Catatan Popular

Isnin, 7 Januari 2013

RISALAH SOAL JAWAB HAKIKAT TASAWWUF (11)


SOALAN                                                                                                

Apakah yang dimaksudkan dengan mujahadah? 

JAWAPAN 

Mujahadah adalah saluran terpenting bagi seorang sufi untuk mencapai tujuannya yang suci. Dengan kekuatan mujahadah ini, akan dapat menghancurkan runtunan dan pujukan nafsu dan lintasan-lintasan jahat di hati. Ibrahim bin Adham berkata: 

Seseorang itu tidak akan dapat mencapai darjat solihin melainkan ia terlebih dahulu mestilah melepasi enam halangan. Halangan pertama ialah pintu nikmat akan terkunci dan pintu kesusahan akan dibuka. Kedua, pintu kerehatan akan ditutup dan pintu usaha keras akan dibuka. Ketiga, pintu kebanggaan akan ditutup dan pintu kehinaan akan dibuka. Keempat, pintu tidur akan ditutup dan pintu berjaga malam akan dibuka. Kelima, pintu kekayaan akan ditutup dan pintu kefakiran akan dibuka. Keenam, pintu angan-angan akan ditutup dan pintu persediaan menghadapi maut akan dibuka. 

Gambaran perjalan sufi yang dijelaskan sebentar tadi adalah merupakan satu jihad yang sukar. Bahkan ia juga adalah satu langkah untuk mencapai kerehatan yang sebenar dengan ma’rifatullah. Hakikat ma’rifatullah inilah yang menjadi matlamat yang diburu oleh mukmin yang berakal di dunia ini. Tidak ada di sana yang paling tinggi, cantik, indah, bahagia dan kekal selain daripada seorang insan itu dapat mengenal Pencipta alam semesta yakni Allah. Adakah seorang insan itu akan kehilangan sesuatu lagi jika ia telah sampai ke matlamat tertinggi itu? 

Sesungguhnya bermujahadah melawan godaan nafsu adalah satu-satunya jalan bagi seorang insan itu untuk menang mengawal hawa nafsunya. Hakikat ini dijelaskan oleh firman Allah s.w.t dalam surah al-Ankabut, ayat 69 yang bermaksud: 

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”  

Seorang murid itu boleh dikatakan kuat dan mantap ma’rifahnya kepada Allah selagi dia belum dapat membebaskan dirinya daripada godaan nafsu syahwat dan keinginan nafsu jahatnya. Para sufi mengatakan bahawa jihad melawan nafsu adalah jihad akbar, kerana jihad menentang hawa nafsu ini samalah ertinya memerangi musuh yang tidak kelihatan. Ia juga dianggap satu peperangan yang sangat sukar kerana terpaksa menggunakan senjata-senjata yang luar biasa.

Tiada ulasan: