Catatan Popular

Khamis, 28 Mac 2024

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.5) Ibadah Tariqat Melahirkan Budi Perangai yang Baik.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Melakukan ibadat wirid tariqat mendatangkan warid yang mana ia digelarkan juga dengan ‘nur’ atau ‘waridah’ atau ‘sir—rahsia’ atau ‘israr—rahsia-rahsia’ atau lain-lain lagi mengikut pengertian istilah tasawuf.

Dan warid yang tercapai dari hasil ibadat tariqat itu mempunyai dua khasiat:

1.    Membersih hati.

2. Mendapat syuhud.

Dengan erti yang lain ‘membersih hati’ itu ialah kita dapat menguasai segala sifat-sifat yang terpuji melekat memupuk di hati kita. Cara tercapai kebersihan demikian harus terdapat dengan jalan beransur-ansur mengikut beransur-ansur kuat lemahnya ibadat tariqat yang dilakukan itu. Hal demikian seorang yang beramal tariqat itu amat mustahak sekali kepada pimpinan dan tarbiah guru yang pakar dalam ilmu ini. Hal yang serupa itu adalah mengikut tajribah dan pengalaman oleh semua lapisan orang sufi yang telah dicuba dari zaman berzaman lagi dan kebanyakan yang berjaya menjadi wali yang besar-besar adalah melalui jalan ini.

Adapun wirid-wirid yang bukan dari wirid tariqat walaupun dilakukan seberapa kuatnya maka tidaklah ia akan mencapai warid yang dimaksudkan, kalau tercapai pun hanya kemanisan dalam ibadat jua.

Sekalipun demikian jika tercapai warid dalam wirid-wirid ibadat yang bukan tariqat maka warid-waridnya itu tidak mempunyai khasiat mendapat syuhud dan ma’rifat. Dan tidak syak lagi bahawa ibadat wirid tariqat adalah bertujuan untuk mencanai hati dengan kesan-kesan warid atau nur dan kesan-kesan itu akan bertambah banyak bila ibadat tariqat dilakukan dengan banyaknya, manakala ibadat umpama itu dibuat sepanjang umur nescaya jadilah pahalanya bertambah lebih banyak, nafsunya lebih suci bersih dan jernih dan budi perangai pun lebih indah cemerlang dan lebih kuat malah ia menjadi lebih kejap dan teguh, pendek kata, budi perangai ahli ibadat adalah terjamin dan tetap terpelihara baik jika kita banding dengan budi perangai orang sufi demikian maka alangkah pelik dan ajaibnya budi perangai orang kita khususnya muda-mudi kita zaman sekarang yang tetap masih terpengaruh kepada kebudayaan yang asasnya tak tentu hujung-pangkal itu, kebudayaan yang masih tetap dipuja, dikembang dan dipopularkan dengan seluas-luasnya.

Adakah dia tetap istimewa? Atau tetap rugi? Siapakah yang bertanggungjawab? Guru-guru? Ulamak-ulamak? Universiti-universiti, Sekolah- sekolah? Penulis-penulis? Atau siapa?


Tiap-tiap negara dalam dunia ini adalah tetap dengan konsep falsafahnya masing-masing dan tetap terusberjuang untuk menegakkan falsafahnya itu. Dan demikian juga tiap-tiap negara dalam dunia ini memang mempunyai falsafah kilang-kilang pendidikan bangsanya yang tertentu. Jika kilang-kilang itu terus menerus berusaha dan mencapai matlamatnya maka itulah negara yang sebenar berjaya.

Tetapi jika ia tidak mencapai matlamatnya atau matlamatnya tidak tentu hujung-pangkal maka itulah tandanya dia dan negaranya adalah gagal segagal-gagalnya dan dia tetap akan buruk menerima akibat. Mengapa tidak demikian? Kita katakan gagal demikian, kerana jika manusia-manusia itu dicanai mengikut bentuk acuan hanya untuk menggemuk hadan dan kesihatan jasmani semata-mata maka berertilah masyarakat manusia yang lahir itu sengaja dibentuk mengikut falsafah kambing lembu atau ayam itik jua, mereka dipelihara, dijaga baik-baik, diberi makan gemuk-gemuk dan diawasi kesihatan tanpa mempunyai nilai jiwa dan roh maka jadilah manusia di waktu itu manusia binatang semata-mata yakni manusia tidak seimbang, manusia yang berpengaruh kepada benda semata-mata semacam kambing lembu, manusia yang tidak mengerti tujuan falsafah hidupnya. Dia datang dari mana? Dan akan pergi ke mana? Dan dimana dia sekarang?.

Tiada ulasan: