Catatan Popular

Sabtu, 25 Jun 2016

TASAWWUF MODEN FASAL 13 : ERTI AGAMA (DARI BAB 2 BAHAGIA DAN AGAMA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA
 
Ad-din, diertikan dalam bahasa kita agama, atau igama, Ad-din itu sendiri menurut ertinya yang asli ialah menyembah, menundukkan diri, atau memuja. Tetapi agama itu telah umum dalam bahasa kita. Agama itu sendiri menurut bahasa terambil juga dari bahasa Arab, iaitu iqamah ertinya pendirian. Menurut kata setengah pula, diambil dari bahasa Sansekerta, yang ertinya A = tidak, gama = benda.

Agama ialah buah atau hasil kepercayaan dalam hati, iaitu ibadat yang terbit lantaran telah ada iktiqad lebih dahulu, menurut dan patuh kerana iman. Tidaklah timbul ibadat kalau tidak ada rashdiq dan tidak terbit patuh (khudu') kalau tidak dari taat yang terbit lantaran telah ada tashdiqq (membenarkan), atau iman. Sebab itulah kita katakan bahawa agama itu hasil, buah atau hujung dari iktikad, tashdiq dan iman. Bertambah kuat iman, bertambah teguh agama, bertambah tinggi keyakinan, ibadat bertambah bersih. Kalau agama seseorang tidak kuat, tidak sungguh dia mengerjakan, tandanya imannya, iktikadnya dan keyakinannya belum kuat pula. Kalau seseorang mengerjakan agama kerana pusaka, turunan atau lantaran segan kepada guru, bila tempat segan, takut dan guru itu tidak ada lagi, hilanglah agamanya itu dari dirinya.

Menurut Taghib Al Ashfahani dalam kitabnya "Gharibul Quran":

"Agama itu diuntukkan bagi taat dan pahala, dipakai juga untuk menamai syariat, dan dipakaikan pula untuk metundukan dan kepatuhan menurutkan perintah syariat".

1. Hubungan Agama Dengan Iman.

Sebagian filosof Islam berkata:

"Iman itu meskipun bermacam-macam rupanya, namun pertaliannya dengan agama kuat sekali, bahkan tidaklah ada agama kalau tidak ada iman, padahal iman boleh ada meskipun agama tidak ada. Ibarat segala barang yang ada ini, meskipun rupaya berbeza-beza dan bentuknya tidak sama, wujudnya hanya satu. Maka agama dengan iman itu demikian juga, jauharnya satu, meskipun berbeza-beza bentuk dan rupanya".

Kalau kita perhatikan hadis Nabi tentang pertanyaan Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad saw, tentang erti Islam, iman dan ihsan, bagaimana Nabi berkata setelah Jibril ghaib dari mata sahabat-sahabatnya:

"Itulah malaikat Jibril yang datang kepada kamu hendak mengajarkan agama kamu".

Nyatalah bahawa jauharnya satu juga, meskipun berbeza-beza bentuk agama iman dan ihsan itu.

2. Iman Pada Adanya Tuhan.

Kehidupan ini membuktikan bahawa Tuhan Allah ada.

Dengan perantaraan alat yang bernama mikroskop, teleskop dan lain alat pembesaran, orang dapat melihat tubuh yang halus, yang dibesarkan beribu-ribu kali. Mereka dapat meyakinkan bahawa pada tubuh yang kasar dan hidup ini ada benda yang sangat halus, sel namanya. Orang Arab menamainya jauhar, yang sangat kecil, lunak, tidak mempunyai warna, bentuknya serupa telur. Barang itu telah lama sekali diperhatikan, diselidiki dengan sangat hati-hati. Alat pembesaran itu dibuat lebih sempurna dan lebih membesarkan, kenyataan bahawa sel itu tidak mempunyai anggota, tidak mempunyai alat, rupanya dan bentuknya sama saja, walau yang lekat pada manusia dan binatang, atau yang lekat pada tumbuh-tumbuhan.

Sejak dari yang ada pada hujung daun, sampai kepada yang ada dalam otak manusia. Orang telah melihat bahawa barang halus itu sentiasa bergerak, tidak berhenti walau sesat. Dijalarinya juga zat-zat yang tidak hidup yang ada di kelilingnya, sehingga lama-lama barang yang tidak hidup itu menaruh kehidupan pula, kehidupan ajaib, yang belum dapat diselami rahsianya oleh ilmu pengetahuan. Kemudian terjadilah beberapa tali yang keras, urat-urat atau tulang. Kalau telah berupa tulang, tidak akan jadi daging, atau sebaliknya. Mana yang menjadi daun, tidak dapat lagi menjadi buah, mana yang teruntuk jadi bunga, tidak akan jadi urat dan seterusnya.

Segala sifat yang terjadi itu berbeza-beza bentuknya, jadi daun, buah, daging, tulang, urat dan jadi bunga, padahal asalnya cuma dari zat yang satu, serupa saja pada asalnya, hanya satu, dan tidak pernah salah.

Setelah segala tubuh itu dijadikannya tidaklah dia terpisah daripadanya, tetapi tubuh itu sendiri telah menjadi beberapa bagian, ada yang jadi daging, jadi tulang, jadi daun dan jadi buah. Sehingga kelihatan bahawa zat yang kecil-kecil tadi tersiar di seluruh tubuh, sehingga meskipun diambil bagian yang terkecil dan dibagi sampai 50 kali, namun tubuh halus itu masih ada di sana. Ahli-ahli telah menetapkan bahawa zat halus itu mempunyai kehidupan.

Timbul pertanyaan:

Dari manakah zat halus itu beroleh kehidupan? Menapa dia boleh hidup dengan barang yang di sekelilingnya? Mengapa kemudiannya zat halus itu boleh pula terbagi menjadi beberapa bagian yang sangat banyak? Tiap-tiap bagian yang mendatang kemudian itu kekuatannya sama juga dengan kekuatan zat yang pertama? Mengapa pekerjaannya membuat daun, buah, daging dan tulang itu selalu beres?

Di sini mulai orang menggelengkan kepala, mulai mereka tertumbuk kepada suatu yang kuat iaitu: Kami belum tahu belum dapat diberi kepastian apakah ertinya hidup itu, hanya dipunyai oleh suatu zat saja kerana kadang-kadang kelihatan bahawa hidup itu hanya barang yang datang berdiam dan lekas pergi dari zat, tetapi kadang-kadang tampak bahawa hidup itu sama terjadi dengan zat.

Di sini setelah segala yang halus-halus itu diselidiki mulai timbul pertanyaa, terutama oleh orang yang bukan kepalang pintar, bahawanya kejadian ajaib ini, tentu tidak terjadi kebetulan saja, dan mesti begitu saja. Bagaimana terjadinya dan siapa yang menjadikannya? Apa dari mana datangnya hidup itu? Apakah terjadi dengan sendirinya? Orang yang melihat pameran memperhatikan mesin-mesin baru, berbeza sifat-sifatnya dan berbeza kekuatannya. Satu mesin mengupas padi, menyaring dan menjadikannya beras, dan mesin yang lain lagi menjadikannya tepung. Mesin yang satu lagi boleh menganth tembakau. Yang lain mencetak, menggunting, melipat dan mengatur surat-khabar. Seketika orang tercengang dan berkata dalam hatinya. Alangkah pintarnya manusia yang memiliki kepandaian membuat mesin ini.

Baik! Sekarang kalau dikatakan orang bahawa ada suatu mesin baru, hirup apinya dari gas yang dikorek sendiri oleh mesin itu ke dalam tanah, dan air yang perlu teralir dan badannya dijemputnya sendiri ke dalam sungai, sehingga air itu masak lantarannya dinyalakan api, dan api itu menjadi asap, kemudian dia bergerak sendirinya, dia sendiri pula yang pergi menjemput gandum yang sedang terlonggok di sawah, ada pula perkakas yang akan memotong dari tangkainya lantas berputar pula sendirinya, sehingga gandum itu tertanam dengan kekuatan mesin, terkupas dengan kekuatan mesin, atau kertas itu tercetak dengan kekuatan mesin, tidak dari pendapat manusia dan tidak pula ikut campur tangan manusia. Kalau ada orang menceritakan bahawa ada mesin bernyawa begitu, bagaimanakah kata yang mendengar.

Orang mengatakan tukang kabar itu pendusta, tidak masuk akal dan fikiran! hanya orang-orang yang dipengaruhi dongeng agaknya yang akan tertarikh dengan kabar ganjil itu.

Memang tidak ada mesin seganjil itu, tidak dicampuri akal dan fikiran, tidak dicampuri pendapat manusia dan tangan manusia. Tidak masuk akal satu mesin terjadi sendiri dan menciptakan diri sendiri.

Bagaimana dengan barang atau binatang hidup yang kita namai sel, atom atau elektron bernyawa yang sangat kecil itu? Yang kalau dikumpulkan barang seribu ekor belum sampai besar hujung jarum. Para ahli dan orang-orang pintar menyelidiki dan telah tahu bahawa dia bernyawa dan boleh memindahkan hidup kepada barang yang tak bernyawa di sekelilingnya. Meskipun kecil, kalau ditilik dengan alat, kelihatan sebagai hutan lebat layaknya. Sehingga manusia tercengang melihatnya.

Apakah mengenai soal kecil ini, kita akan memutuskan saja bahawa dia terjadi sendiri, secara tiba-tiba kerana demikian kehendak alam? Sedang mesin yang bekerja sendiri, atau kapal belayar sendiri, mustahil? Kalau alam kuasa mengadakan barang kecil secara tiba-tiba, mengapa tidak kuasa mengadakan barang besar?

Kenapa kepada benda kecil itu kita mengambil misal? Sedang yang besar, yang terbentang di hadapan mata tak jadi perhatian?

Orang memandang basi dan lapuk kalau kita mencari misal dari binatang-binatang yang kasar, dari manusia yang matanya selalu dapat melihat. Mata yang jernih bercahaya, kenapa dapat melihat? Telinga, mengapa dia mendengar? Beribu, beratus-ribu ahli-ahli menciptakan mesin baru. Kalau diselidiki hasil ciptaan itu bukan dari fikiran sendiri, tetapi segala pendapat itu telah begitu mestinya, mereka hanya membuka rahsianya. Suruh bikinlah suatu mata atau telinga! Mereka dapat meniru bentuk, tetapi tak kuasa membuat khasiatnya! Semua akan menjawab" "Tak sanggup!".

3. Kami Tak Kuasa.

Tidak hairan, kerana manusia hanya dapat mencari rahsia barang yang telah ada, tetapi tersembunyi. Mereka tidak kuasa membuat mata yang pandai melihat dan telingan yang pandai mendengar. Demikian juga tidak kuasa memutuskan bahawa atom dan sel kecil-kecil itu terjadi sendirinya.

Kalau rahsia apa sebab mata boleh melihat telah diketahui, dan diakui manusia tidak boleh meniru kalau rasia apa sebab telinga boleh mendengar dapat diketahui, dan diakui oleh manusia, dan telah yakin bahawa ada yang mengatur menjadikan, iaitu kehendak tabiat, kehendak alam dan lain-lain sebagainya. Apakah sebab tabiat dan alam itu sendiri, langit dan bumi akan ditumbuhkan juga kepada kejadian tiba-tiba? Kenapa kebetulan.

Segala sesuatu terjadi tiba-tiba, dan tiba-tiba itu dijadikan oleh tiba-tiba pula, maka timbul pertanyaan: Mengapa rentetan tiba-tiba itu beraturan? Apakah teratur itu pun suatu tiba-tiba?

Apakah sampai di sana hujungnya lari daripada Tuhan?

"Wahai manusia! Diperbuat Allah beberapa misalm hendaklah kamu dengarkan. Sesungguhnya yang kamu seru selain dari Allah itu, tidaklah kuasa membuat lalat, meskipun mereka berbincang untuk itu. Dan kalau lalat itu sendiri merampas barang sesuatu dari diri mereka, tidaklah dapat mereka merebutnya kembali, lemah yang menuntut dan lemah pula yang dituntut. Tidaklah mereka dapat menaksir Allah dengan sempurna taksiran, sesungguhnya Allah Maha Kuat dan Maha Kuasa". (Hajj: 73-74).

Kesimpulan:

Segala alam ini ada yang menjadikan, kehidupan itu terjadi dengan tiba-tiba, tetapi ada yang menjadikan. Perkataan itu bukan hanya buatan manusia. Dibikin-bikin oleh ahli-ahli agama, seperti tuduhan sebagian ahli falsafah, tetapi memang sudah begitu jadinya, memang sudah kebetulan dan dijadikan oleh Yang Maha Menjadikan tiba-tiba.

Tiada ulasan: