AL IMAM AL
ARIFBILLAH ABU NAJIB DHIYAUDDIN AS SUHRAWARDY [PENDIRI TAREKAT
SUHRAWARDIYAH]
Ketahuilah bahawa mazhab ahli sufi
mengandungi disiplin yang lahir dan batin. Disiplin lahir mazhab sufi ialah
beradab sopan dengan makhuk, manakala disiplin batinnya ialah munazalah
(mempraktis) segala ahwal dan maqam dengan ALLAH Taala, perhatikanlah sabda
Baginda Sidnan Nabi ketikamana melihat orang bermain-main dalam solatnya :
Jika hatinya khusyuk sudah tentu anggota lahirnya
turut khusyuk. - Al-jami'us Saghir
Sidi Al-Junaid Al-Baghdadi berkata kepada
Sidi Abi Hafs Al-Haddad rahimahum ALLAH : "Tuan telah mendidik anak murid
dengan peradaban raja-raja", maka dibalas oleh Sidi Abi Hafs : "Bukan
itu tujuanku wahai Abal Qasim, namun elok pekerti yang zahir adalah tanda
eloknya pekerti batin". Sidi As-Sirriy As-Saqti 2 r.h pula berkata :
"Keelokan adab (budi pekerti) merupakan terjemahan dari akal yang
sejahtera".
Dikalangan ahli sufi menjaga adab
sesama ahli lebih utama dari pekerjaan lain. Ini sesuai dengan apa yang
difirmankan ALLAH Taala ketika memuji para rijalNya :
Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di
sisi Saiyidina Rasulullah mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati
mereka oleh ALLAH untuk bertaawa. Bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.
-Surah Al-Hujurat : 3
Sidi Abu Abdullah bin Khafif 3
meriwayatkan dari Sidi Ruwaim 4 yang berkata kepadanya : "Hai anakku,
jadikanlah ilmumu ibarat garam dan jadikan adabmu umpama tepung."
Ulama sufi berkata :
■ "Tasawuf itu semuanya adab ; tiap waktu ada
adabnya yang khusus, tiap keadaan ada adabnya yang khusus, tiap maqam ada
adabnya yang khusus. Barang siapa berpegang teguh dengan adab dia akan mencapai
darjat para rijal. Siapa yang mengabaikan adab dia adalah jauh walau menyangka
dekat, dia adalah tertolak walau mengharap diterima".
■ "Barangsiapa tidak beradab haramlah baginya
tiap kebaikan".
■ "Siapa yang tidak beradab dengan masa, masanya
adalah kecelakaan".
■ "Adabnya jiwa ialah engkau mengenalkan dan
mendorongnya membuat kebajikan,
adabnya jiwa ialah engkau mengenalkan dan mencegahnya
dari membuat kejahatan".
■ "Adab merupakan sandaran para faqir dan
perhiasan orang kaya".
Dalam hal adab kesopanan ini manusia
terbahagi kepada tiga tingkatan ; tingkatan
pertama ahli dunia, tingkatan kedua
ahli agama, manakala tingkatan teratas ialah golongan istimewa dikalangan ahli
agama. Pada tingkatan ahli dunia majoriti adab sopan mereka ialah tentang
kefasihan bahasa dan sastera menghafaz ilmu, sejarah raja-raja dan syair-syair
Arab.
Pada tingkatan ahli agama selain
memerhatikan soal ilmu, adab sopan mereka secara majoriti ialah melatih jiwa,
menjaga kesopanan anggota lahir, membaiki tabiat, mematuhi aturan, meninggalkan
syahwat, menjauhi yang syubhat serta segera melakukan kebajikan. Manakala
tingkatan istimewa dikalangan ahli agama pula adab kesopanan mereka ialah pada
memelihara keelokan hati, menyimpan rahsia, seterusnya keadaan zahir dan batin
yang tidak berbeza.
Dikalangan murid, mereka bersaing
dengan amal ketaatan, golongan pertengahan
bersaing dengan adab kesopanan,
manakala golongan arifin mereka bersaing dengan al-himmah (jiwa besar).
Definisi himmah antaranya ialah : perasaan positif yang mendorong jiwa untuk
mencapai ketinggian. Kerana itulah harga diri seseorang diukur pada jiwa
besarnya.
Sidi Abu Bakar Al-Wasithi telah ditanya mengenai Sidi Malik bin Dinar , Sidi Daud At- Tha'iy , Sidi Muhammad bin Wasi' dan kalangan ahli
ibadah yang lainnya, maka jawab Sidi Abu Bakar : "Mereka adalah satu kaum
yang telah keluar dari diri mereka untuk masuk kedalam diri mereka jua ; mereka
meninggalkan nikmat sementara untuk mendapat nikmat yang abadi, (mereka
meninggalkan makhluk yang dicipta) demi menuju Tuhan Al Khaliq yang menciptakan
sirna dan keabadian".
Sidi Junaid Al Baghdadi telah
ditanya mengenai firman ALLAH Taala :
Mereka tidak meminta-minta kepada orang dengan
mendesak...
- Surah Al-Baqarah : 273
Beliau menjawab : "Hemah mereka
yang tinggi itu telah menahan diri dari meminta apa-apa hajat selain kepada
ALLAH Taala."
Sidi Al-Hushri5 meriwayatkan : "Apabila
terdengar deburan api dari neraka jahannam semua manusia ketakutan, tak kira
yang mulia atau yang hina semua hanya memikirkan diri sendiri, masing-masing
berkata : diriku, diriku... Kecuali Baginda Nabi Muhammad yang ingat pada
tanggungjawab memberi syafaat lantas berkata : Umatku, umatku. . ."
Demikianlah keadaan nafsu manusia
yang pasti ada kecacatan, dengan itu manusia akan selalu mengadu : Tuhanku...
Tuhanku... Hingga sedarlah diri bahawa makhuk yang bersifat baharu itu tak
terlepas dari kekurangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan