Catatan Popular

Khamis, 28 Mac 2024

PEMBAHAGIAN ALAM : 1.2) Roh Dihantar Ke Alam Nyata.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi. Kota Bharu Kelantan.

Roh manusia berasal dari Alam Al-Amru atau Alam Malakut, ia tidak dihantar ke alam dunia (alam kenyataan) ini melainkan setelah dibentuknya kerangka lembaga badan sebagai sarangnya, lembaga sarang badan itu adalah dibuat daripada bahan-bahan alam kasar atau alam kenyataan melalui kilang pembentukan rahim perempuan.

Tetapi roh adalah dicipta daripada kejadian alam seni dan keanehan Tuhan yang kita namakan Alam Ghaib (Alam Malakut). Ia sudahpun hidup bersama-sama roh malaikat atau roh-roh yang lain di Alam Arwah (Alam Malakut) sebelum alam kenyataan dunia ini diciptakan.


Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Awal-awal perkara diciptakan Allah Taala ialah akal, kemudian Allah berfirman kepadanya: Berhadap olehmu kepadaKu maka berhadap ia. Kemudian Allah berfirman pula kepadanya: Pergi olehmu dariKu maka pergi ia”.

Dan maksud akal di sini tidak lain melainkan ialah roh yang diciptakan
mula-mula sekali dari yang lain-lain. Dan Allah Taala telah berfirman:

“Yakni Tuhan bertanya kepada mereka waktu mereka di Alam Arwah (Malakut), adakah aku ini tidakTuhan  kamu? Mereka menjawab: Bahkan!”

Dia (roh) boleh berdiri sendiri tanpa sarang tubuh badan alam kasar sebelum ia dicantum dan dihantarkan ke alam nyata dunia ini.

Demikian juga roh boleh berdiri sendiri apabila ia bercerai dari badan kasar (meninggal dunia), malah badan kasar itu adalah kenderaan tumpangan untuk belayar di laut alam pengujian yang sementara ini jua.

Tiada ulasan: