Menurut Kalam Hikmah ke 20 , Imam Ibnu Athaillah Askandary:
TIDAK BERCITA-CITA SEORANG SALIK UNTUK BERHENTI KETIKA
TERJADI KASYAF (TERBUKA PERKARA GHAIB) MELAINKAN SUARA HAKIKI BERSERU
KEPADANYA: “ APA YANG KAMU CARI MASIH JAUH DI HADAPAN (OLEH ITU JANGAN KAMU BERHENTI)!” DAN TIDAK
TERBUKA BAGINYA ALAM MAYA MELAINKAN DIPERINGATKAN OLEH HAKIKAT ALAM ITU: “SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH UJIAN, KERANA ITU JANGANLAH KAMU
KUFUR!"
Latihan penyucian
hati membawa rohani si salik meningkat dari satu peringkat kepada peringkat
yang lebih tinggi. Kekuatan rohaninya bertambah dan pada masa yang sama juga
pengaruh serta kesedaran inderawinya berkurangan. Dalam keadaan seperti ini
rohaninya mampu menjadi penasihat kepada dirinya sendiri. Bila terlintas dalam
hatinya untuk melakukan kesalahan akan tercetuslah perasaan membantah perbuatan
tersebut, seolah-olah ada orang yang menasihatinya. Apabila sampai kepada satu
peringkat kesucian hati akan terbuanglah dari hatinya lintasan-lintasan yang
bersifat duniawi, syaitani dan nafsi.
Lintasan duniawi
mengheret kepada kelalaian, keseronokan dan kesenangan harta benda. Lintasan
syaitani mengheret kepada melakukan syirik dan bidaah yang bertentangan dengan
Sunah Rasulullah s.a.w. Lintasan nafsi pula mendorong kepada maksiat dan
kemunkaran. Bila hati sudah terdinding daripada lintasan-lintasan jahat maka
hati akan didatangi oleh lintasan malaki (malaikat) dan Rahmani (Tuhan).
Lintasan malaki
mengajak kepada berbuat taat kepada Allah s.w.t dan meninggalkan tegahan-Nya.
Lintasan Rahmani pula adalah tarikan langsung daripada Tuhan. Dalam
lintasan-lintasan duniawi, syaitani, nafsi dan malaki, manusia mempunyai
pilihan untuk menerima ataupun menolak cetusan atau rangsangan yang diterimanya
itu. Akal dan imannya boleh memikir dan menimbang akan sebab dan akibat jika
dia mengikuti sesuatu rangsangan itu. Tetapi, dalam lintasan Rahmani hamba
tidak ada pilihan, tidak ada hukum sebab musabab yang boleh mencegahnya dan
tidak ada hukum logik yang boleh menghuraikannya. Misalnya, seorang yang tidak
pernah turun ke laut, tiba-tiba pada satu hari tanpa boleh ditahan-tahan dia
pergi ke laut dan mandi, lalu mati lemas. Soalnya, tidak dapat diterangkan
mengapa dengan tiba-tiba dia mahu mandi di laut dan dia tidak dapat melawan
keinginan yang timbul dalam hatinya itu. Kuasa yang menariknya ke laut dan
mandi lalu mati di situ dinamakan lintasan Rahmani atau tarikan ketuhanan.
Dalam perjalanan kerohanian mungkin seorang salik itu menerima lintasan Rahmani
yang mengheretnya melakukan sesuatu yang kelihatan aneh, tidak masuk akal dan
dia sendiri tidak dapat memberi penjelasan tentang tindak tanduknya walaupun
dia masih dapat melihat perbuatan yang dilakukan oleh dirinya sendiri itu.
Semasa pengembaraannya ke dalam alam
kerohanian si salik mungkin memperolehi kasyaf iaitu terbuka keghaiban
kepadanya. Dia dapat melihat apa yang tersembunyi. Dia mungkin dapat melihat
kepada peristiwa yang akan berlaku, dan yang telah berlaku. Mungkin juga dia
dikurniakan kekeramatan seperti ‘mulut masin’, berjalan di atas air,
menyembuhkan penyakit dan lain-lain. Dia juga mungkin dapat melihat dengan mata
hatinya keadaan Alam Barzakh, syurga dan neraka. Penemuan perkara-perkara yang
ganjil, ajaib dan indah-indah boleh mempesonakan si salik dan boleh menyebabkan
dia menjadi keliru dengan merasakan dia sudah sampai ke puncak, lalu dia
berhenti di situ. Lebih membahayakan lagi jika si salik tidak mendapat
bimbingan guru atau guru yang membimbingnya tidak memahami tentang selok-belok
alam kerohanian. Si guru tidak dapat menjelaskan pengalaman aneh yang dialami
oleh murid lalu si murid tidak ada pilihan kecuali membuat tafsirannya sendiri.
Oleh sebab pengalaman tersebut adalah berkenaan perkara ghaib maka murid tadi
mudah menyangkakan segala yang ghaib itu adalah aspek ketuhanan.
Di sini timbullah
berbagai-bagai anggapan tentang Tuhan, kerana dia menyangkakan yang dia telah
melihat zat Tuhan. Timbullah sangkaan yang Tuhan adalah
nur dengan warna yang tertentu. Ada pula yang beranggapan Tuhan itu rupanya tegak seperti huruf alif. Ada
pula yang mengatakan Tuhan adalah cahaya yang sangat halus. Bermacam-macam lagi anggapan tentang Tuhan muncul akibat kejahilan
mengenai alam ghaib. Prasangka yang meletakkan Zat Allah s.w.t di dalam ruang
dan berbentuk adalah kekufuran. Bahaya
penyelewengan akidah kepada orang yang belajar ilmu hakikat kepada yang bukan
mursyid adalah besar. Orang yang belajar ilmu hakikat cara demikian membahaskan
zat Ilahiat dengan menggunakan akalnya sedangkan akal tidak ada pengetahuan
tentang zat.
Murid atau salik yang mendapat bimbingan
daripada guru yang mursyid dan beroleh rahmat, taufik dan hidayat daripada
Allah s.w.t akan dapat melalui fitnah yang tersebut di atas dengan selamat.
Salik yang masuk ke dalam Tarikan ketuhanan akan berjalan terus walau apa pun
yang ditemuinya di tengah jalan, sekalipun dia ditawarkan dengan syurga.
Tarikan ketuhanan yang memimpin salik itu dinamakan Petunjuk Ilmu, Perintah
Batin, Petunjuk Laduni atau Suara Hakiki atau Pembimbing Hakiki. Ia adalah
tarikan langsung daripada Allah s.w.t agar hamba yang Allah s.w.t mahu temui
itu selamat sampai kepada-Nya. Salik menafikan semua yang ditemuinya. Selagi
boleh disaksikan ia adalah sifat bukan zat. Sepanjang perjalanannya salik
melihat bekas gubahan Tuhan, pengungkapan hikmat kebijaksanaan-Nya dan
tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia. Zat Ilahiat tetap tinggal
tertutup rapat oleh nur di balik nur dan tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun
dan penglihatan yang bagaimana pun. Jika nur yang disaksikan, maka nur adalah salah satu daripada
tanda-tanda-Nya dan juga salah satu daripada Nama-nama-Nya. Setelah habis yang
dinafikan salik sampai kepada puncak kedunguannya iaitu pengakuan tentang
kelemahannya mengenai zat Ilahiat. Inilah puncak pencapaian dan orang yang
sampai kepada hakikat ini dinamakan orang yang bermakrifat atau orang yang
mengenal Allah s.w.t. Dia mencapai hakikat maksud:
Tidak ada sesuatu
apa pun menyerupai-Nya.
Tidak ada yang
menyerupai-Nya dan menyamai-Nya, mana mungkin ada gambaran tentang-Nya yang
boleh ditangkap oleh penglihatan? Kebodohan dan kedunguan adalah hijab yang
asli dan tidak mungkin tersingkap ditentang zat Ilahiat kecuali pada hari
akhirat apabila seseorang hamba diizinkan memandang dengan pandangan mata. Sebelum itu tidak mungkin melihat Allah s.w.t dengan terang-terang.
Apa yang diistilahkan sebagai melihat Allah s.w.t ialah menyaksikan Allah s.w.t
pada sesuatu yang didalamnya terdapat bekas penciptaan-Nya, tanda-tanda-Nya,
hikmat-Nya dan tadbir-Nya. Ia
merupakan penglihatan akal serta mata hati atau melihat Nur-Nya iaitu melihat
Rahsia Allah s.w.t yang tersembunyi pada sekalian kejadian-Nya. Zat Ilahiat
tetap tinggal tertutup oleh keghaiban yang mutlak (Ghaibul Ghuyub).
Orang sufi selalu
mengatakan mereka melihat Allah s.w.t. Apa yang mereka maksudkan ialah
penglihatan ilmu dan penglihatan hati nurani, penglihatan yang mengandungi rasa
kecintaan yang sangat mendalam terhadap Allah s.w.t, dan kerinduan yang membara
di dalam hati mereka. Itulah penglihatan mereka yang gilakan Allah s.w.t.
Jangan ditafsirkan ucapan mereka secara lafaz tetapi selami hati mereka untuk
memahami keasyikan dan kemabukan yang mereka alami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan