Catatan Popular

Khamis, 28 Mac 2024

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.8) Kemusykilan Apakah Gunanya Berjuang Bermati-Matian Mencari Syuhud?.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Jika tercetus atau tersua di dalam hati tuan kemusykilan, yaitu apakah faedahnya dan apakah gunanya orang-orang tasawuf berjuang bermati-matian hanya untuk mendapat kesedapan zuqq dan syuhud yang umpama itu jua, pada hal Tuhan itu tidak nampak hendak dilihat, Ia bukan macam benda yang boleh dipegang dengan tangan, bukan macam wanita yang boleh dicurah kasih sayang, bukan macam makanan dan minuman yang boleh dimakan dan diminum, bukan macam kereta yang boleh dinaiki. Tetapi, kalaulah Tuhan itu macam demikian maka sangatlah patut dan munasabah jika mereka berjuang bermati-matian dan berfaedah juga untuk mereka.


Bagi menjawabnya, maka ketahuilah bahawa kehidupan manusia di atas muka bumi ini bermati-matianBmengejar dan mencari kemajuan dan kemakmuran tiada lain melainkan hanya untuk mendapat rasa sedap jua. Mereka makan minum tiada lain melainkan kerana mencari rasa sedap untuk lubang tengkok dan tali perut. Mereka buat rumah besar-besar dan cantik-cantik tiada lain melainkan kerana hendak mencari rasa sedap untuk kesenangan, sedap tubuh jasmani jua. Mereka mencari wanita dan beristeri banyak tiada lain melainkan kerana mencari rasa sedap untuk memuaskan nafsu syahwatnya. Mereka beli kereta dan naik kereta tiada lain melainkan kerana mencari rasa sedap untuk kerehatan tubuh.
Mereka pergi ke panggung wayang dan melihat wayang gambar tiada lain melainkan kerana mencari rasa sedap untuk mata. Mereka mendengar lagu, nyanyi dan muzik tiada lain melainkan kerana mencari rasa sedap untuk halwa telinga. Pendek kata mereka hidup berjuang dan bekerja pada masa hidup di dunia ini tiada lain melainkan kerana mencari kesedapan jua, bahkan mereka ingin rasa sedap itu dan sedap ini pada seumur hidup dan tiada lain melainkan sedap, sedap …..


Demikian juga orang-orang tasawuf, mereka berjuang bermati-matian tiada kerana lain melainkan kerana mencari kesedapan, rasa sedap, yaitu sedap pada zuqq dan syuhud mereka untuk roh yang kekal abadi dan itulah kebahgiaan roh yang hakiki, bukan untuk kesedapan-kesedapan yang palsu yang akan menerima kehancuran yaitu kesedapan-kesedapan pada lubang tengkok, tali perut, biji lubang telinga, syahwat dan lain-lain lagi pada tubuh jasmani yang semuanya itu akan menerima kehancuran belaka, masuk di dalam lubang tanah. Tetapi roh tidak hancur. Sebab itulah mereka orang tasauf berjuang mencari kebahagiaan untuk yang tidak hancur itu amat tepat sekali kena pada matlamat dan tujuannya.
Dan dengan tercapainya kebahgiaan demikian maka bermaknalah sudah tercapai kesihatan roh yang sejati.


Selain daripada itu, apabila tercapai kepada mereka syuhud dan zuqq yang diperjuangkan itu nescaya akan beroleh kepada mereka faedah-faedah yang lain lagi selain daripada faedah tercapainya kebahagiaan untuk roh (yang kekal) abadi itu, yaitu faedah-faedah dunia di masa mereka hidup di dunia ini.

       Yang pertama sekali setelah mereka tercapainya syuhud dan zuqq demikian itu mereka akan beroleh rahsia-rahsia ilmu yang indah dengan tak payah belajar (ilmu laduni).

       Yang kedua mereka tercapai kesenangan hidup dunia apa saja yang mereka ingin dan mahu.

       Yang ketiga mereka akan beroleh berbagai keramat. Dan yang keempat mereka mendapat keredhaan Allah Taala dalam di tiap hidup dan gerak- geri mereka dan lain-lain lagi.

Tiada ulasan: