Catatan Popular

Khamis, 28 Mac 2024

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.10 ) Keterangan Syariat, Tariqat dan Ma’rifat (Hakikat).

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Erti Syariat ialah segala amalan zahir yang dilakukan oleh anggota zahir kita yaitu seperti bacaan-bacaan wirid, terutama sekali wirid zikir tariqat dan juga ibadat-ibadat zahir yang lain, inilah maksud syariat bagaimana yang dikehendaki dalam kata-kata istilah tasawuf itu. Kita berharap hendaklah benar-benar faham maksud syariat itu. Di sana ada orang mencampur-adukkan erti syariat itu dengan syariat yang bererti segala hukum-hakam Allah yang diturunkan kepada nabi melalui Jibril, itu bukanlah syariat yang dikehendaki dalam perbicaraan kita kerana ia lebih umum. Itu adalah berupa undang-undang yang ditulis atas kertas jua. Wirid-wirid zikir tariqat yang dibaca yang kita namakan syariat atau amalan zahir itu apabila diamal, lama-kelamaan ia akan jadi terpendap jelira masuk ke hati laksana merah api masuk ke dalam besi jadi
sebatian, kemudian selepas itu ia diikuti pula dengan berolehnya ‘warid’ atau ‘nur’ yang dapat kita rasanya sendiri dan jadilah hati pada waktu itu hidup dan sedikit demi sedikit ia mulai mempunyai karan atau jadi macam besi berani, maka hati yang tercapai hal demikian dinamakan ‘tariqat’ atau ‘hati tariqat’, yakni hati telah menguasai hal tariqat.

Dengan erti yang lain tariqat itu ialah hati yang dapat menguasai amalan batin dan tidaklah dikatakan amalan batin itu melainkan ialah pekerjaan hati atau hal hati yang barpindah dari suatu sifat yang buruk bertukar menjadi sifat yang baik. Orang yang dapat menguasai amalan batin inilah ertinya hati hidup dan hati tidak mati namanya. Dia bekerja maknanya, misalya dahulu dia bersifat pemalas ibadat, kedekut, bakhil dan sombong tetapi sekarang (setelah mendapat nur atau warid) dia telah bertukar kepada bersifat perajin ibadat, pemurah hati dan tawaddu’ (rendah hati) atau misal lain-lain lagi.


Apabila kita dapat menguasai warid atau nur itu sepenuhnya sekira-kira ia dapat tinggal menetap dan terpacak kejap di lubuk hati yang kita gelarkan Istiqamah, maka jadilah hati pada waktu itu suci jilah dan bersih secara otomatik, dan setelah hati itu pula mempunyai atau menguasai karan sepenuhnya maka barulah tercampak ke dalam hati perkara syuhud yang maha penting itu. Maka di kala itu terhasil kepadanya apa yang kita namakan tadi ‘hakikat’ ertinya dapat mengena! Allah Taala dengan jalan dapat rasa zuqq yang kita namakan ‘syuhud’. Dan lazim daripada dapat rasa hakikat umpama itu tercapai pula ‘ma’rifat’ ertinya tercapainya ilmu pengetahuan yang hasil daripada pengalaman rasa zuqq atau syuhud
itu. Inilah maknanya orang-orang wali itu dapat ilmu pengetahuan dengan tidak payah belajar. Sebagai contoh atau bandingan, cubalah letak gula di atas lidah tentulah kita dapat rasa kesedapan gula itu begitu rasanya. Maka dapat kesedapan rasa gula itulah dinamakan ‘hakikat’. Dan pengalaman atau ilmu pengetahuan yang hasil daripada kecapan rasa itulah dinamakan dia ‘ma’rifat’.

Dan ma’rifat kepada Allah Taala itu ada tiga martabat, Pertama ma’rifat mengikut jalan ilmu usuluddin yaitu Ilmul-Yakin, dan yang kedua dan ketiganya ialah ma’rifat mengikut jalan ilmu tasauf yaitu ‘Ainul-Yakin dan Hakkul-Yakin namanya.


Maka seluruh kesimpulan keterangan tersebut hendaklah difaham begini:


• Syariat dapat menguasai amalan zahir dengan beribadat wirid tariqat dan amalan-amalan fardhu yang diwajib oleh Allah dalam ugama kita.
• Tariqat dapat menguasai amalan batin dengan berolehnya warid (nur).
• Ma’rifat dapat menguasai ilmu pengetahuan yang hasil daripada rasa syuhud.
• Hakikat dapat menguasai rasa zuqq (syuhud) yang hasil daripada hati suci jilah yang berolehnya warid yang istiqamah.

Tiada ulasan: