Catatan Popular

Jumaat, 25 Januari 2013

HIKAM ATAILLAH KE 22 (SYARAH TO’KU LI) : SETIAP HELAAN NAFAS HAMBANYA DALAM PERTIMBANGAN QADAR ALLAH



Menurut Kalam Hikmah ke 22 , Imam Ibnu Athaillah Askandary
Setiap nafas yang dihela sentiasa berada dalam pertimbangan qadar Allah SWT
Apa yang diungkapkan oleh Syeikh Ibn ‘AtaiLlah as-Sakandari q.s. telah dijelaskan oleh Allah SWT sendiri di dalam al-Quran,surah al-An’am ayat 59-60,firmanNya 

Maksudnya : “ Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib,tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja,dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya,dan tidak jatuh sebiji bijirin pun dalam kegelapan bumi dan tidak berguguran yang basah mahupun yang kering  melainkan semuanya ada tertulis di dalam kitab ( Luh Mahfuz ) yang terang nyata.Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam,dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Dia bangunkan kamu dari tidur,untuk disempurnakan ajal  kamu yang telah ditetapkan.Kemudian kepadaNyalah kamu akan kembali,kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang telah kamu lakukan.”
  • Perkataan  al-nafs  dalam konteks ini adalah nyawa atau nafas yang keluar masuk daripada badan manusia dan mengambil masa yang tertentu.Sehubungan ini setiap nafas yang dihela senantiasa terikat dengan qadar atau ketentuan Allah.Sememangnya ketentuan atau qadar Allah terlaksana dengan qudrat dan iradat Allah Yang Maha Bijaksana.Apa yang berlaku sebenarnya telah ditetapkan sejak azali dan kesemuanya berada dalam ilmu Allah Yang Maha Mendalam lagi Maha Luas.
Perlu diinsafi bahawa ketetapan dan taqdir Allah SWT ke atas segala makhlukNya terbahagi kepada dua bentuk :
i           Segala yang dicipta oleh Allah adalah berada di bawah ketentuan Allah secara langsung tanpa ada usaha dan ikhtiar atau pilihan makhlukNya (  مسير/ musayyar ) contohnya peredaran bumi,bulan,matahari dan segala planet adalah ketentuan Allah yang mutlak.
ii           Terdapat juga ketentuan Allah yang  memberi peluang kepada hamba-hambaNya untuk berusaha dan berikhtiar seperti semua perbuatan yang mengandungi niat dan tujuan tertentu.Laku perbuatan seperti ini mengandungi nilai baik buruk,pahala dosa,mulia hina,indah dan jelek.
Beriman kepada qadha` dan qadar Allah adalah salah satu rukun dan prinsip keimanan dalam Islam.Keterangan daripada Saidina Ali Kr.W. ketika menjawab soalan mengenai qadha` dan qadar Allah adalah sebagaimana berikut :
i           Ketika Allah menjadikan anda,adakah Dia menciptakan anda menurut kehendakNya atau menurut kehendak anda ?
ii           Adakah Allah menghidupkan anda menurut kehendakNya atau kehendak anda ?
iii          Adakah Allah mematikan anda menurut kehendakNya atau kehendak anda ?
iv          Setelah itu anda diperhitungkan,adakah perhitungan Allah itu menurut kehendakNya atau kehendak anda ?
  • Qadar Allah yang terlaksana ke atas setiap nafas yang dihela hendaklah diterima dengan penuh kehambaan dan ketaatan.Tidak kira hembusan nafas itu bersifat kurniaanNya atau sebaliknya.Bersifat melapangkan atau menyempitkan,bersifat mengadakan atau meniadakan.Tidak boleh dipertikaikan lagi qadar Allah ke atas setiap nafas yang dihembuskan atau nafas yang ditarik kesemuanya dalam ketetapanNya samada kita rela atau sebaliknya.Firman Allah :
 Mafhumnya : Patutkah sesudah itu mereka mencari yang lain daripada peraturan Allah ? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi,samada dengan sukarela atau pun terpaksa,dan kepadaNyalah mereka dikembalikan.( Al-Quran,Surah Ali ‘Imran ayat 83 )

Tiada ulasan: