BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.
Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha
Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.
Kalaulah
pada tubuh jasad manusia itu ada penyakitnya dan ada pula pakar doktor untuk
mengubatnya maka begitu juga roh atau had manusia ada penyakitnya dan ada pula
doktor untuk mengubatnya, tetapi apa yang paling aneh sekali dalam dunia moden
hari ini ialah doktor-doktor pakar untuk mengubati penyakit roh paling sukar
hendak didapatinya, sebaliknya yang paling banyak dan paling mudah didapati
dicerok rantau dunia ialah doktor-doktor pakar tubuh jasad kasar yang bakal
menjadi santapan ulat di dalam kubur jua. Malah setiap hari kita lihat
berduyun-duyun manusia pergi ke klinik-klinik dan ke hospital-hospital besar
mendapatkan doktor bagi merawat dan mengubat penyakit badan kasar jua tetapi
sebaliknya tidak pernah kita melihat dan mendengar kebanyakkan manusia
bersungut mencari doktor penyakit roh bagi mendapat rawatannya. Itulah tandanya
menjadi perlumbaan dan kejar-mengejar dalam perjuangan hidup manusia dalam
zaman moden ini ialah ‘Benda’ atau ‘Falsafah Kebendaan’.
Maka
adalah perjuangan manusia di zaman moden hari ini ialah perjuangan benda
belaka. Kaji benda, makan benda, sekolah benda, teknologi benda, sains benda,
perut pun isi benda dan berak pun keluar benda. Maka tidaklah pelik kita dapati
ketiadaan perseimbangan itu menyebabkan doktor pakar kaji penyakit roh itu
payah hendak diketemui. Malah dikatakan manusia sekarang sihat-sihat belaka
pada hal tidak disedari bahawa rohnya dalam tenat kesakitan dan ia dalam tragis
berjerit memohon rawatan tetapi tidak diperdulikan. Dan berfikirlah dalam diri
sendiri bahawa roh atau had manusia itu tidak akan sembuh dari penyakitnya
selagi penyakit-penyakit kebendaan dan budi-pekerti kotor masih bermaharajalela
dalam diri masyarakat kita hari ini.
Sekarang
marilah kita kembali dan cuba bongkar pokok persoalan kita yaitu bagaimana cara
hendak mengubat penyakit-penyakit roh atau had, khususnya penyakit syaitan dan
bagaimana hendak menghalaunya? Adakah cukup dengan mengingati dengan pengucapan
Allah!, Allah!, Allah! dan “Lahawlawalaquata’ilabillah” saja?.
Ketahuilah
bahawa cara mengubat hati dari penyakit demikian itu tiada jalan lain melainkan
dengan menutup kemas pintu-pintu saluran syaitan yang kita bincang itu dan
pintu-pintu saluran syaitan itu tidak akan tertutup selagi hati belum bersih
dari karat sifat-sifat yang tercela kerana syaitan laksana anjing lapar
manakala sifat-sifat yang tercela pulalaksana umpan makanan syaitan.
Apabila
hati itu terkikis bersih daripada sifat-sifat yang tercela maka pada ketika itu
syaitan tiada lagi dapat bertapak di hati sebagai sarang atau rumah tempat
tinggalnya, kerana umpannya tidak ada lagi, tetapi walaubagaimanapun syaitan
masih lagi dapat berlalu lintas dipermukaan hati. Dan sebagaimana kita dapat
rasa sendiri bahawa hakikat berzikir tidak akan dapat jelira lazat melekat di
hati kita kerana hati belum bersih dan belum mempunyai sifat taqwa dengan erti
yang sebenar. Bahkan jika hati belum bersih dan masih dalam kedegilan. Oleh
itu, untuk membersih
kekotoran hati yang menyebabkan punca penyakit roh dan juga untuk menghalang
syaitan dari berlalu lintas di permukaan hati maka tiada jalan lain melainkan
dengan dua perkara:
1. Mujahadah (melawan godaan nafsu dan syaitan dalam diri sendiri).
2. Terima
wirid zikir tariqat yang sudah diakui sah dan berjasa.
Mujahadah
tanpa wirid zikir tariqat seolah-olah mencari sesuatu jalan yang lambat
mencapai kejayaan, manakala wirid zikir tariqat tanpa campur mujahadah mungkin
mencapai suatu jalan yang cepat tetapi ada merbahaya di tengah jalan, ini jika
zikir itu dikuatkan amalannya, kerana setengah daripada khasiat zikir tariqat
itu mempunyai ‘Jazbah’ yaitu suatu kuasa tarikan yang menyebabkan perjalanan
terlampau singkat dan cepat dan tidak begitu teratur perjalanannya dalam masa
latihan (Training) hendak membersih hati itu, tetapi jika keduanya (Mujahadah Zikir
Tariqat) itu dicampurkan serta di bawah perhatian guru dan asuhannya maka pintu
kejayaan dan harapan adalah dalam menunggu dan terbuka lebih cerah untuknya.
Oleh yang demikian jalan yang paling baik untuk mencapai kejayaan itu ialah
dengan mengambil kedua-duanya sekali.
Hati
orang Muttaqin yang benar-benar ialah hati orang sufi yang
sesuci-suci bersih belaka. Walaupun mereka tercapai sifat demikian tetapi hati
mereka kerap kali diterpai syaitan juga, bukan kerana mereka mempunyai godaan
nafsu yang kotor-kotor lagi tetapi oleh kerana hati manusia ini menjadi tempat
sasaran biasa syaitan maka tidak sunyilah dari terpaan syaitan dan apabila
mereka berzikir nescaya larilah syaitan dan bersembunyi.
Zikir dengan
keadaan hati demikian bererti dapat meleburkan tindakan syaitan yang hendak
merosakkan hati. Adapun hati orang yang masih dikuasai syahwat atau nafsu
kotor, jika nafsunya berat maka ia akan menolakkan zikir itu ke tepi atau ke
birai-birai hati jua bukan zikir itu masuk benar-benar ke dalam lubuk hati.
Oleh itu maka kewajipan orang yang hendak membersih hati dan ingin hendak
mencapai ma’rifat dengan Allah hendaklah ia mengambil mujahadah dan beribadat
zikir tariqat sebagai suatu syarat yang sangat sesuai dan penting sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan