Catatan Popular

Sabtu, 25 Jun 2016

TASAWWUF MODEN FASAL 22 : ISLAM DAN KEMAJUAN (DARI BAB 2 BAHAGIA DAN AGAMA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA

Tabiat manusia sentiasa suka kepada kelebihan yang ada pada dirinya sendiri, kelebihan badan kasar, keindahan atau kecantikan tubuh, dan berusaha menolak segala bahaya yang akan menimpa dirinya. Pada dirinya ada 'kekuatan'. Dengan kekuatan itulah segala yang dicita-citakan akan dicapainya dan segala yang dibenci dijauhinya. Dengan cara demikian kehidupan menusia itu mengalami kemajuan, sehingga bangsa manusia tampil ke muka dan tidak perna mundur ke belakang.

Meskipun kemajuan tidak boleh ditahan. Tetapi ada kalanya orang takut pada kemajuan itu, lalu mencuba menahan kemajuan itu, mencuba menghambat air yang hendak mengalir ke lautan. Mereka tidak memegang ubun-ubun bangsa dan mesti ikut segala aturan yang mereka buat menurut kehendak mereka. Mereka takut kalau manusia beroleh kebebasan akan terlepas dari cengkeramnya. Sebab itulah mereka perbuat bermacam aturan-aturan dan undang-undang, mengatakan bahawa orang yang mencari kebahagiaan dalam dunia adalah sesat, orang yang tertipu oleh hawa nafsu. Mereka adakan pelajaran-pelajaran zuhud, membenci dunia, padahal mereka masih hidup dlam dunia, tidak peduli akan keadaan sekelilingnya atau di dalam alam sekalian. Sehingga kelihatan tiap-tiap orang yang telah berpegang dengan agama menjadi orang bodoh, dungu, tidak teratur pakaian dan kediamannya, tersisih dalam pergaulan. Padahal bukan begitu hakikat pelajaran agama yang hanya bikinan sempit faham kepala-kepala agama sahaja.

Banyak bangsa-bangsa yang dapat pelajaran agama seperti itu hingga jatuhlah darjat mereka sampai ke kuruk tanah, lemah dan tertindas di dunia, tidak maju ke muka, tetapi surut ke belakang. Sehingga terbit persangkaan bahawa segala ibadat itu, ialah menjauhi kesenangan badan kasar. Lantaran itu kalahlah fikiran dan akal, dikalah oleh ragu-ragu dan syak wasangka, berlawan hukum agama dengan kukum kehidupan. Kepala-kepala agama memegang teguh pendirian ini tidak mahu berkisar. Tidak mahu melepaskan kuduk manusia dari pengaruh dan cengkeramannya. Sebab itu terjadilah perang di antara ilmu pengetahuan dengan agama, agama mengatakan ilmu itu kafir, sedang kaum ilmuan mengatakan agama itu kebodohan. Perang yang tidak henti-hentinya berlangsung terus, sulit didamaikan.

Islam membantah dan menentang segala teori bbuatan kepala-kepala agama itu. Dengan bukti cukup ditunjukkannya bahawa agama bukan musuh pengetahuan, bahkan agamalah penuntun ilmu menempu tujuan untuk perdamaian segala bangsa.

Allah berfirman:

Ertinya: "Katakan Muahammad, siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah Yang dikeluarkanNya untuk hambaNya, dan siapakah yang menolak rezeki yang baik-baik?" (Al-A'raf: 32).

Firman Allah swt:

Ertinya: "Ya Allah, berilah kami keselamatan di dunia dan beri pula kami keselamatan dikhirat, jauhkan kami daripada azab neraka". (Al-Baqarah: 201).

FirmanNya lagi:

Ertinya: "Dan dikatakan kepada orang-orang yang takwa" Apakah yang diturunkan Tuhanmu? Mereka menjawa b: Ialah kebaikan, iaitu untuk orang yang berbuat baik seketika di dunia dengan suatu kebaikan, dan hidup di akhirat itu adalah lebih baik lagi. Di sanalah seindah-indah tempat bagi orang yang takwa". (An-Nahl: 30).

Kerana kemajuan tidak akan tercapai dengan tiada ilmu, maka beratus ayat Quran dan beratus hadis menyerukan manusia menuntut ilmu. Apa saja macamnya, ilmu dunia dan akhirat, ilmu agama dan duniawi, ilmu alam, ilmu bintang, ilmu membuat kapal, membuat mesin, membuat kapal udara, membuat roket angkasa luar, membuat radio, membuat televisyen, membuat litrik, memperbaharui model alat perang dan seterusnya.

Semuanya dianjurkan di dalam Al-Quran, bukan dilarang. Islam tidak hanya mengajarkan ilmu-ilmu agama, seperti soal istinjak, rukun bersuci, ilmu hadis, fiqah dan sebaginya.

Doa seindah-indahnya di dalam Al-Quran dalam perkara menuntut ilmu ialah:

"Katakanlah: Ya Allah, tambahilah aku ilmu". (Thoha: 114).

Tiada ulasan: