Catatan Popular

Isnin, 7 Januari 2013

RISALAH SOAL JAWAB HAKIKAT TASAWWUF (9)


SOALAN  

Apakah syarat-syarat syeikh? 

JAWAPAN 

Golongan tasawwuf tidaklah secara membuta tuli menurut kehendak syeikh. Tetapi setiap murid yang bijak hendaklah melihat kepada tanda-tanda dan alamat yang khusus dan terang dan menggunakan akalnya untuk mengenal hakikat syeikh yang sebenar. Ibn `Ataillah al-Sakandari berkata: Janganlah kamu bersahabat dengan orang yang diri dan perkataannya tidak membantu kamu untuk menghampirkan diri kepada Allah. 

Inilah garis panduan yang dijelaskan oleh Ibn `Ataillah al-Sakandari tentang syeikh tariqat yang menjadi contoh teladan dan ikutan. Terdapat beberapa sifat syeikh yang mnejadi ikutan. Ahli tasawwuf mengatakan: Syeikh ialah seorang yang mengamalkan tariqat melalui bimbingan seorang syeikh yang telah sampai kepada Allah. Lalu meningkat daripada maqam-maqamnya yang tertentu yang bermula daripada maqam taubat ke maqam musyahadah. Setelah dia mencapai maqam yang tertinggi, dia kembali kepada amalan syariat biasa dan membimbing manusia dengan beberapa peringkat dalam tariqat, lalu dibuka kepada mereka dengan izin Allah pintu-pintu dimana mereka akan memperolehi cahaya hakikat. 

Kata sebahagian yang lain: Antara tanda seseorang syeikh ialah dia memiliki ilmu yang benar, rasaan rohani (ذوق) yang jelas, hemah yang tinggi, perawakan yang diredhai dan mata hati yang sentiasa terbuka (بصيرة). Pendapat yang lain ialah: Sesiapa yang mempunyai lima tanda ini maka ianya bukanlah syeikh yang sebenar iaitu jahil tentang agama, tidak menjaga kehormatan orang Islam, melakukan sesuatu yang tidak berfaedah, berakhlak jelek dan menurut hawa nafsu. 

Para ulama sufi telah mengarang sejumlah besar kitab yang khusus membicarakan tentang adab-adab syeikh dan sifat-sifat yang mesti ada padanya sehingga boleh dijadikan ikutan oleh para murid mereka.  

Kata Abu Madyan pula: Sesiapa yang mendakwa hampir kepada Allah tetapi tampak pada dirinya lima perkara berikut, sesungguhnya dia adalah seorang pendusta dan tidak berakal iaitu, melakukan maksiat dengan anggota badannya, melakukan bida`ah dalam ketaatan kepada Allah, haloba dengan sesuatu yang dimiliki oleh orang lain, kurang beribadah dan tidak menjaga kehormatan umat Islam mengikut yang diperintahkan oleh Allah. Oleh itu seseorang yang bersifat sebegini mesti dijauhi. 

Tiada ulasan: