukkan rasa kasih dan sayang
terhadap para al-sālikin itu sahaja. Bagaimanapun jika ada tanda-tanda bahawa
syeikhnya itu memang benar-benar mahukan buah fikiran al-sālik itu maka
bolehlah ia memberikan buah fikirannya kepada syeikhnya dengan penuh kesopanan
dan ketertiban.
n) Seorang
yang al-sālik hendaklah menjaga, mengambil berat terhadap keluarga syeikh
sepanjang pemergiannya. Seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa berkhidmat dan
berbuat baik dengan mengunjungi dan berkhidmat kepada keluarganya. Langkah
seorang al-sālik ini merupakan perkara-perkara yang boleh menambahkan lagi
kasih sayang syeikh kepada diri al-sālik. Tegasnya dalam hal ini, kedudukan
syeikh itu samalah dengan kedudukan para saudara dan kawan atau sahabat. Perlu
diingat bahawa seluruh kerja yang dilakukan mesti dengan keikhlasan agar ia
akan mendapat limpahan hidayat dan rahmat syeikhnya.
o) Seorang
yang al-sālik apabila merasakan dirinya ada sifat ‘ujub dan riyā’ maka
hendaklah ia segera berjumpa dan memberitahu kepada syeikhnya hal keadaan
tersebut. Dengan berbuat demikian seorang syeikh akan dapat menunjukkan
bagaimana cara untuk mengubati penyakit tersebut. Jika hal tersebut
disembunyikan maka penyakit yang terdapat pada seorang yang al-sālik seperti
al-riyā’ dan al-‘ujub itu akan bertambah subur dan sulit untuk dibuang daripada
dirinya.
p) Sebagai
seorang al-sālik, hendaklah menghargai setiap pemberian daripada syeikhnya.
Setiap barang yang diberikan oleh syeikh kepada seorang yang al-sālik hendaklah
dijaga dengan sebaiknya, bahkan jangan sekali-kali ia menjualkan barang
pemberian tersebut kepada orang yang lain. Mungkin ada rahsia di sebalik
pemberian tersebut yang berupa manfaat di dunia atau di akhirat di samping
dapat menghampirkan dirinya kepada Allah S.W.T. di sebalik pemberian tersebut.
q) Seorang
al-sālik hendaklah menjaga sifat benar (al-sidq) dalam kesungguhannya mentaati
syeikhnya itu. Dalam konteks ini, para mashā’ikh tariqat bersepakat bahawa
seorang al-sālik yang benar-benar sempurna ketaatannya kepada syeikh akan
mencapai kemanisan ma‘rifatullah dalam dhawqnya, walaupun hanya berada dalam
satu majlis sahaja di awal pergaulannya dengan syeikh tersebut.
r) Apabila
seorang yang al-sālik menemui dan melihat beberapa kekurangan yang terdapat
pada diri syeikh seperti banyak tidur di waktu mendekati subuh atau kurang
wara‘nya dan sebagainya lagi maka sesungguhnya terkadang Allah S.W.T. sengaja
menjadikan kekurangan tersebut pada diri seorang wali, iaitu ketika seorang
wali itu berada dalam keadaan yang ghaflah. Bagaimanapun, selepas itu ia akan
ingat dari kelalaiannya dan segera berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai
dan mendapatkan apa yang sepatutnya ia capai. Hal ini ada diungkapkan oleh Ibn
‘Atāi’illah al- Iskandari dalam kata-kata hikmahnya yang antara lain
menyebutkan:سبحان من ستر سر الخصوصية بظهور وصف البشرية وظهر بعظمة الربوبية في
إظهار العبودية . Maksudnya: Maha suci Tuhan yang telah menutup rahsia
khususiyyah dengan kelihatan sifat-sifat kemanusiaan. Dan Maha Suci Tuhan yang
telah memperlihatkan (kepada hamba-hambaNya) dengan kebesaran ketuhanan dalam
memperlihatkan (bekas-bekas) kehambaan manusia. Semua yang berlaku pada diri
syeikh itu adalah dari kehendak dan ketentuan daripada Allah S.W.T. yang
bertujuan untuk mendidik dan menunjuk ajar di samping mengasuh para al-sālikin.
Dengan pengalaman tersebut, para al-sālikin akan dapat melihat dan menyaksikan
kekurangan-kekurangan seperti yang berlaku kepada syeikhnya itu. Dengan
demikian tentulah mereka akan dapat melepaskan diri dari kekurangan-kekurangan
tersebut pada diri mereka. Kadang-kadang Allah S.W.T memberitahu seorang wali
itu menerusi kekurangan-kekurangan yang berlaku pada dirinya, disebabkan
kuatnya sifat benar (al-sidq) dalam maqām al-ridā terhadap qadā’ dan qadarnya,
atau pun disebabkan oleh lemahnya sifat benar (al-sidq) tersebut. Dengan cara
tersebut Allah S.W.T akan memberikan kefahaman kepada para waliNya tentang
perubahan ahwāl sifat benar mereka atau sifat dusta mereka kepada Allah S.W.T.,
agar para awliyā’ itu dapat bersyukur kepadaNya ataupun meminta keampunan
daripadaNya apabila mereka menyedari kesalahan tersebut. Oleh itu sebagai
seorang yang al-sālik wajiblah ke atasnya menjaga kepercayaannya terhadap
kewibawaan syeikhnya itu. Oleh sebab itu sering kita dengar dari kalangan
ahli-ahli tasawwuf satu ungkapan tentang hal ini dengan kata mereka:زلات
المقربين رفعة لمقامتهم واستدلوا على ذلك بالاكل من الشجرة Maksudnya: Kesilapan
dan kegelinciran orang-orang ‘ārifin (kerana melakukan sesuatu kesalahan) itu
adalah peningkatan maqam mereka. Hal ini disandarkan kepada peristiwa Adam
memakan buah khuldi.Pandangan dan pendapat ini disandarkan kepada peristiwa
yang berlaku ke atas Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa dengan memakan buah
larangan. Namun kesalahan tersebut telah diampunkan oleh Allah S.W.T dan
disucikan keduanya dari segala dosa.
s) Sebagai
seorang yang al-sālik janganlah membanyakkan percakapannya ketika berada di
hadapan syeikhnya itu, sekalipun ia dibenarkan berbuat demikian. Sebagai
seorang yang al-sālik dia seharusnya mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk
dia bercakap-cakap dengan syeikhnya. Oleh itu janganlah ia bercakap dengan
syeikhnya kecuali setelah mendapat keizinan daripadanya. Dengan keizinan itupun
mestilah dilakukan dengan penuh beradab sopan, khusyuk dan tawādu‘’ tanpa
melebih-lebihkan percakapannya tetapi cukup hanya sekadar yang diperlukan
sahaja. Jika tidak beradab sopan seperti yang telah dijelaskan di atas, maka
seorang yang al-sālik itu diharamkan dari mendapat kurnia dengan terbuka hijāb
hatinya. Apabila seorang yang al-sālik itu telah diharamkan dengan yang
demikian itu maka ia tidak akan mendapat untuk kali keduanya kecuali hanya
segelintir yang memperolehinya.
t) Sebagai
seorang yang al-sālik, janganlah ia meninggikan suaranya apabila berada di
hadapan syeikhnya. Kerana dengan berbuat demikian, menurut anggapan ulama
tasawwuf merupakan adab yang buruk. Tentu kita masih ingat satu peringatan
daripada Allah S.W.T tentang hal ini seperti firmanNya:وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ
وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنكَرَ الاَْصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ .
Maksudnya:Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah
suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara
keldai.
u) Sebagai
seorang yang al-sālik, janganlah duduk dengan cara yang tidak beradab sopan di
hadapan syeikhnya dan tidak duduk di atas sajadah yang diduduki oleh syeikhnya
itu. Seorang yang al-sālik hendaklah ketika bersama-sama dengan syeikhnya dalam
keadaan merendah dan menghinakan dirinya dan sentiasa sibuk untuk berkhidmat
dengan syeikhnya itu. Setengah dari kalangan ahli tasawwuf mengatakan
berkhidmat dengan syeikh itu sebagai satu amal soleh yang paling afdal.
v) Sebagai
seorang yang al-sālik hendaklah bersegera melaksanakan segala apa yang diperintahkan
oleh syeikh ke atas dirinya. Sesuatu perintah hendaklah dilaksanakan tanpa
menunggu atau menangguh-nangguhkan atau mencuaikannya dengan berehat-rehat atau
merasa tenteram sebelum menyelesaikan segala perintah dan arahan daripada
syeikhnya.
w) Sebagai
seorang yang al-sālik ia hendaklah berusaha untuk menjauhkan segala perkara
yang tidak disukai dan digemari oleh syeikhnya. Seorang al-sālik juga tidak
boleh melakukan sesuatu yang merendah dan menjatuhkan akhlaknya yang terpuji.
x) Sebagai
seorang yang al-sālik, janganlah ia berdamping dengan orang yang tidak disukai
oleh syeikhnya di samping mengasihi orang yang dikasihi oleh syeikhnya.
y) Sebagai
seorang yang al-sālik hendak sentiasa bersabar apabila tidak dihiraukan oleh
syeikhnya. Perlu diingat seorang al-sālik tidak boleh berkata seumpama:
Mengapakah syeikh melayan si polan itu begini, sedangkan aku tidak dilayan
dengan sedemikian itu?
z) Seorang
yang al-sālik tidak boleh menyebarkan kata-kata syeikhnya kecuali setakat yang
boleh difahami oleh orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan