Catatan Popular

Sabtu, 25 Jun 2016

TASAWWUF MODEN FASAL 12 : AL IMAN (DARI BAB 2 BAHAGIA DAN AGAMA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA
 
Iman ertinya percaya.

Jika perkataan iman itu disendirikan, termasuklah kepadanya segala amalan yang lahir atau batin. Berkata setengah ahli fikir Islam:

"Iman itu ialah perkataan dan perbuatan (qaulun wa'amalun). Ertinya perkataan hati dan lidah dan perbuatan hati dan anggota".

Sabda Nabi saw:

Ertinya: "Iman itu lebih dari 60 ranting, yang paling tinggi ialah kalimat "Lailaha illal Lah". Dan paling rendahnya ialah membuangkan duri dari tengah jalan". (HR Bukhari, Muslim dan Abu Hurairah).

Firman Allah swt:

Ertinya: "Orang yang beriman itu ialah yang beriman dengan Allah dan RasulNya, kemudian itu tidak ada ragu-ragunya lagi, dan mereka berjihad dengan harta benda dan diri mereka sendiri pada jalan Allah. Itulah orang-orang yang benar pengakuannya". (Al-Hujarat: 15).

FirmanNya lagi:

Ertinya: "Sesungguhnya orang mukmin (yang sejati) itu ialah yang apabila disebut orang nama Allah, gementar hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, bertambah-tambahlah iman mereka, dan bertawakal mereka kepada Tuhan. Iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan menafkahkan rezeki yang Kami berikan. Itulah mukmin sejati". (Al-Anfal: 2. 3 dan 4).

FirmanNya lagi:

Ertinya: "Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah yang percaya pada Allah dan RasulNya. Kalau ada mereka pada suatu pekerjaan bersama-sama tidaklah mereka pergi saja (meninggalkan majlis) sebelum meminta izin kepadanya". (An-Nur: 62).

1. Iman Mutlak.

Adapun Iman Mutlak, atau iman semata-mata, telah termasuk juga ke dalamnya Islam. Jadi adalah iman itu lebih umum dari Islam dan lebih meliputi. Tersebut di dalam hadis sahih yang dirawikan oleh Bukhari dan Muslim bahawa seketika Rasulullah saw memberikan pengajaran Islam kepada utusan kaum Abdul Qais, baginda berkata:

"Saya suruh kamu sekalian beriman kepada Allah. Tahukah kamu bagaimana iman kepada Allah itu? Iman pada Allah ialah mengucapkan syahadah, bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruhNya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menyisihkan seperlima dari harta rampasan perang untuk dimasukkan kepada kas (baitulmal) negeri".

Di dalam hadis ini nyata maksud perkataan setengah ulamak, di antaranya Ibnu Taimiyah, bahawa tiap-tiap orang yang beriman itu adalah Islam, tetapi tidaklah tiap-tiap orang Islam itu beriman.

Terang pula bahawa erti iman dengan erti Islam jauh perbezaannya. Islam adalah bekas dari keimanan. Dalam Quran sentiasa disebut orang yang beriman dan beramal soleh. Amal soleh itulah Islam.

Bertambah nyata lagi pada suatu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dari Saidina Umar bin Khattab, bahawa seketika Jibril datang merupakan dirinya sebagai seorang lelaki, dia bertanya kepada Nabi saw:

"Apakah Islam?"

Jawab Nabi: "Islam ialah engkau ucapkan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruhNya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa bulan Ramadhan, naik haji kalau kuasa".

"Apakah Ihsan?"

"Ihsan ialah bahawa engkau beribadat kepada Allah seakan-akan engkau melihat Dia. Walaupun engkau tidak melihat Dia namun Dia melihat engkau".

Terang nyata kita lihat dari hadis ini bahawa uratnya ialah iman, pohonnya Islam, dan disiram terus supaya subur dengan ihsan. Apa sebab maka iman dikatakan uratnya? Memang kerana tidaklah orang mengerjakan amal, iaitu Islam kalau hatinya sendiri belum percaya. Maka tidak diterima Allah amal orang yang munafik, sebab hatinya sendiri tidak percaya, meskipun dia solat.

Maka supaya iman itu boleh subur dalam hati, hendaklah bersihkan hati dari sifat-sifat takabur, hasad dan mencari kemegahan.

Takabur adalah sifat Firaun yang tidak mahu menerima agama yang dibawa Nabi Musa, sebab dipandangnya Musa itu hanya seorang anak yang masih muda yang bertahun-tahun lamanya menumpang di dalam rumahnya. Takabur itu pula yang menyebabkan ramai orang yang tidak mahu percaya kepada seruan Nabi Nuh, tidak mengikuti kepercayaan Tauhid, sebab dipandangnya Nabi Nuh itu orang tidak terkenal dan dari kalangan orang yang biasa saja, pengikut-pengikutnya pun orang yang tiada harga.

Jika takabur menghalangi Firaun, hasad menghalang Iblis percaya kepada Adam. Masa seorang yang dijadikan daripada tanah hendak melebihi orang terjadi dari api. Masa orang yang baru dijadikan akan disembah oleh orang yang sekian lama menjadi penghulu malaikat lantaran tunduknya kepada Tuhan? Maka hasad itu menghabiskan amalan sebagaimana api menghabiskan kayu yang kering.

Kemegahan, kegilaan kepada pangkat yang sedang dipikul itu pula yang menghalang raja Heraculis akan beriman kepada Muhammad. Dia sudah tahu kebaikan Islam, tetapi lantaran takut pangkat dan kehormatannya akan jatuh di hadapan orang-orang besar dan rakyatnya, mundur hatinya akan mempercayai Muhammad, padahal dia telah mendapat bukti yang cukup bahawa Muhammad itu benar Nabi yang ditunggu-tunggu di akhir zaman.

Firaun, Iblis dan Heraculis itu bukanlah kekurangan penyelidikan dan pengetahuan. Mereka tahu mana yang benar dan mana yang salah, tetapi keingkaran itu sentiasa terbit kerana hawa nafsu.

Demikian pula orang Yahudi di zaman Rasulullah saw. Sebelum Muhammad diutus, mereka telah membaca di dalam Taurat, bahawa dia akan datang. Mereka kenal sebagaimana kenal akan anaknya sendiri. Tetapi setelah dia datang, mereka kafir dan menolak, lantaran hawa nafsu juga. Malah orang Nasrani berani mengubah kitab suci.

Semata-mata dengan pengetahuan saja, belum tentu orang akan beroleh keselamatan. Hendaklah ilmu itu menimbulkan percaya, percaya menimbulkan cinta, tidak diikat oleh dengki, yang dihambat oleh takabur atau hasad atau kemegahan sebagai perkataan Ibnu Ruslan:

Ertinya: "Orang yang alim kalau tidak mengamalkan ilmunya, adalah akan diazab sebelum orang yang menyembah berhala".

Untuk menjaga jangan sampai pengetahun tidak diikuti oleh cinta, yang dihambat oleh takabur,hasad, atau kemegahan itu, Rasulullah menunjukkan suatu doa demikian bunyinya:

Ertinya: "Ya Tuhanku, bahawasanya aku berlindung pada Engkau dan hati yang tiada khusyuk, dan dari Doa yang tiada didengarkan Tuhan, dan dari nafsu yang tidak mahu kenyang-kenyangnya dan dari ilmu yang tiada manafaat".

Disuruhnya juga memohonkan:

"Ya Tuhanku, bukalah pendengaran hatiku kepada ingat akan Engkau dan beri rezekilah aku dengan taat kepada Engkau dan taat kepada Rasul Engkau dan mengamalkannya sepanjang yang tersebut di dalam kitab Engkau".

Ingatlah bahawa:

"Doa itu ialah benak (otak) ibadat".

Satu golongan (firqah) dalam Islam bernaka Jahamiyah cabang dari golongan Mu'tazilah, mempunyai pendirian tersendiri di dalam perkara ini. Mereka menyangka, bahawa semata-mata dengan telah tahu saja serta dibenarkan dengan hati, meskipun tidak dikerjakan, telah boleh disebut mukmin.

Pendapat itu dibantah dengan alasan "Quran telah menyatakan bahawa orang itu belum patut disebut mukin".

Maka Jahamiyah menjawab:

"Maksud ayat ini bukan semata-mata mengatakan tidak beriman, tetapi maksudnya ialah mengatakan bahawa tidak ada pengetahuan dalam hatinya".

Tentu pendapat itu mendapat bantahan keras dari firqah yang lain, terutama dari pemegang mazhab Salaf. Kalau faham Jahamiyah yang dipakai, tentu tidak ada disiplinnya lagi, longgar saja beragama ini asal percaya, cukuplah jadi mukmin. Sebab itu Imam Al Waki Ibnul Jarrah (guru Imam Syafie), dan Imam Ahmad bin Hanbal, menghukumkan sesat faham Jahamiyah tersebut. Sebab sudah nyata bahawa ramai manusia yang mengerti bahawa kebenaran itu memang kebenaran, dan kesalahan itu memang kerana beberapa sebab. Dalam kalangan bangsa Eropah yang menjajah negeri Timur, tidak sedikit yang percaya kebenaran Islam, tetapi tak mahu memeluk Islam kerana iba pada pangkat dan malu, atau kerana dapat bisikan dari pemerintah yang lebih tinggi. Sebab itu tidaklah tiap-tiap orang yang menolak kebenaran itu tidak tahu bahawa yang ditolaknya itu benar adanya.

Sebab itu kukuhlah tegaknya pendirian yang bermula tadi. Baru sah iman kalau telah disertai amalan, dan amalan itulah Islam. Islam ertinya menurut, menyerah, bukti menyerah itu ialah amalan. Ke situlah pulangnya perkataan ulama Salaf yang mula-mula tadi, yang iman itu ialah ilmu dengan amal.

Dari yang telah tahu, tahu menimbulkan percaya, percaya menimbulkan tunduk dan menurut makna timbullah amalan yang dikerjakan oleh anggota lahir. Kalau hati telah tunduk diiringi oleh perbuatan, berhasillah apa yang dimaksud dengan iman dan Islam. Suatu perbuatan kalau tidak dikerjakan tandanya hati belum mahu. Kalau hati belum mahu tandanya syahadah yang disebut-sebut itu, hanya dari mulut saja, tidak dari hati.

Orang bertanya: "Abu Talib cukup cinta kepada Nabi Muhammad saw mengapa dia tidak masuk Islam atau mengamalkan Islam?"

Jawab: "Dia bukan cinta kepada pengajaran yang dibawa Nabi Muhammad, tetapi yang dicintainya ialah anak saudaranya yang bernama Muhammad. Yang dicintainya diri Muhammad, bukan pengajaran Muhammad. Cinta kepada diri Muhammad bukanlah jadi pangkal. Yang perlu lebih dahulu ialah cinta kepada agama yang dibawanya. Dengan sendirinya kelak, lantaran cinta kepada agama itu, akan menurut cinta kepada dirinya".

Sebab itu Abu Bakar berkata seketika Nabi Muhammad meninggal: "Barangsiapa yang mencintai Muhammad, maka Muhammad telah mati. Tetapi barangsiapa yang mencintai Allah, Allah selamanya hidup tidak mati-mati".

Abu Bakar itu sendiri, cinta kepada Nabi Muhammad adalah lantaran agama yang dibawanya, sebab itu setelah Nabi Muhammad wafat, tidaklah dia bergoncang sebagaimana goncang orang lain. Al-Quran menyaksikan kecintaan Abu Bakar itu yang setinggi-tinggi cinta dalam Islam, yang harus menjadi tujuan dan segenap orang yang hidup.

Firman Allah swt:

Ertinya: "Akan dijauhi (neraka itu) oleh orang yang paling takwa yang mengeluarkan harta-bendanya lagi menyucikan (menzakatkan). Dan tidaklah seorang juga pada sisinya nikmat (pemberian) yang meminta balasan, hanyalah semata-mata mengharapkan wajah Tuhannya Yang Maha Tinggi". (Al-Lail: 17-21).

Orang yang paling takwa di sini, kata mufassirin ialah Abu Bakar yang diberi gelaran As-Siddiq, lantaran apa saja seruan Rasulullah saw dibenarkannya.

Demikian juga Umar, Ali dan sahabat-sahabat yang lain, menurut tingkatan masing-masing.

2. Iman Kurang Dan Iman Bertambah.

Ada pun iman itu boleh bertambah-tambah besar dan kuat, dan boleh pula berkurang.

Dalilnya:

"Supaya bertambah-tambah iman serta iman-iman mereka". (Al-Fath: 4).

"Bahawasanya mereka adalah anak-anak muda yang beriman dengan Tuhan mereka dan Kami tambah akan mereka petunjuk". (Al-Kahfi: 13).

"Dan menambah Allah atas orang yang beroleh petunjuk itu akan petunjuk pula". (Maryam: 76).

"Orang yang beroleh petunjuk itu, akan menambahi Allah atas mereka petunjuk pula". (Muhammad: 17).

"Dan bertambah-tambahlah imannya orang yang beriman itu". (Muddattsir: 31).

Masih banyak lagi ayat-ayat yang lain menunjukkan bahawa iman itu tiada tetap keadaannya begitu saja, malahan boleh bertambah-tambah darjatnya dan boleh pula kurang dan hilang dari dalam hati. Tersebut di dalam surah Munafiqun:

"Demikianlah lantaran mereka dahulunya beriman, kemudian itu mereka kafir, maka dicaplah hati mereka, sedang mereka tidak sedar". (Munafiqun: 3).

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian kafir kemudian beriman lagi, kemudian kafir lagi, kemudian bertambah-tambah juga kafirnya, maka tidaklah Allah swt akan memberi ampun mereka dan tidak pula akan menunjukkan mereka jalan". (An-Nisa':137).

Setelah menyelidiki kedua ayat ini dapatlah kita pastikan bahawasanya hati itu hanya dapat membuat misalnya 100 benda, tidak dapat dilebihi dan tidak dapat pula dikurangi. Muatan yang seratus itu ialah iman dan ragu. Kalau telah dipenuhi oleh iman 25% tandanya dipenuhi oleh ragu 75%. Kalau telah ada iman 50% tentu ditempati pula oleh ragu 50%. Kalau iman cukup menjadi 100%, tentu tidak ada ragu di dalamnya lagi. Oleh sebab, hendaklah iman yang telah tumbuh di dalam hati itu dipupuk supaya subur dan bertambah, jangan dibiarkan begitu saja, takut dia menjadi lemah dan tumbang, tumbuh rumput sekelilingnya, rumput yang menyemakkan atau dialahkan limau oleh benalu.

Banyak pula alat-alat yang ditunjukkan Allah dan Rasul untuk menjaganya atau dari petunjuk ulama-ulamak yang terpandang dalam Islam. Setengah daripadanya ialah mencari teman sahabat, menjaga kecemburuan (ghairah) dalam agama, memilih pembacaan yang baik. Yang jadi tiangnya benar-benar ialah pendidikan Tuhan pula di dalam Al-Quran.

"Dan sesungguhnya telah diturunkan di dalam Kitab, bahawa apabila mendengar kamu akan ayat-ayat Allah, akan dikafiri orang akan dia dan dipermain-mainkan orang isinya. Maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sebelum mereka putar duduk pembicaraan kepada yang lain, sebab (kalau kamu duduk juga), adalah kamu termasuk golongan mereka pula". (An-Nisa': 140).

Di dalam hadis tersebut pula:

"Barangsiapa yang melihat perbuatan mungkar, hendaklah ubah dengan tangan. Kalau tak kuasa (dengan tangan), ubahlah dengan lidah. Dan kalau tak kuasa (dengan lidah), maka ubahlah dengan hati. Dan (dengan hati ini) adalah yang selemah-lemahnya iman".

Jadi hendaklah cukupkan ikhtiar supaya iman itu tidak lemah, dengan jalan menutup pintu-pintu yang boleh melemahkannya. Supaya iman itu bertambah naik, serta diterima oleh Tuhan, ulama-ulama telah menunjukkan beberapa aturan, misalnya Abdullah bin Mas'ud (sahabat Nabi), Uzaifah bin Al Yaman (sahabat Nabi), An Nakhi'y, Hassab Bari, Atha', Thaus, Mujahid bin Abdullah bin Bubarak (semuanya Tabii'n), bahawa hendaklah orang yang ingin lengkap imannya itu menyempurnakan tiga syarat:

  1. Ditasdiqkan (dibenarkan dengan hati).
  2. Diikrarkan (diakui dengan lidah).
  3. Diikuti dengan amalan.

Kalau kurang satu di antara ketiga syarat itu, tidak boleh dapat dikatakan sempurna iman itu. Kalau seseorang mengerjakan suatu amalan, sedang hatinya tidak percaya, dia boleh menjadi munafik, jatuhlah dia menjadi kafir Juhud. Mungkin dia mengerjakan, dan lidahnya pun mengakui pula, tetapi tidak diketahuinya kaifiatnya, maka ditakuti imannya itu akan jatuh kepada kesalahan. Oleh sebab itu, hendaklah dituntut segala macam ilmu yang boleh menguatkan iman.

Dengan keterangan-keterangan itu tertolak dengan sendirinya, iktiqad kepercayaan firqah Jahamiyah yang mengatakan dengan semata-mata membenarkan saja, tanpa diikuti dengan perbuatan, telah bernama mukmin. Orang itu baru mushaddiq. Seorang bernama mukmin ialah membenarkan dengan hati, mengakui dengah lidahnya dan mengikuti dengan amal.

Untuk mengetahui, atau sebagai penguji apakah iman kita bertambah atau kurang. Di dalam ayat-ayat Quran dan diiringi sabda Nabi Muhammad saw, telah diterangkan. Lebih baik banyak membaca Quran, menyelidik hadis-hadis yang berhubungan dengan perkara iman, kelak rahsia itu akan terbuka sedikit demi sedikit. Kerana sebuah ayat yang pernah kita salinkan di pasal lain, adalah ujian besar tentang darjat iman itu bila nama Tuhan tersebut dan ayatNya dibaca orang. Orang mukmin ialah orang yang gementar hatinya mendengar nama Allah dan bertambah imannya bila mendengar ayat-ayat Tuhan.

Ayat ini sudah dapat menjadi ukuran dan ujian. Adakah ketika nama Allah itu dibaca orang, hidup ingatan kita kepadaNya, serta terikat kita dengan perasaan percaya? Adakah ketika ayatNya dibaca, masuk kedalam jiwa dan meresap ke dalam hati? Kalau sudah, walaupun sedikit, tanda sudah ada bayangan iman dalam dada kita. Kalau belum tandanya belum tumbuh. Kalau hanya sebagai bayang-bayang saja, tandanya iman kita masih bayang-bayang pula.

Meskipun segala sesuatu harus dimajukan dengan fikiran dan akal, harus dimajukan pula kesucian perasaan batin. Perasaan batin itu tidak pernah bohong. Kerana kalau otak saja yang maju, hati tidak, kita pintar tetapi tak pandai menggunakan kepintaran itu untuk maslahat diri dan manusia seumumnya.

Selain dari kesudian membaca Quran, hadis Nabi, kata hikmat orang budiman, perhatikan pula alam seisinya, perhatikan manusia dengan kejadian badannya yang ajaib, perhatikan matahari yang memberi cahaya untuk manusia hidup, bulan yang timbul dan tenggelam, takjub atas kekuasaan pembikinannya. Takjub itu ialah pintu yang pertama dari iman. Di sana kelak akan datang suara dari hati kita sendiri:

Firman Allah swt:

"Ya Tuhanku, tidaklah ini Tuhan jadikan dengan percuma, amat sucilah Engkau, maka singkirkanlah kami daripada azab neraka". (Ali-Imran: 191).

Jika kita masih merasa bahawa iman kita belum sempurna, tandanya ada harapan dia akan bertambah sempurna, dan kalau kita telah merasa bahawa dia telah sempurna, itulah suatu alamat bahawa mulai saat itu iman kita telah susut dan kurang.

3. Iman Dan Cubaan.

Apakah dengan semata-mata taat mengerjakan iabadat itu saja, seseorang sudah boleh disebut mukmin? Atau apakah mentang-mentang telah meninggalkan kejahatan telah boleh disebut mukmin?

Belum! Sebab iman itu adalah kemuliaan yang mahal harganya. Tidaklah berbeza-beza seorang manusia dengan manusia yang lain pada sisi Tuhan, lantaran harta bendanya, atau lantaran pangkatnya, turunannya dan lain-lain. Yang berbeza adalah lantaran kelebihan iman. Sebab itu mesti diuji Tuhan lebih dahulu dalam dan dangkalnya iman seseorang, tulinkah atau palsu, emaskah atau kaleng (tin). Jika tidak bergeser iman dari tempatnya seketika kedatangan ujian dan cubaan, barulah boleh disebut beriman.

Kadang-kadang telah berkali-kali dia berdoa, memohon dan meminta dengan sepenuh hati kepada Tuhan. Tetapi permintaan dan doanya itu tidak juga dikabulkan Tuhan. Apakah kecewa dia lantaran belum terkabul? Atau berkecilhatikah dia?

Seorang mukmin tidak kesal dan kecewa lantaran permintaannya belum terkabul. Kerana dia tahu bahawa dirinya itu di bawah perintah dan aturan Tuhan semesta. Yang Maha Tahu mengagak menentukan, yang segala aturanNya, tidak dibuat dengan sia-sia, yang tidak mahu menganiaya hambaNya. Tetapi kalau dia membantah, terlepas dia dari darjat Ubudiyah (perhambaan) dan jatuh kepada Syaithaniyah terkutuk, yang suka sekali membantah ketentuan.

Nyata dan terang bahawa kekuatan dan kecukupan iman itu dapat dibuktikan seketika datang bala dan bencana, ujian dan cubaan.

Nabi Zakaria yang taat, pernah dipaksa oleh seorang raja yang zalim untuk menghukumkan halal barang yang diharamkan Allah, iaitu menikahi anak tiri. Zakaria tidak mahu mengubah hukum, walau bagaimanapun sehingga dia dibunuh oleh raja itu. Demikian juga anaknya Yahya, dibunuh juga sebab sikapnya yang keras mempertahankan hukum sebagaimana ayahnya. Orang yang dangkal penyelidikan tentang erti perjuangan hidup tentu akan bertanya:

"Apakah sebab Allah membiarkan saja utusan yang dipilihNya mati dibunuh orang? Mengapa tidak dipeliharaNya? Lemahkan Tuhan itu membela utusanNya?

Kita jangan menyangka bahawa Allah lemah menolong hambaNya. Teka teki hidup ini amat banyak, orang berakal mati di dalam kelaparan, orang bodoh dapat mengumpulkan harta. Pembela kebenaran terpencil di dalam hidup. Penipu menjadi kaya-raya. Orang kafir mempunyai harta benda berbidang-bidang tanah, orang Islam jadi penyapu jalan. Selidiki dahulu rahsia semua, baru ambil keputusan.

Sebelum kita tilik kesengsaraan yang ada pada kita, mari lihat sengsara yang ditanggung nabi-nabi.

Yaakub kehilangan anak iaitu Yusuf yang sangat dicintainya. Bertahun-tahun kemudian hilang pula addik Yusuf yang bernama Benyamin. Ketika anak yang kedua (Benyamin) itu hilang, lantaran ditangkap oleh wakil raja Mesir iaitu Yusuf sendiri. Yaakub tidak juga memutuskan pengharapannya dari Allah. Dia hanya menerima kejadian itu dengan pengharapan yang lebih besar:

"Moga-moga Allah mengembalikan anak-anakku itu kepadaku semuanya".

Dan katanya:

"Sabarlah yang lebih baik, dan Allah tempat meminta tolong".

Kemudian anak itu kembali semua.

Lihat Musa! Dilahirkan dalam sengsara, dikirimkan dalam sebuah peti oleh ibunya ke dalam sungai Nil. Setelah besar diutus menjadi Nabi, sekian lama menumpang di rumah ayah angkatnya, Firaun sendiri. Kemudian datang perintah bahawa ayah angkat itulah musuhnya. Pekerjaan begitu besar yang dipikulkan Allah, diri miskin, dari bangsa yang miskin pula. Menempuh perjuangan di antara kekafiran yang amat besar.

Lihat Nabi Ibrahim, cubaan apakah yang melebihi cubaan yang yang menimpa Ibrahim? Imannya diuji dengan ujian yang tidak ada tandingannya, iaitu disuruh menyembelih anak kandung sendiri.

Di situlah tersimpannya kekuatan iman, bukan pada sujud dan rukuk. Sujud dan rukuk adalah dahan yang terbit daripadanya. Dahan akan kurus, kayu akan lapuk, kalau uratnya tidak teguh ditimpa angin dan badai. Tetapi kalau tanahnya gemuk, uratnya teguh, angin badai akan menolong menguatkannya dan tidak tumbang kalau belum datang jangkanya.

Tak ubahnya meningkat cubaan iman seperti meningkat anak tangga. Tiap-tiap satu anak tangga dinaiki, datanglah pukulan dari bawah yang hebat mengenai pinggul yang mendaki itu. Kalau tangan kuat bergantung, kalau kaki tiada lemah dan akal tiada hilang, pukulan itu akan mendorong menaikkannya ke atas setingkat lagi. Tetapi kalau tangan lemah kaki tak kuat, akal hilang, fikiran kusut, pukulan itu akan meruntuhkan ke bawah. Yang kita cemaskan kalau tangga itu telah naik beberapa tingkat, jatuhnya bukan ke tangga yang di bawah kaki, tetapi langsung ke anak tangga yang paling bawah. Akan sukarlah naik kembali sebab badan telah sangat payah mungkin kaki telah patah. Tidak boleh lengah seketika meningkat, takut kekerasan pukulan menyebabkan jatuh terguling-guling ke bawah payah naik lagi.

Pukulan itu menolong yang kuat dan pukulan semacam itu juga yang menjatuhkan yang lemah. Padahal dalam hidup harus mendaki, kalau hendak menurun, kerana penurunan itu ialah dibalik pendakian.

Berkata Hasan Basri Tabi' yang masyhur:

"Seketika badan sihat dan hati senang, semua orang mengaku beriman. Tetapi setelah datang cubaan, barulah dapati diketahui benar atau tidaknya pengakuan itu. Orang yang berkehendak supaya terkabul segala permintaan itu hari ini juga tiada sabar menunggu, itulah orang yang lemah iman".

Janganlah hendak memborong dunia untuk diri sendiri. Kerana bukan kita saja hamba Allah yang mesti dicukupiNya. Dia mesti adil.

Tidak semua permintaan kita hrus dikabulkan Tuhan. Kerana Dia lebih kenal batin kita daripada kita sendiri. Seorang anak kecil belum layak diberi wang daripada kekuatan akalnya. Belum tentu bahagia yang akan didapat anak kecil lantaran semua permintaannya terkabul.

Seketika penulis tinggal di Makasar dalam tahun 1932, ada sebuah rumah bernama "Rumah 100,000", bernama demikian lantaran yang empunya rumah itu menang loteri 100,000 rupiah. Oleh kerana kemenangannya dibuatnya rumah itu. Lalu dia beristeri empat orang. Dibelinya pula sebuah kereta yang indah dan mahal. Empat tahun di belakang (dari tahun 1928 sampai 1932), wang itu habis, mobil terjual, isteri keempat-empatnya lari, dan rumah itu terjual kepada seorang Tionghua, dan si pemenang loteri 100,000 itu kembali kepada keadaannya empat tahun yang lalu. Hutangnya 55 sen pada sebuah toko dalam tahun 1928 sampai tahun 1932 itu belum juga terbayar. Di rumah itu masih tertulis 'Anno 1928' dan dinamai orang Rumah Seratus Ribu".

Wang itu tidak mahal baginya, sebab didapatnya tidak dengan keringat mengalir. Persediaan sipemilik wang itu pun tidak ada.

Makhluk minta kepada Allah supaya diberi rezeki, telah diberi. Dia pula yang tak pandai menggunakan. Siapa yang salah?

Sebelum ada kekayaan, orang pandai menggunakan wang yang belum ada itu dalam khayal. Setelah ada kekayaah, hilanglah akal, ke mana gerangan dipergunakan.

Hal ini bolehlah jadi iktibar.

4. Bersusah Hati Kerana Sengsara Dan Banyak Penderitaan.

Manakah yang besar penderitaan kita dengan penderitaan Nabi Adam? Yang di dalam syurga bersenang-senang dengan isterinya, lalu disuruh keluar. Manakah yang susah penderitaan kita dengan penderitaan Nabi Nuh, yang menyeru umat kepada Islam, padahal anaknya sendiri tidak mahu mengikuti? Sehingga seketika disuruh Tuhan segala ahli kerabatnya naik perahu, anak itu tidak ikut. Malah sama karam dengan orang rami di dalam gulungan banjir. Di hadapan matanya! Kemudian datang pula vonis (ketetapan) Tuhan bahawa anak itu bukan keluarganya.

Pernahkah kita lihat cubaan serupa yang ditanggung Ibrahim? Disuruh menyembelih anak untuk ujian, ke manakah dia lebih cinta, kepada Tuhannya kah atau kepada anaknya?

Yaakub dipisahkan dari anaknya Yusuf.

Yusuf diperdayakan seorang perempuan.

Ayub ditimpa penyakit yang parah.

Daud dan Sulaiman kena bermacam-macam fitnah. Demikian juga Zakaria dan Yahya. Yang memberikan jiwa mereka untuk korban keyakinan. Isa Al-Masih pun demikian pula. Muhammad lebih-lebih lagi.

Pernahkah mereka mengeluh?

Tidak, kerana mereka yakin bahawa kepercayaan kepada Tuhan menghendaki perjuangan dan keteguhan. Mereka tidak menuntut kemenangan lahir. Sebab mereka menang terus.

Mereka memikul beban seberat itu, menjadi Rasul Allah, memikul perintah Tuhan kerana mencintai manusia. Sebab itu mereka tempuh kesusahan, pertama membuktikan cinta akan Tuhan, kedua menggembeleng (mengekang) batin, ketiga kerana rahim yang sayang dan segenap umat.

Apakah lagi yang akan kita keluhkan lantaran cubaan? Sehingga manakah baru darjat kita, dibandingkan dengan nabi-nabi?

Mari kita tempuh liku-liku hidup, mari kita berjuang!
Mari kita bersabar, bertawakal dan berani!
Menurut contoh para Nabi.

Tiada ulasan: