Catatan Popular

Khamis, 28 Mac 2024

BAHAGIAN 2 CARA MENGUBATI HATI DARI PENYAKIT YANG MENGGANGGU KESIHATAN ROH : 2.9) Hati Rasul-rasul, Nabi-nabi dan Auliya’ Allah.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Semua hati orang-orang wali dan lebih-lebih lagi hati nabi-nabi dan rasul-rasul adalah terdiri daripada golongan yang menguasai makam zuqq atau syuhud itu, yaitu jenis hati yang mempunyai karan atau besi berani yang dapat menangkap sesuatu apabila ia lalu atau lintas di permukaan hatinya (bukan hati jenis mati atau mampus yang tidak mempunyai bateri umpama hati kita orang awam ini). Dan sebagai suatu tanda yang paling mustahak untuk dikenal atau dicam ialah bahawa tidaklah dinamakan zuqq jika tidak ada campur rasa kelazatan dan kesedapan pada waktu tercapai makam itu.

Dan sesuatu yang dapat ditangkap oleh hati itu maksudnya ialah sama ada ia melihat atau teringat di hati kepada salah satu daripada perkara-perkara yang berikut:

1.      Af’alul-Lah.

2.      Asmaa’ul-Lah

3.      Sifatul-Lah.

4.      Zatul-Lah.

Afalul-Lah maksudnya ialah segala perbuatan yang berlaku dalam sendiwara lakonan alam ini. Sendiwara perbuatan Allah itu berlaku pada setiap nafas dan ketika dan bagi hati orang yang mempunyai karan
yang sudah tersedia ada apabila dapat menangkap Afalul-Lah itu nescaya tercapailah kepadanya suatu jenis zuqq serta kesedapan dan kelazatan. Kesedapan dan kelazatan itu sukar hendak dibanding. Dan tiap-tiap orang yang tercapai zuqq itu adalah masing-masing tidak serupa pada kesedapan dan kelazatan umpama itu.


Asmaa’ul-Lah ertinya nama-nama Allah. Dan nama-nama Allah itu sangat banyak. Segala apa yang berlaku dalam alam ini memang mempunyai nama. Dan nama-nama itu akan terpulang kepada ampunya asal yaitu Allah. Misalnya kita melihat suatu keindahan di alam ini maka tentulah di sebalik itu ada tukang yang menciptakan keindahan ini dan namanya pada ketika itu ialah dan bagi hati orang yang mempunyai karan yang sudah tersedia ada apabila dapat menangkap salah suatu daripada Asmaa’ul-Lahitu nescaya akan tercapai kepadanya suatu jenis zuqq serta ada kelazatan dan kesedapan yang sukar hendak dibanding.


Sifatul-Lah ertinya sifat-sifat Allah seperti qudrat, iradat, ilmu, hayat dan lain-lain lagi. Dan pula sifat-sifat Kamalatul- Lah sangatlah banyak. dan sifat-sifat yang umpama itu memang dapat dilihat pada tirai lakonan alam ini. Dan bagi hati orang yang mempunyai karan apabila dapat menangkap salah satu daripada Sifatul-Lah nescaya akan tercapai kepadanya suatu jenis zuqq serta ada kelazatan dan kesedapan yang payah hendak ditulis dengan pena atau hendak diterang dengan cakapan biasa.


Zatul-Lah, bagi jenis hati yang mempunyai karan atau hati macam besi berani, umpama apabila ia melihat alam sekitar ini nescaya jadilah alam ini seolah-olah cermin yang ia nampak di dalamnya Allah belaka dan terhapuslah pada ketika itu hatinya akan ingatan yang lain selain daripada Allah. Maka jadilah alam ini dipakai atau diganti Allah belaka pada penglihatan zuqq mereka serta ada kelazatan dan kesedapan tetapi bukanlah pula bererti bahawa alam ini ialah Allah atau Allah itu ialah alam ini, kerana keduanya adalah masing-masing zat yang berlainan yang tetap bersalahan dan tidak serupa. Dan barangsiapa yang mengi’tiqadkan serupa nescaya kafirlah dia.

Na’uzubillahi Min Zaalik.


Dan maqam syuhud umpama itu pada satu ketika orang tasawuf menamakan dia makam ‘musyahadah’ dan pada suatu ketika yang lain pula ia menamakan pula makam ‘Al-Ihsan’ bagaimana sabda Nabi s.a.w.:

“Ihsan itu ialah bahawa engkau sembah akan Allah seolah-olah engkau melihat Allah dan jika tidak engkau melihat Allah maka Ia melihat engkau”.

Dan perkara ihsan umpama ini ialah perkara rasa yang tidak boleh hendak dibuat-buat melainkan dengan zuqq yang ada kemanisan dan kelazatan.


Semua hati rasul-rasul, nabi-nabi dan wali-wali besar menguasai makam syuhud itu adalah dengan jalan baqa’ bukan dengan jalan fana’. Sebab itulah mereka semua digelarkan ‘Al-Insanul-Kamil’ ertinya manusia sempurna. Makam baqa’ ertinya hati mereka dalam kesedaran menguasai dua alam, alam zahir dan alam batin. Alam zahir mereka sedar dan dapat hidup, berbicara dan jadi pemimpin bersama masyarakat sedangkan alam batin pula ialah hati mereka terus hidup bersama Allah dalam sentiasa kesedapan dan kelazatan yakni hatinya tidak mati dan mampus semacam hati kita. Adapun makam fana’ maka mereka hanya dapat kesedaran di alam batin saja, tetapi di alam zahir mereka tidak sedar dengan alam sekitarnya. Mereka tidak dapat bermasyarakat dan bercampur dengan orang ramai kerana hatinya pada ketika itu hanya tertumpu dan berharap kepada kesedapan dan kesedaran alam batin jua yaitu hati hidup bersama Allah semata-mata.


Mengapa hati orang-orang wali sampai jadi sebegini sekali?

Jawabnya, hati yang berupa demikian mustahil tercapai melainkan apabila terhasilnya peringkat-peringkat perjuangan dilakukan oleh mereka yaitu peringkat-peringkat:

       Pertama Syariat,

       Kedua Tariqat dan

       Ketiga Ma’rifat atau Hakikat.

Isti-lah-istilah demikian biasa kita dengar diucap oleh orang-orang tua di kampung berbunyi: “Syariat, tariqat, ma’rifat dan hakikat”. 

Apakah maksudnya istilah itu?

Tiada ulasan: