Catatan Popular

Sabtu, 16 April 2016

KITAB PENAWAR BAGI HATI FASAL KESEPULUH : PADA MENYATAKAN [TENTANGN BAHAYANYA] MARAH



OLEH : ASY SYEIKH ABDUL QODIR BIN ABDUL MUTTOLIB  AL INDONISI AL MANDILI (ULAMA DAN GURU MASJIDIL HARAM MEKAH)


Ketahui[lah] oleh mu bahawasanya marah itu sifat kecelaan yang sangat banyak kebinasaan[nya].

Kerana [ianya] mensebabkan ia pada anggota yang zahir akan [keinginan] memukul dan memaki dan membunuh dan di dalam hati [pula] akan [timbul perasaan] dendam dan dengki dan [bertentangan dengan itu timbul perasaan] sukacita dengan kena bala mereka yang dimarahinya dan dukacita dengan mendapat ia akan nikmat dan mencita-cita atas membuka rahsianya dan tiap-tiap satu daripada yang tersebut itu sebab bagi binasa.

Dan bermula memecahkan akan bersangatan marah itu setengah daripada yang amat penting ia pada agama.

Hadith 49. Sabda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam,ertinya, “tiada ada yang sangat kuat itu yang tiada merebahkan dia oleh beberapa laki-laki, hanya sanya yang sangat kuat itu yang memiliki ia akan dirinya pada ketika marah”.

Ertinya kuasa ia menahan dirinya daripada umpama memaki dan memukul pada ketika ia marah akan seseorang yang lebih dho’if daripadanya.

Dan bersembah seorang laki-laki bagi Rasulullah sollallahu alaihi wasallam, “suruh oleh mu akan daku dengan satu pekerjaan dan sedikitkan oleh mu”.

Hadith 50. Maka bersabda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam,ertinya, “jangan engkau marah”.

Maka berulang-ulang laki-laki itu akan permintaannya maka mengulang-ulang oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam akan sabdanya,Dan lazimkan[lah] oleh mu pada kelakuan marah akan pekerjaan,

1. Yang pertama daripada keduanya [ialah] memecahkannya.

Dan tiada aku kehendaki dengan memecahkannya itu menghilangkannya sama sekali kerana bahawasanya tiada hilang ia sama sekali.

Dan tiada sayugia bahawa ia hilang bahkan jika hilang ia nescaya wajib [pula] menghasilkannya.

Kerana bahawasanya ia perkakas bagi memerangi sekelian kafir dan menegah [ia] daripada kejahatan dan menyuruh [ia] dengan kebajikan.

Dan adalah marah itu seperti anjing perburuan.

Dan hanya sanya dikehendaki dengan memecahkannya itu [ialah dengan] mengajarnya hingga mengikut ia akan akal dan akan syarak.

Maka bergerak-gerak ia dengan sebab pertunjuk daripada akal dan syarak dan diam ia dengan sebab pertunjuk daripada kedua[-dua]nya.

Dan tiada menyalahi ia akan kedua[-duanya] seperti menurut oleh anjing perburuan akan perintah tuannya.

Dan yang demikian itu mumkin dengan bersungguh-sungguh pada mengajarnya.

Dan iaitu membiasakan akan lambat marah dan membiasakan memaafkan serta [mengelakkan daripada] kedatangan bermacam-macam sebab bagi marah.

2. Yang keduanya memelihara akan marah itu pada ketika bergerak-gerak dengan menahannya akan barang yang [ada] di dalam hati[nya].

Dan menolong atas menahannya itu oleh pengetahuan dan pekerjaan.

Adapun pengetahuan maka bahawa mengetahui ia akan bahawasanya tiada ada sebab bagi marahnya melainkan ingkar ia akan berlaku sesuatu atas kehendak Allah Taala [dan ianya] tiada atas kehendak dirinya.

Dan ini [adalah] sehabis-habis jahil.

Dan lagi mengetahui ia bahawasanya marah Allah Taala lebih besar daripada marahnya.

Dan limpah kurnia Allah Taala lebih besar beberapa kali [ganda daripada] menderhaka ia akan tuhannya maka tiada marah Allah Taala akan dia.

Dan hendaklah engkau ingat akan bahawasanya engkau lebih wajib mengikut perintah tuhan daripada yang engkau marah itu mengikut perintah engkau.

Dan adapun pekerjaan maka bahawa berkata ia, kerana marah itu daripada syaitan.

Maka jika tiada berhenti marahnya dengan ini perkataan maka hendaklah ia duduk jika ia berdiri.

Dan hendaklah ia berbaring jika ia duduk.

Dan jika tiada diam marahnya dengan duduk atau berbaring itu [maka] hendaklah ia mengambil air sembahyang.

Hadith 51. Sabda Nabi [Muhammad] sollallahu alaihi wasallam,ertinya, “bahawasanya syaitan itu dijadikan dia daripada api dan hanya sanya dipadamkan akan api [itu] dengan air [jua] maka apabila marah [se]seorang kamu maka hendaklah ia mengambil air sembahyang”.

Hadith 52. Dan sabda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam,ertinya, “jaga-jaga [oleh mu] bahawasanya marah itu seperti bara api pada jantung anak Adam, adakah tiada melihat kamu pada merah dua matanya dan bengkak urat lehenya, maka barangsiapa mendapat ia akan sesuatu daripada demikian itu maka hendaklah memukulkan ia akan pipinya dengan bumi”.

Ini menunjukkan kepada menetapkan semulia-mulia anggota daripada sehina-hina tempat supaya pecah oleh takabburnya yang ia sebab yang besar pada marah itu.

Dan supaya mengetahui ia akan bahawasanya dirinya hamba yang hina tiada patut ia membesarkan diri.

Dan ketahui oleh mu bahawasanya menahan akan marah itu kelakuan yang sangat baik.

Telah memuji akan dia oleh Allah Taala di dalam [Al] Quran dengan firman Nya,
ertinya, “dan yang menahan mereka itu akan marah”.[Surah Ali Imran Ayat 134]

Hadith 53. Dan sabda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam,ertinya, “barangsiapa menahan ia akan marah dan jika mengkehendaki ia meluluskannya nescaya kuasa ia atas meluluskannya nescaya memenuhkan Allah Taala akan hatinya pada hari kiamat daripada sentosa dan daripada iman

Dan pada satu riwayat, “daripada redha”.

Tiada ulasan: