Catatan Popular

Sabtu, 25 Jun 2016

TASAWWUF MODEN FASAL 8 : SEBAB-SEBAB YANG MEMBAWA BAHAGIA (DARI BAB 1 BERBAGAI PENDAPAT TENTANG BAHAGIA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Kalau manusia tahu sebab-sebab yang membawanya jatuh ke dalam jurang kesesatan serta dijauhinya sebab-sebab kejatuhan itu tentu dia tidak akan terjatuh. Kalau orang arif tentang sebab-sebab kemalangan dan kerugian, serta menyingkirkan jalan yang membawa rugi dan malang itu, tentu orang tidak akan rugi dan tidak akan malang dengan sengaja.

Cuba perhatikan pengaruh mulut manis dan muka jernih untuk menakluk hati anak Adam. Tetapi orang yang besar mulut lagi sombong, mula-mula dihormati orang, tetapi beberapa saatorang lihat sikapnya, orang tahu siapa dia dan kehormatan yang akan diberikan kepadanya, dicabut kembali. Kalau si tukang omong (bicara) itu insaf akan kesalahannya, tentu diubahnya sikapnya dan dia dapat merebut kedudukannya kembali di dalam masyarakat yang hendak menyisihkannya itu.

Mula-mula orang tidak perhatikan ular kecil lantaran kecilnya. Tetapi kalau satu kali dia telah mematuk tangan orang dan meludahkan racunnya, barulah orang sibuk memperkatakan ular, barulah orang takut dan menyingkirkan diri. Demikian pulalah manusia, untuk baik dan buruknya, jaya dan celakanya, mulia dan hinanya, jadi garam masyarakat atau tersisih dalam pergaulan hidup. Dalam peredaran dan perputaran roda itulah mereka menempuh nasib malang atau mujur.

Dalam menempuh hidup, hanya dua itulah yang sentiasa menunggu kita, iaitu malang atau mujur. Semua orang ingin mujur dan takut mendapat kemalangan. Sebab itu dengan segenap kekuatan dia berusaha menyingkirkan kemalangan dan mengejarkan kemujuran. Hendaklah terhindar sama sekali dari kemalangan, tentu tidak boleh, tetapi menggosok dan menghias diri, mencukpkan bekal, adalah kewajipan kita semua. Sebab kemanusiaanyang ada pada diri kita itu adalah laksana berlian. Siapa pandai menggosok, akan bercahayalah dirinya dan kalau tidak digosok, tidaklah timbul cahayanya, hilanglah kilatnya, dibungkus oleh kulit yang tebal, kadang-kadang rosak binasa dan hilang tidak tentu di mana tercicirnya.

Apakah orang mengira jika terjadi peperangan antara suatu bangsa dengan bangsa yang lain, terjadi pembunuhan dan pertempuran ngeri, lempar melemparkan bom, runtuh-meruntuhkan, hancur-menghancurkan negeri, patah-mematahkan jambatan perhubungan, apakah orang mengira bahawa peperangan itu hanya semata-mata keinginan hendak mengacaukan keamanan dunia? Tidak! Bukan peperangan yang jadi tujuan, bukan kerosakan yang jadi cita-cita. Bahkan semua orang yang berperang tahu bahawa perbuatannya, ngeri, kejam. Tetapi kerana ada dibalik itu yang mereka tuju, lupalah mereka kerosakan itu. Yang mereka tuju ialah akibat sesudah perang, menang atau kalah! Mujur atau malang.

Jika menang beroleh kemuliaan, jika kalah bangsa pun hina!.

Demikianlah adanya hidup ini. Hidup adalah peperangan yang hebat, lagi kejam dan sakit. Di antara pihak bala tentera yang bernama diri dengan sepihak lagi yang bernama nasib.

Peperangan itu tidak pernah berhenti, dan selama-lamanya tidak akan berhenti, selama nafas masih dalam badan, selama matahari masih dihirup cahayanya, sampai langit digulung dan bumi dibelah, sampai kepada saat manusia yang akhirnya sekali hidup dalam alam ini.

Jika manusia yang datang kemudian memperhatikan dengan saksama sebab-sebab kekalahan atau kekenangan nenek moyangnya yang terdahulu, yakni kemenangan tentera manusia menghadapi nasibnya, sehingga manusia kalah atau menang, tentu akan disingkirinya jalan yang berbahaya, yang akan menyebabkan dia terkepung. Tentu akan ditempuhnya jalan yang selamat sejahtera, yang akan menyebabkan menang.

Ada orang yang berkata bahawa pengalaman dan penderitaan hidup itu sangat penting di dalam menuju bahagia. Tetapi kita berpendapat lain. Kalau hanya dengan pengalaman saja,tentu umur akan habis sebab pengalaman itu kian banyak berbeza, pengalaman kelmarin tidak ada lagi sekarang, begitu pun nanti. Usia pun habislah sebelum pengalaman cukup, rahmat dan ketenteraman tentu tidak akan terdapat, sehingga bahagia hanya jadi kenang-kenangan saja.

Tidaklah mesti seorang saudagar menempuh rugi dahulu baru dia tahu rahsia keuntungan kelak. Itu terlalu jauh!

Tidak mesti seorang nakhoda mengaramkan kapalnya yang pertama lebih dahulu, baru dia tahu rahsia pelayaran. Ya, kalau si saudagar masih panjang umur dan si nakhoda masih boleh hidup! Kalau tidak arang habis besi binasa, tukang menghembus payah saja.

Kalau hanya sekolah dengan pengalaman saja, wang sekolah dibayar terlalu mahal, dan belum tentu akan lulus dalam ujian. Apalagi sekolah kehidupan tidak dapat ditentukan bila tamat kelasnya, putik kelapa jatuh juga, yang muda pun jatuh dan yang tua lebih lagi, masanya tidak dapat ditentukan.

Meskipun kita akui adanya pengalaman, tetapi bukanlah itu yang terpenting, pengalaman adalah sebagai langkah yang pertama. Ada pun pelajaran hidup yang kedua ialah memperhatikan alam. Alam adalah laksana sebuah kitab besar yang terhampar di muka kita, di dalamnya tertulis perjuangan hayat yang telah ditempuh lebih dahulu oleh orang lain. Di situ dapat kita tilik bagaimana orang lain telah sukses, telah mujur dan bahagia, dan dapat pula kita lihat mereka jatuh, tersungkur, ada yang tak bangun lagi, ada yang menyesal selama-lamanya. Kita dengar pekik orang yang kesakitan, maka kita tanyakan kepadanya apa sebab dia jatuh, setelah tahu kita lalu lagi di jalan yang pernah dilaluinya. Semuanya itu kita pelajari dengan saksama dari kitab yang terbentang itu. Itulah rahsia perkataan raja dari segala pujangga dunia. Nabi Muhammad saw, mengambil iktibar dari kejadian orang lain itu adalah jalan beroleh bahagia.

Di dalam hidup bermasyarakat, adalah beberapa undang-undang yang harus dijaga dan diperhatikan. Ada yang berhubungan dengan kesihatan tubuh, dengan keberesan akal dan yang berhubung dengan kemuliaan budi. Di samping itu pula yang tertentu untuk menjaga kemenangan dan kebahagiaan. Semua pokok undang-undang yang mesti dijalankan itu adalah buah perjalanan hidup manusia sejak dunia terkembang, ditambah, pimpinan dari alam ghaib. Kalau segala peraturan itu dijaga, dipelajari dan dijalankan, hiduplah manusia dalam hikmat Tuhan, dianugerahkanNya, dan barangsiapa yang beroleh hikmat itu, bererti dia telah mendapat perolehan yang amat banyak.

Cubalah perhatikan seorang puteri rupawan yang halus budi sedang asyik memelihara bunga. Dipetiknya bunga itu dari kebun dan dipindahkan ke atas mejanya. Ditukarnya air bunga itu setiap pagi dan petang, dipelihara, dicium dan dipandangnya dengan berahi dan cinta, sampai bunga itu layu, kelopaknya jatuh dan tiap-tiap lembaran kembang itu luruh sehela demi sehelai.

Alam ini laksana kebun bunga itu. Bunga-bunga yang ada di dalamnya ialah perjalanan kehidupan manusia. Kita cium setiap hari untuk dinikmati sendiri, yang busuk kita jauhi, durinya kita awasi, baunya dicium juga. Sebab memetik bunga dan menghindarkan durinya itu, kita merasai lazat cita tenteram.

"Pulanglah kapal dari Makkah
penuh muatan orang haji
awas-awas adik melangkah
memetik bunga dalam duri".

"Jika pandai meniti buih, selamat badan ke seberang".

Tiada ulasan: