Catatan Popular

Khamis, 28 Mac 2024

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.11) Amal Ibadat Manusia Ada Tiga Maqam.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Tiap-tiap amal ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu, kita katakanlah umpamanya ibadat sembahyang atau lain-lain lagi, ada tiga darjat atau makam:


1. Darjat Syariat, yaitu amal ibadat yang dilakukan itu sah pada bentuk rupa lahir tetapi hatinya mati dan tidak hidup malah ia kosong dari dapat merasai apa-apa. Yaitu amalan yang dikerjakan mengikut peraturan yang sah pada rukun dan syaratnya dan tiada cacat apa-apa yang terdapat pada bentuk rupa lahirnya. Dan sembahyang umpama inilah sembahyang yang berlaku kepada kebanyakan orang awam kita, dan sahlah ia pada iktibar hukum syariat yang lahir dan sembahyang umpama ini adalah sembahyang adat resam jua pada pandangan orang sufi.

2. Darjat Tariqat, yaitu amal ibadat yang dilakukan oleh seorang dengan hati yang hidup dan penuh dengan warid-warid atau nur daripada Allah. Dan tidak dikatakan hati hidup melainkan hati yang mendapat warid atau nur Ilahi, darjat ini memang tinggi daripada darjat yang pertama tadi, orang yang beroleh warid dalam ibadat tariqat dan bersembahyang ia dengan warid adalah daripada golongan orang yang berhak menduduki darjat tariqat ini. Sembahyang darjat yang kedua inilah makna sembahyang yang dimaksud oleh Tuhan bagaimana tersebut di dalam Al-Quran:

Ertinya: “Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar”.

Sembahyang orang yang tiada mempunyai warid atau nur maka berertilah sembahyang yang tiada jatuh kepada makam tariqat yaitu ‘sembahyang yang dapat mencegah daripada perbuatan mungkar’, demikian juga pada ibadat-ibadat yang lain. Sebab itiulah maka kebanyakan orang awam kita selepas ia melakukan sembahyang, ia pergi pula menipu orang, bercakap bohong, pecah amanah Tuhan dan lain-lain lagi. Jadi, ertinya jahat tiada habis-habis.


3. Darjat Hakikat, yaitu amal ibadat yang apabila dilakukan nescaya tercapai di dalamnya suatu kedapatan yang lazat dengan rasa zuqq hakikat. Sembahyang darjat yang ketiga ini ialah jenis sembahyang rasul-rasul, nabi-nabi dan orang-orang sufi. Pernah kita dengar suatu cerita bahawa seorang sahabat nabi yang terkena anak panah dalam satu peperangan dan melekatnya anak panah pada tubuhnya hingga tak dapat hendak dicabut-cabut lagi dan ia sakit berjerit-jerit bila hendak dicabutnya, tetapi apabila ia masuk sembahyang barulah anak panah itu dapat dicabut dengan tiada merasai apa-apa sakit kerana
ketika itu ia sudah masuk ke dalam alam yang baru, sembahyang yang terdapat di dalamnya kesedapan dan kelazatan dengan zuqq-zuqq dan syuhud (musyahadah).

Pendek kata, amal ibadat itu laksana padi, ada yang bernas, ada yang hampa, ada yang separuh hampa, ada yang separuh bernas, ada yang dua pertiga hampa atau bernas dan macam-macam lagi. Maka amal ibadat yang bernas seratus-peratus itu ialah amal ibadat yang penuh berisi pada ketiga- tiga sudut itu dan tidak pula cacat sedikitpun pada ketiga-tiga darjat itu yaitu darjat syariat, tariqat dan hakikat, wal-hasilnya, jika ia diuji menerusi ketiga-tiga meja itu tadi yaitu meja syariat, tariqat dan hakikat nescaya lulus belaka. Demikianlah amal ibadat yang bernas seratus peratus. Maka hidupnya orang umpama itu dalam dunia ini adalah penuh bertuah dan beruntung besar walaupun ia hidup dalam umur- nya yang singkat.

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.10 ) Keterangan Syariat, Tariqat dan Ma’rifat (Hakikat).

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Erti Syariat ialah segala amalan zahir yang dilakukan oleh anggota zahir kita yaitu seperti bacaan-bacaan wirid, terutama sekali wirid zikir tariqat dan juga ibadat-ibadat zahir yang lain, inilah maksud syariat bagaimana yang dikehendaki dalam kata-kata istilah tasawuf itu. Kita berharap hendaklah benar-benar faham maksud syariat itu. Di sana ada orang mencampur-adukkan erti syariat itu dengan syariat yang bererti segala hukum-hakam Allah yang diturunkan kepada nabi melalui Jibril, itu bukanlah syariat yang dikehendaki dalam perbicaraan kita kerana ia lebih umum. Itu adalah berupa undang-undang yang ditulis atas kertas jua. Wirid-wirid zikir tariqat yang dibaca yang kita namakan syariat atau amalan zahir itu apabila diamal, lama-kelamaan ia akan jadi terpendap jelira masuk ke hati laksana merah api masuk ke dalam besi jadi
sebatian, kemudian selepas itu ia diikuti pula dengan berolehnya ‘warid’ atau ‘nur’ yang dapat kita rasanya sendiri dan jadilah hati pada waktu itu hidup dan sedikit demi sedikit ia mulai mempunyai karan atau jadi macam besi berani, maka hati yang tercapai hal demikian dinamakan ‘tariqat’ atau ‘hati tariqat’, yakni hati telah menguasai hal tariqat.

Dengan erti yang lain tariqat itu ialah hati yang dapat menguasai amalan batin dan tidaklah dikatakan amalan batin itu melainkan ialah pekerjaan hati atau hal hati yang barpindah dari suatu sifat yang buruk bertukar menjadi sifat yang baik. Orang yang dapat menguasai amalan batin inilah ertinya hati hidup dan hati tidak mati namanya. Dia bekerja maknanya, misalya dahulu dia bersifat pemalas ibadat, kedekut, bakhil dan sombong tetapi sekarang (setelah mendapat nur atau warid) dia telah bertukar kepada bersifat perajin ibadat, pemurah hati dan tawaddu’ (rendah hati) atau misal lain-lain lagi.


Apabila kita dapat menguasai warid atau nur itu sepenuhnya sekira-kira ia dapat tinggal menetap dan terpacak kejap di lubuk hati yang kita gelarkan Istiqamah, maka jadilah hati pada waktu itu suci jilah dan bersih secara otomatik, dan setelah hati itu pula mempunyai atau menguasai karan sepenuhnya maka barulah tercampak ke dalam hati perkara syuhud yang maha penting itu. Maka di kala itu terhasil kepadanya apa yang kita namakan tadi ‘hakikat’ ertinya dapat mengena! Allah Taala dengan jalan dapat rasa zuqq yang kita namakan ‘syuhud’. Dan lazim daripada dapat rasa hakikat umpama itu tercapai pula ‘ma’rifat’ ertinya tercapainya ilmu pengetahuan yang hasil daripada pengalaman rasa zuqq atau syuhud
itu. Inilah maknanya orang-orang wali itu dapat ilmu pengetahuan dengan tidak payah belajar. Sebagai contoh atau bandingan, cubalah letak gula di atas lidah tentulah kita dapat rasa kesedapan gula itu begitu rasanya. Maka dapat kesedapan rasa gula itulah dinamakan ‘hakikat’. Dan pengalaman atau ilmu pengetahuan yang hasil daripada kecapan rasa itulah dinamakan dia ‘ma’rifat’.

Dan ma’rifat kepada Allah Taala itu ada tiga martabat, Pertama ma’rifat mengikut jalan ilmu usuluddin yaitu Ilmul-Yakin, dan yang kedua dan ketiganya ialah ma’rifat mengikut jalan ilmu tasauf yaitu ‘Ainul-Yakin dan Hakkul-Yakin namanya.


Maka seluruh kesimpulan keterangan tersebut hendaklah difaham begini:


• Syariat dapat menguasai amalan zahir dengan beribadat wirid tariqat dan amalan-amalan fardhu yang diwajib oleh Allah dalam ugama kita.
• Tariqat dapat menguasai amalan batin dengan berolehnya warid (nur).
• Ma’rifat dapat menguasai ilmu pengetahuan yang hasil daripada rasa syuhud.
• Hakikat dapat menguasai rasa zuqq (syuhud) yang hasil daripada hati suci jilah yang berolehnya warid yang istiqamah.

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.9) Hati Rasul-rasul, Nabi-nabi dan Auliya’ Allah.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Semua hati orang-orang wali dan lebih-lebih lagi hati nabi-nabi dan rasul-rasul adalah terdiri daripada golongan yang menguasai makam zuqq atau syuhud itu, yaitu jenis hati yang mempunyai karan atau besi berani yang dapat menangkap sesuatu apabila ia lalu atau lintas di permukaan hatinya (bukan hati jenis mati atau mampus yang tidak mempunyai bateri umpama hati kita orang awam ini). Dan sebagai suatu tanda yang paling mustahak untuk dikenal atau dicam ialah bahawa tidaklah dinamakan zuqq jika tidak ada campur rasa kelazatan dan kesedapan pada waktu tercapai makam itu.

Dan sesuatu yang dapat ditangkap oleh hati itu maksudnya ialah sama ada ia melihat atau teringat di hati kepada salah satu daripada perkara-perkara yang berikut:

1.      Af’alul-Lah.

2.      Asmaa’ul-Lah

3.      Sifatul-Lah.

4.      Zatul-Lah.

Afalul-Lah maksudnya ialah segala perbuatan yang berlaku dalam sendiwara lakonan alam ini. Sendiwara perbuatan Allah itu berlaku pada setiap nafas dan ketika dan bagi hati orang yang mempunyai karan
yang sudah tersedia ada apabila dapat menangkap Afalul-Lah itu nescaya tercapailah kepadanya suatu jenis zuqq serta kesedapan dan kelazatan. Kesedapan dan kelazatan itu sukar hendak dibanding. Dan tiap-tiap orang yang tercapai zuqq itu adalah masing-masing tidak serupa pada kesedapan dan kelazatan umpama itu.


Asmaa’ul-Lah ertinya nama-nama Allah. Dan nama-nama Allah itu sangat banyak. Segala apa yang berlaku dalam alam ini memang mempunyai nama. Dan nama-nama itu akan terpulang kepada ampunya asal yaitu Allah. Misalnya kita melihat suatu keindahan di alam ini maka tentulah di sebalik itu ada tukang yang menciptakan keindahan ini dan namanya pada ketika itu ialah dan bagi hati orang yang mempunyai karan yang sudah tersedia ada apabila dapat menangkap salah suatu daripada Asmaa’ul-Lahitu nescaya akan tercapai kepadanya suatu jenis zuqq serta ada kelazatan dan kesedapan yang sukar hendak dibanding.


Sifatul-Lah ertinya sifat-sifat Allah seperti qudrat, iradat, ilmu, hayat dan lain-lain lagi. Dan pula sifat-sifat Kamalatul- Lah sangatlah banyak. dan sifat-sifat yang umpama itu memang dapat dilihat pada tirai lakonan alam ini. Dan bagi hati orang yang mempunyai karan apabila dapat menangkap salah satu daripada Sifatul-Lah nescaya akan tercapai kepadanya suatu jenis zuqq serta ada kelazatan dan kesedapan yang payah hendak ditulis dengan pena atau hendak diterang dengan cakapan biasa.


Zatul-Lah, bagi jenis hati yang mempunyai karan atau hati macam besi berani, umpama apabila ia melihat alam sekitar ini nescaya jadilah alam ini seolah-olah cermin yang ia nampak di dalamnya Allah belaka dan terhapuslah pada ketika itu hatinya akan ingatan yang lain selain daripada Allah. Maka jadilah alam ini dipakai atau diganti Allah belaka pada penglihatan zuqq mereka serta ada kelazatan dan kesedapan tetapi bukanlah pula bererti bahawa alam ini ialah Allah atau Allah itu ialah alam ini, kerana keduanya adalah masing-masing zat yang berlainan yang tetap bersalahan dan tidak serupa. Dan barangsiapa yang mengi’tiqadkan serupa nescaya kafirlah dia.

Na’uzubillahi Min Zaalik.


Dan maqam syuhud umpama itu pada satu ketika orang tasawuf menamakan dia makam ‘musyahadah’ dan pada suatu ketika yang lain pula ia menamakan pula makam ‘Al-Ihsan’ bagaimana sabda Nabi s.a.w.:

“Ihsan itu ialah bahawa engkau sembah akan Allah seolah-olah engkau melihat Allah dan jika tidak engkau melihat Allah maka Ia melihat engkau”.

Dan perkara ihsan umpama ini ialah perkara rasa yang tidak boleh hendak dibuat-buat melainkan dengan zuqq yang ada kemanisan dan kelazatan.


Semua hati rasul-rasul, nabi-nabi dan wali-wali besar menguasai makam syuhud itu adalah dengan jalan baqa’ bukan dengan jalan fana’. Sebab itulah mereka semua digelarkan ‘Al-Insanul-Kamil’ ertinya manusia sempurna. Makam baqa’ ertinya hati mereka dalam kesedaran menguasai dua alam, alam zahir dan alam batin. Alam zahir mereka sedar dan dapat hidup, berbicara dan jadi pemimpin bersama masyarakat sedangkan alam batin pula ialah hati mereka terus hidup bersama Allah dalam sentiasa kesedapan dan kelazatan yakni hatinya tidak mati dan mampus semacam hati kita. Adapun makam fana’ maka mereka hanya dapat kesedaran di alam batin saja, tetapi di alam zahir mereka tidak sedar dengan alam sekitarnya. Mereka tidak dapat bermasyarakat dan bercampur dengan orang ramai kerana hatinya pada ketika itu hanya tertumpu dan berharap kepada kesedapan dan kesedaran alam batin jua yaitu hati hidup bersama Allah semata-mata.


Mengapa hati orang-orang wali sampai jadi sebegini sekali?

Jawabnya, hati yang berupa demikian mustahil tercapai melainkan apabila terhasilnya peringkat-peringkat perjuangan dilakukan oleh mereka yaitu peringkat-peringkat:

•       Pertama Syariat,

•       Kedua Tariqat dan

•       Ketiga Ma’rifat atau Hakikat.

Isti-lah-istilah demikian biasa kita dengar diucap oleh orang-orang tua di kampung berbunyi: “Syariat, tariqat, ma’rifat dan hakikat”. 

Apakah maksudnya istilah itu?

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.8) Kemusykilan Apakah Gunanya Berjuang Bermati-Matian Mencari Syuhud?.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Jika tercetus atau tersua di dalam hati tuan kemusykilan, yaitu apakah faedahnya dan apakah gunanya orang-orang tasawuf berjuang bermati-matian hanya untuk mendapat kesedapan zuqq dan syuhud yang umpama itu jua, pada hal Tuhan itu tidak nampak hendak dilihat, Ia bukan macam benda yang boleh dipegang dengan tangan, bukan macam wanita yang boleh dicurah kasih sayang, bukan macam makanan dan minuman yang boleh dimakan dan diminum, bukan macam kereta yang boleh dinaiki. Tetapi, kalaulah Tuhan itu macam demikian maka sangatlah patut dan munasabah jika mereka berjuang bermati-matian dan berfaedah juga untuk mereka.


Bagi menjawabnya, maka ketahuilah bahawa kehidupan manusia di atas muka bumi ini bermati-matianBmengejar dan mencari kemajuan dan kemakmuran tiada lain melainkan hanya untuk mendapat rasa sedap jua. Mereka makan minum tiada lain melainkan kerana mencari rasa sedap untuk lubang tengkok dan tali perut. Mereka buat rumah besar-besar dan cantik-cantik tiada lain melainkan kerana hendak mencari rasa sedap untuk kesenangan, sedap tubuh jasmani jua. Mereka mencari wanita dan beristeri banyak tiada lain melainkan kerana mencari rasa sedap untuk memuaskan nafsu syahwatnya. Mereka beli kereta dan naik kereta tiada lain melainkan kerana mencari rasa sedap untuk kerehatan tubuh.
Mereka pergi ke panggung wayang dan melihat wayang gambar tiada lain melainkan kerana mencari rasa sedap untuk mata. Mereka mendengar lagu, nyanyi dan muzik tiada lain melainkan kerana mencari rasa sedap untuk halwa telinga. Pendek kata mereka hidup berjuang dan bekerja pada masa hidup di dunia ini tiada lain melainkan kerana mencari kesedapan jua, bahkan mereka ingin rasa sedap itu dan sedap ini pada seumur hidup dan tiada lain melainkan sedap, sedap …..


Demikian juga orang-orang tasawuf, mereka berjuang bermati-matian tiada kerana lain melainkan kerana mencari kesedapan, rasa sedap, yaitu sedap pada zuqq dan syuhud mereka untuk roh yang kekal abadi dan itulah kebahgiaan roh yang hakiki, bukan untuk kesedapan-kesedapan yang palsu yang akan menerima kehancuran yaitu kesedapan-kesedapan pada lubang tengkok, tali perut, biji lubang telinga, syahwat dan lain-lain lagi pada tubuh jasmani yang semuanya itu akan menerima kehancuran belaka, masuk di dalam lubang tanah. Tetapi roh tidak hancur. Sebab itulah mereka orang tasauf berjuang mencari kebahagiaan untuk yang tidak hancur itu amat tepat sekali kena pada matlamat dan tujuannya.
Dan dengan tercapainya kebahgiaan demikian maka bermaknalah sudah tercapai kesihatan roh yang sejati.


Selain daripada itu, apabila tercapai kepada mereka syuhud dan zuqq yang diperjuangkan itu nescaya akan beroleh kepada mereka faedah-faedah yang lain lagi selain daripada faedah tercapainya kebahagiaan untuk roh (yang kekal) abadi itu, yaitu faedah-faedah dunia di masa mereka hidup di dunia ini.

•       Yang pertama sekali setelah mereka tercapainya syuhud dan zuqq demikian itu mereka akan beroleh rahsia-rahsia ilmu yang indah dengan tak payah belajar (ilmu laduni).

•       Yang kedua mereka tercapai kesenangan hidup dunia apa saja yang mereka ingin dan mahu.

•       Yang ketiga mereka akan beroleh berbagai keramat. Dan yang keempat mereka mendapat keredhaan Allah Taala dalam di tiap hidup dan gerak- geri mereka dan lain-lain lagi.

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.7) Bandingan Syuhud.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Apabila ia (orang yang telah suci jilah hatinya) melihat segala lakonan alam ini atau sandiwara alam ini maka terbukalah karan di hati yaitu bahawa dirasa suatu kelazatan dan kesedapan yang paling mujarab di hati bahawa yang melakukan lakonan alam ini ialah Allah Yang Maha Esa jua dan tiada yang lain yang berbuat lakunan itu melainkan Dia. Ibarat orang yang dapat melihat pakaian gadis yang sangat dikasihinya (belum lagi melihat tubuh) maka terbukalah kepadanya di waktu itu karan kelazatan cinta rindu padanya sehingga dirasanya bahawa tiada yang lain yang dicintai melainkan dia jua.

Demikian bandingan yang agak-agak boleh diberi mengenai tercapainya syuhud dan syuhud pada lakonan alam demikian dinamakan dia dengan ‘Tauhidul-Afal’ atau ‘Wahdatul- Af’al’. Apabila ia mendengar akan nama-nama benda di alam ini disebut orang maka terbukalah karan di hati yaitu bahawa dirasa suatu kelazatan dan kesedapan yang paling jelira di hati bahawa yang menamakan nama-nama pada benda di alam ini ialah Allah Yang Maha Esa jua dan tiada yang lain yang memberi nama demikian melainkan dia jua. Ibarat orang dapat mendengar nama si gadis tunangannya yang sangat dikasihi itu disebut orang (belum melihat tubuh lagi) maka terbukalah kepadanya di waktu itu suatu karan kesedapan cinta rindu padanya sehingga dirasanya bahawa tiada yang lain yang dapat dicintai melainkan dia jua. Demikian bandingan yang agak-agak boleh diberi mengenai syuhud pada ‘Asmaa’ul-Lah’ dan dinamakan syuhud demikian dengan ‘Tauhidul-Asmaa” atau ‘Wahdatul-Asmaa”.

Apabila ia melihat tanda-tanda sifat qudrat, iradat, hayat dan sebagainya berlaku di alam ini dan khususnya dilakukan oleh manusia maka terbukalah karan di hati yaitu bahawa dirasa suatu kelazatan yang paling kemuncak di hati bahawa yang berqudrat dan beriradat yang berlaku dalam alam ini adalah dari Allah Yang Maha Esa jua dan dirasanya pula bahawa tiada yang lain daripada yang berqudrat, beriradat dan berilmu dan lain-lain lagi melainkan Dia (Allah) jua. Ibarat ia dapat melihat sifat-sifat tingkah-laku atau budi perangai seorang gadis tunangnya yang sangat dikasihi itu maka pada waktu itu terbukalah kepadanya suatu karan kelazatan rindu cinta yang amat sangat padanya serta dirasanya bahawa tiada yang lain yang dapat ditandingi rasa cinta sayang itu melainkan dia jua. Demikian bandingan ‘Tauhidus-Sifat’ dan juga orang tasawuf menamakannya ‘Wahdatus-Sifat’.


Apabila ia melihat apa-apa benda yang maujud di alam ini maka terbukalah karan di hatinya yaitu bahawa dirasanya se- suatu itu dengan mendapati kelazatan dan kesedapan semacam karan yang tak dapat dibandingkan bahawa manakala ia melihat segala benda yang maujud yang di alam ini dirasanya seolah-olah laksana cermin yang ia nampak di dalamnya kekasih yang tunggal yaitu Allah Taala yang menguasai segala yang maujud ini dan dapat dirasa pula bahawa tiada yang lain untuk dikasihi dan dicintai melainkan Dia jua. Ibarat seorang yang baru dapat bertemu dari dekat dengan gadis kekasihnya yang baru jadi isteri serta baru dapat bercakap dan beramah mesra dan dapat bergurau-senda dengannya maka di kala itu akan terbukalah di hatinya suatu kedapatan rasa macam karan yang tak pernah dirasa dan tak dapat ditanding lagi dan pada ketika itu tercapailah maksudnya hingga seolah-olah dapat dirasa bahawa tiada di dalam bajunya dan selimutnya melainkan dia jua. Demikianlah bandingan ‘Tauhiduz- Zat’.

 

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.6) Huraian Syuhud.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Sekarang kita telah fardhukan masalah bersih hati sudah tercapai, yaitu setelah warid itu datang menduduki dalam lubuk hati secara menetap (Istiqamah) yakni ia tidak bergoyang dan tercabut lagi. Menurut biasanya warid itu tidaklah terus datang selalu apabila kita melakukan ibadat tariqat itu tetapi ia datang setelah lama kita melakukan ibadat atau setelah melalui masa-masa yang tidak boleh ditentukan. Ini adalah disebabkan kerana hati itu masing-masing mempunyai sifat kedegilan yang berlainan.

Kedatangan warid itu tidakiah pula ia terus tinggal menetap duduk di hati, malah ia pergi dan datang berulang-alik, ia datang kemudian ia pergi, kemudian ia datang pula dan selepas itu ia pergi lagi dan begitulah berlakunya dalam masa-masa yang tidak boleh ditentukan.

Apabila warid itu datang dan terus tinggal menetap duduk di lubuk hati maka itulah tandanya dia beroleh peluang yang baik. Yaitu mempunyai peluang untuk mendapat syuhud. Syuhud ertinya mendapat suatu zuqq mesra dengan Tuhan. Yaitu datang ke dalam hati orang yang sudah suci bersih, suatu kedapatan rasa yang ada kemanisan, kesedapan dan kelazatan yang apabila melihat atau teringat kepada salah satu daripada Afalul-Lah (sendiwara alam perbuatan Allah), As- maa’ul-Lah, Sifatul-Lah dan Zatul-Lah, dan tercapainya kewafatan rasa demikian orang menamakan dia ‘Zuqq’.

Pendek kata, adalah tabiat hati suci bersih orang yang demikian memang mempunyai khasiatnya iaitu hatinya mempunyai karan atau jadi semacam besi berani untuk menangkap rasa sesuaiu dengan zuqq segala apa saja yang dilalu atau terlintas di hadapan permukaan hatinya semacamlah karan kita kasih kepada seorang gadis. Dan dengan tercapainya syuhud demikian maka berertilah ia sudah mendapatt ma’rifat dan hakikat dan barulah ia dipanggil wali Allah ataupun “” yakni sampai kepada Allah Taala.

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.5) Ibadah Tariqat Melahirkan Budi Perangai yang Baik.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Melakukan ibadat wirid tariqat mendatangkan warid yang mana ia digelarkan juga dengan ‘nur’ atau ‘waridah’ atau ‘sir—rahsia’ atau ‘israr—rahsia-rahsia’ atau lain-lain lagi mengikut pengertian istilah tasawuf.

Dan warid yang tercapai dari hasil ibadat tariqat itu mempunyai dua khasiat:

1.    Membersih hati.

2. Mendapat syuhud.

Dengan erti yang lain ‘membersih hati’ itu ialah kita dapat menguasai segala sifat-sifat yang terpuji melekat memupuk di hati kita. Cara tercapai kebersihan demikian harus terdapat dengan jalan beransur-ansur mengikut beransur-ansur kuat lemahnya ibadat tariqat yang dilakukan itu. Hal demikian seorang yang beramal tariqat itu amat mustahak sekali kepada pimpinan dan tarbiah guru yang pakar dalam ilmu ini. Hal yang serupa itu adalah mengikut tajribah dan pengalaman oleh semua lapisan orang sufi yang telah dicuba dari zaman berzaman lagi dan kebanyakan yang berjaya menjadi wali yang besar-besar adalah melalui jalan ini.

Adapun wirid-wirid yang bukan dari wirid tariqat walaupun dilakukan seberapa kuatnya maka tidaklah ia akan mencapai warid yang dimaksudkan, kalau tercapai pun hanya kemanisan dalam ibadat jua.

Sekalipun demikian jika tercapai warid dalam wirid-wirid ibadat yang bukan tariqat maka warid-waridnya itu tidak mempunyai khasiat mendapat syuhud dan ma’rifat. Dan tidak syak lagi bahawa ibadat wirid tariqat adalah bertujuan untuk mencanai hati dengan kesan-kesan warid atau nur dan kesan-kesan itu akan bertambah banyak bila ibadat tariqat dilakukan dengan banyaknya, manakala ibadat umpama itu dibuat sepanjang umur nescaya jadilah pahalanya bertambah lebih banyak, nafsunya lebih suci bersih dan jernih dan budi perangai pun lebih indah cemerlang dan lebih kuat malah ia menjadi lebih kejap dan teguh, pendek kata, budi perangai ahli ibadat adalah terjamin dan tetap terpelihara baik jika kita banding dengan budi perangai orang sufi demikian maka alangkah pelik dan ajaibnya budi perangai orang kita khususnya muda-mudi kita zaman sekarang yang tetap masih terpengaruh kepada kebudayaan yang asasnya tak tentu hujung-pangkal itu, kebudayaan yang masih tetap dipuja, dikembang dan dipopularkan dengan seluas-luasnya.

Adakah dia tetap istimewa? Atau tetap rugi? Siapakah yang bertanggungjawab? Guru-guru? Ulamak-ulamak? Universiti-universiti, Sekolah- sekolah? Penulis-penulis? Atau siapa?


Tiap-tiap negara dalam dunia ini adalah tetap dengan konsep falsafahnya masing-masing dan tetap terusberjuang untuk menegakkan falsafahnya itu. Dan demikian juga tiap-tiap negara dalam dunia ini memang mempunyai falsafah kilang-kilang pendidikan bangsanya yang tertentu. Jika kilang-kilang itu terus menerus berusaha dan mencapai matlamatnya maka itulah negara yang sebenar berjaya.

Tetapi jika ia tidak mencapai matlamatnya atau matlamatnya tidak tentu hujung-pangkal maka itulah tandanya dia dan negaranya adalah gagal segagal-gagalnya dan dia tetap akan buruk menerima akibat. Mengapa tidak demikian? Kita katakan gagal demikian, kerana jika manusia-manusia itu dicanai mengikut bentuk acuan hanya untuk menggemuk hadan dan kesihatan jasmani semata-mata maka berertilah masyarakat manusia yang lahir itu sengaja dibentuk mengikut falsafah kambing lembu atau ayam itik jua, mereka dipelihara, dijaga baik-baik, diberi makan gemuk-gemuk dan diawasi kesihatan tanpa mempunyai nilai jiwa dan roh maka jadilah manusia di waktu itu manusia binatang semata-mata yakni manusia tidak seimbang, manusia yang berpengaruh kepada benda semata-mata semacam kambing lembu, manusia yang tidak mengerti tujuan falsafah hidupnya. Dia datang dari mana? Dan akan pergi ke mana? Dan dimana dia sekarang?.

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.4) Keterangan Warid (Nur).

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Berolehnya warid atau nur itu ialah setelah kita menunggu masa dan melakukan ibadat wirid tariqat.


Apabila seseorang itu berjaya mencapai warid nescaya hatinya yang berkarat itu akan terkikis jadi bersih secara otomatik laksana air api dapat meleburkan sisa-sisa tembaga yang bercampur-aduk dalam cecair emas, itu menjadikan dia emas bermutu sepuluh. Hal demikian dapat dirasa sendiri oleh pengamalb ibadat tariqat itu. Tetapi ia mestilah ikut syarat peraturannya dan tunggu masa. Kalau dahulu ia sebagai seorang pemalas beribadat, atau kedekut bakhil, atau hatinya keras atau pengkhianat misalnya maka sekarang (setelah dapat warid) ia telah bertukar menjadi seorang perajin ibadat, pemurah hati,pelembut hati, dan jadi orang pengamanah dan baik-baik. Maka hal-hal orang tersebut tentulah kelihatan berubah kelakuannya dari masa-masa yang lepas. Perubahan hal demikian menyebabkan kadangkala dituduh oleh orang yang tidak faham perjalanan tariqat bahawa ia orang gila pada hal dia bukan gila, hanya dia akan menunggu masa perubahan dalam beberapa ketika jua. Warid atau nur adalah makanan bagi hati. Siapa yang mencapainya maka hiduplah hati. Ini dapat dirasa oleh orang yang mencapainya kerana warid (nur) adalah benda rasa.

Allah telah berfirman:

“Dan siapa-siapa yang bertaqwa kepada Allah Taala nescaya diberi kepadanya rasa lapang dada (makhraj) dan diberi rezeki kepadanya dengan sekira-kira tidak terfikir oleh akal”.

Perkataan ‘Makhraj’ asal ertinya ialah diberi suatu jalan keluar atau terlepas daripada perkara-perkara yang menyusah dan tidak menyenangkan hati. Misalnya dahulu kita bersifat pemalas ibadat atau bersifat keras hati tetapi sekarang telah bertukar menjadi seorang perajin ibadat dan pelembut hati maka jadilah dia ‘lapang dada’, inilah erti makhraj,

Pernah satu ketika nanti Nabi s.a.w. ditanya orang
mengenai apakah itu lapang dada ? Maka Nabi menjawab:

“Sesungguhnya apabila nur itu jatuh menerpai ke dalam hati nescaya rasa lega dan lapanglah dadanya”.

Dan banyak lagi dalil-dalil yang menerangkan dalam perkara ini di antaranya ialah firman Allah:

“Wahai orang-orang beriman jika kamu bertaqwa kepada Allah nescaya diberinya kamu‘Furqan'”.

Perkataan ‘Furqan’ ertinya jalan yang meleraikan kamu atau melepaskan kamu daripada melakukan perkara Batil kepada melakukan perkara yang Haq (Benar). Jadi perkataan ‘Furqan’ adalah sama dengan perkataan istilah tasawuf ‘Nur’ atau ‘Warid’.

Dan lagi terdapat dalam hadis bahawa Nabi telah bersabda:

“Siapa-siapa beramal dengan ilmu yang ia ketahui nescaya diberi pesaka Allah akan ilmu yang belum ia ketahui dan diberi taufik Allah pada amalannya hingga mewajibkan dia masuk Syurga”.

Mengikut pengertian istilah tasawuf bahawa tidaklah boleh dikatakan wirid selagi amalan atau zikir umpama itu belum jadi tabiat atau belum jadi perangai tingkah-laku dalam kehidupan sehari-harinya amalan zikir yang sebegini rupa, barulah menghasilkan ‘warid’ atau ‘nur’.

Apabila tabiat itu menjadikan sebagai perangai tingkah-laku seorang itu baru boleh dikatakan wirid maka jadilah wirid yang menjadikan tabiat kelakuan manusia dalam kehidupan sehari-hari, itu terbahagi kepada tiga macam:


1. Wirid Bacaan

2. Wirid Perbuatan.

3. Wirid Hati.

Apabila seorang itu berahi menyanyi misalnya dan apabila tiba masanya ia tentu menyanyi maka dikatakan itu ‘wirid’ baginya. Apabila cukup masanya pukul enam petang misalnya maka seorang itu biasanya mesti keluar berjalan makan angin maka dinamakan dia ‘wirid’.

Pendek kata, kalau belum jadi tabiat tidaklah dinamakan wirid.

Warid yang dikatakan baru terhasil setelah wirid itu jadi tabiat baginya adalah dikira pada segi peraturan mujahadah. Adapun pada segi peraturan jazbah maka tercapainya warid itu tidak termesti amalan wirid itu jadi tabiat baginya. Kadangkala seorang itu terima wirid tariqat hari ini, kemudian tidak berapa hari selepas itu ia tercapainya warid. Ini adalah kerana jazbah (cepat dapat warid).


Ibadat amalan tariqat ada dua keturunan atau dua bab:


1. Keturunan Jazbah.

2. Keturunan Mujahadah.


Keturunan jazbah yaitu mana-mana tariqat yang cepat mendatangkan warid dengan tidak sebegitu banyak mujahadah. Keturunan atau baka ini adalah berasal dari Tariqat Syazili.

Dan yang keduanya ialah keturunan mujahadah yaitu mana-mana tariqat yang payah hendak mencapai warid melainkan dengan mujahadah yang sungguh-sungguh dan beramalkan wirid itu hingga jadi sebagai tabiat perangainya. Keturunan atau baka ini adalah berasal dari Tariqat Ghazali.

Oleh itu mana-mana orang beramal wirid tariqat dan cepat mendapat warid maka dikatakan ia berasal dari baka Syazili dan mana-mana orang beramal wirid tariqat dan payah hendak mencapai warid melainkan dengan mujahadah yang sungguh-sungguh hati, maka dikatakan dia dalah berasal dari baka Ghazali. Dan kebanyakan tariqat di abad-abad yang akhir ini adalah bercampur keturunan Syazili belaka. Ibadat.

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.3) Contoh-contoh Mujahadah.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Misalnya, menurut biasanya nafsu perut kita bersetuju kepada makanan yang sedap-sedap dan lazat, dan dengan makanan yang lazat-lazat itu menyebabkan kita makan kenyang-kenyang dan banyak hingga menyebabkan kita malas hendak beribadat maka hendaklah kita mujahadahkan dia dan kita lawankan
dia yaitu hendaklah kita makan jangan sampai melampaui batas yang menyebabkan keberatan hendak beribadat.

Dan hendaklah kita ajarkan dia supaya ia tunduk kepada kemahuan kita yaitu dengan memakan sedikit kadar yang menyedapkan kita dan merajinkan kita berbuat ibadat.

Suatu contoh lagi, menurut biasanya nafsu kita mudah tersinggung, rasa terhina dan malu umpamanya apabila hendak pergi membeli sendiri sayur-mayur di pasar kerana kita adalah dari kalangan orang-orang ternama dan berpangkat atau sebagainya maka hendaklah kita mujahadahkan dia dan kita lawankan dia yaitu hendaklah juga kita pergi ke pasar itu membelinya sendiri sekalipun nafsu kita benci dan tidak membenarkan kita berbuat demikian. Mudah-mudahan dengan ajaran dan asuhan dengan cara demikian maka nafsu kita yang mudah rasa terhina dan malu itu akan terkikis dan terpecat dari dalam hati kita.


Dan satu contoh lagi, misalnya jika nafsu berasa malu memakai pakaian yang bertampung-tampung, dan dengan sebab tiada pakaian yang lain selain daripada pakaian yang bertampung itu maka kita rasa segan dan tak mahu hendak pergi sembahyang Jumaat ke masjid kerana tiada pakaian lain. Maka hendaklah kita mujahadahkan dia dan kita lawankan dia yaitu hendaklah juga kita pergi ke masjid sekalipun kita malu dengan memakai pakaian demikian. Moga-moga dengan cara asuhan demikian maka nafsu kita yang bersifat demikian akan terkikis dan terpecat sendiri dari dalam hati kita.

Dan satu contoh mujahadah lagi, menurut biasanya nafsu kita tentulah malas hendak bangun beribadat di tengah-tengah malam tetapi kalau hadir di majlis-majlis perbualan maka sepuluh jam itupun tidak memberi apa-apa kesan malah dirasa sekejap jua. Jika berlaku demikian maka hendaklah kita ajarkan nafsu kita dan kita cuba paksakan dia supaya bangun di tengah-tengah malam mengikut jadualnya untuk menunaikan ibadat dalam bilik di rumah kita. Sebab itulah maka guru-guru tariqat yang Mursyid pada masa-masa dahulu membuat aturan dan jadual khusus untuk mengatur tarbiah dan mengasuh nafsu murid-muridnya.

Dan nafsu murid-murid itu tidak serupa di antara satu sama lain. Misalnya, Hashim seorang murid yang nafsunya cukup malu kepada sifat peminta sedekah (jadi pengemis), lalu gurunya menyuruh dan memaksa Hashim itu supaya pergi meminta sedekah di merata-rata jalan, sekalipun dengan keadaan malu ia terpaksalah pergi jadi pengemis. Kalau zaman sekarang misalnya, Hashim itu seorang yang mempunyai pengaruh dan berpangkat dalam kalangan masyarakat dan semua orang tahu dan kenal dia, tiba-tiba gurunya (guru tariqat) memerintah dia supaya membawa beca roda tiga mengambil tambang siapa yang ingin naik di jalan-jalan raya yang besar, atau menolak kereta tolak menjual kayu api di merata-rata tempat, maka di waktu itu apakah pengalaman yang dirasa
oleh Hashim itu? Tentulah ia bermandi peluh dengan rasa malu yang paling dahsyat sekali. Tetapi jika Hashim itu benar-benar patuh akan perintah gurunya maka itulah tandanya murid itu benar-benar bertuah dan akan beroleh kejayaan nanti. Demikianlah salah satu contoh dari cara pengasuhan guru tariqat pada zaman dahulu.

Perkara yang kedua ialah wirid zikir tariqat, ini syarat yang paling penting sekali dari yang pertama tadi kerana kekaratan hati seseorang dengan sifat-sifat yang tercela dan sifat tamak pada keduniaan tidak dapat dipecah dan dileburkan melainkan dengan ibadat wirid tariqat yaitu apabila wirid tariqat yang diamalkan itu menghasilkan warid nur Ilahi maka beroleh kejayaanlah dia.

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.2) Cerita-cerita Mengenai Syaitan.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Abu Hurairah telah menceritakan bahawa ia telah berjumpa syaitan orang mukmin dan syaitan orang kafir, syaitan orang kafir gemuk-gedempul belaka manakala syaitan orang mukmin kurus-kurus kering belaka dan rambut-rambutnya berdebu dan bergerasing.

Maka bertanyalah syaitan si kafir kepada syaitan si mukmin: “Mengapa engkau kurus?” Lalu ia menjawab: “Kenapa aku tidak kurus, aku bersama orang (si mukmin), bila ia hendak makan ia menyebut nama Allah maka jadilah aku lapar, bila ia hendak minum ia menyebut nama Allah maka jadilah aku dahaga, bila ia hendak memakai pakaian ia menyebut nama Allah maka jadilah aku bertelanjang, bila ia menyikat rambut ia menyebut nama Allah, maka jadilah rambut kepalaku bergerasing dan berdebu”, lalu syaitan si kafir itu menyahut dan berkata: “Aku adalah bersama lelaki yang tidak berbuat itu semuanya, aku dapat menyertainya pada makanannya bila ia makan dan pada minumannya bila ia minum dan pada pakaiannya bila ia berhias, dan lain-lain lagi“.


Daripada Abdul Rahman bin Abi Laili, ia telah menceritakan bahawa syaitan telah datang berjumpa Nabi s.a.w. dan di tangan syaitan itu ada sepotong penyuluh api, maka ia berdiri di hadapan Nabi, sedang Nabi pada masa itu di dalam sembahyang, Nabi pun membaca dan pohon berlindung kepada Allah daripadanya tetapi syaitan itu tidak juga lari lalu datang Jibrail a.s. mengajar Nabi dengan katanya:


Wahai Muhammad! Bacalah: Nabi pun turut membaca demikian maka padamlah api tersebut dan syaitan itupun jatuh tersungkur.

Nabi sendiri ada menceritakan bahawa pada suatu hari syaitan telah datang kepadaku, Ialu bertengkar-tengkar ia dengan aku, maka akupun pegang halkumnya dan aku katakan kepadanya: “Demi Tuhan yang membangkitkan aku dengan sebenar, aku tidak akan melepasnya hingga aku rasa seolah-olah air lidah syaitan itu sejuk meleleh keluar dalam tanganku, dan jikalau tidak kerana dakwah saudaraku Nabi Allah Sulaiman a.s. nescaya tercampak rebah aku dalam masjid itu“.


Kerap kali berlaku manakala kita di dalam sembahyang datanglah kekacauan syaitan menarik fikiran kita berfikir dengan berbagai macam perkara, misalnya tadi aku telah pergi ke kedai, beijumpa si gadis comel itu, matanya mengenyit padaku menandakan sesuatu, tetapi aku buat tahu tak tahu, alangkah menyesalnya. Dan pada suatu ketika yang lain datang kekacauan pula dalam sembahyang yaitu bahawa dirasa dirinya orang-orang baik di sisi Allah dan dirasa dirinya sudah kena dengan kehendak ugama Allah dan dirasanya pula bahawa orang lain semuanya syaitan-syaitan belaka.

Orang itu orang ini hatinya belum tentu bersih, dan yang bersihnya aku dan orang lain tidak boleh lawan dengan aku. Dan pada satu ketika yang lain pula syaitan datang mengacau aku lagi: kalaulah aku jadi presiden negara ini barulah aman negara ini, si anu itu dan si anu ini tidak pandai dan tidak cekap belaka, tetapi kalau aku jadi ketua negara tahulah aku menjalankan kerjanya dan aku memang mempunyai rancangan begini-begini hingga hal demikian membawa ia begitu seronok dan rasa lazat di dalam sembahyang dan sehingga tidak disedari bahawa sembahyangnya itu entah berapa rakaat, berapa rakaat yang sudah terbuat dan berapa rakaat yang belum terbuat. Demikianlah macam-macam hal syaitan dan bisikan-bisikannya datang mengacau dalam hati orang sembahyang.


Tadi telah kita bicarakan bahawa kesucian hati tidak akan tercapai melainkan dengan dilaksanakan dua perkara penting:

Pertama mujahadah dan kedua wirid tariqat. Mujahadah ialah melawan godaan hawa nafsu yaitu belajar mengasuh nafsu diri sendiri dengan cara beransur-ansur supaya kita dapat menguasai dia.

Dan hendaklah kita ketahui dan faham bahawa nafsu itu biasanya adalah jadi tali barut bagi syaitan.

Oleh itu adalah menjadi kewajipan kita yaitu hendaklah kita belajar mengenal dan mengecamnya bahawa nafsu kita sekarang adakah dia sedang dihasut oleh syaitan atau tidak Dan inilah yang penting dan perlu sekali kita mengenalnya, kemudian hendaklah kita mujahadahkan dia dan kita lawankan dia, firman Allah:

Ertinya:”mereka yang bermujahadah pada jalan Kami (Allah) nescaya Kami beri pertunjuk kepada mereka jalan-jalan Kami”.

Pendek kata, dengan mujahadah jualah maka hati manusia tidak akan jadi makanan syaitan.

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.1) Penjelasan.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Kalaulah pada tubuh jasad manusia itu ada penyakitnya dan ada pula pakar doktor untuk mengubatnya maka begitu juga roh atau had manusia ada penyakitnya dan ada pula doktor untuk mengubatnya, tetapi apa yang paling aneh sekali dalam dunia moden hari ini ialah doktor-doktor pakar untuk mengubati penyakit roh paling sukar hendak didapatinya, sebaliknya yang paling banyak dan paling mudah didapati dicerok rantau dunia ialah doktor-doktor pakar tubuh jasad kasar yang bakal menjadi santapan ulat di dalam kubur jua. Malah setiap hari kita lihat berduyun-duyun manusia pergi ke klinik-klinik dan ke hospital-hospital besar mendapatkan doktor bagi merawat dan mengubat penyakit badan kasar jua tetapi sebaliknya tidak pernah kita melihat dan mendengar kebanyakkan manusia bersungut mencari doktor penyakit roh bagi mendapat rawatannya. Itulah tandanya menjadi perlumbaan dan kejar-mengejar dalam perjuangan hidup manusia dalam zaman moden ini ialah ‘Benda’ atau ‘Falsafah Kebendaan’.

 

Maka adalah perjuangan manusia di zaman moden hari ini ialah perjuangan benda belaka. Kaji benda, makan benda, sekolah benda, teknologi benda, sains benda, perut pun isi benda dan berak pun keluar benda. Maka tidaklah pelik kita dapati ketiadaan perseimbangan itu menyebabkan doktor pakar kaji penyakit roh itu payah hendak diketemui. Malah dikatakan manusia sekarang sihat-sihat belaka pada hal tidak disedari bahawa rohnya dalam tenat kesakitan dan ia dalam tragis berjerit memohon rawatan tetapi tidak diperdulikan. Dan berfikirlah dalam diri sendiri bahawa roh atau had manusia itu tidak akan sembuh dari penyakitnya selagi penyakit-penyakit kebendaan dan budi-pekerti kotor masih bermaharajalela dalam diri masyarakat kita hari ini.

Sekarang marilah kita kembali dan cuba bongkar pokok persoalan kita yaitu bagaimana cara hendak mengubat penyakit-penyakit roh atau had, khususnya penyakit syaitan dan bagaimana hendak menghalaunya? Adakah cukup dengan mengingati dengan pengucapan Allah!, Allah!, Allah! dan “Lahawlawalaquata’ilabillah” saja?.   

Ketahuilah bahawa cara mengubat hati dari penyakit demikian itu tiada jalan lain melainkan dengan menutup kemas pintu-pintu saluran syaitan yang kita bincang itu dan pintu-pintu saluran syaitan itu tidak akan tertutup selagi hati belum bersih dari karat sifat-sifat yang tercela kerana syaitan laksana anjing lapar manakala sifat-sifat yang tercela pulalaksana umpan makanan syaitan.

Apabila hati itu terkikis bersih daripada sifat-sifat yang tercela maka pada ketika itu syaitan tiada lagi dapat bertapak di hati sebagai sarang atau rumah tempat tinggalnya, kerana umpannya tidak ada lagi, tetapi walaubagaimanapun syaitan masih lagi dapat berlalu lintas dipermukaan hati. Dan sebagaimana kita dapat rasa sendiri bahawa hakikat berzikir tidak akan dapat jelira lazat melekat di hati kita kerana hati belum bersih dan belum mempunyai sifat taqwa dengan erti yang sebenar. Bahkan jika hati belum bersih dan masih dalam kedegilan. Oleh itu, untuk membersih
kekotoran hati yang menyebabkan punca penyakit roh dan juga untuk menghalang syaitan dari berlalu lintas di permukaan hati maka tiada jalan lain melainkan dengan dua perkara:


1. Mujahadah (melawan godaan nafsu dan syaitan dalam diri sendiri).

2. Terima wirid zikir tariqat yang sudah diakui sah dan berjasa.

Mujahadah tanpa wirid zikir tariqat seolah-olah mencari sesuatu jalan yang lambat mencapai kejayaan, manakala wirid zikir tariqat tanpa campur mujahadah mungkin mencapai suatu jalan yang cepat tetapi ada merbahaya di tengah jalan, ini jika zikir itu dikuatkan amalannya, kerana setengah daripada khasiat zikir tariqat itu mempunyai ‘Jazbah’ yaitu suatu kuasa tarikan yang menyebabkan perjalanan terlampau singkat dan cepat dan tidak begitu teratur perjalanannya dalam masa latihan (Training) hendak membersih hati itu, tetapi jika keduanya (Mujahadah Zikir Tariqat) itu dicampurkan serta di bawah perhatian guru dan asuhannya maka pintu kejayaan dan harapan adalah dalam menunggu dan terbuka lebih cerah untuknya. Oleh yang demikian jalan yang paling baik untuk mencapai kejayaan itu ialah dengan mengambil kedua-duanya sekali.

Hati orang Muttaqin yang benar-benar ialah hati orang sufi yang sesuci-suci bersih belaka. Walaupun mereka tercapai sifat demikian tetapi hati mereka kerap kali diterpai syaitan juga, bukan kerana mereka mempunyai godaan nafsu yang kotor-kotor lagi tetapi oleh kerana hati manusia ini menjadi tempat sasaran biasa syaitan maka tidak sunyilah dari terpaan syaitan dan apabila mereka berzikir nescaya larilah syaitan dan bersembunyi.

Zikir dengan keadaan hati demikian bererti dapat meleburkan tindakan syaitan yang hendak merosakkan hati. Adapun hati orang yang masih dikuasai syahwat atau nafsu kotor, jika nafsunya berat maka ia akan menolakkan zikir itu ke tepi atau ke birai-birai hati jua bukan zikir itu masuk benar-benar ke dalam lubuk hati. Oleh itu maka kewajipan orang yang hendak membersih hati dan ingin hendak mencapai ma’rifat dengan Allah hendaklah ia mengambil mujahadah dan beribadat zikir tariqat sebagai suatu syarat yang sangat sesuai dan penting sekali.

 

PEMBAHAGIAN ALAM : 1.4) Roh Terima Nasib Pembalasan.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi. Kota Bharu Kelantan.

Apabila roh manusia itu tidak pernah menerima latihan-latihan (Training) yang secukupnya dengan pengujian-pengujian ibadat dan taklif syarak di masa hidup di dunia maka bagaimanakah ia akan dapat lulus dalam temuduga di padang mahsyar akhirat nanti, ia akan diuji dan kembali untuk mendapat kelulusan amalan-amalan yang dilakukan dalam masa hidup di dunia dahulu. Jika ia benar-benar lulus dalam ujian itu maka ia akan diberi sekeping surat sijil menandakannya sebagai puak-puak kanan yang bertuah dan bernasib baik, kemudian ia akan diundang ke tempat rehat yang wajar lagi agong dan maha istimewa yaitu syurga dan dapat menyaksi Allah Azzawa Jalla.


Tetapi jika ia tidak lulus dalam ujian itu maka mahu tidak mahu ia akan diseret dan diletakkan di suatu tempat celaka yaitu neraka untuk menerima pembalasan dan supaya dapat dibakar semula roh yang kotor yang masih melekat dengan karat-karat duniawi dahulu kerana ia belum lagi menerima kesucian yang secukupnya dengan pengujian-pengujian ibadat dan taklif syarak di masa hidup di dunia.

PEMBAHAGIAN ALAM : 1.3) Roh Sudah Terlupa dan Lalai.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi. Kota Bharu Kelantan.

Apabila lama-kelamaan maka roh yang menumpang kenderaan badan kasar itu merasailah bahawa alam kenyataan ini adalah tempat tujuannya yang sejati, malah ia lupa bahawa alam ini adalah tempat dugaan dan pengujian yang sementara bagi mencari bekal untuk belayar balik menuju ke alam baka yang satu lagi.

Maka jadilah ia hidup menerkam mencari kepuasan hidup dunia dan menjamunya betul-betul menurut kepuasan hawa nafsu yaitu kepuasan perut, kepuasan mata, kepuasan telinga, kepuasan faraj dan lain-lain lagi. Sementara kepuasan untuk kebahagiaan roh tidak diperdulikan langsung yaitu supaya rohnya disuci bersih untuk mencapai kelazatan ma’rifat dengan Allah s.w.t. Yang Maha Agong. Malah ia lupa dan lalai dan tidak diambil tahu langsung bahawa rohnya telah menghidapi berbagai penyakit dengan tenatnya dan tidak pernah terlintas di hati hendak mencari doktor untuk mengubatnya, tetapi ia akan bergaduh-gaduh mencari doktor apabila badan kasar diri sendiri atau anak isterinya mengalami sakit.

PEMBAHAGIAN ALAM : 1.2) Roh Dihantar Ke Alam Nyata.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi. Kota Bharu Kelantan.

Roh manusia berasal dari Alam Al-Amru atau Alam Malakut, ia tidak dihantar ke alam dunia (alam kenyataan) ini melainkan setelah dibentuknya kerangka lembaga badan sebagai sarangnya, lembaga sarang badan itu adalah dibuat daripada bahan-bahan alam kasar atau alam kenyataan melalui kilang pembentukan rahim perempuan.

Tetapi roh adalah dicipta daripada kejadian alam seni dan keanehan Tuhan yang kita namakan Alam Ghaib (Alam Malakut). Ia sudahpun hidup bersama-sama roh malaikat atau roh-roh yang lain di Alam Arwah (Alam Malakut) sebelum alam kenyataan dunia ini diciptakan.


Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Awal-awal perkara diciptakan Allah Taala ialah akal, kemudian Allah berfirman kepadanya: Berhadap olehmu kepadaKu maka berhadap ia. Kemudian Allah berfirman pula kepadanya: Pergi olehmu dariKu maka pergi ia”.

Dan maksud akal di sini tidak lain melainkan ialah roh yang diciptakan
mula-mula sekali dari yang lain-lain. Dan Allah Taala telah berfirman:

“Yakni Tuhan bertanya kepada mereka waktu mereka di Alam Arwah (Malakut), adakah aku ini tidakTuhan  kamu? Mereka menjawab: Bahkan!”

Dia (roh) boleh berdiri sendiri tanpa sarang tubuh badan alam kasar sebelum ia dicantum dan dihantarkan ke alam nyata dunia ini.

Demikian juga roh boleh berdiri sendiri apabila ia bercerai dari badan kasar (meninggal dunia), malah badan kasar itu adalah kenderaan tumpangan untuk belayar di laut alam pengujian yang sementara ini jua.

BAHAGIAN 1 PEMBAHAGIAN ALAM : 1.1) Penjelasan Tajuk.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi. Kota Bharu

Alam itu jika dibahagikan menurut cara garisan kasar terbahagi ia kepada dua bahagian:


(1) Alam Kenyataan.

(2) Alam Ghaib.


Alam Kenyataan, mengikut istilah Tasawuf digelarkan juga alam Al-Syahadah atau Alam Mulki, yaitu mana-mana alam yang dapat dikesan oleh salah satu daripada pancaindera zahir yang lima (mata zahir, telinga
zahir, pencium zahir, penyentuh zahir dan perasa zahir). Kelima-lima perkara ini kita namakan juga ‘pancaindera luar’.

Dan mana-mana alam yang dapat dikesan dengan pancaindera zahir, umpama tubuh kasar kita, rumahtangga kita dan alam sekeliling yang kelihatan dengan mata kasar itu kita namakan dia ‘Alam Kasar’ atau ‘Alam Kenyataan’.


Alam Ghaib, ialah alam di sebalik tirai alam kenyataan ini dan oleh itu ia tidak dapat dilihat oleh mata kasar maka banyaklah manusia jadi kafir. Alam ghaib lawannya alam kasar atau alam kenyataan.

Alam ghaib bolehlah diberi ta’arif begini: yaitu mana-mana alam yang dapat dikesan oleh salah satu daripada ‘pancaindera dalam yang lima’, yaitu mata dalam, telinga dalam, pencium dalam, penyentuh dalam dan perasa dalam. Dan kelima-lima perkara ini kita namakan dia ‘pancaindera dalam’ pada suatu pengertian yang lain. Dan pancaindera dalam itu memang wujud pada tiap-tiap seorang manusia dan tidak boleh dibohongi oleh siapa-siapa pun.

Alam ghaib demikian juga kita namakan dia ‘Alam Malakut’ atau ‘Alam halus dan seni’ kerana ia tidak dapat dikesan oleh mata kasar (pancaindera zahir atau kasar), tetapi dapat dilihat oleh mata dalam atau dikesan oleh pancaindera dalam.

 

Dan apakah dia ‘Mata Dalam’ atau ‘Pancaindera Dalam’ itu?


Ketahuilah tuan-tuan bahawa tiap-tiap seorang manusia itu mempunyai roh dan roh itu suatu benda berbadan halus dan seni, dia berasal datang dari ‘Alam Malakut’ atau ‘Alam Al-Amri’ atau ‘Alam Arwah’, ia hidup tidak hancur selama-lamanya sekalipun badan kasarnya hancur reput. Ia mempunyai akal yang boleh berfikir pada sesuatu. Ia mempunyai pancaindera yang kita namakan dengan ‘Pancaindera Dalam’.


Ia berupa menyerupai bagaimana tubuh badan kita, ia bermata kepala dan berkaki tangan dan beranggota serupa dengan badan tubuh kita pada waktu hidup di dunia ini.


Tuan-tuan cubalah renong dan berfikir selangkah ke dalam! Tuan pernah bermimpi bukan? Misalnya pada suatu malam tuan bermimpi pergi makan angin di sebuah pulau yang sangat cantik dan amat menarik sekali. Ia terletak di tengah-tengah lautan yang amat indah dan menyukakan hati, tiba-tiba di tempat itu tuan bertemu pula dengan gadis jelita kekasih tuan yang sudah terputus perhubungan dalam beberapa tahun yang lampau. Apakah yang tuan dapat rasa nikmat bahagia di masa itu cubalah ceritakan!

Ataupun tuan bermimpi bertemu dengan harimau belang di sebuah hutan rimba yang amat menakutkan hati sekali. Tiba-tiba tuan dikejar oleh harimau itu tetapi mujurnya tuan dapat menyelamatkan diri dari maut harimau itu dengan memanjat sebatang pokok kayu dalam hutan yang menyayat hati itu. Cubalah tuan ceritakan bagaimana rasanya yang tuan dapat kecap kecelakaan dimasa itu!


Waktu tuan bermimpi itu sudah tentu tuan melihat dengan mata kepala, tetapi mata manakah yang melihat? Pada hal mata kasar tuan sedang tidur nyenyak di atas katil dan tidak pernah buka-buka lagi, dan sudah tentu tuan mendengar suara harimau pada waktu itu dengan telinga, tetapi telinga manakah yang mendengar? Pada hal telinga kasar tuan adalah tuli dan mampus, tidak pernah menyahut bisikan-bisikan orang di waktu tidur itu. Dan pada waktu tuan pergi makan angin dan bersuka seronok di sebuah pulau dalam mimpi itu, siapakah yang benar-benar rasa kecap bahagia itu? Tubuh kasarkah atau badan halus tadi? Atau siapa? Dan sebaliknya siapakah pula yang benar-benar rasa kecap celaka azab di waktu ia dikejar harimau tadi? Badan kasarkah atau halus atau siapa? Dan siapakah yang sebenar-benar bernilai diri kita itu? Badan haluskah atau badan kasar? ………. itulah dia roh yang benar-benar menerima azab atau bahagia di akhirat nanti, tetapi badan kasarnya akan turut serta menerima demikian manakala ia dibangkit dan dicantumkan kembali dengan roh di alam akhirat selepas berlaku kiamat.


Dialah (roh) yang benar-benar sekali menerima gembira dan yang benar-benar sekali menerima duka, baik di dunia ataupun di akhirat yakni bukan tubuh badan yang kasar yang menerimai rasa-rasa umpama itu.

Cuba tuan hiriskan dengan pisau tubuh orang yang telah tercabut nyawanya, kenapa ia tidak menggeletar?

Jawabnya, kerana tubuh kasar yang semacam tunggol kayu itu bukanlah yang menerima rasa pedih sakit tetapi yang benar-benar menerimainya ialah roh.

Dalam ugama Islam kita diwajibkan percaya kepada adanya azab kubur dari sekarang, yaitu apabila seseorang itu mati celaka yakni waktu hidup di dunia ia memilih amalan celaka, setelah ia meninggal dunia sudah tentu badan kasarnya diusung orang, bawa ke kubur untuk dipulangkan kepada tanah dan jadi makanan ulat, tetapi rohnya pula sudah pasti akan bertemu dengan berbagai azab di Alam Malakut sana.

Nabi-nabi, orang-orang sufi atau siapa-siapapun bila terbuka kasyaf nescaya akan melihat azab siksa yang dikenakan pada orang itu dalam waktu jaga begini. Azab-azab umpama itulah dipanggilnya ‘Azab Kubur’ bagaimana yang wajib dipercayai oleh tiap-tiap seorang Islam, sekarang terpulanglah kepada tuan-tuan. Sama ada mahu percaya atau tidak, jika percaya maka berertilah tuan-tuan sudah memenuhi sebahagian roh iman, tetapi jika tidak percaya maka bererti tuan-tuan sudah tidak termasuk dalam golongan orang-orang Islam dan tetap mati di dalam kafir masuk neraka.


Ketahuilah bahawa penyaksian-penyaksian umpama itu tadi itulah yang dikatakan menerusi dengan mata dalam atau dengan telinga dalam atau dengan pancaindera dalam yang sedang bekerja dan berlaku dalam masa penggunaan seseorang di Alam Malakut. Penggunaan pancaindera dalam itu bila berlaku pada waktu tidur dinamakan dia ‘Mimpi’, tetapi jika berlaku pada waktu diri seseorang itu sedar dan jaga dinamakan dia ‘Kasyaf’. Dan mana-mana alam yang dapat dikesan oleh mata dalam atau pancaindera dalam umpama tadi kita namakan dia ‘Alam Malakut’ atau ‘Alam Ghaib’ kerana ia tidak dapat dilihat oleh mata kasar atau pancaindera kasar.

Kerap kali berlaku pada Nabi-nabi dan orang-orang sufi dapat melihat perkara-perkara alam akhirat sedangkan tubuh kasar mereka di alam dunia adalah menerusi penglihatan umpama itu (Kasyaf), dan banyak pula berlaku kepada orang yang sedang bertapa atau beribadat, misalnya ia kelihatan seorang tua pakai serban hijau dan berjanggut panjang datang memberi salam kepadanya, atau dilihat kepadanya ular besar yang hendak menghampiri dia, atau gurunya datang memberi nasihat apa-apa atau dilihatnya wang ringgit datang mencurah-curah kepadanya pada hal ia berseorangan diri (bertapa) di dalam biliknya, atau diberi lihat kepadanya api sedang membakar manusia di dalam kubur atau dilihat ibunya sedang duduk berehat dalam kubur dengan segala senang hatinya.

Dan banyak pula berlaku, misalnya setengah orang dikosek-kosek (usik-usik) hantu raya, ia melihat hantu itu tinggi menjulang ke langit pada hal kawan di sebelahnya tidak nampak sedikitpun dan lain-lain lagi, itulah semuanya dikatakan perkara (Alam Malakut) dapat dilihatnya menerusi mata dalam atau pancaindera dalam yang kita namakan ‘Kasyaf’.