Catatan Popular

Khamis, 28 Mac 2024

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.4) Keterangan Warid (Nur).

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Berolehnya warid atau nur itu ialah setelah kita menunggu masa dan melakukan ibadat wirid tariqat.


Apabila seseorang itu berjaya mencapai warid nescaya hatinya yang berkarat itu akan terkikis jadi bersih secara otomatik laksana air api dapat meleburkan sisa-sisa tembaga yang bercampur-aduk dalam cecair emas, itu menjadikan dia emas bermutu sepuluh. Hal demikian dapat dirasa sendiri oleh pengamalb ibadat tariqat itu. Tetapi ia mestilah ikut syarat peraturannya dan tunggu masa. Kalau dahulu ia sebagai seorang pemalas beribadat, atau kedekut bakhil, atau hatinya keras atau pengkhianat misalnya maka sekarang (setelah dapat warid) ia telah bertukar menjadi seorang perajin ibadat, pemurah hati,pelembut hati, dan jadi orang pengamanah dan baik-baik. Maka hal-hal orang tersebut tentulah kelihatan berubah kelakuannya dari masa-masa yang lepas. Perubahan hal demikian menyebabkan kadangkala dituduh oleh orang yang tidak faham perjalanan tariqat bahawa ia orang gila pada hal dia bukan gila, hanya dia akan menunggu masa perubahan dalam beberapa ketika jua. Warid atau nur adalah makanan bagi hati. Siapa yang mencapainya maka hiduplah hati. Ini dapat dirasa oleh orang yang mencapainya kerana warid (nur) adalah benda rasa.

Allah telah berfirman:

“Dan siapa-siapa yang bertaqwa kepada Allah Taala nescaya diberi kepadanya rasa lapang dada (makhraj) dan diberi rezeki kepadanya dengan sekira-kira tidak terfikir oleh akal”.

Perkataan ‘Makhraj’ asal ertinya ialah diberi suatu jalan keluar atau terlepas daripada perkara-perkara yang menyusah dan tidak menyenangkan hati. Misalnya dahulu kita bersifat pemalas ibadat atau bersifat keras hati tetapi sekarang telah bertukar menjadi seorang perajin ibadat dan pelembut hati maka jadilah dia ‘lapang dada’, inilah erti makhraj,

Pernah satu ketika nanti Nabi s.a.w. ditanya orang
mengenai apakah itu lapang dada ? Maka Nabi menjawab:

“Sesungguhnya apabila nur itu jatuh menerpai ke dalam hati nescaya rasa lega dan lapanglah dadanya”.

Dan banyak lagi dalil-dalil yang menerangkan dalam perkara ini di antaranya ialah firman Allah:

“Wahai orang-orang beriman jika kamu bertaqwa kepada Allah nescaya diberinya kamu‘Furqan'”.

Perkataan ‘Furqan’ ertinya jalan yang meleraikan kamu atau melepaskan kamu daripada melakukan perkara Batil kepada melakukan perkara yang Haq (Benar). Jadi perkataan ‘Furqan’ adalah sama dengan perkataan istilah tasawuf ‘Nur’ atau ‘Warid’.

Dan lagi terdapat dalam hadis bahawa Nabi telah bersabda:

“Siapa-siapa beramal dengan ilmu yang ia ketahui nescaya diberi pesaka Allah akan ilmu yang belum ia ketahui dan diberi taufik Allah pada amalannya hingga mewajibkan dia masuk Syurga”.

Mengikut pengertian istilah tasawuf bahawa tidaklah boleh dikatakan wirid selagi amalan atau zikir umpama itu belum jadi tabiat atau belum jadi perangai tingkah-laku dalam kehidupan sehari-harinya amalan zikir yang sebegini rupa, barulah menghasilkan ‘warid’ atau ‘nur’.

Apabila tabiat itu menjadikan sebagai perangai tingkah-laku seorang itu baru boleh dikatakan wirid maka jadilah wirid yang menjadikan tabiat kelakuan manusia dalam kehidupan sehari-hari, itu terbahagi kepada tiga macam:


1. Wirid Bacaan

2. Wirid Perbuatan.

3. Wirid Hati.

Apabila seorang itu berahi menyanyi misalnya dan apabila tiba masanya ia tentu menyanyi maka dikatakan itu ‘wirid’ baginya. Apabila cukup masanya pukul enam petang misalnya maka seorang itu biasanya mesti keluar berjalan makan angin maka dinamakan dia ‘wirid’.

Pendek kata, kalau belum jadi tabiat tidaklah dinamakan wirid.

Warid yang dikatakan baru terhasil setelah wirid itu jadi tabiat baginya adalah dikira pada segi peraturan mujahadah. Adapun pada segi peraturan jazbah maka tercapainya warid itu tidak termesti amalan wirid itu jadi tabiat baginya. Kadangkala seorang itu terima wirid tariqat hari ini, kemudian tidak berapa hari selepas itu ia tercapainya warid. Ini adalah kerana jazbah (cepat dapat warid).


Ibadat amalan tariqat ada dua keturunan atau dua bab:


1. Keturunan Jazbah.

2. Keturunan Mujahadah.


Keturunan jazbah yaitu mana-mana tariqat yang cepat mendatangkan warid dengan tidak sebegitu banyak mujahadah. Keturunan atau baka ini adalah berasal dari Tariqat Syazili.

Dan yang keduanya ialah keturunan mujahadah yaitu mana-mana tariqat yang payah hendak mencapai warid melainkan dengan mujahadah yang sungguh-sungguh dan beramalkan wirid itu hingga jadi sebagai tabiat perangainya. Keturunan atau baka ini adalah berasal dari Tariqat Ghazali.

Oleh itu mana-mana orang beramal wirid tariqat dan cepat mendapat warid maka dikatakan ia berasal dari baka Syazili dan mana-mana orang beramal wirid tariqat dan payah hendak mencapai warid melainkan dengan mujahadah yang sungguh-sungguh hati, maka dikatakan dia dalah berasal dari baka Ghazali. Dan kebanyakan tariqat di abad-abad yang akhir ini adalah bercampur keturunan Syazili belaka. Ibadat.

Tiada ulasan: