Catatan Popular

Isnin, 7 Januari 2013

RISALAH SOAL JAWAB HAKIKAT TASAWWUF (8)


SOALAN

Bagaimana muncul perkataan sufi atau tasawwuf? 

JAWAPAN  

Di dalam buku Mengenal Ilmu Tasawwuf, dinyatakan: Hidup kerohanian semakin berkembang. Perkembangan ini dapat dikesan dari kelahiran gelaran baru mulai diperkenalkan iaitu gelaran ahli sufi. Istilah ini masih tetap mengandungi unsur kezuhudan dan iftiqar tetapi di samping itu ia mengandungi unsur yang selainnya yang merintis jalan kepada Kasf al-Haqiqah. 

Sejauh yang dapat dibuktikan oleh sumber tasawwuf bahawa gelaran ini telah lahir pada pertengahan kurun kedua hijrah. Menurut Hilyah al-Awliya’ bahawa orang yang mula-mula diberikan gelaran ahli sufi ialah Abi Hasyim al-Kufi (m. 150H) kerana cara dan perjalanan hidupnya yang mengikuti cara hidup Rasulullah s.a.w dan para sahabat, yang lebih mengutamakan cara hidup yang sangat bersahaja tidak terpengaruh dengan keseronokan dan kemewahan hidup dunia. 

Demikian juga, gelaran ini telah diberikan kepada ahli zuhud iaitu Jabir bin Hayyan dan kepada ahli zuhud di Kufah seperti Abd al-Sufi, Mansur bin Ammar. Di Basrah pula gelaran inidiberikan kepada Abu Hassan al-Basri. Penggunaan ini semakin popular seperti Malik bin Dinar, Abd al-Wahid bin Yazid dan lain-lain. Di Mesir gelaran ini mula dikenal pada akhir kurun kedua hijrah seperti yang dicatitkan oleh al-Kandi: 

Telah laihir di Iskandariah satu golongan yang menamakan dirinya ahli-ahli sufi yang menjalankan tugas Amr Makruh dan Nahy Munkar seperti yang dipercayainya. Golongan ini diketahui oleh seseorang yang bernama Abd al-Rahman al-Sufi. 

Sejalan dengan kelahiran gelaran ini, pengertian zuhud sudah merupakan suatu yang khusus sebagai salah satu daripada peringkat untuk menjadi seorang sufi. Ini dapat dikesan dari hasil-hasil karya puisi mereka seperti Rabi`ah al-Adawiyah,  Sufyan al-Thauri (160H), Abd al-Wahid bin Zaid (177H) dan Shaqiq al-Balkhi (194H). 

Perubahan idea kezuhudan dalam peringkat ini memberikan gambaran tentang zaman peralihan atau proses peralihan dari golongan atau istilah ahli zuhud kepada istilah ahli sufi. Ini dapat dijelaskan bahawa gelaran sufi atau tasawwuf dalam peringkat permulaannya ini mempunyai erti sama dengan makna kezuhudan, kefakiran dan ibadah, yang kemudiannya berkembang dari makna yang tersebut kepada makna yang lebih luas.

Tiada ulasan: