Catatan Popular

Sabtu, 18 Disember 2021

HIMPUNAN KISAH ORANG BERTAQWA : JAGUH YANG TERTEWAS

Orang yang selalu berbangga dengan kelebihan dan kebolehan dirinya mudah lupa diri. la akan berasa dirinya lebih daripada orang lain. Hingga terlupa kelebihan dan kebolehannya itu tidak kekal, bahkan masih boleh diatasi oleh orang lain.


Demikianlah yang berlaku kepada Amar bin Abdu Wud, seorang jaguh bermain pedang di kalangan tentera berpedang pasukan kafir Quraisy Makkah. Kehebatan, keberanian serta kelincahannya tidak ada tandingan. Apabila berlakunya pertemuan satu lawan satu setiap kali sebelum bermulanya peperangan, Amar akan menawarkan dirinya untuk menentang siapa sahaja.

Kali terakhir Amar tampil sebagai pahlawan pedang terhandal ialah sebelum tercetusnya Perang Khandak. Walaupun tentera Muslimin berkubu di kawasan strategik yang dikelilingi parit yang luas dan panjang, tetapi akhirnya Amar berjaya juga melepasi parit tersebut. Dia menemui kawasan parit yang agak sempit dan mampu melepasinya dengan lompatan kuda. Dalam jarak yang tidak begitu jauh dari kelompok tentera Muslimin, Amar menjerit dengan sombongnya mencabar pihak tentera Muslimin. Cabaran yang lantang dan penuh kesombongan itu ingin disambut oleh Sayidina Ali.

Beliau memohon kebenaran Rasulullah tetapi tidak dibenarkan. Amar bukan sebarangan orang. Dari segi ketangkasannya serta kematangan usia, Sayidina Ali bukan tandingannya. Begitu pendapat Rasulullah.

Apabila laungannya tidak disambut, Amar terus melaung dan melaung tiga kali. Sayidina Ali memohon kebenaran Rasulullah. Beliau mahu menghapuskan kesombongan Amar.

Rasulullah memahami kegelisahan dan rasa hati sepupunya itu. Memandangkan hanya Sayidina Ali sahaja yang bersedia berdepan dengan jaguh Quraisy yang angkuh itu, Rasulullah pun membenarkannya. Baginda memakaikan serbannya di kepala Sayidina Ali. Sepanjang perlawanan, kehebatan Amar bin Abdu Wud memang nampak jelas. Tidak mudah untuk Sayidina Ali mengatasinya. Tubuhnya yang tinggi, tegap dan sasa memberi kemudahan bagi Amar bergerak dan bertindak dengan pantas. Amar tidak langsung memberi peluang lawannya bertindak.

Memang benar dia bukan sebarang pahlawan. Kelincahannya berjaya mengguris bahagian tangan Sayidina Ali. Serangan yang berterusan memaksa Sayidina Ali sekadar mampu bertahan.

Hinggalah pada sedikit kesempatan yang terluang, Sayidina Ali membuat tindakan pantas. Hayunan pedang yang kencang mengenai sasaran. Kepala Amar terbelah menjadi dua. Dan berakhirlah hayat pahlawan berpedang Quraisy yang angkuh dan sombong itu. Walaupun sebelum perlawanan Amar meletakkan Sayidina Ali setaraf dengan anak-anaknya, namun tidak bermakna yang kecil tidak mampu mengatasi yang besar dan lebih dewasa daripadanya.

Sehebat mana pun seseorang itu, tetap masih ada yang lebih hebat daripadanya. Dan kehebatan makhluk sangat terbatas. Kehebatan Allah Yang Maha Hebat adalah mutlak.

Tiada ulasan: