Menurut Kalam Hikmah ke 22 , Imam Ibnu Athaillah
Askandary
TIADA SATU NAFAS TERLEPAS DARIPADA KAMU
MELAINKAN DI SITU PULA ADA QADAR YANG BERLAKU DI ATAS KAMU.
Persoalan Qadar
telah disentuh pada Hikmat 3 dan kembali disentuh oleh Hikmat 30 ini. Persoalan
Qadar dibangkit semula setelah disinggung tentang permintaan atau doa yang
bermaksud tuntutan terhadap Allah s.w.t. Tuntutan-tuntutan timbul lantaran
kurang menghayati tentang Qadar. Kini kita diajak merenung perkara Qadar kepada
yang sangat halus iaitu satu nafas yang terjadi kepada kita. Kita kurang
memerhatikan tentang nafas kerana ia terjadi secara spontan, tanpa bersusah
payah dan kita anggap remeh untuk diperhatikan. Sekarang perkara yang kita
anggap remeh inilah yang hendak kita perhatikan dengan saksama. Apakah berbeza
perkara yang dianggap remeh dengan perkara yang dianggap besar dalam
perkaitannya dengan perjalanan Qadar. Kita perlu bertanya kepada diri kita
sendiri adakah setiap nafas yang kita hembuskan itu berlaku secara percuma,
tanpa perkiraan, tidak mengikut sukatan yang Allah s.w.t tentukan? Adakah
apabila kita hembuskan satu nafas hanya nafas sahaja yang berlaku atau pada
masa yang sama berbagai-bagai lagi Qadar yang terjadi? Perkara
yang dianggap kecil ini haruslah direnung dengan mendalam agar kita mendapat
pengertian tentang Qadar secara terperinci.
Nafas ialah udara yang keluar masuk pada
badan kita melalui mulut dan hidung. Satu hembusan udara yang keluar dari badan
kita dipanggil satu nafas. Nafas ini penting bagi jasmani kita. Nafas menjadi
nyawa kepada diri kita yang zahir. Penghidupan diri yang zahir diukur dengan
perjalanan nafas. Kita biasanya menyukat umur kita dengan kiraan tahun. Kita
tidak menyukat umur kita dengan kiraan bulan, apa lagi kiraan hari dan jam.
Sebenarnya sukatan yang tepat tentang umur ialah nafas. Berapa jutaan hembusan
nafas itulah umur kita.
Kita melihat Qadar sebagai ketentuan Ilahi
yang berlaku kepada kita dalam sekop yang luas. Sikap memandang Qadar secara
meluas menyebabkan kita terlindung untuk melihatnya pada setiap detik dan
setiap kejadian. Sebab itu kita sering terkeluar daripada berpegang kepada Qadar.
Andainya kita memandang hidup secara tepat iaitu dengan hitungan nafas nescaya
kita akan melihat Qadar secara halus sebagaimana halusnya kiraan nafas.
Dapatlah kita menghayati benar-benar bahawa pada setiap hembusan nafas itu
berlaku Qadar menurut ketentuan Ilahi. Jumlah udara yang keluar masuk pada
badan kita bagi setiap perjalanan nafas adalah menurut sukatan yang Allah s.w.t
tentukan. Jumlah nafas yang akan kita hembuskan juga telah ditentukan oleh
Allah s.w.t dan apabila jumlah nafas
yang telah disediakan untuk kita itu habis maka kita akan mati. Jika kita dapat
melihat perjalanan Qadar hingga kepada peringkat yang halus ini, nescaya
pandangan mata hati kita tidak akan terlepas daripada melihat Qadar pada setiap
detik dan pada setiap kejadian. Kita akan melihat bahawa jumlah air hujan yang
bertitik di atas bumbung rumah kita adalah mengikut sukatan yang telah
ditentukan Allah s.w.t. Bilangan debu yang berterbangan juga ditentukan Allah
s.w.t. Helaian rambut yang gugur dari kepala kita juga ditentukan Allah s.w.t.
Panjang, lebar dan dalam luka yang kita alami ketika berlaku kemalangan juga
ditentukan Allah s.w.t. Tidak ada satu pun yang menyimpang dari Qadar menurut
ketentuan Ilahi. Sesungguhnya Allah s.w.t, al-Latif, Maha Halus, tidak ada
sesuatu yang terkeluar daripada perkiraan dan pentadbiran-Nya. Tidak ada
sesuatu yang terlepas daripada sukatan dan timbangan-Nya. Semua makhluk
berjalan di atas landasan Qadar yang diaturkan-Nya. Sesungguhnya Allah s.w.t
tidak sekali-kali lalai, tidur atau keliru. Apa yang Dia tentukan itulah yang
berlaku. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, tidak ada yang sumbang pada
penciptaan dan perjalanan penciptaan-Nya.
Tiada sesuatupun
dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang
menguasainya.
Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 :
Surah Hud )
Tidak ada
sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri
kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami
menjadikannya; sesungguhnya mengadakan
yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. ( Ayat 22 : Surah al-Hadiid )
Allah s.w.t mengadakan ketentuan sejak azali.
Tidak ada sesiapa yang tahu tentang ketentuan Allah s.w.t. Malaikat hanya
menjalankan perintah-Nya. Apa yang pada sisi malaikat boleh diubah oleh-Nya,
tetapi apa yang pada sisi-Nya tidak pernah berubah. Malaikat menjalankan tugas
dan manusia melakukan kewajipan. Tuhan yang memiliki ketentuan yang mutlak. Doa
dan amal manusia mungkin menjadi asbab kepada berlakunya perubahan pada apa
yang berada dengan malaikat yang menjalankan tugas, jika Tuhan izinkan, tetapi
ia tidak mengubah apa yang pada sisi Tuhan. Ilmu Tuhan meliputi yang awal dan
yang akhir. Segala sesuatu telah ada pada Ilmu-Nya sebelum ia berlaku lagi.
Urusan yang demikian sangat mudah bagi Allah s.w.t. Malaikat dan manusia tidak
memiliki ilmu yang demikian. Malaikat semata-mata patuh kepada apa yang Allah
s.w.t perintahkan. Manusia pula perlu bergerak pada makamnya dan berusaha
meningkatkan perkembangan kerohaniannya sehingga dia menjadi sesuai dengan
kehendak Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan