SYARAH TO’ FAKIR AN NASIRIN
Menurut Kalam Hikmah ke 31
Al-Arifbillah
Syeikh Ahmad Ibnu Athaillah As kandary:
“DIKURNIAKAN PETUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG BERJALAN KEPADA ALLAH
S.W.T DENGAN NUR-NUR TAWAJJUH (MENGHADAP ALLAH S.W.T) DAN BAGI ORANG YANG TELAH
SAMPAI BAGI MEREKA IALAH NUR-NUR AL-MUWAAJAHAH (MUSYAHADAH ATAU SALING
BERHADAPAN ANTARA HAMBA DENGAN ALLAH S.W.T). MEREKA YANG PERTAMA ITU ADALAH
UNTUK NUR-NUR, SEDANGKAN MEREKA YANG TELAH SAMPAI ADALAH NUR-NUR ITU BUAT
MEREKA LANTARAN MEREKA INI ADALAH KERANA ALLAH S.W.T BUKAN KERANA SESUATU
SELAIN-NYA. KATAKANLAH: “ALLAH!” KEMUDIAN BIARKAN MEREKA (ORANG RAMAI)
BERMAIN-MAIN DALAM KESESATAN”.
Hikmat 31 ini menceritakan keadaan dua
golongan yang dipanggil sebagai ahli tawajjuh dan ahli musyahadah. Ahli
tawajjuh adalah orang salih yang berpegang teguh kepada syariat Allah s.w.t dan
biasanya digelar ahli syariat. Orang salih atau ahli syariat melihat dirinya
sebagai satu individu yang berkedudukan sebagai hamba Allah s.w.t. Dia
berkewajipan melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dan menjauhkan segala
larangan-Nya. Dia melaksanakan amal kebaikan dengan ikhlas, tidak didorong oleh
riak dan ujub, tidak berbuat sama’ah dan tidak menyombong dengan amal tersebut.
Allah s.w.t memberkati amal ibadat yang demikian dan mengurniakan kepada mereka
Nur Tawajjuh. Nur yang demikian membuat mereka merasa damai dan tenang serta
bertambah rasa kehampiran dengan Allah s.w.t. Mereka tidak berasa berat untuk
melakukan ibadat walau berapa banyak sekalipun kerana semakin banyak ibadat
yang mereka lakukan semakin mereka memperolehi taqarrub (mendekat dan berhadap
kepada Allah s.w.t) dan semakin mereka merasa kelazatan beribadat. Mereka bukan
sahaja meninggalkan perkara yang haram tetapi juga yang mubah. Banyak daripada
perkara yang halal ditinggalkan bagi menjaga agar mereka tidak terdorong
mendekati yang haram, apa lagi melakukannya. Inilah sifat ahli syariat, memakai
pakaian warak dan berjalan dengan Nur Tawajjuh.
Golongan kedua ialah ahli musyahadah, biasanya
dipanggil ahli hakikat. Ahli hakikat ialah orang yang mencapai hakikat syariat
dan tauhid sehingga tidak melihat lagi sesuatu kecuali Allah s.w.t. Mereka
menyaksikan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri,
Maha Mentadbir dan Maha Menentukan. Mereka menyaksikan sifat Allah Yang Maha
Sempurna dan Kekal. Pandangan mereka hanya tertumpu kepada Allah Azza wa Jalla.
Segala yang maujud tidak memberi bekas pada hati mereka, hanya Wujud Allah
s.w.t yang menguasainya, terjadilah musyahadah iaitu saling berhadapan. nur-nur
al-muwaajahah meleburkan hijab yang menutupi alam maujud lalu mata hati melihat
kepada Yang Tersembunyi disebalik yang nyata. Hamba melihat Rahsia Tuhan yang
selama ini terhijab oleh Alam al-Mulk (alam kejadian) dan Allah s.w.t
menyaksikan pengabdian hamba-Nya. Terbukalah kepada si hamba rahsia Alam
Malakut dan nyatalah kedudukan hamba sebagai ayat atau tanda wujud. Hamba
melihat ketuhanan Allah s.w.t yang meliputi segala sesuatu dan Allah s.w.t
menyaksikan pengabdian hamba-Nya meliputi ilmunya, ahwalnya dan hatinya.
Allah s.w.t
bukakan tabir hijab agar mata hati hamba-Nya dapat menyaksikan kerajaan-Nya
yang meliputi yang nyata dan juga yang ghaib.
Dan
demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami)
di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya
dengan sepenuh-penuh yaqin. (Ayat 75 : Surah al-An’aam )
Dan
janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan
binasa melainkan Zat Allah. (Ayat 88 :
Surah al-Qasas )
Ada
perbezaan pandangan di antara ahli syariat dan ahli hakikat. Ahli syariat
berjihad membunuh musuh-musuh Allah s.w.t kerana mengharapkan keredaan-Nya,
moga-moga Allah s.w.t mengurniakan kepada mereka nur-nur yang membawa mereka
hampir kepada-Nya. Ahli hakikat pula ketika berjihad dan membunuh mereka
melihat kepada firman Allah s.w.t:
Maka
bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan
pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau
melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan
orang-orang kafir). ( Ayat 17 : Surah al-Anfaal )
Orang-orang yang sampai kepada Allah s.w.t
berkecimpung dalam nur-nur kerana:
Allah
yang menerangi langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
Kelebihan al-Wasilun
ke atas al-Rahilun dapat dirumuskan daripada enam keadaan hati
manusia yang digariskan oleh Imam al-Tirmizi rh :
1
Hati yang hidup iaitu hati yang penuh dengan keimanan dan ma’rifah
2
hati yang mati iaitu hati yang kufur ke atas ni’mat Allah
3
hati yang sihat yang menta’ati Allah
4
hati yang sakit iatu yang terikat dengan maksiat dan dosa
5
hati yang eluk yang sentiasa mengingati Allah
6
hati yang tidur atau yang lalai dari mengingati Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan